Showing posts with label CATATAN 2019. Show all posts
Showing posts with label CATATAN 2019. Show all posts

Thursday, August 15, 2019

Rehatlah Nora Anne


Oleh Nor Affizar Ibrahim

Rehatlah Nora Anne


Pencarian 10 hari remaja warga Ireland, Nora Anne Quoirin yang , dilaporkan hilang ketika menginap di resort The Dusun, Pantai, di Seremban, Negeri Sembilan  bersama keluarganya membawa khabar duka apabila mayatnya ditemui kira-kira dua kilometer dari resort berkenaan.
Berita sedih itu pastinya bukan sahaja dirasakan oleh keluarganya tetapi ramai pihak, khususnya yang mengikuti perkembangan kes kehilangan remaja itu  sejak hari pertama kejadian.
Sebaik sahaja berita kehilangan remaja yang mengalami masalah  holoprosencephaly atau lembam  itu tersebar, ramai  berdoa dan berharap, dia dapat cepat ditemui semula dan selamat kembali ke pangkuan keluarganya.
Sepanjang pencarian Nora Anne, doa dan sokongan orang ramai sentiasa mengiringi keluarga malang itu.
Malah, kes kehilangan Nora Anne bukan sahaja diikuti masyarakat tempatan, tetapi juga seluruh dunia.
Benarlah kata  keluarga itu,  Nora Anne berjaya menyatukan semua pihak terutama Perancis, Ireland, Britain dan Malaysia dalam misi mencarinya secara bersama.
Kenyataan itu yang dikeluarkan di Facebook Lucie Blackman Trust, sebuah perbadanan amal yang menguruskan hal ehwal berkaitan media untuk keluarga mangsa menyatakan, Nora Anne menyentuh hati bukan saja rakyat Malaysia tetapi juga seluruh dunia.
Selain itu, ahli keluarga turut menyifatkan Nora sebagai gadis yang istimewa dan seorang yang menyeronokkan, lucu serta sangat penyayang.

Kata keluarganya, remaja berusia 15 tahun itu tidak seperti remaja lain dan tidak akan ke mana-mana bersendirian.

Nora Anne menghidap ‘Holoprosencephaly’ sejak lahir iaitu mengalami masalah mempunyai saiz otak yang lebih kecil berbanding individu lain.

Lebih kasihan, sepanjang hayatnya, Nora Anne banyak meluangkan masa di hospital. Ketika lahir, dia memerlukan pembedahan untuk membantunya bernafas.

Beberapa pakar kesihatan memantau tumbesarannya, kebolehan fizikal, kekuatan terutama keupayaan mentalnya.

Nora memerlukan pemantauan pakar pendidikan yang khusus dan ditempatkan di sekolah untuk kanak-kanak dan remaja yang mempunyai masalah berkomunikasi serta pembelajaran.

Kenyataan itu turut menyebut, Nora Anne turut berbangga kerana dapat bertutur dalam Bahasa Perancis dan Inggeris. Namun, kebolehannya untuk berkomunikasi secara lisan adalah terhad.

Nora Anne membaca seperti kanak-kanak dan dia boleh menulis dengan banyak. Dia mempunyai daya ingatan yang baik tetapi tidak memahami apa-apa secara konseptual.

Dia juga tidak memahami matematik dan tidak pandai menggunakan wang, selain membuat atau menjawab panggilan telefon.

Walaupun begitu, Nora Anne mampu mandi dan memakai pakaiannya sendiri. Cuma dia menghadapi kesukaran untuk memasang butang dan membasuh rambutnya.

Sebelum ini, dia pernah ke Asia serta Eropah dan tidak pernah terpisah dengan keluarga atau tersesat.
Nora Anne juga sangat sensitif, malah pemalu dan akan resah terhadap orang luar.
Setiap malam, dia akan meluangkan masa bersama ibunya sebelum tidur.

Nora Anne dikatakan, sangat teruja untuk bercuti di Malaysia bersama keluarganya.

Itu antara perwatakan dan ciri-ciri yang dimikili Nora Anne yang dikongsikan oleh keluarganya.
Betapa, dia begitu disayangi dan diberikan perhatian sepenuhnya oleh keluarga. Justeru, kehilangannya pasti sesuatu yang merisaukan dan membuatkan keluarga menjadi tidak keruan.
Namun, akhirnya jawapan kehilangan Nora Anne ditemui dan  takdir Tuhan mengatasi segala-galanya apabila mayat remaja itu ditemui pada hari ke-10 pencariannya.
Mayatnya dijumpai jam 1.57 tengahari dan disahkan oleh polis, selepas keluarganya membuat pengecaman.
Mayat remaja itu ditemui oleh pendaki yang menyertai pasukan mencari dan menyelamat (SAR) yang dimulakan,selepas menerima laporan kehilangannya pada 4 Ogos lalu.
Dengan penemuan mayat itu secara tidak langsung, kes kehilangan sudah pun menemui titik noktah.

