Friday, December 7, 2018

Mengapa ingin menulis

Teks Nor Affizar Ibrahim

Mengapa ingin menulis?


Barangklali, ada yang menganggap menulis  aktiviti agak  yang membosankan. Betul ke?

Sebenarnya, menulis dan membaca  tidak banyak bezanya. Jika membaca, anda akan dapat menambahkan pengetahuan.
Begitu jugalah menulis, anda juga akan menimba ilmu, malah anda juga boleh berkongsi ilmu.

Bahkan lebih dari itu. Dalam erti kata lain, menulis sememangnya memberi banyak manfaat.
Jadi, mulakanlah menulis! Bagaimanapun, sebelum anda mula menulis, tanyalah pada diri anda, kenapa mahu menulis.

Soalan ini penting diajukan pada diri anda sendiri. Anda perlu memberikan jawapannya.  

Mengapa? Ini kerana jawapan itulah yang akan menentukan sama ada akan terus menulis atau pun sekadar hangat-hangat  tahi ayam dengan apa yang anda sudah mulakan.

Saya yakin, apabila anda mempunyai jawapan kukuh atau ada matlamat jitu mengapa anda menulis, maka perjalanan anda sebagai penulis tidak akan terhenti.

Hari demi hari, keghairahan untuk menulis pasti akan ada dalam diri apabila anda ada jawapannya, mengapa anda menulis. 

Jawapan itulah juga yang menjadi ‘senjata’ kepada anda untuk sentiasa memperbaiki gaya penulisan anda, dari hari ke hari. Jawapan itu jugalah yang menjadi rangsangan kepada anda untuk lebih kerap dan memperbanyakkan lagi hasil penulisan. 

Tetapi jika jawapan anda tidak kukuh, rapuh dan kabur, nescayalah semangat menulis anda pastinya cepat pudar serta bertebaran.  Justeru, carilah kepastian mengapa anda menulis.

Anda juga harus ingat, tidak semua suka membaca atau menyokong penulisan anda. Jika anda tahu mengapa anda menulis dan apabila ini terjadi, anda akan menganggapnya sebagai cabaran serta asam garam sebagai penulis. 

Lalu, anda pasti akan terus menulis dan berkongsi idea serta pandangan. Anda tidak akan melatah dan menjadi seorang yang cepat berputus asa. 

Ini kerana anda faham, matlamat dan tahu hala tuju mengapa anda menulis. Oleh sebab itulah anda mahu menulis dan terus menulis.

Bagi saya mudah, ada dua sebab utama mengapa menulis.


1. Menulis untuk diri sendiri
Apabila menulis untuk diri sendiri, ia membantu saya berfikir, belajar dan memahami. Menulis untuk diri sendiri walaupun urusan peribadi, saya boleh berkongsi dengan orang lain jika itu yang saya mahukan.

Apabila menulis, ia membina rasa berharga pada diri  dan juga suatu kepuasan kepada saya. Penulisan turut membantu saya melegakan tekanan kerana saya meluahkan apa yang terpendam dalam diri. 

Penulisan membantu saya melihat bahagian kehidupan yang cantik dan menarik.  Bukan itu sahaja, penulisan membantu saya mengimbas masa lalu, sekali gus membolehkan saya mempelajari sesuatu, baik mahupun buruk. 

Saya menulis sebab saya melihat hal yang orang lain tidak lihat, dan saya tahu apa yang ditulis itu berguna bagi mereka. Ia juga membangunkan minda positif dan membantu saya menyedari bahawa hidup itu indah dan penting.

Saya menulis sebab saya mahu menimba ilmu dan semakin banyak menulis, pelbagai bidang ilmu yang boleh didapati serta digali.


2. Menulis  untuk orang lain
Apabila menulis untuk orang lain, biasanya untuk penilaian atau penerbitan bagi pembaca yang lebih luas.

Menulis untuk orang lain adalah kerana ingin membantu dan mempelajari sesuatu daripada orang lain. Saya menulis untuk orang lain bukan untuk mengajar atau memberitahu apa yang baik atau buruk semata-mata tetapi membantu dan memberi ruang orang lain membuat pilihan.

Saya menulis untuk orang lain kerana saya tahu, tidak semua orang dapat atau berkesempatan meneroka jauh dan mengetahui semua bidang serta pelbagai perkara. 

Justeru, dengan peluang dan pengalaman yang saya miliki serta apa yang saya ketahui, apalah salahnya saya berkongsi atau memberitahu semua itu.

Saya menulis bukan untuk mencari wang semata-mata tetapi saya ingin melihat lebih banyak manfaat atau kebaikan dikongsikan bersama.

Saya juga melihat dengan menulis untuk orang lain, ia dapat menyatukan semua hati dan membentuk kesejahteraan.

Bagaimana pula dengan anda? Pernahkah anda bertanya kepada diri sendiri mengapa anda menulis?

No comments:

Post a Comment