Friday, February 22, 2019

Aura mistik Matterhorn

Teks Nor Affizar Ibrahim

Aura mistik Matterhorn

Bagaikan  menatap poskad atau helaian kalendar yang memaparkan gambar menarik. 

Terpegun seketika melihat apa yang terbentang luas di depan mata kerana pemandangannya sungguh menakjubkan dan belum pernah seumur hidup penulis menyaksikannya secara realiti.

Kunjungan ke Zermatt, Switzerland, pada tahun 2010 nyata memberi pengalaman baru dan tidak akan dilupakan.

Peluang melihat secara dekat puncak Alps, Matterhorn yang turut menjadi satu daripada 100 keajaiban di Eropah, memberi kepuasan dan sukar diungkap dengan kata-kata.

Sebaik saja memulakan perjalanan mendaki Matterhorn dengan menaiki kereta kabel gunung tertinggi di Eropah, penulis disajikan dengan pemandangan indah.
   
Tiba di puncak, perasaan kagum dan teruja semakin menghambat diri serta terpana menyaksikan semua itu hinggakan lidah kelu seketika untuk berkata- kata.
   
Puncak Matterhorn satu daripada puncak tertinggi dan terkenal di Switzerland selain Jungfrau.
   
Puncak itu sangat terkenal hinggakan gambarnya sering digunakan untuk kemasan pembungkusan beberapa jenama coklat di negara itu.
   
Rupa bentuknya jelas dan puncak yang sering diselubungi kabut memberikan Matterhorn aura mistik unik. Misteri pantulan matahari dan gabungan warna serta cahaya pesona yang terpancar pada gunung alps itu mengungkapkan lagi rahsia tersendiri.
   
Tidak hairan setiap tahun beribu-ribu pelancong dari serata dunia datang ke situ untuk menyaksikan kehebatan puncak yang berdiri tegak dan megah dengan ketinggian 4,478 meter itu.
   
Orang pertama mendaki puncak itu ialah warga England, Edward Whymper bersama kumpulannya pada Julai, 1865. Perjalanan ke situ sangat berbahaya hinggakan kumpulan pendaki itu kehilangan tiga anggotanya ketika menuruni puncak berkenaan.
   
Kini, pendakian boleh dibuat dengan menggunakan landasan kereta api moden dan kereta kabel, sekali gus membolehkan puncak itu `ditawan' dengan mudah. 

Perjalanan dari Zermatt ke syurga glasier Matterhorn dengan menggunakan kereta kabel mengambil masa lebih kurang 45 minit.
   
Untuk melihat keindahan panorama 360 darjah kawasan Alps, termasuk melihat lebih dekat puncak Matterhorn, penulis menaiki dek paling tinggi dengan altitud 3,883 meter. 

Berada di atas dek itu, dapat dirasakan glasier yang mencair, seolah-olah semakin dekat untuk disentuh.
   
Bagi meneroka lagi dunia glasier, penulis memasuki terowong ais yang membawa 15 meter ke bawah kawasan itu. 

Di dalamnya bukan saja lebih sejuk tetapi sungguh menakjubkan, terutama apabila dapat menyaksikan dunia mistik ais dan cahaya.

Sebenarnya, sebelum melihat semua keajaiban itu sepanjang perjalanan ke Zermatt, penulis bersama rombongan disogokkan pemandangan indah semula jadi dengan pergunungan dan keindahan dataran tinggi yang selalu saja dihiasi binatang ternakan dan kehijauan alam Swiss.
   
Lebih 1,000 bunga alpine ada di situ dan sesetengah spesies dilindungi. 

Kawasan pendakian membawakan perjalanan sejauh 400 km yang melalui hutan pain hingga tasik gunung dan glasier.

Kawasan itu juga dikenali sebagai syurga ski kerana dilitupi salji sepanjang tahun atau 365 hari, malah ia menyediakan keadaan sempurna untuk meluncur atau melakukan sebarang sukan salji.
   
