Showing posts with label KOLEKSI RESEPI & MAKANAN. Show all posts
Showing posts with label KOLEKSI RESEPI & MAKANAN. Show all posts

Saturday, December 26, 2020

Kuih Sagu Gula Melaka

Teks Nor Affizar Ibrahim

Kuih Sagu Gula Melaka

 

Pemanis mulut, Kuih Sagu Gula Melaka antara pemanis yang sangat disukai dan sedap dimakan ketika berbuka puasa atau pada bulan Ramadan.

Bagi yang inginkan resepi mudah, patut cuba buat pemanis ini. Ia bukan sahaja mudah disediakan, bahan yang diperlukan untuk membuat hidangan juga  tidak banyak dan mudah diperolehi. 
 
Namun,  ada beberap tip yang saya ingin kongsikan untuk membuat kuih ini. Pertama, bagi memastikan sagu berbutir, tidak melekat dan tidak hancur, sagu tidak perlu dibasuh. Ia supaya sagu tidak hancur semasa direbus.

Sagu juga perlu direbus dengan air yang banyak dan selepas sagu masak, lalukan sagu di bawah air paip yang mengalir untuk menghilangkan kanjinya. Dengan cara ini sagu tidak akan melekat dan akan jadi berbutir serta nampak lebih cantik  serta menyelerakan.

Untuk menjadi hidangan ini lebih segar dan menarik, pilihlah padanan warna sesuai, cantik serta memikat.

Pelengkap pemanis mulut ini ialah santan atau susu cair. Namun ia juga boleh juga dimakan bersama susu segar untuk lebih sihat, terpulanglah  mengikut selera dan citarasa masing-masing

 

 

Bahan-bahan

1 cawan sagu

6 Cawan air

 

Cara masak sagu

1. Renehkan air dalam periuk atau kuali.

2. Apabila sudah mendidih, masukkan sagu. Masak sehingga jernih.

3. Tapis dan lalukan bawah air untuk toskan.

4. Bahagi kepada beberapa bekas ikut pada warna yang anda hendak buat.

5. Warnakan sagu dengan perwarna yang anda inginkan. Biarkan dalam 20 minit.

6. Lalukan sekali lagi di bawah air. Dan boleh simpan dalam peti sejuk.

 

Bahan untuk air gula

 2 ketul gula melaka

 4 sudu gula merah

 2½ cawan air

 2 helai daun pandan

 

Cara masak kuah gula melaka

Masukkan air, daun pandan dan 2 ketul hula melaka dalam periuk

Pasang api untuk renehkan

Biarkan sehingga hancur gula melaka.

Masukkan gula merah atau gula perang

Masak sehingga likat sikit, tutup api.

 

 

 

Susu cair atau santan yang sudah dimasakkan,gaulkan dengan sedikit garam.

 


Saturday, August 1, 2020

Kuih lapis


Teks Nor Affizar Ibrahim

KUIH LAPIS






Saya tidak pasti, benar atau tidak, fakta yang menyatakan kuih lapis adalah makanan yang berasal dari Indonesia.

Apa yang saya ketahui, kuih lapis sejak dulu memang digemari ramai dan dikatakan kuih tradisional masyarakat di negara ini.

Kuih lapis ini biasanya dibuat berlapis- lapis dalam warna yang berbeza. Namun, warna merah dan putih antara warna yang kerap ditampilkan.

Kuih ini sesuai dihidangkan untuk minum pagi atau petang. Kebiasaannya ia juga menjadi pilihan untuk disajikan pada majlis kenduri.

Jom kita cuba buat kuih lapis ini!



Bahan-bahan:

2 cawan tepung beras
1/2 cawan tepung gandum
1/2 cawan tepung jagung
1 cawan gula pasir
4 cawan santan (1 cawan santan pekat campurkan bersama 3 cawan air)
1/4 sudu teh garam
sedikit pewarna merah dan perisa ros

Cara membuatnya:

1. Panaskan pengukus dan sediakan loyang berukuran 8 inci. Masukkan santan ke dalam periuk. Panaskan sebentar biar jadi suam-suam kuku. Tutup api.

