Tuesday, November 27, 2018

16 Sebab Anda Perlu Berniaga Di Shopee


Teks Nor Affizar Ibrahim

16 Sebab Anda Perlu Berniaga Di Shopee



Bagi anda yang ingin berniaga tetapi tidak tahu hendak mulakan, bolehlah memilih platform Shopee. Laman beli-belah dalam talian ini adalah antara tempat pemasaran yang sedang meningkat naik dan semakin popular di Malaysia.

Walaupun Shopee baharu berusia kurang tiga tahun tetapi laman membeli belah dalam talian ini semangkin digemari oleh pembeli dalam talian di Malaysia.

Trend carian di google bulan Mac 2018 menunjukkan, terdapat dua juta lebih warga Malaysia membuat carian Shopee.

Ini sudah pasti, satu peluang untuk sesiapa yang berminat berniaga membuat keuntungan di Shopee.

Penulis ebuku, 16 Sebab Anda Perlu Berniaga Di Shopee, John Jenin www.BisnesShopee.com atau Mohd Fahmi berkongsi beberapa kebaikan berniaga di Shopee.

Berpengalaman lebih 10 tahun berniaga di Internet termasuk Shopee dan juga Ebay, Lelong, Lazada dan juga Amazon, pastinya Jenin arif dengan peluang pemasaran dalam talian yang menguntungkan.

Jenin juga adalah antara kumpulan yang terawal dijemput oleh pihak Shopee untuk membuka kedai dan berniaga di Shopee.

Sepanjang berniaga di Shopee antara kejayaan beliau ialah menerima status Shopee Preffered Seller, mempunyai rekod sebagai eBay Top Rated Seller dan Lelong Star Seller.

Di dalam ebuku, 16 Sebab Anda Perlu Berniaga di Shopee, Jenin menyatakan sebab pertamanya ialah ia adalah percuma.

Beliau menjelaskan, sehingga kini tidak menjumpai sebarang online portal yang menawarkan servisnya secara percuma, tanpa sebarang caj yuran atau caj transaksi pembayaran dan proses.Apa yang dibayar oleh pelanggan 100% milik peniaga itu.

Kedua, adalah kerana sistem dalam talian yang mudah. Sekiranya anda mahir menggunakan telefon bimbit, anda tiada masalah untuk menyenaraikan barang di Shoppe, hanya ikut langkah-langkah mudah di Shopee Apps.

Anda boleh mula menyenaraikan barang dengan terus mengambil gambar dari akaun Shopee, atau muat turun daripada gambar yang anda simpan dalam terlefon bimbit anda atau anda juga boleh import gambar dan menyenaraikan daripada akaun Instagram anda.

Ketiga, Poslaju ditaja oleh Shopee.  Untuk tempoh terhad, Shopee ada menawarkan untuk membayar semua kos penghantaran anda kepada pelanggan, anda hanya perlu print consignment note menggunakan komputer yang sudah siap ditulis alamat pelanggan dan penghantar berserta nombor tracking.

Tugas anda hanya perlu membungkus barangan, meletakkan consignment note berkenaan pada bungkusan pos untuk dihantar ke kaunter Poslaju berhampiran. Namun tawaran ini terhad, anda bernasib baik jika tawaran dibuka, terus memohon.
 
Sebab lain mengapa anda perlu berniaga di Shopee adalah ia membina reputasi dan jenama, memperkenalkan pembayaran mudah, mengurangkan risiko ditipu  dan juga portal online yang mesra pengguna telefon bimbit.
 
Untuk mengetahui lagi sebab yang lain, anda yang berhasrat untuk meniaga bolehlah dapatkan ebuku ini.

Setiap sebab diberikan penerangan yang jelas dan mudah difahami, sekali gus membantu anda membuat keputusan sebelum berhasrat untuk berniaga di platform Shopee.

Penulis: John Jenin 

 





Wahai wanita jangan pendam perasaan

Teks Nor Affizar Ibrahim

Wahai wanita jangan pendam perasaan

Tengahari semalam, ketika memandu dalam kesibukan di kawasan Bukit Bintang selepas balik dari menghadiri satu majlis di Hotel Mandarin, saya terlihat seorang wanita berusia lingkungan 50-an.

