Tuesday, January 22, 2019

Sebak di hujung ganggang

Teks Nor Affizar Ibrahim

Sebak di hujung ganggang

Seorang wartawan lazimnya, akan menggunakan pelbagai kaedah untuk menemubual. 
Lazimnya, sudah tentulah temubual bersemuka. 

Kaedah ini lebih mudah kerana anda boleh ‘membaca’ body language individu yang ditemubual. 

Cara lain pula  ialah melalui telefon, teleconference dan emel manakala terkini, menggunakan  wasap ataupun telegram. 

Banyak cara kan? Namun, setiap satu itu ada kelebihan dan kekurangannya. 

Pilih aje mana satu yang sesuai tetapi sudah tentu pilihan dibuat berdasarkan beberapa faktor seperti keadaan, masa, jarak, keselesaan dan banyak lagi.

Saya ingin kongsikan pengalaman menulis satu artikel yang ditulis berdasarkan temubual menerusi telefon.  

Jika diikutkan, saya sebenarnya memang tidak suka menemubual seseorang itu menerusi telefon.

Apatah lagi, jika hal yang ditanya itu membabitkan emosi yang merentap jiwa.

Namun, apakan daya oleh kerana individu yang dihubungi tidak bersedia untuk berjumpa dan satu lagi, lokasinya berada jauh dari tempat saya, temubual menerusi telefon adalah 
satu-satu pilihan yang perlu dibuat.

Artikel ditulis adalah berkisar perasaan dan tekanan dihadapi keluarga mangsa rogol dan bunuh apabila pelakunya  tidak dapat ditangkap dan terus bebas daripada menerima hukumannya.

Untuk menghasilkan artikel ini, saya mengambil keputusan menemubual dua keluarga mangsa yang mana kedua-dua kisah pilu mereka pernah mendapat liputan meluas media di Malaysia. 

Pertama, Jazimin Abdul Jalil iaitu bapa kepada Allahyarham adik Nurin Jazilin yang dilaporkan hilang kemudian dijumpai mati dibunuh.

Lebih kejam, mayat Nurin ditemui disumbatkan dalam sebuah beg sukan yang diletakkan di tepi tangga di tingkat bawah di sebuah premis kedai. 

Malah, hingga artikel ini ditulis pembunuhnya masih tidak dapat dikesan. 

Kedua, Abdul Gani Juni, iaitu bapa kepada Nurul Huda Abdul Gani, murid Tahun 4, Sekolah Rendah Kebangsaan Tiram Duku, Gelang Patah yang dirogol dan dibunuh dengan kejam di pondok pengawal Stesen Janakuasa Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Gelang Patah, Johor Bahru.

Seperti pembunuh adik Nurin yang masih bebas, begitu juga pembunuh adik Nurul Huda, seorang lagi pelaku masih bebas manakala rakannya sudahpun dijatuhi hukuman.

Walaupun tidak bersemuka, bukan mudah untuk saya menyusun kata-kata memulakan bicara ketika mula-mula mendengar suara kedua-dua mereka di hujung ganggang telefon.

Malah, sebelum mendail nombor telefon mereka pelbagai tafsiran bermain pada benak fikiran saya. Apakah  reaksi yang akan diterima? 

Adakah mereka akan marah, melenting atau mungkin tidak mahu langsung menjawab pertanyaan saya?

Saya tahu, bukan mudah untuk mereka melupakan kisah sedih dialami. Pastinya, setiap kali mengimbas tragedi itu akan mendatangkan luka yang begitu pedih. 

Biarpun peristiwa itu sudah bertahun-tahun berlaku, ia tetap menjadi kisah pilu yang terus menyelubungi kesedihan dalam diri. Malah, kesedihan itu mungkin sepanjang hayat harus ditanggungi. 

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikulnya.

Jika saya di tempat mereka atau sesiapa jua pun, pasti akan mengalami perasaan  sama. 

Saya cuba mencari waktu paling sesuai untuk menelefon kedua-duanya.  Mulanya, saya mendapatkan Jazimin dan dalam debar, jari saya teragak-agak mendail nombor telefon beliau. 