2. Masukkan tepung beras, tepung gandum, tepung 
jagung, gula dan garam ke dalam mangkuk. Masukkan santan. Gaul rata hingga tidak berbintil.

3. Bahagikan adunan kepada 2 bahagian. (adunan ini menghasilkan lebih kurang 1200ml bater) bahagi kepada 600 ml +/- setiap satu. Warnakan satu bahagian dengan warna merah dan letakkan perisa ros.


Sunday, July 5, 2020

KUIH BIJAN @ KUIH BOM

Teks Nor Affizar Ibrahim

Kuih bjian@Kuih bom bijan

Bunyi namanya, barangkali sedikit menggerunkan. Tetapi percayalah, kuih ini memang sedap untuk dicuba.

Kuih bom atau juga dikenali sebagai kuih bom bijan sebenyarnya adalah sejenis kuih Melayu yang dibuat daripada tepung pulut atau gandum.
Selain itu, ada juga yang menggantikan tepung dengan ubi keledek untuk menghasilkan kuih ini.

Terpulanglah, ikut cita rasa anda!

Kuih bijan ini  berintikan  kelapa manis namun, ada juga yang menukarkan intinya kepada inti kacang hijau. Ini juga terpulang selera anda!

Untuk membuatnya, adunan tepung dibancuh menjadi doh. Kemudian, ia dibentuk bulat-bulat dan diisikan inti di dalamnya.

Selepas itu barulah disalut dengan bijan.

Kuih ini digoreng dengan minyak masak menggunakan api serdahana perlahan sehingga ia kekuningan dan di angkat, dan seterusnya sedia untuk dihidangkan.

Bahan-bahan membuah doh:
1paket tepung pulut
Air
Garam secukup rasa


Cara membuat doh:
Satukan tepung pulut, tepung dan garam. Bancuh dengan air sedikit-sedikit hingga menjadi doh yang tak melekat di tangan.
Jika terlembik, tambahkan setengah sudu tepung setiap kali memasukkannya.


 Bahan-bahan membuat inti:
1 biji kelapa muda diparut putih
1/2 cawan gula merah/gula melaka di racik halus - guna 1 kpg gula Melaka
1 cawan gula pasir
1/2 cawan kelapa parut muda
2 sudu besar tepung kanji
1 cawan air
Daun pandan

Cara membuat Inti:
Masukkan kelapa, gula melaka gula, air dan daun pandan dalam kuali.
Kacau rata dan biarkan hingga kering.

Cara membuat kuih bom:
-       Sapu sedikit minyak pada tapak tangan. Ambil adunan, leperkan dan masukkan inti.
-       Cantumkan bahagian leper tadi hujung ke hujung. Bulatkannya dengan kemas.

-       Terus digolek golek ke dalam bekas bijan hingga seluruh kuih diselaputi bijan. Akhir sekali layangkan antara 2 tapak tangan agar bijan yang tidak melekat akan jatuh dengan sendiri.

-       Goreng kuih bom dalam minyak terendam dengan api sederhana pada 5 minit permulaan. Kemudian baru besarkan api sambil kacau digolek golek dalam kuali sehingga agak kekuningan. Jangan lama, nanti meletup.


Tips:
-      -  Jangan terus goreng kuih bom yang telah siap dimasukkan inti. Jika anda terus goreng, kuih bom anda akan mengelembung dan pecah atau meletup.

-       -Jika buat malam, biarkan dalam dulang dan tutup dengan kain bersih. Goreng pagi esoknya. Jika nak makan petang.buat pagi dan goreng petang




Friday, August 16, 2019

Kek batik



Teks Nor Affizar Ibrahim

Kek Batik





Bahan-bahan:

1 paket biskut Marrie 350 gm
1 buku mentega 250gm
1 ¾ cawan gula
10 biji telur
15 sudu besar Milo
4 sudu besar serbuk koko
1 sudu kecil vanilla
4 sudu besar oren Sunquick





Cara-cara membuatnya:

1. Pukul mentega dan gula sehingga kembang.
2. Masuk telur satu persatu.
3. Masukkan Milo dan serbuk koko.
4. Masukan oren Sunquick dan vanilla.
5. Panaskan bancuhan di atas api sederhana dan kacau sehingga masak (lebih kurang 20-25 minit).
6. Masukkan biskut Marrie yang sudah dipatah-patahkan dalam bancuhan dan gaul sehingga rata.
7. Apabila sudah rata cepat-cepat masukkan dalam bekas yang sudah disalut mentega dan tepekkan menjadi rata.
8. Biarkan sejuk dan siap.






