Raikan Syawal dengan penuh keikhlasan
Teks Nor Affizar Ibrahim
Hari ini
sudah masuk hari ke-8 kita meraikan Hari Raya Aidilfitri.
Bagi kebanyakan
warga kota yang beraya di kampung halaman, sudah pun pulang semula ke ibu kota dan
memulakan tugasan seperti biasa.
Bermakna, ibu
kota yang selama seminggu ini lengang kembali ‘bernyawa’ dengan kesesakan
kenderaan dan manusia yang sentiasa sibuk terkejar-kejar ke sana sini.
Hampir
seminggu pulang ke kampung halaman dan melepaskan rindu serta mengeratkan lagi
silaturrahim dengan keluarga dan sanak saudara di kampung, tentunya memberikan
satu kepuasan.
Syukur juga
diucapkan kerana tahun ini, kita masih dapat melalui Ramadan dan meraikan
Syawal.
Tidak kiralah
sama ada sambutan itu dibuat secara bermewah-mewahan, bersederhana atau ala
kadar yang pasti, kita masih dapat bersama dan menjalinkan ukhwah dengan penuh
kasih sayang.
Tahun ini,
hijau zamrud dikatakan, antara warna pilihan untuk pakaian raya. Jadi, tidak hairanlah ramai yang mengenakan
pilihan baju warna itu.
Tetapi tanpa
tema warna sedondon pun, kita masih boleh menyambut hari raya dalam suasana
riang, meriah dan penuh kesyukuran.
Ini kerana
semuanya bermula daripada hati yang ikhlas dan keupayaan kita menghayati serta
memahami erti kesyukuran yang sebenar.
Jadi,
teruskanlah menyambut meraikan hari raya dengan kasih sayang, saling bermaafan
dan jiwa yang bersih.
Yang pasti, seperti
tahun-tahun sebelum ini, ada sahaja pelbagai cerita mengenai sambutan hari raya.
Ada yang mencuit hati, melucukan, sedih dan menyayatkan hati serta pelbagainya.
Cerita sedih
seperti berita kematian dan kemalangan atau mala petaka, tentu sahaja kita
tidak suka menerima khabar seumpama itu, lebih-lebih lagi dalam suasana gembira
kita menyambut Aidilfitri.
Namun, siapa
kita untuk menolak qada dan qadar. Ujian seumpama itu jika berlaku kepada kita,
seharusnya diterima dengan reda dan dihadapi dengan tabah serta sabar.
Anggaplah semua yang berlaku ada hikmah di sebaliknya.
Selain itu, ada juga beberapa cerita viral yang mewarnai
sambutan Aidilfitri tahun ini. Antaranya, kisah anak dan ibu yang tertinggal di
R&R sehinggakan ramai netizen yang memberikan pelbagai komen negatif dan
tanggapan buruk kepada keluarga terbabit.
Bagaimanapun, pesan saya janganlah cepat menghukum kerana
perkara seumpama itu boleh sahaja berlaku kepada sesiapa.
Mungkin, hari ini hari mereka dan tidak tahu pula bila pula hari
kita. Jadi, janganlah lemparkan kata-kata yang tidak enak didengar kepada
keluarga terbabit.
Selain itu, terdapat juga kisah anak kucing kena dera. Cerita
seperti ini memang sepatutnya tidak dibiarkan berlaku kerana ia satu
penganiayaan kepada haiwan yang tidak berdosa.
Manusia yang dikurniakan Allah dengan akal fikiran waras tidak
sewajarnya bertindak di luar batas kemanusiaan.
Bagaimanapun, dalam banyak cerita viral tahun ini, kisah pemberian
duit raya RM5 daripada seorang anak
saudara kepada ibu saudaranya antara yang menarik perhatian.
Rasa-rasanya,
tidak perlulah merungut atau berkecil hati apabila menerima duit raya yang
jumlahnya tidak seperti diharapkan.
Terimalah setiap
pemberian itu dengan rasa syukur dan ucapan terima kasih.
Sepatutnya,
kita perlu berasa gembira menerima kunjungan tetamu kerana ia juga sebagai
tanda ingatan dan kasih sayang daripada mengharapkan wang ringgit atau hadiah
yang diberikan.
Dengan
berbaki 22 lagi sambutan hari raya, saya berharap kunjung-mengunjungi dapat diteruskan
dan semoga semuanya berjalan dengan baik serta mengeratkan lagi kasih sayang
antara tua dan muda.
No comments:
Post a Comment