Showing posts with label CATATAN 2018. Show all posts
Showing posts with label CATATAN 2018. Show all posts

Tuesday, January 1, 2019

Selamat tinggal 2018, selamat datang 2019

Teks Nor Affizar Ibrahim

Selamat tinggal 2018, selamat datang 2019

Kita sudah pun menjejakkan kaki ke tahun 2019.

Dua hari lepas, sambutan kedatangan tahun 2019 begitu meriah, malah  ada yang meraikannya hingga ke awal pagi. 

Masing-masing tampak gembira untuk meraikan kedatangan Tahun 2019.

Sana sini, kedengaran dentuman bunyi mercun dan kelihatan percikan bunga api serta limpahan cahaya warna warni sebagai simbolik, mengucapkan selamat tinggal Tahun 2018 dan selamat datang Tahun 2019.

Begitulah sebuah kehidupan! Setiap saat dan detik akan berlalu pergi dan tidak akan kembali.  Yang tinggal hanyalah kenangan dan jejak peristiwa yang pernah dilalui.

Hari yang datang pula, akan mencatatkan peristiwa baharu. Manis, kelat atau masam masih belum ada kepastian. Hanya masa yang menentukan.

Mengucapkan selamat tinggal pastinya mudah tetapi untuk melupakan kenangan dan peristiwa yang sudah berlalu mungkin adalah sebaliknya.

Saya yakin, tahun 2018 yang ditinggalkan, pastinya membawa cerita tersendiri kepada setiap individu.

Ada kisah duka dan sedih, ada pengalaman mengujakan, ada cerita yang menyimpulkan kenangan selama-lamanya dan sebagainya.

Tahun dukacita

Bagi saya, Tahun 2018 adalah tahun dukacita.  Pemergian Ayahanda menyahut panggilan Illahi pada Khamis, 19 April 2018  membuatkan saya terkesan sehingga ke hari ini.

Allah lebih menyayangi Ayahanda Ibrahim b Kechut, jadi saya harus reda dan menerima takdir yang  ditentukan-Nya.

Arwah pergi pada usia 82 tahun, satu perjalanan panjang kehidupan yang dilaluinya. Kematian arwah disahkan akibat sakit tua.

Sebenarnya, ayah tidaklah sakit tenat cuma tiga hari sebelum pemergiannya, arwah tidak mahu bangkit dari katilnya. Alasannya, dia tidak larat.

Saya masih tidak lupa saat-saat akhir hayat ayah kerana kebanyakan masa saya yang banyak menguruskan rutin hariannya, dari memberi makan ubat hinggalah memandikannya, menyuapkan makanan dan menyikat rambut serta menyapukan bedak pada pipi.

Setiap kali selepas menyiapkan ayah saya akan mencium pipinya dan berkata,”Nak tahu busuk ke wangi. Wah! Dah wangi. Handsome pun.”

Sejak dulu ayah memang suka mengenakan bedak selepas mandi,  sehinggakan adakala memutih mukanya disapukan bedak.

Dua jenama bedak yang ayah paling suka iaitu Baby Johnson’s dan Cuticura.

Kadang-kadang setiap kali berbedak, satu bilik wangi baunya sebab setiap kali guna memang banyak dituangnya. 

Selalu juga saya cakap, “Ayah ni mandi bedak, bukannya pakai bedak.”

Oleh sebab itulah apabila ayah tidak mampu menguruskan diri sendiri, saya akan pastikan wajahnya akan disapu bedak selepas mandi.

Bercerita pasal ayah memang tidak akan habis. Memang banyak kenangan ayah dengan saya. Ayah pergi dengan tenang dan semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya.

Tahun 2018 juga saya kehilangan rakan dan orang yang dikenali termasuklah rakan setugas, Allahyarham Bennie dan anak jiran yang pernah menjadi teman sepermainan ketika kecil, Allahyarham Muhammad Nizam Abd Ghani serta rakan sepasukan PALAPES, 
Allahyarham Mahathir.

Banyak lagi peristiwa yang berlaku sepanjang tahun 2018, namun biarlah semua itu menjadi lipatan kenangan dalam diri saya.

Doa saya, semoga kehadiran 2019 membawa lebih banyak kemanisan dalam hidup.   

Tuesday, November 27, 2018

Wahai wanita jangan pendam perasaan

Teks Nor Affizar Ibrahim

Wahai wanita jangan pendam perasaan

Tengahari semalam, ketika memandu dalam kesibukan di kawasan Bukit Bintang selepas balik dari menghadiri satu majlis di Hotel Mandarin, saya terlihat seorang wanita berusia lingkungan 50-an.

Usianya boleh jadi juga  40-an kerana dengan keadaan yang tidak terurus , dia mungkin tampak jauh lebih berusia daripada usia sebenarnya.

Wanita itu seakan mengalami masalah kesihatan mental.  Rambutnya pendek seperti lelaki dan dia memakai baju skirt yang tampak kusam warnanya.

