Kesalahan Lazim Penulis: Ejaan, Tatabahasa, Tanda Baca & Tanda Petik dalam Dialog
E-buku berjudul, Kesalahan Lazim Penulis: Ejaan, Tatabahasa, Tanda Baca & Tanda Petik dalam Dialog, panduan yang dikongsikan oleh Mazlia Murat Salam amat bermanfaat dan boleh dijadikan rujukan.
Untuk itu, saya ingin sarankan, e-buku ini perlu ada dalam simpanan bagi setiap penulis, khususnya mereka yang belum mahir menulis dan menyunting.
Malah, e-buku ini boleh dijadikan panduan kepada mereka yang masih ragu-ragu mengenai penggunaan tatabahasa, ejaan serta tanda baca digunakan dalam penulisannya.
Menariknya, perkongsian dalam e-buku ini berdasarkan pengalaman Mazlia sendiri sebagai editor dan penulis, sekali gus ia boleh dianggap sebagai sifu bagi membantu membetulkan kesilapan atau mengurangkan kesalahan dalam hasil kerja penulisan anda.
Mazlia sendiri akui, sepanjang menjadi editor (sejak tahun 2005), beliau mendapati banyak kesilapan yang sama dilakukan berulang kali.
Oleh kerana itulah beliau mengambil inisiatif untuk menghasilkan e-buku ini sebagai garis panduan dan bimbingan kepada penulis. Ini amat bermanfaat dan memudahkan anda melakukan penyuntingan penulisan.
Bagi membantu dan memudahkan kefahaman, e-buku ini dibahagikan kepada dua bahagian iaitu kesalahan ejaan dan tatabahasa.
Untuk bahagian ejaan, e-buku ini menerangkan partikel penggunaan ‘pun’ untuk sesuatu perkataan.
Penggunaan partikel ‘pun’ antara kesilapan ejaan yang sering dillakukan.
Di dalam e-buku ini dijelaskan bahawa partikel ‘pun’ ditulis terpisah daripada kata yang mendahuluinya.
Bagaimanapun, pada masa sama terdapat 13 kata yang ditulis serangkai dengan partikel ‘pun’. Antaranya ialah sungguhpun, walaupun, meskipun, bagaimanapun dan lain-lain lagi.
Bahagian kesalahan ejaan pula, Mazlia menyenarai ringkas 50 contoh perkataan yang kerap kali dieja salah.
Antara contoh diberikan, termasuklah ejaan betul untuk aiskrim, kadangkala, alam sekitar , alergi, bihun, mihun, kuetiau, bandar raya, celopar, kain pelekat, stoking dan singki.
Bagi kesalahan tatabahasa , antara yang sering dilakukan oleh penulis ialah penggunaan tanda sempang pada kata ganda.
Mazlia menjelaskan, kata ganda mesti mempunyai tanda sempang (-).
Walau bagaimanapun, terdapat kata ganda yang tidak mempunyai sempang, iaitu apabila kedua-dua perkataan (dalam kata ganda) mempunyai maknanya sendiri apabila tidak digandakan.
Untuk memudahkan kefahaman, beberapa contoh penggunaan sempang yang betul diberi kan seperti asal usul, adik-beradik, bukit-bukau, beli-belah, ejek-mengejek, lalu-lalang dan lain-lain lagi.
Selain itu, e-buku Kesalahan Lazim Penulis: Ejaan, Tatabahasa, Tanda Baca & Tanda Petik dalam Dialog turut memberikan panduan penggunaan kata sendi nama.
Penggunaan ‘di’ Kata sendi nama ‘di’ digunakan khusus di hadapan kata nama atau frasa nama yang menunjukkan tempat dan ditulis terpisah daripada kata nama itu (dijarakkan).
Begitu juga dengan kekeliruan penggunaan ‘di’, ‘pada’ dan ‘kepada’ , ‘dari’ dan ‘daripada’ turut dijelaskan dalam e-buku ini.
Bukan itu sahaja, penggunaan betul dan sepatutnya bagi kata ganti diri ‘kau’, ‘ku’, ‘mu’ dan ‘nya’ juga diperjelaskan.
Lain-lain panduan diberikan ialah penggunaan huruf besar, tanda bacaan dan petikan.
Walaupun buku panduan ini nampak ringkas dan hanya memberikan garis panduan asas ia begitu berguna serta boleh dijadikan panduan lengkap memperbaiki kesilapan yang sering dilakukan.
Dengan adanya e-buku rujukan seumpama ini, diharapkan tatabahasa dan gaya penulisan anda menjadi lebih baik dari semasa ke semasa.
Penulis Mazlia Murat
FB: https ://www.facebook.com/mazlia.murat
Penulis Mazlia Murat
No comments:
Post a Comment