Friday, November 16, 2018

Hang ingat aku ini sesat ke?

Teks Nor Affizar Ibrahim

Hang ingat aku ini sesat ke?

Saya pernah menulis artikel mengenai isu ajaran sesat ketika  menjadi penulis di majalah Jelita. Untuk menyiapkan tugasan ini saya bergabung dengan dua lagi rakan wartawan lain.

Untuk menghasilkan artikel ini saya perlu membuat siasatan di beberapa negeri.  Apatah lagi, editor mahukan pengakuan individu yang pernah terbabit ajaran sesat.

Ini bukanlah mudah kerana tidak ada seorang pun yang sanggup ‘serah diri’ kepada wartawan untuk ditemubual.  

Walaupun saya dan rakan-rakan menjanjikan tidak menyiarkan gambar mereka.  Apa yang kami mahu adalah cerita sebenar dan pengakuan dari mereka sendiri.

Selepas puas  menghubungi sana-sini khususnya, beberapa jabatan agama di beberapa negeri, saya dan rakan berjaya mendapat seorang individu yang ingin berkongsi pengalamannya. Beliau dikatakan, masih dalam proses pemulihan.

Peluang menemubual  itu semuanya atas usaha dan bantuan oleh kakitangan di jabatan agama di Pulau Pinang.

Bersama rakan, Habsah Dinin, saya pun menuju ke Pulau Pinang dengan menaiki kereta kancil saya.  Rasanya itulah kali pertama saya memandu kereta kancil  saya ke Pulau Pinang.

Bomoh sesat

Pertemuan diaturkan di sebuah masjid. Sudah terlupa pula nama masjid berkenaan. Sampai di sana, pegawai jabatan agama Pulau Pinang memperkenalkan kepada kami seorang lelaki yang berusia dalam pertengahan usia 40-an.

Namun, sebelum itu kami sudah diberikan serba sedikit mengenai latar belakang lelaki yang ingin ditemubual itu.

Lelaki itu bertubuh besar dan berkulit agak gelap. Saya sempat melihat, dia memakai cincin yang agak besar pada beberapa  jarinya.  

Agak ramah orangnya dan kami disambut baik apabila diperkenalkan kepadanya. Loghat utaranya memang pekatlah.

Bagi memberi  ruang ‘kebebasan’ untuk kami menemubual lelaki itu, kakitangan jabatan agama itu membiarkan kami bertiga sahaja.

Lelaki itu pun berceritalah mengenai  dirinya. Dia sebenarnya  adalah bomoh dan dikatakan mengamal kan ajaran sesat kerana cara kaedah rawatannya yang menyimpang dengan ajaran Islam.  

“Dorang ni pandai-pandai aje kata aku ni sesat. Bukannya aku buat perkara bukan-bukan yang melampau pun. Hang pun ingat aku sesat ke?” katanya seperti  tidak puas hati.

Saya dan kawan diam sahaja tanpa menjawab apa-apa. Namun, sempat juga melontarkan senyuman kelat. Memanglah, kami pun tak tahu nak jawab apa. 

Padahal, sebelum itu pegawai  jabatan agama itu ada memberitahu, lelaki  itu sudah pun tunjukkan  tanda-tanda rasa insaf.

“Hang tahu tak? Kalaulah aku ni sesat kenapa ada sampai orang VVIP datang jumpa aku dan minta macam-macam bantuan. Nak bertanding pun minta tolong aku,sebab nak pastikan dirinya menang.” Dia terus merungut.

Saya dan kawan terus ‘setia’ mendengar ceritanya dan mencatatkan apa yang perlu.

“Ni...dorang suruh aku ikut buat pemulihan. Aku ikut jelah. Macam-macam dorang ini.” Tambahnya lagi.

Lama terpesong

Hampir sejam juga temubual itu berlangsung.  Selepas habis menemubual, kami bertanyakan kepada pegawai  jabatan agama itu, kenapa lelaki itu masih berkata dirinya betul dan tidak amalkan ajaran sesat.

“Ohhh dorang tu macam itulah. Sudah terlalu lama terpesong dan amalkan ajaran tidak betul. Itu yang kadang-kadang susah hendak balik ke pangkal jalan. Kadang-kadang itu, ada yang sengaja beritahu kami dirinya sudah bertaubat. 

"Padahal belum lagi. Mereka membuat pengakuan itu kerana tidak mahu ditahan lama-lama dan ingin habis cepat-cepat proses pemulihan. Kami ni bukan tak tahu taktik mereka,” jawab pegawai  jabatan agama itu.

Tarik nafas panjanglah juga kami mendengar penerangan itu.

Nanti kalau ada masa, Insya-Allah saya ceritakan pula pengalaman membuat siasatan ajaran sesat di Pulau Besar, Melaka.



No comments:

Post a Comment