Tanpa memakai sebarang alas kasut, dia berjalan mundar mandir di bahu jalan. Sesekali, dia berjalan mencelah antara kereta-kereta yang terperangkap dengan kesesakan  jalan raya.

Cuaca tengahari itu pula amat panas. Dalam hati saya berkata, tahannya dia berjalan tengah panas itu dengan berkaki ayam.

Saya tidak lepas mata memandangnya. Rasa kasihan timbul dalam diri saya apabila melihat keadaan wanita yang tidak terurus itu. 

Nasib baiklah rambutnya dipotong sehabis pendek. Jika dia miliki rambut panjang, tentu kusut masai dan tampak lebih serabut lagi. 

Lebih kasihan, kehadirannya di kawasan itu pasti tidak disenangi orang ramai yang berada di situ.

Dalam sibuk saya memerhatikannya, tiba-tiba dia menjerit kuat. Tidak pula saya dapat kesan apa yang dijeritkan wanita itu kerana pertuturannya tidak jelas.

Saya juga tidak tahu, apa yang membuatkan wanita itu tiba-tiba menjerit. Apabila dia menjerit, semakin banyak mata memandang ke arahnya.

Saya terus tertanya-tanya di hati. “Tidakkah dia mempunyai saudara-mara yang memantau pergerakannya? Sudah berapa lamakah wanita itu berkeadaan seperti itu? Apakah yang menyebabkan wanita itu mengalami masalah kesihatan mental.”

Sudah pasti, saya tidak akan mendapat jawapan bagi semua soalan itu. Jadi, saya menjadi pemerhati setia sehinggalah kereta yang saya pandu perlahan-lahan beransur-ansur meninggalkan kawasan segi tiga emas itu.

Melalui pembacaan sebelum ini, saya mengetahui bahawa wanita lebih cenderung mengalami masalah kesihatan mental.  Ini disebabkan golongan ini tidak terbuka untuk bercerita mengenai kisah kehidupan mereka kepada orang lain.

Apabila berdepan dengan masalah, kebiasaannya wanita suka memendam perasaan mereka.  

Berbanding golongan lelaki yang mempunyai masa bersosial dan bertemu rakan mereka dengan bercerita di kedai kopi.
  
Wanita dikatakan, tidak mempunyai masa seperti itu dan hanya meluangkan masa di rumah selepas pulang dari tempat kerja.

Perubahan landskap sosial hari ini, banyak menyumbang kepada wujudnya peningkatan masalah kesihatan dan gangguan psikologi seperti isu perkahwinan, keluarga, tekanan kerja, penagihan alkohol, penyalahgunaan dadah dan sebagainya.

Keadaan inilah yang boleh menyebabkan kemurungan, kebimbangan, stres dan pelbagai kecelaruan psikologi yang memberi impak terhadap kualiti dan kesejahteraan hidup secara holistik. 

Kesihatan mental sememangnya berkait rapat dengan kehidupan kita. Ia merangkumi perasaan, fikiran dan tingkahlaku dalam diri sendiri, kemampuan untuk berinteraksi secara sihat dengan orang lain; kumpulan dan persekitarannya serta bagaimana seseorang itu mengendalikan tanggungjawab, cabaran dan tekanan yang timbul dalam kehidupan seharian.


Oleh itu, nasihat saya bagi individu yang sihat mental perlulah sentiasa mengekalkan perhubungan yang harmoni dengan orang lain, mengambil bahagian dalam aktiviti kemasyarakatan dan boleh menyumbang di dalam masyarakat.


Friday, November 23, 2018

Jangan susahkan orang lain

Teks Nor Affizar Ibrahim

Jangan susahkan orang lain

Melihat plat kereta Kancil saya yang terpaksa digantung dengan tali rafia dan satu nombor ditambah dengan menggunakan liquid paper serta sedikit kemek di bahagian tepinya, memang saya berasa geram!

Sudah hampir seminggu ia  berkeadaan  begitu  dan saya masih tidak berkesempatan
untuk menggantikan  plat kereta baharu.

Hanya disebabkan kedegilan dan sikap tidak bertanggungjawab oleh individu lain, saya yang terpaksa menanggung kerosakan itu.

Semua itu gara-gara kejadian kemalangan yang berlaku pada Khamis minggu lalu. Ketika saya hendak keluar dari parkir, tiba-tiba satu motorsikal yang ditunggang melanggar arus melanggar bahagian sisi kereta berkenaan.

Boleh pulak si penunggang motorsikal itu menuduh saya bawa laju. Aduhai! Sebelum dia mengeluarkan kata-kata itu, sepatutnya  dia sedar  bahawa  dia yang  terang-terang melakukan kesalahan menunggang motorsikal menongkah arus.

Sudahlah menunggang menongkah arus, topi keledar pun tak pakai.  Sudah macam-macam kempen keselamatan dibuat untuk penunggang motorsikal tetapi masih tidak ada kesedaran.

Apabila saya mempersoalkan, mengapa menunggang menyongsang jalan, dia terus membela dirinya.