Perjalanan ke Zermatt dari Zurich atau Geneva dengan kereta api mengambil masa lebih kurang tiga jam. 

Zermatt dulunya hanya sebuah perkampungan miskin manakala penduduknya terpaksa bekerja kuat membanting tulang setiap hari untuk mencari rezeki.

Kini, ia terkenal kerana memiliki keindahan kelas dunia dan ada banyak tarikan atau aktiviti yang tersedia hinggakan ia tidak putus-putus dikunjungi pelancong dari serata dunia.
   
Gornegrat adalah tempat terakhir yang boleh dicapai oleh kenderaan dari Zermatt. Gornegrat berada di ketinggian 3089 meter dan dari situ boleh dilihat beberapa jajaran pergunungan Alps yang sangat menakjubkan. 

Malah, pertama kali turun dari kenderaan, puncak Matterhorn boleh dilihat dengan jelas.
   
Udara di Zermatt bersih dan segar serta bebas daripada pencemaran kerana semua kenderaan di situ hanya menggunakan kenderaan elektrik dan kereta kuda.
   
Kawasan itu masih mengekalkan rekaan tradisional dan perkampungan yang asli. 

Buktinya, seni bina pada rumah, resort dan restoran serta bar masih menggunakan bahan binaan daripada kayu.
   
Zermat mempunyai lebih 6,000 penduduk dan kebanyakan bekerja dalam industri pelancongan. 

Namun yang menarik, mendaki gunung adalah aktiviti tradisional penduduk di situ manakala meluncur ski dipelajari sejak kanak- kanak lagi.
   
Kedatangan pelancong dari serata dunia ke bandar itu mencapai antara 28,000 hingga 30,000 pada musim puncak pelancongan manakala bagi bukan musim, jumlahnya ialah 8,000 hingga 9,000 pelancong.
   
Tempat penginapan tidak menjadi masalah kerana di situ lebih 100 hotel disediakan. 

Bagaimanapun, Zermatt bukan hanya destinasi untuk pelancong kaya tetapi juga popular di kalangan mereka yang mengembara secara backpack.

Sekali berkunjung ke situ, pasti ada yang menanam tekad untuk kembali lagi.

* Artikel ini pernah disiarkan di Metro Ahad Ahad, 7 Mac 2010

Wednesday, February 20, 2019

Adik Masitah mangsa rasukan syaitan

Teks Nor Affizar Ibrahim
Adik Masitah mangsa rasukan syaitan

Tiga hari lalu, sendu dan tangisan mengiringi pengkebumian jenazah adik Siti Masitah Ibrahim, 11, yang ditemui mati dalam keadaan tragis di ladang kelapa sawit di Kampung Tanjung Medang Hilir pada 9 Februari lalu.

Selepas 10 hari mayatnya dibedah siasat di Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), akhirnya jenazah adik Masitah dibenarkan dituntut keluarga dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tanjung Medang Kemahang.

Sebelum itu, jenazah dimandi dan dikapankan di Masjid Tengku Ampuan Afzan di Indra Mahkota Kuantan selepas dituntut ibunya, Solihah Abdullah, 35.

Malang sungguh adik Masitah, pemergiannya cukup menyiksakan akibat perbuatan kejam manusia yang dirasuk syaitan dan berjiwa binatang.

Mayat Masitah sebelum ini ditemui dalam keadaan tragis dengan kepala terpisah serta beberapa organ dalaman hilang di ladang kelapa sawit.

Polis mengesahkan, mangsa dibunuh dengan kejam pada hari yang sama dilaporkan hilang pada 30 Januari lalu oleh seorang lelaki juga kenalan rapat keluarganya kerana motif dendam dan marah.

Tergamak sungguh pelaku, akibat dendam berbuku di hati dan amarah, kanak-kanak tidak berdosa dijadikan mangsa. 

Lebih dahsyat, diperlakukan dengan zalim dan cukup memilukan. Kegilaan apakah ini?