Thursday, November 15, 2018

Paf Croissant Bluberi dan Raspberi

Teks Nor Affizar Ibrahim








Apakah sarapan anda pagi ini? Menu masakan Melayu atau pun barat?
Sesekali enak juga bertukar selera dengan hidangan sarapan barat.
Apa kata anda cuba buat Paf Croissant Bluberi dan Raspberi. Rasanya memang tidak mengecewkakan kerana ia diadun dengan buah-buahan bercita rasa masam manis bersama campuran mentega, krim keju dan susu segar.
Enak sekali! Hidangan ini juga boleh dijadikan pencuci mulut.

Bahan-bahan:
* 4 croissant besar, dipotong menjadi kepingan (kira-kira 6 cawan penuh)
* 1/2 cawan bluberi segar atau beku
* 1/2 cawan raspberi segar atau beku
* 8 aun krim keju, dilembutkan
* 2/3 cawan gula pasir
* 2 telur besar
* 1 sudu vanila
* 3/4 cawan susu segar
Cara menyediakannya:
* Panaskan ketuhar hingga 350 darjah F.
* Letakkan kepingan croissant yang sudah dipotong kecil ke dalam bekas.
* Taburkan bluberi dan raspberi di atasnya.

* Sementara itu, dalam bekas lain pukul keju krim dan gula sehingga kembang.

* Masukkan pula telur dan vanilla, kemudian pukul sehingga secara.
* Selepas itu tuang perlahan-lahan  susu segar dalam aduna itu.
* Langkah seterusnya, tuangkan campuran secara merata ke atas kepingan croissant tadi. * * Pastikan semua kepingan crossaint itu bersalut dengan adunan itu.
* Biarkan seketika 10 hingga 15 minit.
* Bakar selama 35 hingga 40 minit atau sehingga bahagian di tengah coklat keemasan.
* Siap. Hidangkan panas dengan gula aising yang ditaburi di atasnya.


Nota Resipi

* Croissants dibuat dalam pelbagai saiz Untuk memastikan sukatan yang cukup, pastikan ada kira-kira 6 cawan penuh crossaint yang dipotong.
* Croissant ringan dan lembut, jadi cecair diserap dengan cepat. Sekiranya anda menggunakan jenis roti yang berbeza, sesuaikan waktu dibiarkan seketika
* Resipi ini mudah dan anda boleh juga menggantikan rasberi dan bluberi dengan buah-buahan lain untuk memenuhi citarasa sendiri.

Saturday, October 27, 2018

Peria Goreng Rangup

 
Rasa peria memang pahit menyebabkan tidak ramai yang menggemarinya. Tetapi, kata orang tua, pahit itu elok, pahit itu ubat dan sememangnya, peria banyak khasiatnya, malah boleh dijadikan hidangan enak jika kena cara memasaknya.
   
Bukan itu saja, peria atau nama saintifiknya, momordica charantia juga memberikan manfaat untuk individu menjaga kecantikan.
   
Begitulah hebatnya peria yang juga dikenali kambas, walaupun berasa pahit dan ramai yang kurang menyukai sayur itu, ternyata ia mempunyai banyak kebaikan. 

Justeru, ketepikan soal pahit dan cuba nikmati `kemanisan' yang dimiliki peria. Antara pelbagai khasiat yang terdapat dalam sayur itu ialah mengandungi protein, lemak, mineral, serat, karbohidrat, vitamin dan kalsium.
   