“Jalan ni kan biasa, banyak motorsikal yang lalu di sini.” 

Masih lagi hendak menegakkan benang basah!  

Hormati pengguna jalan raya

Yalah biasa, jika tidak terjadi apa-apa mungkin tidak menjadi masalah.  Apabila sudah terjadi macam itu, janganlah menuding jari kat orang lain.

Malang memang tidak berbau  tetapi boleh dielakkan dengan mematuhi peraturan undang-undang jalan raya. Jangan sesekali ambil mudah, apatah lagi ia membabitkan nyawa dan keselamatan.

Bayangkan, apa akan berlaku jika kereta besar seperti  4X4 atau van dan lori yang dilanggarnya. Tentu lebih teruk kecederaan dialaminya.

Nasib baik, penunggang motorsikal itu hanya mengalami  sedikit luka pada lututnya.  Malangnya, motorsikalnya tidak boleh dihidupkan.

Melihat keadaannya, tak sampai hati pula saya hendak memanjangkan cerita membuat laporan polis dan menuntut ruginya. Reda ajelah!

Menunggang motorsikal itu memang menyeronokkan tetapi sebagai penunggang motosikal berhemah, sepatutnya tidak boleh memupuk rasa yang diri anda sahaja yang betul.

Hormatilah pengguna jalan raya yang lain supaya anda juga dihormati.

10 perkara penunggang motosikal tidak patut lakukan;



1. Tunggang dalam keadaan beremosi
2. Bertegas mengenai hak laluan
3. Berada terlalu lama di titik buta
4. Mempercayai pengguna jalan raya yang lain secara membuta
5. Tidak mengetahui had kemampuan anda
6. Memarkir secara semberono
7. Tidak mengunci motosikal
8. Tidak menggunakan laluan motosikal
9. Menyekat lorong paling kanan
10. Mengelamun

* Sumber: Motomalaya.net


   

Wednesday, November 21, 2018

Berbaik dengan jiran , di barzakh dapat jiran baik

Teks Nor Affizar Ibrahim

Berbaik dengan jiran, di barzakh dapat jiran baik

Selasa lalu, cuti hari umum kerana sambutan Maulidur Rasul. Lazimnya, kalau tidak ada perancangan berjalan ke mana-mana atau ada hal lain seperti jemputan kahwin, kenduri dan sebagainya, saya akan balik ke Sungai Buloh.

Hari itu, sepanjang memandu ke Sungai Buloh dalam hati berkata-kata, bolehlah rileks dan habiskan kerja menulis untuk blog servismenulis.blogspot.com.

Lagipun, saya sudah banyak ketinggalan untuk beberapa hari ini. Bahan untuk penulisan ada tetapi mood menulis yang perlahan sangat. Memang saya cuba ‘kayuh laju’ tetapi tetap juga lambat macam kura-kura.

Jadi, dalam hati berkata, alang-alang cuti dan duduk di rumah bolehlah ‘meroket’ untuk blog servismenulis.blogspot.com.

Sampai di rumah, saya lihat ada kereta menghalang pintu pagar. Rupa-rupanya, jiran sebelah yang parkir di situ.

Mujur, dia ada di depan rumahnya. Apabila nampak kereta saya, cepat-cepat dia masuk ke rumah dan mengambil kunci kereta untuk mengalihkan keretanya.

Pada masa sama, ada sebuah lagi kereta parkir di luar pagar rumah saya yang juga hampir menutup laluan masuk ke rumah saya.

Tidak pula saya tahu siapa empunya kereta berkenaan. “Ikut suka hati dorang aje nak parkir di mana.” Getus hati saya lagi.

Jiran tadi, sebaik sahaja selepas mengalihkan keretanya, dia pun turun dari kereta dan mendekati kereta saya.

Ingatkan, lama tidak berjumpa dia ingin bertanyakan khabar tetapi rupa-rupanya hendak mengadu.

“Rumah tu (rumah saya) banyak tahi kucing, busuklah.”  Jiran itu mengadu dengan mimik muka menunjukkan tidak senang dengan bau busuk itu.

Saya cuma menjawab  – “Oh ya ke.” Tetapi dalam hati saya pula berkata, “Bukan kucing aku pun yang berak.”

Sebaik pintu pagar dibuka, saya pun parkir kereta di halaman rumah.. Memang betul, banyak betul tahi kucing dan baunya memanglah tidak menyenangkan. Betullah kata jiran saya itu.

Bersungut juga dalam hati; “Kenapalah kucing ini pilih berak di halaman rumah aku.”
Setahu saya, kucing-kucing yang datang itu bertuan tetapi dibiarkan lepas merayau ke sana sini. Yang tidak sedapnya, kucing itu membuat ‘onar’ kat rumah saya.

Sebelum ini, memang sudah berlaku beberapa kali kucing berak di rumah saya. Cuma, kali ini lebih banyak dan najis memenuhi ruang depan rumah. Sungguh sakit hati melihatnya!