Alhamdulillah, dia begitu tenang dan penuh berhemah menjawab serta melayani soalan yang saya tanyakan.

Walalupun perbualan kami lancar, saya tetap berhati-hati memilih dan menyusun ayat sesuai setiap kali bertanya. 

Walaupun, mahu mendapatkan maklumat sepenuhnya, saya tidak mahu satu patah perkataan pun yang keluar daripada mulut saya akan mengguris hatinya.   

Ternyata, Jazimin lebih tabah daripada yang saya jangka. Namun, sesekali di hujung ganggang telefon saya mendengar suaranya agak perlahan. Mungkin menahan rasa pilu di hati.

Setiap kali, Jazimin menyebut nama arwah Nurin Jazlin saya terus terbayangkan raut wajah comel anak itu yang sebelum ini banyak terpapar di akhbar. 

Saya mengandaikan, barangkali perkara sama juga berlaku kepada Jazimin. Apatah lagi, arwah Nurin Jazlin adalah ‘nyawa’ keluarga itu. 

Di akhir perbualan Jazimin berkata, walaupun keluarganya dapat menangani kesedihan terhadap kematian Nurin, jauh di sudut hatinya sering berdetik mengapa anaknya itu diperlakukan sekejam itu.

“Saya dan isteri tidak mungkin akan memaafkan pembunuhnya,” katanya.

Dalam sayup di corong telefon, saya dapat mendengar getar suara sedihnya. 

Saya begitu simpati dengan tragedi yang menimpa keluarga Jazimin dan sehingga hari ini, masih tertanya-tanya mengapa ada manusia sezalim itu.

Menemubual Abdul Gani pula, membuatkan saya benar-benar terkedu dan hampir hilang kata-kata. 

Walaupun tidak dapat membaca body language dan berada jarak yang begitu jauh dengannya, saya dapat menyelami jiwa parah yang dialami. 

“Sehingga kini atas nasihat doktor saya masih mengambil ubat penenang apabila setiap kali berada dalam tertekan merindui Nurul Huda." 

Itu kata-kata yang diluahkan Abdul Gani dalam nada tersekat-sekat menahan sebak.
Abdul Gani ternyata tidak mampu menyorokkan tekanan perasaan dan rasa sedih yang dihadapinya. 

Walaupun empat tahun sudah berlalu, beliau berasa baru semalam tragedi pilu itu berlaku.

Dalam keadaan sebak, Abdul Gani memberitahu kematian, permata hatinya benar-benar mengubah kehidupan keluarganya.

"Bagi saya jatuh hukuman macam mana sekali pun sama saja - dikerat 80 atau digantung sampai kering ia tidak akan mengembalikan anak saya.”

Itulah antara kata-katanya yang saya tidak akan dapat lupakan.

Sepanjang temubual menerusi telefon itu, beberapa kali juga Abdul Gani senyap tanpa mengeluarkan kata-kata.  

Abdul Gani memberikan kerjasama cukup baik ketika ditemubual. Beliau cuba mencari kekuatan untuk berkongsi perasaan dialami. 

Sesungguhanya, ia bukanlah perkara yang mudah tetapi beliau terus sedaya upaya menyambung perbualan itu.

Setiap kali Abdul Gani menahan rasa sebak, di kala itulah juga dada saya berasa sesak dan saya cuba menarik nafas panjang-panjang.    

Tidak dapat saya bayangkan betapa remuk hati seorang bapa.

Tidak dapat saya bayangkan juga, andai temubual itu berlaku secara bersemuka, pasti saya pun tewas menahan perasaan.

Habis sahaja kedua-dua temubual itu, saya termenung panjang. 

Biarpun ganggang telefon sudah lama diletak, telinga saya terus terngiang-ngiang mendengar suara kedua-dua bapa itu terutama, suara Abdul Gani.

Saya berterima kasih kepada Jazimin dan Abdul Ghani kerana akhirnya saya berjaya juga menyiapkan artikel itu. 

Moga kedua-duanya terus tabah menghadapi dugaan ini. 