Mesikpun, mayat Nora Anne ditemui dalam keadaan sempurna dan baik, terdapat beberapa persoalan yang menyelubungi benak fikiran semua pihak.

Sehinggakan pelbagai spekulasi timbul dan meresahkan orang ramai.

Bagaimanapun, semua jawapan terlerai apabila hasil bedah siasat yang dijalankan terhadap mayat Nora Anne, mendapati punca kematian disebabkan kebocoran usus akibat tidak makan dalam tempoh panjang dan stres berpanjangan.
Hasil bedah siasat oleh pakar patologi yang memakan masa 10 jam turut mendapati remaja warga Ireland itu mati dalam masa dua ke tiga hari sebelum ditemui.
Tiada luka lain atau kesan jenayah pada mayat Nora Anne selain calar kecil pada kaki serta tiada kesan dirogol.
Dengan semua kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa itu, maka terlerailah segala persoalan.
Hanya simpati yang dapat diucapkan kepada keluarga Nora Anne kerana pemergian insan disayangi untuk selama-lamanya.

Pastinya, tragedi yang menimpa mereka sekeluarga sesuatu yang tidak mudah dilupakan begitu sahaja.

Namun, diharapkan keluarga Nora Anne dapat menerima takdir ini.

Moga kejadian ini tidak berulang atau berlaku kepada sesiapa. 

Damailah Nora Anne di sana.

Rest now dear Nora Anne...



\INFO:
Rentetan Kehilanagn Nora Anne Quoirin
3 Ogos 2019 – Nora Anne Quoirin, 15, remaja Ireland tiba di Resort The Dusun Pantai Hill, Seremban, Negeri Sembilan bersama keluarganya untuk bercuti.

4 Ogos 2019 – Remaja perempuan yang mempunyai masalah pembelajaran itu disedari hilang oleh ahli keluarganya apabila tiada di bilik penginapannya jam 8 pagi.
Polis menerima maklumat kehilangan mangsa daripada pemilik resort selepas dimaklumkan oleh seorang ahli keluarga remaja itu. Polis melakukan misi pencarian membabitkan bomba dan anggota polis dari Unit Anjing Pengesan (K9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan.

5 Ogos 2019 – Pihak berkuasa termasuk polis dan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) mengawal ketat kawasan Resort The Dusun Pantai Hill, lokasi Nora Anne dilapor hilang.


8 Ogos 2019 -Operasi SAR masuk hari kelima, diteruskan dengan kekuatan 247 anggota dari pelbagai agensi keselamatan dan diketuai oleh Unit Senoi Praaq Polis Diraja Malaysia (PDRM).Khidmat helikopter Pasukan Gerakan Am PDRM turut digunakan dengan tambahan teknologi yang lebih canggih bagi mengesan gadis tersebut.Inisiatif lain yang diambil adalah dengan memainkan rakaman suara ibu Nora Anne memanggil remaja itu dengan panggilan manja menerusi pembesar suara sepanjang SAR.
12 Ogos 2019- Operasi SAR masuk hari kesembilan, diteruskan dengan kekuatan 348 anggota dari pelbagai agensi keselamatan.  Ganjaran sebanyak RM50,000 ditawarkan oleh keluarga Nora Anne kepada mana-mana pihak yang dapat memberi maklumat untuk menjejaki Nora Anne.Pasukan polis Ireland, England dan Perancis turut membantu PDRM menyiasat kes kehilangan Nora Anne.
13 Ogos 2019 - Operasi SAR masuk hari ke-10, mayat seorang wanita berkulit putih ditemui oleh sekumpulan pendaki di Gunung Berembun kira-kira 2.5 kilometer dari resort The Dusun Pantai Hilll/ Mayat telah dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban menggunakan helikopter. Pihak polis sahkan bahawa mayat yang ditemui adalah Nora Annesetelah ahli keluarga remaja itu membuat pengecaman.


Tuesday, July 2, 2019

Ilmu diajar seiring adab


Teks Nor Affizar Ibrahim


Ilmu diajar seiring adab


Lega rasanya apabila media melaporkan, isu pelajar perempuan yang dirotan guru lelaki kerana mengejek cikgu pondan, berakhir dengan baik dan mencapai kata sepakat oleh semua pihak terbabit.

Malah, ibu bapa pelajar berkenaan juga sudah pun menarik balik laporan polis yang dibuatnya, sebelum ini.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Khalil Kader Mohd.
Khabarnya, , satu pertemuan antara mereka telah diatur bersama-sama dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan esok

Jalan penyelesaian terbaik akan dicari buat kedua-dua pihak, bagi mendapatkan situasi menang-menang, tanpa perlu membabitkan undang-undang.

Apa pun, isu cikgu merotan murid dan mengakibatkan kesan atau lebam pada tubuh serta campur tangan ibu bapa, sebenarnya bukanlah isu baharu.

Malah, terdapat juga kes guru yang dikenakan hukuman penjara dan dibuang kerja akibat didapati bersalah merotan anak murid hingga menyebabkan kecederaan.

