Thursday, June 20, 2019

8 Tips Tingkatkan Kemahiran Menulis


Teks Nor Affizar Ibrahim 

11 tips tingkatkan kemahiran menulis 


Menulis artikel, cerita atau rencana adalah sesuatu yang seni. 
Ia bukan seperti anda minum secawan kopi, basahkan tekak dan dapat  merasai nikmatnya.

Kemudian, esoknya anda bancuh lagi untuk mengecapi rasa keenakan air kopi itu sekali lagi. Nikmat secawan air kopi itu hanya kita sahaja yang dapat mengecapinya.
Ia tidak seperti menulis artikel. Menulis artikel, sebenarnya lebih daripada itu.

Kita menulis bukan untuk kepuasan diri sendiri sendiri sahaja tetapi juga untuk orang lain.
Pendek kata, ‘nikmat’ menulis itu untuk dapat dirasai atau dijiwai oleh semua walaupun artikel itu hasil penulisan kita.

Manfaatnya pula bukan diperolehi untuk seorang dua dapat tetapi jika boleh biarlah berantaian dari satu ke satu orang dan dikongsi seramai mungkin.

Oleh sebab itulah apabila menulis artikel, kita jangan sesekali mengabaikan kualiti.

Artikel biasa-biasa, syok sendiri atau sekadar ala kadar dan melepaskan batuk di tangga, tidak boleh membawa anda ke peringkat seterusnya..

Untuk itu, kita mesti terus belajar mengenai teknik menulis dan sesekali dapatkan tips menulis.

Kali ini, saya ingin berkongsi beberapa tips untuk meningkatkan kemahiran penulisan artikel.


1. Tidak kisahlah panjang atau pendek

Jangan risau mengenai panjang atau pendek artikel anda. Saya tahu, ada yang risau apabila atikel ditulis amat pendek. Bimbang apa yang ditulis tidak kesampaian untuk pembaca.

Harus ingat, bahawa menulis artikel ini adalah untuk mengembangkan kemahiran anda menulis.

Oleh itu, tulislah apa yang terdaya atau apa yang terlintas dalam fikiran anda ketika itu. Idea akan datang dari semasa ke semasa.

Bermula daripada penulisan artikel yang pendeklah ia akan berkembang menjadi artikel yang panjang.

Namun, anda harus ingat, pengisian adalah lebih penting. Apa guna hasil penulisan artikel yang panjang sedangkan isinya kosong!

Paling menyedihkan, anda yang sendiri menulis pun tidak faham apa yang ditulis. Jadi, bagaimanakah dengan orang lain?

2. Tulis awal pagi

Ini adalah sesuatu yang menarik. Banyak penulis yang serius dan profesional  lebih suka menulis kandungan mereka pada waktu pagi.

Kebanyakan berpendapat, waktu pagi membolehkan mereka menulis artikel segar.Suasana pagi seolah-olah agak tenang dan bertenaga dapat membantu mereka memperbaiki kemahiran menulis artikel mereka.

Mungkin anda boleh mencubanya dan tukarlah waktu menulis anda.

3. Menjadi pembaca baik

Membaca adalah perkara wajib bagi seorang penulis yang ingin membina dan meningkatnya gaya penulisannya

Oleh itu jadilah pembaca yang baik. Melalui pembacaan, idea dan fikiran anda akan membolehkan anda berfikir dan membiarkan diri anda tersedia untuk menulis pada topik tertentu.

Hasilnya, penulisan anda, mempunyai isi kandungan yang baik dan bermaklumat.

4. Mudah difahami

Cara menulis anda perlulah mudah difahami.  Jangan belit-belit dan terlalu banyak bermain bahasa yang orang lain tidak faham.

Dalam penulisaan, nyatakanlah pandangan anda dengan cara yang mudah dan sesuai. Ini akan membantu pembaca menghargai apa yang anda tulis.

5. Tulis di lokasi bebas

Untuk menulis, anda perlukan suasana tenang, damai dan rehat, sekali gus mudah anda menumpukan sepenuh perhatian dan jiwa anda kepada penulisan itu.

Oleh itu pilihlah lokasi bebas yang dapat memberikan anda suasana seperti it. Ini penting untuk  mengalihkan fikiran ada dan terus leka dalam berkarya,

Elakkan juga aktiviti rangkaian sosial dan telefon bimbit anda yang boleh menghilangkan konsentrasi anda. Jika anda sibuk mahu ‘melayannya’ maka tidak mustahil kerja dilakukan akan tergendala dan tidak menghasilkan apa yang anda harapkan.

6. Lakukan penyelidikan sebelum menulis
Sebelum anda memulakan kerja penulisan, lakukanlah penyelidikan yang teliti mengenai topik tertentu yang akan anda tulis.
Ia akan meningkatkan pengetahuan anda mengenai topik itu dan anda akan dapat menulis secara bebas dan bermaklumat.
Mempunyai pengetahuan yang lebih mendalam akan menjadikan anda unik dalam bidang ini.