Mengimbas kembali temubual itu, saya kongsinya artikel penuh yang saya tulis dan tersiar di Berita Harian pada 8 Januari 2008. 

Al - FATIHAH!
=====================================================================

Berita Harian

Selasa, Januari  8, 2008

Keluarga mangsa rogol, bunuh dihimpit kesedihan

Oleh Nor Affizar Ibrahim

SETIAP kali kes pembunuhan berlaku di negara ini khususnya yang membabitkan kanak-kanak dan wanita, masyarakat pasti akan melontarkan perasaan marah, geram dan sakit hati serta mengharapkan pelakunya segera ditangkap dan dihukum setimpal dengan perbuatan kejinya itu.

Lebih-lebih lagi, jika kes berkenaan berlaku dengan penuh sadis atau kekejaman yang melampau dan di luar batas kemanusiaan. 

Malah, ada yang begitu emosi sehingga mencadangkan pelbagai perkara agar pelaku melakukan perbuatan terkutuk itu bukan saja dihukum setimpal dengan dosa dilakukannya, tetapi menerima nasib lebih azab lagi sebagai balasan terhadap perbuatan kejam dilakukan.

Hakikatnya, pelbagai perasaan terbuku di hati, manakala rasa tidak puas hati dan amarah akan terus bertakhta selagi pelaku tidak dapat ditangkap dan menerima hukumannya.

Malah, lebih menggerunkan apabila memikirkan pembunuh kanak-kanak atau wanita itu masih bebas. 

Apa yang lebih membimbangkan ialah sentiasa ada kemungkinan si pembunuh kejam itu akan mengulangi perbuatan itu dan sesiapa saja boleh menjadi mangsa seterusnya.

Kes pembunuhan berprofil tinggi dan gagal diselesaikan oleh pihak berkuasa tidak dapat dinafikan meninggalkan trauma dan kesan yang begitu mendalam di kalangan masyarakat. 

Jika orang luar yang langsung tiada pertalian darah dan kena mengena dengan kes itu mempunyai perasaan sedemikian, apatah lagi keluarga mangsa yang terpaksa melalui detik sukar dalam kehidupan mereka.

Bagi keluarga mangsa, kering air mata dan hilang sudah kata-kata. Tidak dapat lagi hendak membayangkan remuk di hati apabila kehilangan insan disayangi dan lebih mengharukan pemergian itu dalam keadaan penuh dengan penderitaan dan tragis.

Menganggap segala yang terjadi sebagai takdir mungkin dapat meredakan perasaan keluarga berkenaan tetapi ia masih tidak dapat memadamkan luka dan duka di hati. Lebih-lebih lagi, pelakunya terus bebas dan `bermaharaja lela' di muka bumi.

Merujuk kes pembunuhan adik Nurin Jazilin Jazimin yang berlaku lebih empat bulan lalu, pastinya masyarakat masih ternanti-nanti jawapan dan kesudahan kes berkenaan. 

Tindakan si pembunuh meletakkan mayat Nurin di tempat umum ketika satu negara mencari mangsa, seolah-olah mencabar polis agar memburu dan menangkapnya.

Umum juga tahu, polis memiliki rakaman imej seorang lelaki membawa beg sukan yang kemudian didapati mengandungi mayat kanak-kanak berusia lapan tahun itu, namun hingga kini, polis gagal menjejaki si pembunuh.

Bagaimanapun, bapa Nurin, Jazimin Abdul Jalil, berkata dirinya meletakkan kepercayaan sepenuhnya kepada pihak polis untuk menyiasat dan menyelesaikan kes anaknya. 

Walaupun tidak menafikan masih lagi dihimpit perasaan sedih akan kehilangan anak keduanya itu beliau dan keluarga terus menanti perkembangan terkini kes kematiannya.

"Siapa lagi saya hendak harapkan untuk menyelesaikan kes berkenaan jika tidak kepada polis. Biar bertahun menunggu jawapan, saya akan akan tetap tunggu sampai tertangkapnya pembunuh Nurin. 