Malang sungguh, jika ini berlaku dan terus berlaku dalam masyarakat kita hari ini.

Lazimnya, apabila timbul isu ini mulalah berlaku tuduh menuduh antara pihak terbabit, sekali gus menimbulkan pelbagai emosi dan sentimen.

Lebih menyedihkan, apabila isu seumpama ini menjadi viral dan berlakulah pula ‘campur tangan’ orang luar atau netizen yang boleh menambahkan lagi buruk keadaan.

Apabila hal seperti ini timbul, sepatutnya ia dijernihkan secepat mungkin tetapi apa yang sering berlaku, menjadi berpanjangan.

Hinggakan, orang luar yang tidak tahu hujung pangkal menokok tambah cerita yang tidak sepatutnya.

Akhirnya, bertambahlah lagi kemelut dan konflik antara pihak terbabit.

Dalam kes berlaku baru-baru, pujian harus diberikan kepada beberapa pihak terbabit yang berjaya menangani segera isu ini dengan sebaik mungkin dan dengan cara yang penuh berhemah.

Tidak dinafikan keadilan sangat penting bukan saja kepada pihak murid, tetapi juga kepada pihak guru berkenaan.                                                                                                  

Namun, yang perlu perlu pelajari sesuatu daripada kes yang berlaku ini ialah cara untuk menanganinya secara menyeluruh kerana ia membabitkan adab seorang pelajar terhadap gurunya dan reaksi guru terhadap situasi luar jangka..

Bagi ibu bapa pula, selalulah berpesan kepada anak anda hormatilah guru mereka setiap masa.

Ini kerana ilmu itu diajar seiring dengan adab. Oleh sebab itulah orang berilmu adalah orang yang beradab. Orang yang beradab akan hormat pada sumber ilmu iaitu gurunya.

Jika murid tidak menghormati guru dan menunjuk lagak masing-masing, tidak mendengar kata, melawan kata-kata guru dan sebagainya maka jelas sekali itu memang tiada adab.

Kalau tiada adab maknanya, tiadalah ilmu yang akan masuk ke jiwa dan minda.


Wednesday, June 12, 2019

Raikan Syawal Dengan Penuh Keikhlasan



Raikan Syawal dengan penuh keikhlasan

Teks Nor Affizar Ibrahim



Hari ini sudah masuk hari ke-8 kita meraikan Hari Raya Aidilfitri.

Bagi kebanyakan warga kota yang beraya di kampung halaman, sudah pun pulang semula ke ibu kota dan memulakan tugasan seperti biasa.

Bermakna, ibu kota yang selama seminggu ini lengang kembali ‘bernyawa’ dengan kesesakan kenderaan dan manusia yang sentiasa sibuk terkejar-kejar ke sana sini.

Hampir seminggu pulang ke kampung halaman dan melepaskan rindu serta mengeratkan lagi silaturrahim dengan keluarga dan sanak saudara di kampung, tentunya memberikan satu kepuasan.

Syukur juga diucapkan kerana tahun ini, kita masih dapat melalui Ramadan dan meraikan Syawal.

Tidak kiralah sama ada sambutan itu dibuat secara bermewah-mewahan, bersederhana atau ala kadar yang pasti, kita masih dapat bersama dan menjalinkan ukhwah dengan penuh kasih sayang.

Tahun ini, hijau zamrud dikatakan, antara warna pilihan untuk pakaian raya.  Jadi, tidak hairanlah ramai yang mengenakan pilihan baju warna itu.

Tetapi tanpa tema warna sedondon pun, kita masih boleh menyambut hari raya dalam suasana riang, meriah dan penuh kesyukuran.

Ini kerana semuanya bermula daripada hati yang ikhlas dan keupayaan kita menghayati serta memahami erti kesyukuran yang sebenar.

Jadi, teruskanlah menyambut meraikan hari raya dengan kasih sayang, saling bermaafan dan jiwa yang bersih.  

Yang pasti, seperti tahun-tahun sebelum ini, ada sahaja pelbagai cerita mengenai sambutan hari raya. Ada yang mencuit hati, melucukan, sedih dan menyayatkan hati serta pelbagainya.

Cerita sedih seperti berita kematian dan kemalangan atau mala petaka, tentu sahaja kita tidak suka menerima khabar seumpama itu, lebih-lebih lagi dalam suasana gembira kita menyambut Aidilfitri.

Namun, siapa kita untuk menolak qada dan qadar. Ujian seumpama itu jika berlaku kepada kita, seharusnya diterima dengan reda dan dihadapi dengan tabah serta sabar. Anggaplah semua yang berlaku ada hikmah di sebaliknya.