Saya tidak berlengah lagi, sejurus selepas semua barang dibawa masuk ke rumah saya pun memulakan tugas membersihkan najis berkenaan. 

Lebih tiga jam jugalah saya membersihkan najis itu kerana  ada yang ‘liat’  dibersihkan kerana sudah melekat di lantai terlalu lama.

Sudahnya, hajat untuk menulis blog terbantut kerana selepas sahaja siap membersihkan halaman rumah, saya betul-betul kepenatan dibuatnya.   

Moral di sebalik peristiwa ini ialah adab hidup berjiran yang perlu diamalkan dan sikap saling hormati-menghormati.

Dalam kehidupan, kita akan berjiran dalam pelbagai situasi. Oleh sebab itulah saya pasakkan pada fikiran, untuk berusaha menjadi jiran yang terbaik terlebih dahulu. 

Saya perlu bersikap lebih banyak bersabar dan mengelakkan bermasam-masam muka dengan jiran, sekali pun ada sesuatu perkara yang tidak menyenangkan. Tidak rugi pun mengalah, malah ia mungkin membawa kebaikan.

Hidup berjiran hakikatnya, memang perlu bertolak ansur tetapi janganlah sesekali mengambil kesempatan terhadap sifat pemaaf dan kebaikan orang lain,

Saya juga yakin, apabila kita berlaku baik dengan jiran di atas muka bumi ini, insya-Allah, Allah akan balas dengan rezeki untuk berjiran dengan orang yang  baik di alam barzakh nanti.

Dengan harapan juga, semoga Allah gantikan dengan jiran yang baik di hari akhirat di dalam syurga Allah.

Ingatlah, bukan sekadar hak jiran sahaja perlu ditunai dengan baik tetapi juga usah dilupa jiran yang paling hampir dengan diri kita iaitu mmalaikat yang sentiasa mendamping dan mengiringi setiap gerak kita. 


Tuesday, November 20, 2018

Gigit sunnah Rasulullah SAW dengan gigi geraham

Teks Nor Affizar Ibrahim 

Gigit sunnah Rasulullah SAW dengan gigi geraham

Catatan ini, sepatutnya saya menulisnya semalam tetapi disebabkan terlalu penat, saya tangguhkan dulu.

Malam, hari Isnin saya berkesempatan meraikan sambutan Maulidur Rasul di kawasan perumahan saya bersama penduduk setempat.  

Acara sambutan itu sederhana dan dibuat selepas Isyak tetapi penuh bermakna, termasuk pengisian ceramah dibawakan oleh penceramah dikenali, Ustaz Haryanto Rizal Rokman.

Mengimbas sambutan Maulidur Rasul iaitu ulang tahun hari kelahiran Nabi Muhammad SAW ketika masih kecil, pastinya saya tidak akan lupakan perarakan beramai-ramai yang pernah disertai.

Dulu, perarakan beramai-ramai sambil berselawat terhadap junjungan mulia Nabi Muhammad SAW cukup sinonim dengan sambutan kelahiran Baginda di negara ini.

Bukan sahaja di ibu negara, malah seluruh negara ketika itu akan mengadakan perarakan beramai-ramai.

Lebih meriah, setiap kumpulan akan membawa sepanduk masing-masing dengan tulisan yang pelbagai.

Sambil berjalan, masing-masing tidak berhenti berselawat ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad SAW, sehinggalah tiba ke destinasi penamat ditetapkan.   

Tidak silap, ketika berusia lingkungan sembilan tahun saya berpengalaman mengikut arwah bapa menyertai perarakan sambutan Maulidur Rasul.

Saya ingat lagi, masa itu bimbang juga tidak terdaya berjalan jauh mengikuti perarakan. Maklum, dulu perarakan Maulidur Rasul bukannya dekat seperti sekarang ini.

Namun, semangat yang sentiasa berkobar-kobar mengingati sambil memuji-muji Rasulullah menyebabkan tidak terasa jarak perarakan itu begitu jauh.

Cuaca ketika itu pula agak panas terik, semakin banyaklah peluh keringat membasahi baju.

Yang seronoknya, sepanjang perarakan itu ada sahaja orang bersedekah makanan dan minuman yang diagihkan kepada orang ramai mengikuti perarakan itu. Masing-masing ingin berebut pahala pada hari itu.

Suasananya memang meriah sekali dan perarakan itu bukan sahaja membabitkan orang dewasa berusia tetapi juga dari kanak-kanak hinggalah remaja dan golongan muda.  

Hampir semua berpakaian cantik, berbaju Melayu dan samping bagi lelaki manakala wanita mengenakan baju kurung. Suasana berpakaian cantik itu bolehlah dikatakan seperti menyambut Hari Raya.  

Begitulah senario sambutan Maulidur Rasul dulu yang sememangnya agak berbeza sedikit hari ini. Walau apa pun, acara perakan seumpama itu sememangnya mampu membuatkan kita memperingati Rasulullah.