Bedah siasat yang dilakukan mendapati kanak-kanak malang itu meninggal dunia akibat “probable head injury” dan terdapat kesan kecederaan pada rahang kiri, bahagian atas tengkorak sebelah dipercayai akibat dipukul dengan kayu.


Berikutan itu suspek yang berusia, 23 tahun ditahan reman sehingga 24 Februari depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Ternyata pelaku tidak berperikemanusaan dan tergamak bertindak sekejam itu kepada adik 
Masitah yang pastinya tidak terdaya melawan serta menangkis tindak tanduk pembunuh itu terhadapnya.

Tidak terbayang, bagaimana agaknya kanak-kanak malang itu merintih kesakitan dan merayu simpati agar dilepaskan.

Syaitan apakah yang merasuk pelaku itu sehingga tergamak berbuat demikian?

Apakah pula perasaan pelaku itu ketika melakukan perbuatan kejam itu?

Sesungguhnya, memang tidak mampu akal fikiran waras ini menelah  atau mentafsirkan perilaku pelaku itu.

Pembunuhan kejam dan kematian adik Masitah bukan sahaja diratapi ahli keluarganya tetapi juga rakyat di negara ini. 

Malah, ia turut disulami rasa marah dan geram terhadap pelakunya.

Lantas, ramai menggesa dan berharap pelaku dihukum dengan setimpalnya.

Sedihnya, tahun 2019 baharu sahaja menjengah Februari tetapi kita sudah dikhabarkan dengar berita tragis seumpama ini.

Makin terhakiskah rasa perikemanusiaan dalam masyarakat kita? 

Tidak selamatkah lagi dunia ini untuk insan bergelar kanak-kanak?

Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul dan menanggungnya. 

Mungkin inilah yang dialami dan dirasakan keluarga adik Masitah yang kehilangan puteri kesayangan mereka selama-selamanya.

Moga keluarga ini bersabar dan tabah berdepan dengan ujian hebat ini.

Didookan juga agar adik Masitah damai di sana!


Al-Fatihah

Monday, February 18, 2019

Getar jiwa temubual Tengku Puan

Teks Nor Affizar Ibrahim

Getar jiwa temubual Tengku Puan


Berpeluang bertemu dan menembual one to one dengan kerabat di raja adalah antara pengalaman mahal yang mungkin saya tidak lupakan.

Ini berlaku pada tahun 2005.  Saya ditugaskan untuk menemubual Tunku Puan Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar yang kini sudahpun ditabalkan sebagai  Raja Permaisuri Agong ke -16 dan bergelar Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar Tunku.

Temubual itu adalah berkenaan buku Air Tangan Tengku Puan Pahang - Buku Masakan Tradisional Pahang yang diterbit bertujuan untuk menelusuri kembali pusaka nenek moyang dulu dan berkaitan dengan makanan serta pemakanan.

Saya difahamkan, hasil jualan buku itu akan disumbangkan kepada Yayasan Fertiliti Tunku Azizah Pahang (Tunku AzizahF ertility Foundation, TAFF) yang akan turut dilancarkan pada majlis yang sama.

Penubuhan yayasan itu diilhamkan sendiri oleh Tengku Puan yang juga Presiden Seumur Hidup TAF.

Pertemuan diaturkan di Istana Pahang, istana hinggap di Kuala Lumpur.

Bagaimanakah perasaan saya? Sudah tentu saya berdebar-debar dan jiwa bergetar untuk bertemu Tunku.

"Macam manalah agaknya temubual itu nanti." Hati saya terus tertanya-tanya pada diri sendiri.

Jika sekadar menghadiri majlis yang dihadiri Tunku, bukan masalah besar tetapi ini perlu bersemuka dan menemubual.

Risau juga dibuatnya. Lebih-lebih lagi, saya tidaklah tahu sangat mengenai protokol istana.

Oleh sebab itulah beberapa hari sebelum itu saya membuat rujukan dan bertanya sana sini.

Pertama sekali, tentunya mengenai bahasa panggilan untuk Tunku dan juga diri saya.

Saya juga ingin tahu, bagaimanakah perwatakan peribadi Tunku supaya saya lebih bersedia untuk menemui beliau.