Selain itu, ada juga beberapa cerita viral yang mewarnai sambutan Aidilfitri tahun ini. Antaranya, kisah anak dan ibu yang tertinggal di R&R sehinggakan ramai netizen yang memberikan pelbagai komen negatif dan tanggapan buruk kepada keluarga terbabit.
Bagaimanapun, pesan saya janganlah cepat menghukum kerana perkara seumpama itu boleh sahaja berlaku kepada sesiapa.
Mungkin, hari ini hari mereka dan tidak tahu pula bila pula hari kita. Jadi, janganlah lemparkan kata-kata yang tidak enak didengar kepada keluarga terbabit.
Selain itu, terdapat juga kisah anak kucing kena dera. Cerita seperti ini memang sepatutnya tidak dibiarkan berlaku kerana ia satu penganiayaan kepada haiwan yang tidak berdosa.
Manusia yang dikurniakan Allah dengan akal fikiran waras tidak sewajarnya bertindak di luar batas kemanusiaan.
Bagaimanapun, dalam banyak cerita viral tahun ini, kisah pemberian  duit raya RM5 daripada seorang anak saudara kepada ibu saudaranya antara yang menarik perhatian.

Rasa-rasanya, tidak perlulah merungut atau berkecil hati apabila menerima duit raya yang jumlahnya tidak seperti diharapkan.

Terimalah setiap pemberian itu dengan rasa syukur dan ucapan terima kasih.

Sepatutnya, kita perlu berasa gembira menerima kunjungan tetamu kerana ia juga sebagai tanda ingatan dan kasih sayang daripada mengharapkan wang ringgit atau hadiah yang diberikan.

Dengan berbaki 22 lagi sambutan hari raya, saya berharap kunjung-mengunjungi dapat diteruskan dan semoga semuanya berjalan dengan baik serta mengeratkan lagi kasih sayang antara tua dan muda.

Selamat hari raya!



Wednesday, May 29, 2019

Belanjalah berhemah


Teks Nor Affizar Ibrahim

Belanjalah berhemah



Hari Raya Aidilfitri semakin dekat. Ini juga bermakna, Ramadan semakin hampir kita tinggalkan.

Terasa masa cepat sangat berlalu.

Ketika ini, mungkin ada yang sudahpun membuat persiapan untuk menyambut lebaran, khususnya bagi yang mempunyai anak kecil. Malah, ada yang sudah pun membuat persiapan lebih awal lagi iaitu sebelum puasa bermula.

Maklum, jika ada anak kecil dan ramai pula tentu sahaja banyak persiapan perlu disiapkan. Justeru, ada yang mengambil langkah membuat persiapan awal untuk memastikan bajet mencukupi dan tidak tersasar.

Namun, ada juga yang suka membuat persiapan menyambut Aidilfitri di saat-saat akhir. Antara sebabnya kerana tiada masa untuk pergi membeli-belah kerana sibuk dengan urusan kerja.

Ada juga yang membuat keputusan untuk membuat persiapan di saat akhir kerana beranggapan, harga barangan ditawarkan lebih murah dari biasa.

Tidak kiralah, sama ada anda membuat persiapan awal atau pun di saat-saat akhir hingga ‘terkucil’ dibuatnya, harap semuanya berjalan lancar.

Paling penting, jangan mudah terpengaruh dengan jualan murah yang tidak logik masuk akal sehingga akhirnya terpedaya dan mengalami kerugian.

Selain itu, pastikanlah bajet untuk berbelanja membuat persiapan Aidifitri sesuai dengan sumber kewangan sendiri.

Jangan main ‘belasah’ beli apa sahaja yang dikehendaki, sebaliknya tengok-tengoklah kocek dan dompet anda.

Kita tidak mahulah lepas balik bercuti hari raya ini, ada yang terkebil-kebil dan memikirkan cara macam mana hendak cari duit yang sudahpun habis dibelanjakan dek kerana membuat persiapan hari raya.

Ingat! Jangan sudah terhantuk baru hendak terngadah.

Monday, May 27, 2019

Damailah di sana

Damailah di sana

Teks Nor Affizar Ibrahim


Berbaki lebih kurang 10 hari lagi Ramadan.

Seperti tahun-tahun sebelumnya, beberapa kisah tragedi dan pilu kematian berlaku pada bulan Ramadan. Begitu jugalah yang berlaku pada tahun ini.

Antara tragedi pilu Ramadan tahun ini ialah kematian usahawan kosmetik Faziani Rohban Ahmad, 40, yang juga pengasas produk kecantikan jenama Dnars Skincare.

Allahyarham maut manakala suaminya cedera selepas kereta jenis Toyota Estima yang dinaiki terlibat dalam kemalangan jalan raya di Pattani, Thailand pada awal Ramadan lalu

Dalam kejadian pada pukul 10.30 pagi itu, suaminya, Ahmad Shah Rizal Ibrahim, 42, mengalami kecederaan.

Kemalangan berlaku semasa Faziani dalam perjalanan ke rumah anak-anak tahfiz bagi memberikan sumbangan. Beliau meninggal dunia di tempat kejadian.

Dalam satu laporan di akhbar, anaknya, Ainul Atiya Ahmad Shah Rizal, 18, menceritakan,  mereka sekeluarga sempat bersahur bersama ibu dan ayahnya sebelum mereka bertolak ke pondok di Pattani yang menjadi rutin bulanan menyampaikan wang zakat di sana. 