Bagaimanapun, harus diakui, memperingati Nabi Muhammad SAW tidaklah terhad kepada hari tertentu ataupun hanya melalui acara tertentu. Malah, ia sepatutya disegarkan dalam ingatan setiap Muslim sepanjang masa.

Aktiviti perarakan sambil membaca selawat atas Nabi SAW dan ceramah agama sangat signifikan untuk menyegarkan ingatan dan kecintaan kepada Rasulullah SAW. 

Amalan ini juga dapat ­meninggikan syiar Islam yang sesuai dengan kedudukannya.
Ustaz Haryanto dalam ceramahnya, berkata umat Islam mesti selalu dan sentiasa mengingati Rasulullah dalam urusan kehidupan seharian. 

Baginda adalah Rasul terakhir yang diutus oleh Allah SWT membawa syariat untuk kebahagiaan hidup dunia dan akhirat.

Dalam ceramahnya, Ustaz Haryanto berkali-kali mengingkatkan, umat Islam mesti berpegang teguh kepada sunnah Rasulullah SAW.

Katanya, untuk hidup selamat dan bahagian, berpegang dan amalkanlah Sunnah Rasulullah.

Sunnah adalah sumber kedua yang menjadi ikutan dan teladan untuk umat islam selepas al-Quran.

Sunnah Rasulullah SAW merangkumi segala aspek termasuklah, amalan ibadat, urusan keluarga, harta dan wasiat, hubungan dengan jiran serta masyarakat dan sebagainya. 

Oleh itu, adalah rugi dan boleh binasa hidup bagi barang siapa yang tidak mengikut Sunnah Rasulullah.

“Untuk selamat dan bahagia dengan kehidupan di dunia dan akhirat, Nabi Muhammad SAW berpesan, berpeganglah kepada Sunnah dan gigitlah dengan gigi geraham. Gigit gigi geraham itu sudah cukup membayangkan kepada kita betapa Rasulullah mahu umatnya berpegang teguh dan kental dengan amalan Sunnah Baginda. Bayangkan, kalau gigit dengan gigi depan, tentulah lebih  mudah terlepas,” kata Ustaz Haryanto.”

“Sesungguhnya orang-orang yang hidup setelahku akan melihat perselisihan yang banyak. Maka hendaklah kalian berpegang dengan sunnahku dan sunnah para khalifah yang lurus dan mendapat petunjuk, berpegang teguhlah dengannya dan gigitlah dengan gigi geraham.”   

Hakikatnya, sebagai seorang muslim, tentu kita akan menjalankan segala kewajiban kepada Allah. Misalnya, seperti solat, membayar zakat, berpuasa Ramadan dan haji. 

Semua kewajiban itu harus kita laksanakan kerana ia perintah daripada  Maha Pencipta.
Tetapi selain perintah yang wajib dilakukan, kita juga harus menambahnya dengan amalan sunnah yang dicontohkan oleh Rasulullah SAW.


 

Antara amalan sunnah Rasulullah SAW yang mudah diikuti dan diamalkan:

Masuk tandas
1.Masuk tandas kaki kiri dan keluar kaki kanan 
2.Tutup Kepala bila masuk tandas
3. Masuk tandas pakai alas kaki
4. Buang air kecil dan besar dalam keadaan duduk/mencangkung
5. Masuk tandas janga lama-lama
6. Jangan makan dan minum dalam tandas 

Tidur
1.Kibaskan tempat tidur
2.Permulaan tidur mengiring sebelah kanan
3.Kepala menghadap kiblat
4.Baca doa tidur 
5.Bangun tidur baca doa bangun tidur atau ucap syukur
6.Kemas tempat tidur
7.Bersihkan diri
8. Sebelum tidur ambil wuduk
9. Maafkan semua kesalahan orang lain dan halalkan hutang piutang
10. Jika mimpi baik bangun doa supaya dipercepatkan
11. Jika mimpi buruk bangun buat isyarat ludah ke kiri dan doa dijauhkan


Makan minum
1.Minum dengan tangan kanan.
2.Minum duduk
3.Minum niat kerana Allah dan baca Bismillah
4.Basuh tangan sebelum makan.
5.Makan buah dahulu baru makan nasi
6.Makan secara berjemaah, makan dengan keluarga, lagi ramai lagi berkat rezeki itu
7.Makan makanan yang ada di hadapan jangan capai yang jauh-jauh
8. Makanan sunnah susu, madu, barli dan kurma
9. Makan bermula dari tepi kemudian tengah
10. Hisap jari selepas makan (Sunnah 3 Jari)
11. Selepas makan terus basuh pinggan
12. Puasa isnin dan Khamis
13. Baca Bismillah dan Alhamdulillah setiap kali sedutan air
14. Jangan gunakan cawan yang sumpik/sumbing atau pecah
15. Jangan tiup ke dalam air panas untuk sejukkannya