7. Berikan diri anda masa tertentu
Walaupun anda sudah mempunyai pengetahuan dan memiliki semua bahan yang disudah diteliti dengan rapi, anda juga perlu menjadi diri sendiri.
Rutin anda setiap hari pastinya sibuk.  Justeru, anda perlu memisahkan beberapa masa dan memberikan masa tertentu untuk kemahiran menulis anda.
Anda mesti mempunyai masa yang tepat untuk memahami pengetahuan lebih mendalam, untuk menulis artikel diinginkan.
Menulis bukan hanya satu hari pekerjaan. Oleh kerana itulah anda perlu memulakan aktiviti ini secepat mungkin (A.S.A.P) setiap hari dan berikan diri anda masa tertentu untuk menyiapkannya.

8. Tulis secara teratur
Jika ingin menjadi seorang penulis yang baik, anda mesti membuat kebiasaan menulis secara teratur.
Untuk itu, anda perlu mengikuti langkah-langkah disarankan di atas. Saya pasti petua ini akan berguna untuk andapada masa akan datang. Oleh itu, bersabarlah dan buat sendiri untuk menulis secara teratur.
­

Wednesday, June 12, 2019

Raikan Syawal Dengan Penuh Keikhlasan



Raikan Syawal dengan penuh keikhlasan

Teks Nor Affizar Ibrahim



Hari ini sudah masuk hari ke-8 kita meraikan Hari Raya Aidilfitri.

Bagi kebanyakan warga kota yang beraya di kampung halaman, sudah pun pulang semula ke ibu kota dan memulakan tugasan seperti biasa.

Bermakna, ibu kota yang selama seminggu ini lengang kembali ‘bernyawa’ dengan kesesakan kenderaan dan manusia yang sentiasa sibuk terkejar-kejar ke sana sini.

Hampir seminggu pulang ke kampung halaman dan melepaskan rindu serta mengeratkan lagi silaturrahim dengan keluarga dan sanak saudara di kampung, tentunya memberikan satu kepuasan.

Syukur juga diucapkan kerana tahun ini, kita masih dapat melalui Ramadan dan meraikan Syawal.

Tidak kiralah sama ada sambutan itu dibuat secara bermewah-mewahan, bersederhana atau ala kadar yang pasti, kita masih dapat bersama dan menjalinkan ukhwah dengan penuh kasih sayang.

Tahun ini, hijau zamrud dikatakan, antara warna pilihan untuk pakaian raya.  Jadi, tidak hairanlah ramai yang mengenakan pilihan baju warna itu.

Tetapi tanpa tema warna sedondon pun, kita masih boleh menyambut hari raya dalam suasana riang, meriah dan penuh kesyukuran.

Ini kerana semuanya bermula daripada hati yang ikhlas dan keupayaan kita menghayati serta memahami erti kesyukuran yang sebenar.

Jadi, teruskanlah menyambut meraikan hari raya dengan kasih sayang, saling bermaafan dan jiwa yang bersih.  

Yang pasti, seperti tahun-tahun sebelum ini, ada sahaja pelbagai cerita mengenai sambutan hari raya. Ada yang mencuit hati, melucukan, sedih dan menyayatkan hati serta pelbagainya.

Cerita sedih seperti berita kematian dan kemalangan atau mala petaka, tentu sahaja kita tidak suka menerima khabar seumpama itu, lebih-lebih lagi dalam suasana gembira kita menyambut Aidilfitri.

Namun, siapa kita untuk menolak qada dan qadar. Ujian seumpama itu jika berlaku kepada kita, seharusnya diterima dengan reda dan dihadapi dengan tabah serta sabar. Anggaplah semua yang berlaku ada hikmah di sebaliknya.

Selain itu, ada juga beberapa cerita viral yang mewarnai sambutan Aidilfitri tahun ini. Antaranya, kisah anak dan ibu yang tertinggal di R&R sehinggakan ramai netizen yang memberikan pelbagai komen negatif dan tanggapan buruk kepada keluarga terbabit.
Bagaimanapun, pesan saya janganlah cepat menghukum kerana perkara seumpama itu boleh sahaja berlaku kepada sesiapa.
Mungkin, hari ini hari mereka dan tidak tahu pula bila pula hari kita. Jadi, janganlah lemparkan kata-kata yang tidak enak didengar kepada keluarga terbabit.
Selain itu, terdapat juga kisah anak kucing kena dera. Cerita seperti ini memang sepatutnya tidak dibiarkan berlaku kerana ia satu penganiayaan kepada haiwan yang tidak berdosa.
Manusia yang dikurniakan Allah dengan akal fikiran waras tidak sewajarnya bertindak di luar batas kemanusiaan.
Bagaimanapun, dalam banyak cerita viral tahun ini, kisah pemberian  duit raya RM5 daripada seorang anak saudara kepada ibu saudaranya antara yang menarik perhatian.

Rasa-rasanya, tidak perlulah merungut atau berkecil hati apabila menerima duit raya yang jumlahnya tidak seperti diharapkan.

Terimalah setiap pemberian itu dengan rasa syukur dan ucapan terima kasih.

Sepatutnya, kita perlu berasa gembira menerima kunjungan tetamu kerana ia juga sebagai tanda ingatan dan kasih sayang daripada mengharapkan wang ringgit atau hadiah yang diberikan.

Dengan berbaki 22 lagi sambutan hari raya, saya berharap kunjung-mengunjungi dapat diteruskan dan semoga semuanya berjalan dengan baik serta mengeratkan lagi kasih sayang antara tua dan muda.

Selamat hari raya!