Saya juga tahu polis berusaha keras menyelesaikan kes anak saya. Sebagai antara pasukan polis yang terbaik dan cekap di dunia dalam menangani jenayah, saya berharap pembunuh itu dapat dicari. 

Sebagai bapa, sudah tentu saya kecewa jika kes anak saya yang menjadi mangsa pembunuhan kejam itu tidak dapat diselesaikan," katanya ketika dihubungi Berita Harian, baru-baru ini.

Nurin dilaporkan hilang oleh ibu bapanya pada 20 Ogos lalu apabila kanak-kanak itu gagal pulang dari pasar malam berdekatan rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju. Begitu pun, 27 hari kemudian mayat Nurin ditemui disumbatkan dalam sebuah beg sukan yang diletakkan di tepi tangga di tingkat bawah premis kedai di Petaling Jaya. 

Laporan bedah siasat mendedahkan apa yang tidak sepatutnya berlaku kepada mana-mana kanak-kanak: Nurin didera secara seksual. Penderaan teruk itu mengakibatkan beberapa bahagian tubuh Nurin terkoyak dan dijangkiti kuman, lantaran meragut nyawanya.

Jazimin berkata, walaupun keluarganya dapat menangani kesedihan terhadap kematian Nurin, jauh di sudut hatinya sering berdetik mengapa anaknya itu diperlakukan sekejam itu dan tidak mungkin akan memaafkan pembunuhnya.

Beliau sekeluarga yang baru sebulan berpindah di Kampung Baru, Air Panas di Setapak, berkata bersyukur isteri, Norazian Bistaman dan dua anak mereka semakin tabah serta kuat semangat dalam berdepan dengan peristiwa hitam itu. 

Bagaimanapun, anak pertamanya, Nurin Jazshira kini agak pendiam sedikit berbanding ketika hayat Nurin Jazlin masih ada.

"Walaupun berpindah rumah, anak pertama saya masih bersekolah di tempat sama. Kami tidak bercadang untuk memindahkannya kerana buat masa ini semuanya berjalan seperti biasa. 

Saya tidak membawa teksi lagi, tetapi bekerja sendiri dan mungkin akan bekerja tetap tidak lama lagi. Mengenai pembunuh itu, bagi saya jika di dunia dia terlepas, di akhirat nanti tentu akan mendapat balasan setimpal," katanya.

Tekanan perasaan dan trauma turut dirasakan sehingga kini Abdul Gani Juni, iaitu bapa kepada Nurul Huda Abdul Gani, murid tahun empat Sekolah Rendah Kebangsaan Tiram Duku, Gelang Patah yang dirogol dan dibunuh dengan kejam di pondok pengawal Stesen Janakuasa Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Kampung Pekajang, Gelang Patah, Johor Bahru pada 17 Januari 2004.

Walaupun, pengawal keselamatan, Mohd Abbas Darus Baksan mengaku bersalah, merogol dan meliwat Nurul Huda di mahkamah serta sudah dijatuhkan hukuman penjara 20 tahun dan 24 kali sebatan, ia tidak mudah bagi Abdul Gani melupakan kejadian itu.

Apatah lagi, siasatan awal sebelum itu melaporkan Nurul Huda yang lehernya dicekik sehingga tidak dapat bernafas, dirogol dan diliwat oleh tiga lelaki. 

Tetapi setakat hari ini cuma seorang pelaku saja yang ditangkap dan dijatuhkan hukuman.

"Bagi saya jatuh hukuman macam mana sekali pun sama saja - dikerat 80 atau digantung sampai kering ia tidak akan mengembalikan anak saya. 

Bukannya kejam atau tidak puas hati dengan undang-undang yang ada, tetapi kejadian itu membuatkan hati saya remuk sampai sekarang. 

“Ia umpama tidak boleh petik lagi bunga yang sudah gugur. Malah, sehingga kini atas nasihat doktor saya masih mengambil ubat penenang apabila setiap kali berada dalam tertekan merindui Nurul Huda," katanya dalam nada tersekat-sekat menahan sebak.