16 Jangan minum dalam bekas yg besar seperti jug air dan botol yang besar

Ke masjid
1. Datang awal ke masjid
2. Berjalan kaki ke masjid
3. Berwuduk dari rumah
4. Baca doa masuk dan keluar masjid
5. Masuk masjid kaki kanan keluar kaki kiri
6. Jika ada sampah dalam masjid kutip dan buang, 1 sampah 1 bidadari di syurga kelak
7. Bila masuk masjid niat iktikaf, semua perkara yang di buat dalam masjid akan dikira sebagai ibadah 

Berpakaian
1.Baca Bismillah sebelum memakai baju atau doa ringkas ni "Ya Allah, aku memohon dari engkau kebaikan dari berpakaian ini"
2. Apabila memakai pakaian mulakan dengan sebelah kanan
3. Jangan memakai pakaian untuk tujuan riak
4. Memakai pakaian yang menunjukkan simbolik seorang muslim

Berjalan
1. Pakai selipar kaki kanan dahulu
2. Beri salam 3 kali bila bertamu ke rumah sahabat

Masak
1. Tutup aurat ketika memasak
2. Adun atau kacau makanan dari kanan ke kiri
3. Jangan buka keseluruhan penutup periuk atau bekas minuman ketika ambil nasi atau air
4. Ketika sedang memasak perbanyakkan zikir dan menyebut kebesaran Allah(baik untuk ibu yang ingin membentuk anak)

Hari Jumaat
1. Memotong kuku pada hari Jumaat
2. Memperbanyakkan doa antara Imam berkhutbah hingga Asar
3. Mandi sunat Jumaat
4. Memakai pakaian terbaik untuk Sembahyang Jumaat
5. Memakai wangi wangian

Sikap
1. Apabila marah dalam keadaan berdiri hendaklah duduk, apabila marah dalam keadaan duduk hendaklah berbaring hingga marah tu hilang
2. Apabila marah ambil wuduk

Sunday, November 18, 2018

Mati itu pasti

Teks Nor Affizar Ibrahim

Mati itu pasti

Semalam, saya menerima satu berita kematian. Berita diterima itu amat mengejutkan.

Tidak ada khabar berita yang menyatakan arwah sakit, tiba-tiba dikejutkan berita arwah pergi buat selama-selamanya meninggalkan dunia fana.

Arwah adalah anak jiran sebelah yang duduk berjiran dengan keluarga saya lebih 30 tahun.

Pemergian Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan sepasang anak, masing-masing berusia 16 tahun dan 8 tahun.

Tidak diketahui, apa sebab kematiannnya. Arwah dikatakan rebah tiba-tiba di bilik tidur. Sebelum itu, beliau mengadu sakit perut dan mengalami berpeluh begitu banyak.

Peristiwa hari ini mengingatkan saya, bahawa bukan hanya sakit dan usia tua saja yang menghantarkan manusia pada kematian.

Mati. Satu perkataan yang sering kita dengar. Mungkin juga ia satu perkataan yang digeruni oleh sesetengah individu.

Bahkan, ada yang percaya bahawa perkataan ini tidak baik disebut berulang kali. Ada juga melihat, bahawa hidup ini terlalu indah untuk sekadar membicarakan kematian yang menurutnya menakutkan.  

Oleh itu dia berpendapat elaklah bercerita mengenai ajal. Tetapi, bukankah menurut Islam mengingati mati itu menghidupkan hati?

Ibnu Umar berkata: “Aku bersama Rasulullah, lalu seorang lelaki Ansar datang kepada Baginda mengucapkan salam lalu bertanya: Wahai Rasulullah. Manakah antara kaum mukminin yang paling utama? Baginda menjawab: Yang paling baik akhlaknya antara mereka. Dia bertanya lagi: Manakah di antara kaum mukminin yang paling cerdik?

Baginda menjawab: “Yang paling banyak mengingati kematian antara mereka dan paling bagus persiapannya selepas kematian. Mereka itu orang-orang yang cerdik.” (Hadis Riwayat Imam Ibnu Majah

Ternyata mati itu pasti. Oleh sebab itulah Rasulullah menyuruh kita mengingatkannya. Jangan sombong dengan wang banyak atau darjat tinggi di dunia yang kita miliki kerana semua itu tidak boleh menghalang kematian kita apabila tiba masanya.

Manusia tidak kebal untuk menangkis ajal. Sembunyilah ke gua atau tembok setebal apapun tetapi ingatlah, malaikat Izrail pasti datang untuk menjemput nyawa yang sudah waktunya pulang.

Tidak kiralah walau di pelusuk dunia mana sekalipun kita berada atau bersembunyi. Jika sudah sampai masanya kita dipanggil untuk menghadap Illahi, kita takkan mampu lari daripada kematian.

Setiap yang bernyawa pasti akan merasai detik kematian dan bertemu ajal!

Hanya yang hidup sahaja yang terus menikmati kehidupan akan tetapi kematian pasti akan menjemput bagi setiap makhluk yang bernyawa.