Khasiatnya sudah diketahui sejak zaman purba lagi. Ketika itu, peria digunakan untuk merawat beberapa penyakit seperti kencing manis, darah tinggi dan buasir. 

Begitu juga bagi wanita yang baru bersalin, disyorkan mengamalkan makan peria ketika berpantang, lebih-lebih lagi apabila sudah kehilangan banyak darah sewaktu melahirkan anak.


 Bahan:
   
 * 5 peria sederhana besar
   
 * Sedikit serbuk cili
   
 * Sedikit tepung beras
   
 * 2 sudu teh tepung jagung
   
 * 2 sudu teh kunyit
   
 * Garam secukup rasa
   
 * Minyak masak
   

Cara membuatnya:
   
 * Peria dihiris bulat dan nipis, buang tengahnya. Basuh dan toskan.
   
 * Campur semua bahan kecuali minyak dan perap selama 30 minit.
   
 * Panaskan minyak, goreng peria hingga berwarna perang dengan api yang sederhana.
   
 * Angkat dan toskan.
   
 * Siap untuk dimakan.
   

   
INFO
   
 Kebaikan peria:
   
 * Penjagaan kulit - Peria boleh menghalang jerawat tumbuh berleluasa pada kulit muka kerana mengandungi ciri penulenan darah. Kulit muka juga akan nampak lebih berseri-seri.
   
 * Perangsang imun - Minum segelas jus peria setiap pagi dapat membantu menguatkan sistem imun dalam badan. Sistem imun ibarat `pengawal keselamatan' yang menghalang penyakit menyerang.
   
 * Penjagaan mata - Peria juga seperti lobak, mengandungi karoten yang tinggi. Karoten dapat mengurangkan masalah mata.
   
 * Menurunkan berat badan - Peria dapat merangsang hati untuk rembesan jus hempedu yang sangat penting untuk meningkatkan metabolisme badan.
   
 * Baik untuk perut - Peria sememangnya ejen pencernaan yang bagus dan boleh menghalang sembelit kerana ia mengandungi selulosa yang juga sumber serat terbaik.

Monday, October 15, 2018

Puding Cuka Strawberi


Puding Cuka Strawberi



PEMANIS mulut, puding memang sukar hendak ditolak. Ramai yang menyukainya baik kanak-kanak atau orang dewasa. Lebih-lebih lagi, puding boleh didapati dalam pelbagai jenis rasa. 

Anda sendiri mungkin sudah mencuba aneka jenis puding, tidak kiralah sama ada yang manis, lemak atau masam.
   
Bagaimanapun, ada juga yang terlalu kreatif kerana menambahkan ramuan membuat puding dengan bahan sampingan atau tambahan lain supaya memberikan kelainan rasa.
   
Untuk anda yang gemar mencuba dan inginkan sesuatu berbeza, minggu ini ditampilkan resipi puding istimewa.
   
Jurumasak berpengalaman

Resipi puding yang dicipta oleh jurumasak berpengalaman ini mungkin tidak sama atau belum pernah dicuba sebelum ini.
   
Antara bahan istimewa yang dicampurkan ialah enzim buah naga dan cuka perisa strawberi. Untuk ketahui rasa sebenarnya, cubalah membuatnya sendiri dan mungkin satu mangkuk belum mampu memberikan kepuasan kepada anda.
   
Bahan-bahan
(Untuk hidangan 15 orang)

* 50 gm serbuk gelatin (yang halal)
* 100 gm strawberi
           
 Hiasan:
           
 * 300 ml enzim buah naga
 * 300 ml madu
           
 Cara membuatnya
           
 1. Didih cuka dan masukkan gelatin.
 2. Biarkan bahan yang dididih menjadi likat.
 3. Apabila sudah cukup masak tuangkan dalam mangkuk.
 4. Puding sudah keras dan sejuk dipotong menjadi kiub kecil.
 5. Masukkan puding kiub dipotong ke dalam bekas dan letakkan ais yang sudah dikisar di atasnya.
 6. Hiaskan di atasnya dengan strawberi dan madu.
           