Usianya boleh jadi juga  40-an kerana dengan keadaan yang tidak terurus , dia mungkin tampak jauh lebih berusia daripada usia sebenarnya.

Wanita itu seakan mengalami masalah kesihatan mental.  Rambutnya pendek seperti lelaki dan dia memakai baju skirt yang tampak kusam warnanya.

Tanpa memakai sebarang alas kasut, dia berjalan mundar mandir di bahu jalan. Sesekali, dia berjalan mencelah antara kereta-kereta yang terperangkap dengan kesesakan  jalan raya.

Cuaca tengahari itu pula amat panas. Dalam hati saya berkata, tahannya dia berjalan tengah panas itu dengan berkaki ayam.

Saya tidak lepas mata memandangnya. Rasa kasihan timbul dalam diri saya apabila melihat keadaan wanita yang tidak terurus itu. 

Nasib baiklah rambutnya dipotong sehabis pendek. Jika dia miliki rambut panjang, tentu kusut masai dan tampak lebih serabut lagi. 

Lebih kasihan, kehadirannya di kawasan itu pasti tidak disenangi orang ramai yang berada di situ.

Dalam sibuk saya memerhatikannya, tiba-tiba dia menjerit kuat. Tidak pula saya dapat kesan apa yang dijeritkan wanita itu kerana pertuturannya tidak jelas.

Saya juga tidak tahu, apa yang membuatkan wanita itu tiba-tiba menjerit. Apabila dia menjerit, semakin banyak mata memandang ke arahnya.

Saya terus tertanya-tanya di hati. “Tidakkah dia mempunyai saudara-mara yang memantau pergerakannya? Sudah berapa lamakah wanita itu berkeadaan seperti itu? Apakah yang menyebabkan wanita itu mengalami masalah kesihatan mental.”

Sudah pasti, saya tidak akan mendapat jawapan bagi semua soalan itu. Jadi, saya menjadi pemerhati setia sehinggalah kereta yang saya pandu perlahan-lahan beransur-ansur meninggalkan kawasan segi tiga emas itu.

Melalui pembacaan sebelum ini, saya mengetahui bahawa wanita lebih cenderung mengalami masalah kesihatan mental.  Ini disebabkan golongan ini tidak terbuka untuk bercerita mengenai kisah kehidupan mereka kepada orang lain.

Apabila berdepan dengan masalah, kebiasaannya wanita suka memendam perasaan mereka.  

Berbanding golongan lelaki yang mempunyai masa bersosial dan bertemu rakan mereka dengan bercerita di kedai kopi.
  
Wanita dikatakan, tidak mempunyai masa seperti itu dan hanya meluangkan masa di rumah selepas pulang dari tempat kerja.

Perubahan landskap sosial hari ini, banyak menyumbang kepada wujudnya peningkatan masalah kesihatan dan gangguan psikologi seperti isu perkahwinan, keluarga, tekanan kerja, penagihan alkohol, penyalahgunaan dadah dan sebagainya.

Keadaan inilah yang boleh menyebabkan kemurungan, kebimbangan, stres dan pelbagai kecelaruan psikologi yang memberi impak terhadap kualiti dan kesejahteraan hidup secara holistik. 

Kesihatan mental sememangnya berkait rapat dengan kehidupan kita. Ia merangkumi perasaan, fikiran dan tingkahlaku dalam diri sendiri, kemampuan untuk berinteraksi secara sihat dengan orang lain; kumpulan dan persekitarannya serta bagaimana seseorang itu mengendalikan tanggungjawab, cabaran dan tekanan yang timbul dalam kehidupan seharian.


Oleh itu, nasihat saya bagi individu yang sihat mental perlulah sentiasa mengekalkan perhubungan yang harmoni dengan orang lain, mengambil bahagian dalam aktiviti kemasyarakatan dan boleh menyumbang di dalam masyarakat.