Kematian juga sebenarnya adalah suatu ujian.  Menerima hakikat kehilangan orang yang dikasihi, sesungguhnya bukanlah sesuatu yang mudah.

Namun, ujian terhadap diri  atau jiwa seperti ini adalah bentuk pengerahan tenaga untuk berjihad pada jalan Allah SWT.

Justeru, marilah sama-sama  kita muhasabahkan diri. Adakah amalan kita sudah mencukupi? Adakah kita sudah bersedia tempuhi saat itu?

Bersyukurlah, hari ini kita masih dapat bernafas, masih dapat menikmati segala nikmat yang ALLAH berikan.

Sesungguhny,a rasa sedih itu alami dan akan muncul ketika kita kehilangan sesuatu.

Cita-cita, mimpi, dan harapan adalah sesuatu yang belum pasti di masa depan. Satu yang pasti pada masa depan, mahu atau siap atau tidak, akan menghampiri kita adalah kematian. 

Pilihannya sekarang bukan bila waktu kita akan mati  tetapi dalam keadaan dan persiapan seperti apa, kita memilih akhir kehidupan ini. 

Saturday, November 17, 2018

Cinta yang pudar


Teks Nor Affizar Ibrahim

Cinta yang pudar

Tiga hari lepas, saya mendapat khabar berita yang tidak enak didengar. Pelbagai perasaan dalam diri timbul apabila mendengarnya; terkejut, terkedu, terkilan dan sedih.

Tetapi suka atau tidak, perkara itu benar-benar berlaku. Istana sepasang suami isteri yang kedua-duanya saya kenali, dibina hampir 30 tahun kini sudah pun roboh!

Pasangan itu, dulunya saya kenali memang tampak bahagia. Saling tolak ansur. Apabila bercakap, masing-masing lembut je tutur katanya. Ke mana-mana pergi pula selalu sahaja bersama.

Mereka membina kebahagian hidup bersama dari bawah. Dengan gaji yang tidak begitu tinggi, mereka  dilihat hidup cara sederhana tetapi tampak bahagia.

Namun, sedikit demi sedikit saya melihat perubahan hidup mereka yang semakin selesa hingga berjaya membeli rumah dan tanah hasil sepakat hidup bersama.

Semua itu kini, bagaikan hilang sekelip mata. Selepas berpisah, bekas suami keluar dari rumah yang pernah memberi warna-warni kehidupan gembira bersama bekas isteri dan anak-anaknya.

Tinggallah si isteri sendirian. Mujur, anak-anak sentiasa di sisinya memberikan semangat agar terus kental dalam melalui episod baharu dalam hidup.   

Sebenarnya, masih ramai rakan yang tidak tahu mengenai perpisahan mereka berdua. Menurut rakan yang memberi khabar berita ini, sudah hampir dua tahun mereka berpisah.

Maknanya, lama juga dia memendam rasa dan rahsia. Di luar nampak gembira tetapi dalam senyap ada kepedihan di hati yang ditanggungnya.

Saya difahamkan, bekas si suami ada orang baharu dalam hidupnya. Kehadiran orang ketiga itulah punca keretakan rumah tangga mereka.

Kata orang, lelaki memang suka pucuk muda! Apabila si isteri sudah berusia, mulalah si suami nampak banyak kekurangan pada pasangannya.

Saya tidak pernah melalui fasa hidup berumah tangga. Jadi, tidak adil rasanya untuk saya mengulas lanjut punca ataupun kewujudan kehadiran orang ketiga itu.

Cuma, apa yang terus terfikir dan tertanya-tanya dalam kepala saya, bagaimanakah si isteri itu harus melalui hari-harinya tanpa teman hidup di sisi, apabila usia semakin terus meningkat.

Tentunya sepi! Jika dulu, apa sahaja yang dilakukan selalu bersama. Tetapi kini sendirian dan terpaksa kembali melakukan semuanya sendiri.

Bukan mudah untuk lalui semua itu, apatah lagi sudah terlalu lama mereka hidup bersama.

Mungkin lebih lama, dia hidup bersama dengan bekas suaminya berbanding dengan kedua-dua orang tua yang melahir dan menjaganya semasa bujang dulu.

Alangkah indahnya, dalam usia semakin meningkat cinta yang dipupuk sejak dari usia remaja dapat terus dipertahankan.

Realitinya, cinta pasangan berusia bukanlah cinta yang luar biasa seperti halnya anak muda yang bergelora bercinta sehingga terkadang melupakan aturan yang ada.

Cinta dalam usia senja mungkin sederhana tetapi indah penuh makna. Itulah sejatinya cinta.

Oleh sebab itulah cinta dalam usia yang semakin meningkat itu sewajarnya terus  teguh dan dipertahankan.

Sedihnya, tidak semua pasangan mampu berbuat demikian. Badai dan ombak melanda tidak mampu ditepis, maka terungkailah kasih sayang.

Berdepan dengan situasi ini sememangnya perit. Malah, luka itu tidak mungkin sembuh sampai bila-bila.