Terima kasih: Chef Lo Tian Sio dari Restoran Toh Lee, Hotel Nikko Kuala Lumpur.

          

Char Kuetiau Impiana

Char Kuetiau Impiana

HIDANGAN char kuetiau sememangnya tidak perlu diperkenalkan lagi kerana daripada orang dewasa hinggalah anak kecil, tahu dan tidak keterlaluan jika dikatakan ramai yang menyukainya.
Hidangan itu sedap dimakan sama ada untuk sarapan pagi, tengah hari dan petang mahupun waktu malam. Apatah lagi ia agak senang disediakan.     
Bagaimanapun, setiap individu tentu ada cara dan rahsia tersendiri untuk memasak char kuetiau demi memastikannya sedap dan tidak sama dengan hidangan yang dimasak oleh orang lain.

Kongsi resepi

Justeru,minggu ini saya menjemput Chef Junior Sous, Saipon Long Ahmad dari Restoran Tonka Bean Cafe, Hotel Impiana Kuala Lumpur untuk berkongsi rahsia dan resipi bagi menyediakan hidangan char kuetiau.
Antara kelainannya ialah menggunakan sos kuetiau dalam masakan dan untuk lebih sedap, penggunaan rencah hidangan laut seperti udang, sotong dan kerang dalam sajian dilebihkan.
Untuk tahu sedap atau tidak, selepas ini mungkin boleh mencubanya dan bandingkan juga cara masakan char kuetiau anda sebelum ini. Jika resipi yang diberikan jurumasak berpengalaman lebih sedap lagi, tidak salah jika anda ingin meniru.
           
Terima kasih: Chef Junior Sous, Saipon Long Ahmad dari Restoran Tonka Bean Cafe, Hotel Impiana Kuala Lumpur.
           


Bahan-bahan
2 sudu besar minyak masak
2 sudu kecil bawang putih
10 ekor udang harimau
100 gram isi ayam direbus separuh masak
100 gram sotong direbus separuh masak
250 gram kuetiau
2 sudu besar cili giling
50 gram tauge
50 gram daun kuchai
2 biji telur
20 gram kerang
Sos kuetiau
           
 Bahan-bahan untuk sos kuetiau
 20 gram kicap cair
 35 gram kicap pekat
 20 gram sos ikan
 35ml sos tiram
           
CARA membuat sos kuetiau;
Masukkan semua bahan ke dalam bekas dan gaul sehingga sebati.

Cara membuatnya
1. Masukkan sedikit minyak dalam kuali dan goreng bawang putih selama tiga minit. Kemudian masukkan telur.
2. Masukkan udang, ayam dan sotong yang sudah direbus separuh masak.
3. Masukkan kuetiau dan goreng sehingga wangi.
4. Kecilkan api dan masukkan cili giling dan gaul hingga sebati.
5. Masukkan sos kuetiau dan kacau hingga sebati.
6. Masukkan tauge dan daun kucai, jangan masak terlalu lama

Piza Prata Sosej

Piza Prata Sosej

Hidangan piza antara digemari ramai, termasuk golongan dewasa dan anak kecil. Jika teringin makan piza, pergi saja ke restoran segera yang menyajikan hidangan itu, dapatlah menikmatinya.
           
Malah, di pasar malam juga ada menjual piza yang tidak kurang enaknya. Kalau malas hendak keluar rumah, pesan saja hidangan itu untuk penghantaran ke rumah.
           
Kini, banyak jenis piza boleh didapati dengan pelbagai rasa berbeza. Pilih mana satu yang digemari, sama ada berasaskan sayur-sayuran, makanan laut, tuna dan sebagainya.
           
 Tidak perlu uli
           
Namun, apa kata sesekali anda luangkan masa dan buat sendiri piza mengikut cita rasa diinginkan. Dengan menggunakan roti perata sejuk beku, Fatihah Frozen Food Sdn Bhd, hidangan piza mudah disediakan kerana anda tidak perlu lagi bersusah payah menguli tepung untuk menyediakan doh. Malah, rasanya tetap enak.
           