Abdul Gani berkata, walaupun sudah dikurniakan cucu dan ada yang berkata, kehadiran cucu sebagai pengganti baginya, ia tidak akan sama sampai bila-bila dan tiada galang ganti bagi ketiadaan Nurul Huda di dunia. Rumah mereka juga masih lagi dipenuhi dan memaparkan gambar anak kesayangannya itu sejak dari arwah masih kecil hinggalah pada usia pemergiannya.

Kata Abdul Gani, ketika kerinduannya begitu memuncak akan ditatap gambar anaknya itu dan ada kala dicium serta bercakap-cakap dengan gambar berkenan bagi melepaskan segala perasaan sebak di dada.

Ketika ditanya perasaannya mengenai pelaku yang masih bebas dan belum diseret ke mahkamah Abdul Gani mengakui, kurang arif mengenai perundangan, siasatan polis mahupun prosedur mahkamah, tetapi hakikatnya pelbagai perasaan berkocak termasuklah, sakit hati, makan hati dan sebagainya. 

Bagi mengubat hati, cuma membaca al-Quran saja yang paling mujarab.

"Saya tidak mahu kata banyak, takut tersilap dan melukakan hati orang lain. Tetapi saya tertanya-tanya juga kalau menonton cerita mengenai penyiasatan atau perundangan di televisyen mengapa semuanya berjalan baik saja. 

Tidak tahulah saya di mana silapnya dalam kes Nurul Huda. 

“Mungkin kesilapan itu juga berpunca daripada saya yang tidak dapat memberikan bukti dan mengemukakan saksi yang cukup ketika siasatan dibuat. Memanglah dalam keadaan buntu banyak perkara yang saya tidak dapat ingat. 

Walau apa pun, saya bersyukur Nurul Huda dalam peliharaan Allah dan itulah yang memberikan kekuatan," katanya terus menahan sebak.

Kejadian yang menimpa gadis berusia 17 tahun, Farrah Deeba Rustam pada 14 Februari 2001 sebelum ini, turut memberi tamparan hebat kepada ibunya, Zuraidah Abdullah apabila seorang remaja lelaki yang dituduh membunuh pelajar tingkatan lima itu dibebaskan Mahkamah Tinggi Ipoh, awal 2004. Farrah Deeba dirogol dan di bunuh di bawah jambatan jalan masuk ke Kampung Tersusun Batu 2, Jalan Lama Bidor-Tapah. 

Mangsa mati akibat dicekik menggunakan tali lebar seperti tali pinggang keledar.

Bagaimanapun, remaja yang dihadapkan dan dituduh membunuh Farrah Deeba dibebaskan oleh Hakim Datuk VT Singham kerana dikatakan tidak mempunyai pilihan lain kecuali membebaskan tertuduh dengan alasan pendakwa gagal membuktikan kes atau mengaitkan tertuduh dengan pembunuhan seperti pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.
   
Keputusan itu begitu menyedihkan Zuraidah sehingga memaksanya merayu kepada pihak yang bertanggungjawab, terutama Pejabat Peguam Negara supaya membuka semula kertas siasatan.

Dalam temu bual dengan Berita Harian ketika itu, Zuraidah berkata, orang yang melakukan kesalahan perlu dihukum kerana beliau amat menderita bila mengenangkan nasib Farrah Deeba yang menerima ajal dalam keadaan yang aib sedangkan Allahyarham anak yang baik.

Zuraidah turut menjelaskan, tindakannya itu bukan bermakna beliau tidak menghormati keputusan mahkamah, sebaliknya mahukan keadilan bagi pihak keluarganya.

Katanya, sebagai ibu, beliau sudah berusaha sebaik mungkin untuk menjaga dan mendidik Farrah Deeba, walaupun terpaksa bersendirian membesarkan 10 anak selepas berpisah dengan suami. 

Pastinya, kesedihan Zuraidah masih tiada penghujung apabila anak kesayangan diperlakukan sekejam itu, manakala pembunuhnya pula tidak mendapat hukuman yang setimpal. cara untuk mendapatkan maklumat atau berita. 

No comments:

Post a Comment