Friday, February 22, 2019

Bab 11 Bersiap untuk bercuti

Teks Nor Affizar Ibrahim

Bersiap untuk bercuti

BAB 11

“Khairy…Fiqa! Korang rasa agak-agaknya, apa cikgu Norazah sedang buat sekarang ni. Rasa-rasanya cikgu dah sampai  kat Mekah ke?”

“Entahlah! Tak pasti pulak. Cikgu Norazah berlepas pagi semalam. Mungkin sudah atau pun baru sampai. Apa pun mesti cikgu sedang sibuk beribadat.  Dan kita semua mesti doakan supaya cikgu Norazah selamat pergi dan selamat balik.

“Emak aku kata, memang seronok dapat pergi ke Mekah. Aku pun nak kumpul duit nak ke sana. Mana tahu ada rezeki, suatu hari nanti aku pun boleh buat umrah juga ,” ujar Shafiqa.

“Ya. Malam tadi ayah aku pun cakap macam tu. Seronok dapat beribadat di Makkah dan Madinah. Pahalanya berlipat ganda.  Kata ayah aku lagi, kalau kita pergi kat sana mesti rebut peluang buat amalan sebanyak yang mungkin. Alaaa…tiba-tiba aku rasa rindulah dengan cikgu Norazah. Moga dia sihat sepanjang melakukan ibadat kat sana.” Ikhwan masih terus teringat-ingatkan cikgu kesayangannya itu.

“Eh Ikhwan…kau kata nak balik kampung hari ini?  Kau dah packing ke? Pukul berapa keluarga kau nak bertolak?” Khairy tiba-tiba menukar topik.

Dari tadi, Khairy hanya mendengar saja perbualan kedua-dua rakannya.   
Ikhwan, Khairy dan Shafiqa sebenarnya sudah berada di taman permainan itu sejak jam 8.30 pagi tadi. 

Mereka semua keluar rumah dan bertemu di situ, sebaik saja selepas sarapan di rumah masing-masing. 

Jam sudah pun menunjukkan jam 10.15 pagi. 

Mereka bertiga sememangnya berjanji untuk berjumpa kali terakhir, sebelum pergi bercuti dengan keluarga masing-masing.  Biasanya,  taman permainan yang terletak 100 meter dari rumah Ikhwan itulah menjadi tempat pertemuan mereka.

“Kami bertolak mungkin lepas zohor. Tak sabar juga nak balik kampung jumpa Atuk dan Nenek aku. Sebenarnya, aku daripada semalam dah kemas-kemas. Cuma Along dan Angahku  yang belum siap packing lagi. Mereka baru balik asrama semalam. Jadi, pagi nilah baru nak berkemas-kemas,” jawab Ikhwan.

“Oooo…macam tu lambat lagilah kau nak bertolak.  Best juga kan balik kampung. Kau pun dah lama tak jumpa Atuk dan Nenek kau kan?

“Aku pula, tahun ini ayah aku janji nak pergi Pulau Kapas. Tak lama pun, tiga hari dua malam je.  Selasa kami bertolaklah. Aku excited juga sebab tak pernah gi Pulau Kapas. Kiranya, ini pulau pertama aku akan jejak.  Aku nak berenang mandi laut puas-puas,”  kata Khairy sambil menyeringai.

“Kau Fiqa, apa plan cuti kau. Negara mana family kau nak bawa kali ini?”  Khairy mengajukan soalan kepada Shafiqa pula.

Shafiqa tidak terus menjawab sebaliknya disambut dengan senyuman nakalnya.

Berpura-pura menggaru kepala yang tidak gatal, Shafiqa terus tersengih-sengih hinggakan kedua-dua kawannya itu hampir hilang sabar.

“Ala! Sengih-sengih pulak! Nak pergi jauh lagi lah tu. Sebab itu tak jawab kita tanya. Untunglah!  Anak orang kaya katakan,” ujar Khairy.

“Ehh…tak adalah. Kami tak pergi jauh cuti sekolah ni. Emak aku kata nak pergi Sarawak nak jumpa kakak angkatnya di sana. Kami mungkin ke sana empat hari aje.  Selebihnya, cuti sekolah kali ini aku banyak duduk di rumah ajelah,” jawab Shafiqa merungkai teka-teki dua rakannya.