 Menjimatkan
           
 Paling menyeronokkan, anda boleh letak apa saja pada bahagian atas piza bagi menambahkan kelazatan dan memenuhi selera. Ia juga jauh lebih menjimatkan dan pastinya memberikan kepuasan apabila menyediakan hidangan dari air tangan sendiri.
           
          Untuk membuat Piza Perata Sosej ini, anda boleh membakarnya menggunakan kuali leper tidak melekat atau pun memasukkannya di dalam ketuhar gelombang mikro. Oleh kerana roti perata produk sejuk beku, masa diambil untuk membakarnya lebih kurang 10 minit saja. Segala-galanya memang mudah!
           
         



Info
           
Tip untuk menyediakan piza enak
           
 * Bakar roti perata hingga garing.
           
 * Taburkan bahagian atas piza dengan aneka bahan segar seperti udang, cendawan dan ayam.
           
 * Lebihkan keju dan mayonis bagi membangkitkan rasa.
           

Bahan-bahan
           
* Perata sejuk beku
           
* Sosej
           
* Keju
           
* Lada benggala
           
* Mayonis
           
* Sos cili
           
 Cara menyediakan
           
 1. Bakar roti perata di atas kuali leper.
           
 2. Taburkan keju di atas perata.
           
 3. Potong sosej dan susunkan di atas perataa, tetapi sebelum itu, salutkan      sos di atas perata.
           
 4. Letakkan mayonis di atas sosej dan bakar.
           
 5. Sedia untuk dimakan.

Tuesday, August 14, 2018

Roti Perata Coklat Pisang

Koleksi Kulinari


Roti perata coklat pisang

Oleh Nor Affizar Ibrahim

Roti perata atau lebih dikenali sebagai roti canai adalah antara makanan kegemaran rakyat Malaysia.
           
Makanan yang diperbuat daripada tepung gandum ini, enak dicicah dengan kuah kari atau dal.

Lazimnya, untuk merasakan keenakan roti perata, kebanyakan lebih senang menikmatinya di warung ataupun di restoran kerana untuk membuat hidangan ini, agak rumit dan memerlukan kemahiran.
           
Namun, untuk memudahkan makanan ini dihidangkan di rumah dan pada bilabila masa, kini ia diperkenalkan dalam jenis makanan sejuk beku.
           
Justeru, bagi mereka yang teringin untuk menikmati roti perata, tetapi malas keluar makan di luar, bolehlah memilih roti perata sejuk beku sebagai pilihan kerana ia mudah disediakan.
           
Tanpa perlu bersusah payah, letak saja roti perata sejuk beku di dalam kuali, tidak sampai 10 minit, ia sudah pun masak dan boleh dimakan.

Malah, roti perata sejuk beku boleh disimpan lama sehingga tiga bulan, sekali gus anda boleh simpan stok di rumah dan jika teringin, terus saja memasaknya.
           
Hidangan kreatif
           


Lebih menarik, roti perata sejuk beku boleh dipelbagaikan menjadi hidangan kreatif yang lebih enak dan membangkitkan selera.
           
Minggu ini, Aroma Kulinari berkongsi resipi roti perata coklat pisang yang menggunakan roti perata sejuk beku sebagai bahan utama.

Resipi ini sesuai untuk anda yang sukakan kelainan atau mahu bertukar cita rasa kepada sesuatu yang manis dan rangup.
           
Dengan adunan coklat cair, pisang dan keju sebagai bahan tambahan, ia memberikan rasa manis yang menambat selera.
           
Hidangan ini pastinya disukai kanakkanak yang biasanya tidak suka mencecah roti perata bersama kuah kari atau dal.
           

Info
           
Roti perata atau roti canai
           
- Biasanya dijadikan hidangan sarapan atau minum petang.
           
- Bahan untuk membuatnya ialah tepung gandum, air dan garam.
           
- Dihasilkan daripada tepung gandum yang diuli menjadi doh, kemudian ditempa seperti lempeng dan seterusnya dibakar.
           

- Sedap dimakan bersama dal, kari atau sambal