Namun, pemergian kali ini bertukar tragedi.

Memang sungguh memilukan pemergian, Allahyarham. Perginya untuk selama-selamanya meninggalkan dunia fana ini ketika dalam melakukan amal jariah dan dalam niat suci.

Justeru, ramai yang ‘mencemburui’ pemergian arwah. Kebaikan arwah di sebut- sebut. Ramai berpendapat, ia salah satu tanda kematian husnul khotimah.

Meninggalnya pulak pada fasa kedua ramadan iaitu fasa pengampunan dan dalam perjalanan menginfakkan hartanya ke jalan Allah serta baru kembali dari menunaikan umrah.

Malah, selepas jasadnya Allahyarham disemadikan, satu persatu kebaikan yang dilakukannya diceritakan ramai pihak.

Allahyarham disifaitkan seorang yang tidak kedekut dan suka memberikan hadiah kepada ramai orang.

Pemergian arwah bukan sahaja dirasakan oleh suami, anak-anak, ahli keluarganya dan rakan-rakan tetapi juga memberi kesan terhadap 55 pekerjanya.

Ini kerana usahawan itu disifatkan sebagai majikan yang sering menjaga kebajikan pekerjanya.

Laporan dalam Sinar Harian, berkongsi cerita dengan beberapa pekerjanya mengenai kebaikan Allahyarham sebagai majikan.

Antaranya, pekerjanya, Mohd Mahzam Ismail,23,  berkata, walaupun Allahyarham tegas dalam urusan kerja tetapi dia seorang majikan yang sangat baik dan pemurah.

"Setiap hari bermula satu Ramadan, Allahyarham sediakan lauk-pauk seperti ayam percik dan kuih-muih untuk dibawa balik berbuka puasa dengan keluarga.

"Kami juga diminta datang solat tarawih beramai-ramai di rumahnya sepanjang Ramadan ini dan sebelum puasa kami diberi beras dan barang keperluan dapur," katanya.

Moga roh arwah ditempatkan dalam  kalangan orang yang beriman dan beramal soleh.

Salam takziah buat keluarga. Mungkin juga lebaran tahunan ini tidak akan sama lagi tahun-tahun sebelumnya.

Bagaimanapun, diharapkan semoga keluarga arwah terus tabah berdepan dengan kehilangan orang disayangi.

Saya juga mengharapkan moga pengakhiran hidup kita semua dalam keadaan Husnul.Khotimah.

AL-Fatihah!




Monday, March 25, 2019

Tabik hormat wira bangsa


Tabik hormat wira bangsa

Teks Nor Affizar Ibrahim


Drama bersiri Leftenan Zana yang disiarkan di TV3 sudahpun habis bersiaran.

Drama bersiri ini dikatakan, meraih sambutan luar biasa apabila mencatat 10 juta tontonan sepanjang 16 episod bersiaran di TV3.

Drama bersiri Leftenan Zana arahan Jinggo itu, menampilkan Janna Nick sebagai pelakon utama.

Selain Janna, drama bersiri itu turut membariskan Sheila Rusly, Tunku Hanis, Hairie Othman, Zarul Husin, Ameerul Asyraf dan Redza Rosli.
Ceritanya mengisahkan mengenai impian Zana yang bercita-cita mahu menjadi anggota tentera tetapi cita-citanya itu tidak direstui bapanya. Zana adalah anak perempuan bongsu Mejar (B) Rahmat.
Sejak kecil, Zana sangat rapat dan manja dengan bapanya sehinggakan dia ingin menjadi seorang askar seperti Rahmat.
Malangnya, Rahmat tidak suka dan tidak akan membenarkan Zana untuk menyertai bidang ketenteraan.
Rahmat lebih mengharapkan Zaidi, anak lelaki sulungnya untuk menyambung legasinya tetapi Zaidi tidak berminat.
Walaupun dihalang, Zana tekad untuk meneruskan cita-citanya dan dalam diam telah membuat permohonan secara online untuk menjadi anggota tentera Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Zana telah terpilih untuk menjalani ujian saringan dan akhirnya berjaya diterima sebagai pelatih ATM dan perlu menjalani latihan di Melaka.
Pada mulanya, Zana berbohong mengatakan bahawa dia diterima bekerja di sebuah syarikat swasta. Namun, di saat akhir Zana berterus terang kepada Rahmat dan ibunya.
Walaupun marah, Rahmat tetap menghantar Zana ke kem untuk latihan. Rahmat pasti Zana tidak akan bertahan lama di sana.
Ujian Zana bermula dan ternyata apa yang dikatakan oleh bapanya mengenai kepayahan di kem, semuanya benar.
Selain Sarjan Qamar yang menggerunkan, Zana tertekan dengan pelbagai latihan yang memenatkan fizikal dan mental.
Di kem,  Zana turut dibuli oleh Raz yang membencinya. Sehinggalah suatu hari, Zana tekad membuat keputusan untuk melarikan diri daripada kem.
Saya sebenarnya, tertarik dengan drama bersiri Leftenan Zana kerana ia mengingatkan penyertaan dan pembabitan saya dalam Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) ketika menuntut di Institut Teknologi MARA.