“Ohh kiranya korang berdua pergi berjalan lah juga cuti sekolah ni. Aku jelah yang kena balik kampung. Ayah ku kerja luar negara. Jadi, kenalah tinggal dengan nenek dengan atuk di kampung. Best lah korang dapat tengok tempat orang,”  ujar Ikhwan.

“Ala…relaks lah Ikhwan. Balik kampung pun best juga dan macam-macam benda boleh buat. Aku kalau dengar kau bercerita aktiviti di kampung terutama mengocah sungai, memang teringin nak ikut kau. Kau untung, kampung kau ada sungai dan boleh mandi-manda dan tangkap ikan.

“Kampung aku mana ada semua itu. Kampung aku kawasan taman perumahan. Jadi, macam balik KL aje. Sebab itu aku lebih suka balik kampung masa raya aje. Itupun sebab nak jumpa saudara mara aje,” ujar Khairy.

Sememangnya, setiap kali selepas balik bercuti di kampung, Ikhwan memang seronok bercerita mengenai aktiviti yang dilakukan bersama datuknya.

Kadang-kadang, melopong Khairy dan Shafiqa mendengar ceritanya. Pernah, juga Khairy menyatakan hasratnya untuk ikut balik ke kampung Ikhwan. 

Tetapi sehingga ke hari ini, hajat itu masih tidak kesampaian. Ada saja halangan yang membantutkan rancangan Khairy untuk ikut Ikhwan balik ke kampungnya.

“Aku pun kadang-kadang jealous juga dengan kau Ikhwan. Aktiviti yang kau buat kat kampung itu, memang aku tak pernah merasalah buat.  Aku ni memang selalu pergi negara orang tetapi mana nak sama keseronokan kau kat kampung, 

"Yang untungnya aku, dapat jalan-jalan tengok orang. Sebenarnya, setiap kali kau bercerita aktiviti kat kampung, aku teringin sangat nak ikut dan buat apa yang kau buat. Walaupun aku ni City Girl, rasa-rasanya boleh juga buat aktiviti lasak tu. Tapi kau dorang tentu tak percayakan aku boleh buat,” Shafiqa mula meluahkan rasa keinginan untuk ke kampung Ikhwan.

“Ha! Ha! Ha! Memanglah kau boleh buat aktiviti lasak tu. Tapi lembap dan buat leceh orang lain lah. Nanti pasal kau sorang yang lembap, orang lain pulak tertunggu-tunggu. Akhirnya aktiviti pun tak menjadi. Lagipun, kau tak takut ke kulit kau yang putih melepak tu hitam legam, Kat kampung panas terik tau.”  Khairy seolah-olah menyangkal keinginan Shafiqa.

“Kau ni Khairy! Selalu saja pandang rendah pada aku! Bolehlah…aku  buat. Mula-mula memanglah kekok tapi lama-lama okey lah. Ikhwan tak cakap apa pun, kau je yang lebih-lebih down grade aku.” Shafiqa tak puas hati dengan kata-kata Khairy.

Namun, Shafiqa tidaklah ambil hati dengan kata-kata Khairy. Dia tahu sangat, kawannya itu kalau bercakap memang ikut suka mulut aje, tak ada tapis-tapis.  Jauh sekali hendak belajar jaga hati orang lain apabila bercakap. Sudah masak sangat Shafiqa dengan dengan perangai Khairy.

“Khairy! Khairy! Tak baiklah kau cakap macam tu pada Shafiqa. Kau nampak je Shafiqa tu macam tu tapi dia ni jiwanya kental tau!  Aku takut, kau yang pandang rendah pada Shafiqa, kau pulak yang tak boleh buat.

“Jangan cakap besar. Tak elok,” Ikhwan menegur Khairy.

“Yalah! Aku salah. Aku minta maaflah ya,”  ujar Khairy dengan nada perlahan.

“Tak pelah Khairy…aku dah faham sangat perangai kau tu. Hari ni minta maaf, esok luka kau kutuk aku lagi,” kata Shafiqa.

“Ala Shafiqa. Jangan cakap macam tu. Aku betul-betul minta maaf ni.” Rayu Khairy.
“Hah! Padanlah muka kau. Lain kali, cakap tu berhati-hatilah. Jangan ikut sedap mulut aje,” kata Ikhwan lagi.