Monday, November 26, 2018

Letter! Letter! Please...


Teks Nor Affizar Ibrahim

Letter! Letter! Please...


Bertugas sebagai wartawan memberi peluang kepada saya pergi ke luar negara, bukan saja di negara Asia tetapi juga Eropah.

Bunyinya memang menyeronokkan! Manakan tidak, kata orang  - bekerja sambil melancong. 

Saya sendiri tidak menyangkalkan hal itu kerana untuk pergi sendiri terutama negara seperti Eropah, perbelanjaan diperlukan bukannya sedikit.

Kos tambang sahaja sudah melambung tinggi, apa lagi kos penginapan dan makan minum. Berbanding apabila ada tugasan, lazimnya semua ditaja pihak penganjur.

Paling seronok, sudah tentu saya dapat melihat dan meneroka tempat orang. Namun, kadang-kadang tidak semuanya manis belaka. Ada ketika saya ‘terjebak’ juga hal tidak enak dan memberikan pengalaman pahit yang tidak boleh dilupakan.

Peristiwa di soal siasat hampir setengah jam di lapangan terbang antarabangsa Athens ketika memenuhi tugasan di Greece pada tahun 2004, antara yang tidak boleh saya lupakan.

Wakil Asia Tenggara

Saya ke sana untuk menyaksikan hari bersejarah pelancaran pameran Kaleidoscope, oleh Swatch yang diiktiraf sebagai penjaga masa rasmi Sukan Olimpik 2004. Acara besar itu diadakan di Acropolis, simbol kuno paling terkenal di Athens.

Saya di sana sebagai mewakili wakil media dari Asia Tenggara. Selain saya, ada seorang lagi wartawan dari akbhar tempatan berbahasa Inggeris, turut sama hadir untuk acara hebat itu.

Selain dari Malaysia, wakil media dari luar negara yang hadir sama ialah dari Switzerland, Kanada, Perancis, Arab Saudi, Taiwan, Korea dan Amerika Syarikat.

Sebenarnya, saya sudah pun menolak untuk tugasan itu. Bukan tidak berminat atau tidak teruja untuk pergi ke Greece, sebaliknya rasa seronok juga apatah lagi saya tidak pernah menjejakkan kaki ke sana.  

Yang membuatkan saya berbelah bahagi kerana jemputan itu diterima, beberapa hari sebelum saya berangkat untuk menunaikan umrah.

Saya menolaknya kerana fokus saya ketika itu ialah ingin menunaikan ibadat umrah. 

Namun, editor saya ketika itu Puan Rashidah Dahan tetap mahu menghantar saya membuat tugasan itu.

“Tak pa Fizar. Balik umrah Fizar pergi tau. Orang caya kat kita, kenalah pergi jugak.” Saya tidak mampu menolak, akhirnya akur dengan arahan Editor.

Tidak silap saya, lima hari selepas  balik dari umrah saya terus bertolak ke Greece.

Ketika itu, penat mengerjakan umrah masih terasa manakala kulit muka saya memang gelap. 

Ini kerana sepanjang di Makkah dan Madinah cuaca terlalu panas. Hampir setiap hari terdedah dengan matahari menjadikan kulit wajah saya gelap.

Sebelum bertolak, mood untuk berkemas pun tidak ada sangat. Lazimnya, setiap kali ada tugasan di luar, saya agak teliti berkemas. 

Tetapi kali ini, saya masukkan sahaja barang-barang  yang diperlukan ke dalam beg tanpa menelitinya.  

Perjalanan ke Greece itu turut disertai seorang wakil Swatch yang berpusat di Singapura.
Kapal terbang yang saya naiki dari Malaysia transit di Singapura. 


Disoal siasat

Di lapangan terbang  Changi, Singapura itulah saya bertemu kali pertama dengan wakil dari Swatch itu. Dia warga negara Singapura.

Dari lapangan terbang Changi, kami terus meneruskan perjalanan menaiki kapal terbang ke Greece. Perjalanan lebih kurang 15 jam.