Malah, sepanjang siri drama ini ke udara saya menjadi antara penonton setia menontonnya dari siri pertama hinggalah terakhir.

Babak ketika Leftenan Zana dan rakan-rakan menjalani latihan kadet antara yang menarik minat saya.
Mana tidaknya, setiap kali babak itu dipaparkan ia terus mengimbas detik-detik ketika saya menjalani tiga tahun latihan kadet PALAPES.

Saya tidak nafikan, perit, penat dan stres menjalani latihan ada ketika terlintas dalam fikiran untuk saya keluar dari PALAPES.

Jujurnya, saya menyertai PALAPES ketika itu kerana inginkan elaun yang saya harapkan boleh membantu pembiayaan pengajian saya.

Rakan sebilik sayalah yang beriya-iya mengajak saya sama-sama menyertai pasukan itu kerana dia juga berdepan masalah sama.

Ketika itu, saya hanya nampak PALAPES dapat memenuhi hasrat itu.
Meskipun, was-was dengan keupayaan diri sendiri saya tekad juga menghadiri temuduga dan ujian yang disyaratkan.

Ternyata, saya berjaya ‘melepasi’ ujian fizikal dan mental sepanjang latihan hinggalah saya berjaya ditauliahkan sebagai Leftenan Muda.

Ya! Ia memang begitu membanggakan saya dan keluarga terutama arwah Ayah, apabila saya ditauliahkan sebagai Leftenan Muda.

Namun, bukan mudah untuk harungi tiga tahun latihan. Disiplin tinggi dan jadual padat adakala menyebabkan saya rasa hampir tewas.

Saya juga masih ingat, bagaimana hitam legam muka saya apabila terpaksa berjemur di tengah panas mentari terik ketika membuat latihan kawad.

Seperti Leftenan Zana, saya juga pernah pitam ketika berkawad. Mujur, saya tidak rebah sebaliknya cepat-cepat meminta keluar baris dan dibenarkan berehat.

Begitu juga comotnya saya bersalut lumpur dan debu pasir apabila membuat latihan perang. Rambut jadi ‘kejung’ kerana beberapa hari tidak mandi.

Bau badan pula usah cerita dan ditambah lagi dengan baju yang tidak bersalin beberapa hari.

Gali kubu dan tidur tersenggut-senggut di dalam kubu, sambil tangan memegang erat senjata antara pengalaman sukar dilupakan.

Berendam dan mandi dalam kawasan yang ada pacat pula adalah antara kisah ‘ngeri’ terus bersarang dalam ingatan.

Banyak lagi pengalaman dan kenangan yang saya lalui ketika berlatih untuk PALAPES.

Sehingga hari ini, saya sendiri pun tidak tahu macam mana saya boleh bertahan berada dalam dunia lasak seperti itu.

Namun, yang pasti setiap kali mengenakan pakaian baju seragam tentera, semangat kental dalam diri memang sentiasa wujud terutama apabila mengenakan baju celoreng.

Ya! Kami bekerja dalam satu pasukan. Sentiasa saling memberi semangat dan sokongan satu sama lain.

Seorang buat silap, natijahnya semua akan berdepan hukuman bersama. Itulah yang dikatakan satu hati dan setia dalam pasukan.

Yang pasti, untuk menjadi seorang tentera sememangnya memerlukan pengorbanan tinggi dan jiwa yang kental.

Di sebalik pakaian seragam segak yang disarungkan dan paku tersemat di bahu, ada tanggungjawab besar harus digalas.


Oleh itu tabik hormat dan hargailah wira bangsa kita! 

Wednesday, February 20, 2019

Adik Masitah mangsa rasukan syaitan

Teks Nor Affizar Ibrahim
Adik Masitah mangsa rasukan syaitan

Tiga hari lalu, sendu dan tangisan mengiringi pengkebumian jenazah adik Siti Masitah Ibrahim, 11, yang ditemui mati dalam keadaan tragis di ladang kelapa sawit di Kampung Tanjung Medang Hilir pada 9 Februari lalu.

Selepas 10 hari mayatnya dibedah siasat di Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), akhirnya jenazah adik Masitah dibenarkan dituntut keluarga dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tanjung Medang Kemahang.

Sebelum itu, jenazah dimandi dan dikapankan di Masjid Tengku Ampuan Afzan di Indra Mahkota Kuantan selepas dituntut ibunya, Solihah Abdullah, 35.

Malang sungguh adik Masitah, pemergiannya cukup menyiksakan akibat perbuatan kejam manusia yang dirasuk syaitan dan berjiwa binatang.

Mayat Masitah sebelum ini ditemui dalam keadaan tragis dengan kepala terpisah serta beberapa organ dalaman hilang di ladang kelapa sawit.