Tiba harinya, saya pun bolehlah dikatakan sudah bersedia untuk membuat tugasan itu.

Kehadiran saya disambut ramah sekali oleh Tunku. Ketika itu terlerai semua debaran.

"Mulusnya..kulitnya." Saya memuji dalam hati. 

Kali pertama melihat dan bersemuka dengan Tunku, memang saya kagumi kecantikannya.

Saya senang sekali bertemu dan menemubual Tunku kerana beliau bersikap sederhana dari penampilan hinggalah tutur bicaranya.

Malah, pertemuan pada petang itu begitu santai sekali walaupun saya berdepan dengan kerabat di raja.

Temubual itu bermula dengan topik yang ingin dibincangkan.

Saya seronok mendengar Tungku bercerita mengenai kebolehan dan minatnya dalam bidang masakan.

"Saya bukannya pandai sangat memasak tetapi tahu dan boleh memasak.” Itu pengakuan yang dibuatnya.

Beliau juga memberitahu, walaupun sebelum berkahwin jarang ke dapur, semua ramuan yang digunakan dalam sesuatu masakan diketahui.

Dalam hati saya berkata, “Ohhh rupanya puteri diraja pun rajin ke dapur juga.”

“Sejak zaman kanak-kanak lagi saya rajin ke dapur dan suka memerhati cara tukang masak memasak.Tetapi  tukang masak sering larang saya masuk ke dapur. Lazimnya, kalau saya masuk, tukang masak akan mengusir.

“Mungkin mereka takut terkena percikan minyak atau luka terkena pisau. Jika saya kata hendak tolong juga, tukang masak akan suruh kupas bawang.”

Bersahaja Tunku cerita dan kadangkala diselangi deraian ketawanya apabila mengimbas zaman kanak-kanak.   

Kata Tunku, seingatnya untuk belajar memasak beliau mula nya cuba belajar membuat biskut raya tetapi yang tidak dilupakan ialah lauk pertama, hasil daripada air tangannya iaitu ikan masak kicap.   

"Saya masak lauk itu kerana `terdesak'. Ketika itu semua tiada di istana termasuk tukang masak kerana ada sesuatu yang berlaku di luar. Oleh kerana berasa lapar, saya dan kakak pun mula memasak. Tidak sangka, masakan itu menjadi dan sedap pula."

Rancak bercerita perihal memasak, Tunku beralih pula cerita mengenai yayasan yang diterajuinya.

Katanya, yayasan itu ditubuhkan kerana mengenangkan nasib wanita yang berkeinginan sangat menjadi ibu tetapi berdepan dengan pelbagai masalah khususnya, kesuburan untuk mendapatkan zuriat.

Kata Tunku, idea menubuhkan yayasan itu tercetus berdasarkan pengalaman yang dihadapinya sendiri dalam usaha mendapat dan menantikan kelahiran zuriat untuk menyinari kebahagiaan rumah tangga dibina.         

Katanya, pengalaman lebih sepuluh tahun menanti untuk mendapatkan zuriat adalah antara pengalaman paling perit dilalui.

Namun, beliau bersyukur selepas berusaha dan pernah beberapa kali mengalami keguguran, akhirnya empat daripada enam cahaya mata, berjaya diperoleh melalui kaedah persenyawaan di luar rahim (IVF).

"Allah tak bagi, lama saya tunggu. Nah! Lepas tu satu persatu saya dapat. Syukur sangat! "
Itu antara kata-katanya yang saya tak lupakan.

Bukan dirinya sahaja difikirkan, malah Tunku turut menyatakan rasa sedihnya kepada wanita yang mengalami ujian sama tetapi sukar untuk berusaha kerana kekangan kewangan.

Katanya  – “Saya tahu apa yang mereka rasakan.”

Begitulah sifat Tunku bukan sahaja bersikap sederhana tetapi penuh kasih sayang, peka dan mengambil berat masalah rakyatnya.


Daulat Tuanku!