“Eh dah pukul 12.15. Aku rasa, baik kita semua balik. Aku walaupun dah berkemas, perlu juga check apa yang patut. Mana tahu ada barang  terlupa nak bawa sama,” kata Ikhwan.

Ikhwan tiba-tiba memberikan cadangan supaya mereka bersurai. Hampir empat jam juga mereka berbual-bual di situ. Masa pula terlalu pantas berlalu.

“Jomlah balik!  Aku harap kita semua seronok cuti sekolah kali ini. Buka sekolah nanti, bolehlah kita share cerita masing-masing.  Aku pun kena balik ni. Nanti emak aku bising, tak jaga adik aku. Macam nilah, kalau  jadi abang. Banyak kerja nak buat.  Nasib baiklah, adik aku tu tidak banyak songeh. Senanglah aku jaga dia.” Khairy turut bersetuju dengan cadangan Ikhwan untuk bersurai.

“Yalah. Dah lama kita kat sini. Aku pun kena balik ni. Mama aku nak bawa  aku lunch kat luar hari ini. Jadi, kenalah balik sekarang.”  Shafiqa juga setuju supaya mereka semua balik ke rumah masing-masing.

“Kau berdua berjalan baik-baik tau. Jangan lagi menyinggah mana-mana, terus balik rumah.  Dan yang penting, balik dari cuti sekolah ini, aku dapat cikgu Norazah semula,” kata Ikhwan.

Shafiqa dan Khairy serentak menggeleng-gelengkan kepala apabila Ikhwan menyebut semula nama cikgu Norazah.

“Kau ni… tak habis-habis menyebut-nyebut nama Cikgu Norazah. Kesian cikgu, entah-entah tersedak dia apabila kau sebut namanya,” kata Shafiqa.

“Hemmm! Kalau tersedak okey lagi. Entah-entah cikgu Norazah langsung tak ingatkan kau Ikhwan. Kau tu aje yang lebih-lebih.”  Selamba saja Khairy melontarkan kata-kata itu.

Ikhwan terasa sedikit panas hati apabila kata-kata kawannya itu. Walaupun dia tahu, ia sekadar usikan, Ikhwan tetap tersentap dengan kata-kata itu.

“Biarlah aku nak ingatkan cikgu Norazah sampai bila-bila pun. Kau apa peduli. Aku tak kacau dan langsung tak menyusahkan kau pun Khairy. Memang aku sayang sangat dengan cikgu Norazah dan tak sabar nak tunggunya dia balik. Kau cemburu ke?”

Ikhwan yang tidak senang dengan usikan kawannya itu, pantas menjawab. Ada sedikit nada kasar ketika jawapan itu dilontarkan.

Shafiqa yang menyedari  suasana tegang antara kedua-dua rakannya itu, cepat-cepat mencelah untuk meredakan keadaan.

“Ahh…sudahlah tu. Jomlah kita semua balik.  Lepas habis cuti sekolah kita jumpa balik. Aku mesti rindu korang berdua walaupun asyik nak bertekak je kalau berjumpa,” kata Shafiqa sambil menyerringai.

Ikhwan dan Khairy berpandangan antara satu sama lain. Masing-masing sedar kesilapan dilakukan.

“Ikhwan aku minta maaflah. Aku gurau je tadi. Tak sangka kau ambilnya begitu serius pulak.  Maafkan aku ya. Nanti kita jumpa lagi. Kau kalau balik kampung tu, jangan terus lupakan aku. Ada masa call lah ya.” Khairy menyatakan kekesalannya.     

“Okey! Aku pun minta maaf sebab terlalu emosi tadi. Ikhwan, nanti kau pergi Pulau Kapas jangan lupa belikan ole-ole untuk aku ya. Kau juga Fiqa, nanti belilah apa-apa untuk aku hadiah dari Sarawak. Tak yah mahal-mahal. Yang murah tanda kenangan pun dah cukup,” kata Ikhwan.

“Okey Ikhwan. Insya-Allah aku belikan ya. Jaga diri ya semua masa bercuti nanti,” ujar Shafiqa yang sudah pun bersiap-siap untuk bergerak dari situ.

Ketiga-tiga sahabat itu pun akhirnya bersurai untuk pulang ke rumah masing-masing.

No comments:

Post a Comment