Alhamdulillah, segalanya lancar. Hinggalah ketika membuat pemeriksaan imigresen.

Wakil Swatch dan rakan wartawan melepasi pemeriksaan imigresen tanpa sebarang masalah. 

Namun, apabila tiba giliran saya, pegawai imigresen itu beberapa kali membelek-belek passport saya.

Dia bertanyakan kepada saya beberapa soalan dalam Bahasa Greek. Malangnya, saya tidak faham.

“Sorry…English please. I don’t understand.”  

Beberapa kali saya mengulanginya dan beberapa kali pula pegawai itu membalasnya dengan bahasanya.

“I came here to work.” Saya cuba menjelaskannya.

Kemudian dia menjawab, “Letter! Letter! Please...”

Saya mengagak pegawai imegresen terbabit inginkan surat sebagai bukti. 

Malangnya, semua dokumen termasuk jemputan dari penaja kepada saya, jadual acara dan sebagainya, sudah saya sumbatkan dalam beg yang di check in ketika di  lapangan terbang KLIA.

Selalunya, semua dokumen seumpama itu saya akan bawa dalam beg hand carry.  Entah macam mana, mungkin sebab kurang prepare perjalanan itu, saya main ‘hentam’ saja packing.

Pegawai imegresen itu masih tidah puas hati dan terus bertanya soalan, Sudahnya, antara kami macam ayam dan itik bercakap.

Akhirnya, pegawai itu memanggil pegawai atasannya. Saya kemudiannya, disuruh keluar dari barisan kaunter imigresan dan diminta masuk ke bilik.

Semakin cemas

Perasaan saya ketika itu memang bercelaru. Dalam hati berkata-kata, apalah nak jadi ini.

Saya terus terfikir dan membayangkan, kalau kena buat pemeriksaan teliti di bilik, nanti di suruh bogel. Aduh! Cemas sungguh perasaan saya!

Mujur, sebaik keluar dari barisan imigresen dan ke tepi, wakil dari Swatch meninjau saya di kaunter imigresen.

Rupa-rupanya, dia sudah lama menunggu saya di luar dan berasa tidak senang hati apabila saya tidak muncul-muncul lagi.

“Affizar what happen,” Tanyanya.

Saya pun terangkanlah kepadanya masalah yang saya hadapi. Cepat-cepat, wakil dari Swatch itu menunjukkan beberapa dokumen mengenai perjalanan itu kepada pegawai imegresen.

Surat itu dalam Bahasa Inggeris dan pegawai imigresen itu tidak memahaminya. Dia seolah-olah masih tidak puas hati lagi untuk melepaskan saya.  

“You see here…this two watch. Its Swatch’s brand. We come here for event Swatch.” Wakil  dari Swatch itu masih terus berusaha menjelaskan sambil menunjukkan kedua-dua pergelangan tangannya yang memakai jam Swatch.

Selepas beberapa ketika, barulah nampak pegawai imigresen itu berpuas hati dan melepaskan saya pergi.

Fuhh! Lega rasanya.

Selepas melepasi imigresen barulah saya tahu kenapa, pegawai imigresen itu curiga dengan saya.

Tragedi 9/11 yang baru berlaku pada waktu itu, membuatkan orang barat dan Eropah sentiasa berhati-hati dan curiga dengan orang Islam.

Kebetulan, visa umrah saya masih hidup manakala passport saya jelas ada cop yang menyatakan saya baru balik dari Arab Saudi.

Nama bapa saya pula Ibrahim, jadi bertambah-tambah lah curiga mereka kepada saya. Mereka bimbang saya adalah pengganas!

Saya berasa marah juga dengan sikap prejudis itu tetapi tak mampu untuk meluahkan sebarang kata. Dalam hati saya berkata, “Aku ni di tempat orang, kalau apa-apa berlaku nanti susah pula.”

Kejadian yang berlaku di pusat pemeriksaan imgeresen itu, membuatkan saya semakin tawar hati untuk meneroka Greece. 

Setiap hari, saya menghitung hari untuk pulang segera ke Malaysia!