Doa saya, semoga si isteri terus tabah dan kuat dalam melalui hari-hari tuanya.





Wednesday, November 14, 2018

Tukarkan kesedihan kepada keceriaan

Teks: Nor Affizar Ibrahim


Tukar kesedihan kepada keceriaan



Emosi manusia ini beragam. Ada ketika gembira dan ceria tetapi ada masanya murung atau pun sedih. 

Apabila anda gembira tentunya ia membawa aura positif. Namun, awas! Emosi sedih yang boleh membawa tekanan dan kemurungan adalah sesuatu yang negatif dan perlu dielakkan. 

Jika dilanda perasaan atau emosi seumpama itu, dapatkan bantuan. 

Dalam dunia kaunseling, bagi memahami individu yang dilanda emosi sedih ada beberapa perkara yang perlu dilakukan.

Pertama sekali, binalah hubungan dengan individu itu.  Teroka dan selami perasaan yang dialaminya. 

Pada peringkat persediaan ini, perkara yang perlu dilihat ialah mengkaji latar belakang individu terbabit.

Segala maklumat peribadinya perlu dikumpul secara teratur dan sistematik untuk memudahkan anda memahami persoalan sebenar dirinya.

Pada tahap ini anda perlu membentuk hubungan dan seterusnya barulah memberikan pertolongan. Pada awal sesi, anda haruslah menjadikan klien lebih selesa. 

Perlu juga  ada empati atau 'meletakkan diri' kita dalam dirinya. Apabila dia sudah ada kepercayaan kepada anda, pastinya indvidu terbabit bersikap terbuka untuk berkongsi masalah dihadapinya.

Jika dia mudah bercakap dan meluahkan segala isi hatinya, anda bolehlah terus memberi dorongan kepadanya untuk terus bercerita. 

Seandainya, dia sukar untuk bercerita, maka anda hendaklah bijak mengemukakan soalan-soalan yang terbuka agar menggalakkan dia untuk bercerita. 

Anda hendaklah mengelakkan pendekatan 'soal-selidik' dikemukakan kepadanya kerana ini akan menyebabkan dia berasa terancam atau takut. 

Jadilah pendengar yang baik untuk membantunya menyelesaikan masalah dan menukarkan kesedihan dihadapi kepada gembira. 

Mungkin bukan mudah untuk melakukan semua itu tetapi ia bukanlah sesuatu yang mustahil.















Tuesday, November 13, 2018

Bengkel para kaunselor




Teks: Nor Affizar Ibrahim

Bengkel para kaunselor





Berkampung hampir dua minggu di Instittut Sosial Malaysia (ISM), baru-baru ini, satu pengalaman baharu kepada saya.

Apatah lagi, sudah terlalu lama saya meninggalkan ‘dunia hostel’ dan pergi ke kelas untuk belajar.

Rutin sepanjang dua minggu yang bermula pada 29 Oktober hingga 9 November lalu, sedikit sebanyak mengimbau kenangan ketika menuntut di Institut Teknologi Mara, lebih 20 tahun lalu.

Bezanya, sepanjang dua minggu itu saya sentiasa bersemangat dan seronok untuk menghadiri kelas.

Malah, sepanjang tempoh itu saya juga boleh dikatakan cukup berdisiplin. Bangun awal, kemudian bersaparan di dewan makan bersama rakan-rakan sekuliah dan tepat jam 8.30 pagi saya sudah pun berada di kelas,

Sedikit pun tidak berasa jemu, sebaliknya perasaan teruja sentiasa di hati untuk menuntut ilmu baharu.

Jemputan menghadiri Bengkel Para Kaunselor Tahap 1 dan 2 anjuran ISM, saya anggap rezeki yang begitu bermakna.

Sebenarnya, saya sudahpun menolak tawaran itu apabila memikirkan terlalu banyak cuti yang perlu dipohon untuk mengikuti itu.

Tetapi keesokan harinya, saya nekad mengubah keputusan itu. Memang, saya berasa begitu rugi jika menolak tawaran itu. Syukur, ketua jabatan membenarkan saya bercuti panjang walaupun permohonan dibuat saat akhir.

Menerusi bengkel itu saya belajar dan didedahkan ilmu asas kaunseling, bukan saja teori tetapi juga amali.

Pendedahan dan kemahiran berkenaan kaunseling asas yang dikongsikan oleh beberapa tenaga pengajar Kaunselor Berdaftar, membolehkan saya memahami prinsip dan etika kaunseling.

Seramai 18 peserta yang mengikuti bengkel berkenaan dan masing-masing datang dari pelbagai latar belakang seperti usahawan, perbankan, sumber manusia, pesara dan sebagainya.


Ilmu yang ditimba cukup bermanfaat dan pada akhir kursus kami diberikan sijil, sekali gus layak diiktiraf sebagai Para Kaunselor.

Dengan ilmu dan kemahiran baharu, saya berharap selepas ini  akan dapat lebih banyak  meluangkan masa dalam kerja sukarelawan.