Polis mengesahkan, mangsa dibunuh dengan kejam pada hari yang sama dilaporkan hilang pada 30 Januari lalu oleh seorang lelaki juga kenalan rapat keluarganya kerana motif dendam dan marah.

Tergamak sungguh pelaku, akibat dendam berbuku di hati dan amarah, kanak-kanak tidak berdosa dijadikan mangsa. 

Lebih dahsyat, diperlakukan dengan zalim dan cukup memilukan. Kegilaan apakah ini?

Bedah siasat yang dilakukan mendapati kanak-kanak malang itu meninggal dunia akibat “probable head injury” dan terdapat kesan kecederaan pada rahang kiri, bahagian atas tengkorak sebelah dipercayai akibat dipukul dengan kayu.


Berikutan itu suspek yang berusia, 23 tahun ditahan reman sehingga 24 Februari depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Ternyata pelaku tidak berperikemanusaan dan tergamak bertindak sekejam itu kepada adik 
Masitah yang pastinya tidak terdaya melawan serta menangkis tindak tanduk pembunuh itu terhadapnya.

Tidak terbayang, bagaimana agaknya kanak-kanak malang itu merintih kesakitan dan merayu simpati agar dilepaskan.

Syaitan apakah yang merasuk pelaku itu sehingga tergamak berbuat demikian?

Apakah pula perasaan pelaku itu ketika melakukan perbuatan kejam itu?

Sesungguhnya, memang tidak mampu akal fikiran waras ini menelah  atau mentafsirkan perilaku pelaku itu.

Pembunuhan kejam dan kematian adik Masitah bukan sahaja diratapi ahli keluarganya tetapi juga rakyat di negara ini. 

Malah, ia turut disulami rasa marah dan geram terhadap pelakunya.

Lantas, ramai menggesa dan berharap pelaku dihukum dengan setimpalnya.

Sedihnya, tahun 2019 baharu sahaja menjengah Februari tetapi kita sudah dikhabarkan dengar berita tragis seumpama ini.

Makin terhakiskah rasa perikemanusiaan dalam masyarakat kita? 

Tidak selamatkah lagi dunia ini untuk insan bergelar kanak-kanak?

Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul dan menanggungnya. 

Mungkin inilah yang dialami dan dirasakan keluarga adik Masitah yang kehilangan puteri kesayangan mereka selama-selamanya.

Moga keluarga ini bersabar dan tabah berdepan dengan ujian hebat ini.

Didookan juga agar adik Masitah damai di sana!


Al-Fatihah

Tuesday, January 29, 2019

Kampung Kerinchi VS Bangsar South

Teks Nor Affizar Ibrahim

Kampung Kerinchi VS Bangsar South


Pada Sabtu, 19 Januari  lalu, Bangsar South dikenali dengan nama asalnya iaitu Kampung Kerinchi.

Majlis pengisytiharan dirasmikan oleh Presiden PKR yang juga Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Turut hadir, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil dan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar.

Walaupun acara itu diadakan dalam suasana sederhana, detik itu dianggap penuh simbolik dan bermakna.

Sebagai salah seorang penduduk yang sudah menetap lebih 40 tahun di Kampung Kerinchi, tentu sahaja saya berasa gembira dengan pengisyhtiharan itu.

Ia dilihat sebagai  satu hari bersejarah yang boleh dianggap penuh bermakna, khususnya bagi penduduk asal penempatan bandar itu yang mula dibangunkan pada 1870-an.

Permasyhuran nama Kampung Kerinchi juga begitu bermakna bagi penduduk seperti saya yang sudah bertahun-tahun menetap di kawasan itu, dari satu generasi ke satu generasi.

Mengimbas pengenalan kepada Bangsar South, nama itu mula digunakan pada tahun 2012, selepas Kampung Kerinchi dinaik taraf.

Namun, kini ia dikembalikan kepada nama asal, Kampung Kerinchi, sekali gus menyuntik nostalgia dan memori lalu kepada saya.

Menurut laporan media, hal ini diputuskan kerana kawasan Kampung Kerinchi adalah satu warisan sejarah setempat yang sepatutnya dipertahankan dan dijadikan satu kebanggaan.

Ramai mengetahui, sejarah Kampung Kerinchi sudah sekian lama wujud sebelum wujudnya Lebuhraya Persekutuan dan kemerdekaan Malaya.

Justeru, ada berpendapat,  seharusnya mengekalkan nama kawasan Kampung Kerinchi tersebut kerana kita haruslah memartabatkan sejarah bangsa, nusa dan negara kita yang selama ini kita perjuangkan.
Bagaimanapun, tidak semua menyambut baik pertukaran semula nama itu. Ada yang tidak setuju dan memberikan pelbagai alasan tersendiri.

Ada segelintir yang berasa malu untuk menyatakan dirinya bekerja atau tinggal di Kampung Kerinchi.

Berbanding sebelum ini, begitu bangga menyebut dirinya tinggal atau bekerja di kawasan moden dan berlatarkan bangunan tinggi di Bangsar South.

Justeru, ada pula menyarankan kenapa tidak diberikan nama Ville Kerinchi?  Katanya, nampak moden dan maju.

Betul ke?  Begitulah dangkalnya fikiran. Asal perkataan bahasa asing atau barat sahaja dikatakan, moden dan maju.

Pergilah ke negara seperti Jepun, Korea, Itali dan Perancis, adakah rakyat di sana bangga dengan bahasa asing.

Percayalah, ia tidak sebegitu malah kebanyakan tulisan di papan tanda di negara  berkenaan menggunakan tulisan rasmi negara masing-masing.

Hinggakan, adakala menyukarkan pelancong asing untuk mendapatkan panduan arah.

Ada pula yang memberikan pendapat, penggunaan Kampung Kerinchi akan menjatuhkan pasaran harga hartanah di kawasan lokasi strategik itu.

Dengan riak berkata, pemaju harus diberikan hak untuk menamakan sesuatu kawasan yang mereka bangunkan.

Tambahnya, warga asing dan ekspatriat pula sudah terbiasa dengan gelaran Bangsar South dan sekiranya nama ditukar semula, ia akan menimbulkan kekeliruan.

Namun, ada juga pakar hartanah menafikan perkara itu kerana mereka yakin walaupun nama sesebuah kawasan memainkan peranan sebelum sebarang keputusan membeli hartanah dibuat, ia tidaklah sepenting kemudahan  dan bosster yang tersedia di kawasan terbabit.

Jujurnya, saya tidak menolak pembangunan. Bawalah kemajuan dan berikan sentuhan moden kepada Kampung Kerinchi  jika itu yang terbaik untuk kawasan itu. 

Saya dan rasa-rasanya majoriti penduduk asal dan yang sudah berkurun menetap di situ, akan menerimanya dengan terbuka.

Tetapi jauh di sudut hati, saya ingin sekali melihat pembangunan dan kemewahan yang ada di Kampung Kerinchi itu dapat dinikmati bersama penduduk yang sudah bertahun-tahun duduk di situ.

Tak perlulah pemaju mendabik dada bahawa mereka yang membawa pembangunan di kawasan itu.

Jika tidak ia semata-mata memenuhi kantung poket, mahukah mereka datang dan melabur di kawasan itu?

Tanpa mereka dulu pun, kami juga membangun dan maju, cuma tidak dinafikan pembangunan itu agak perlahan dan lambat.

Buktinya, kawasan yang dulunya hutan rimba berjaya ditebas dan didirikan rumah satu persatu. 

Bukankah itu juga usaha ke arah perubahan dan kemajuan?

Mungkin ramai yang tidak tahu, sebelum ini tidak ramai ‘berani’ untuk ‘masuk’ ke Kampung Kerinchi.

Malah, mendengar namanya sahaja, sudah ada persepsi negatif dan mungkin ada juga berasa takut.

Apabila penduduk mula berlembut hati, baharulah satu persatu kontraktor besar datang dan bertapak di Kampung Kerinchi.

Sehingga akhirnya, mereka mula menguasai sebahagian kawasan itu. Bak kata pepatah seperti “Belanda dapat tanah.”

Banyak sebenarnya yang saya mahu ceritakan perihal Kampung Kerinchi ini.

Insya-Allah, jika ada kesempatan saya akan menyambung lagi catatan mengenai  Kampung Kerinchi ini. 



INFO:
Sejarah Kampung Kerinchi

* Bermula pada penghujung abad ke-18 apabila kawasan tersebut dikatakan menjadi lokasi migrasi sekumpulan orang-orang Kerinci dari Jambi, Acheh dan Minangkabau, Indonesia ke Tanah Melayu.

*  Penghijrahan tersebut dipercayai berlaku kerana wujudnya rasa tidak puas terhadap pemerintahan tentera Belanda ketika itu di Indonesia yang menindas dengan kekerasan.

* Bagi mengelak daripada berterusan menjadi mangsa kezaliman, mereka berhijrah secara berkelompok ke Tanah Melayu.

* Melihat keadaan bentuk muka bumi di kawasan baharu tersebut yang mempunyai banyak persamaan dengan kawasan asal iaitu kawasan tanah tinggi, mereka terus membuka penempatan dan tinggal menetap di sini.

* Kampung Kerinchi, secara rasminya dibuka sekitar tahun 1890-an oleh pembesar Melayu bernama Abdullah Hukum dan pengikutnya selepas mendapat kebenaran daripada Raja Laut untuk meneroka kawasan Sungai Putih (kini Jalan Bangsar).

* Penerokaan tersebut menemui beberapa kawasan yang berpotensi bagi kegiatan pertanian antaranya seperti di Bukit Nenas.

* Dahulunya kawasan Bukit Nenas terkenal sebagai aktiviti penanaman buah nanas memandangkan tanahnya subur.

* Selain nanas, Kampung Kerinchi juga terkenal dengan aktiviti penanaman sayur dan buah-buahan seperti nangka, serai, daun mahang, padi serta getah.

* Hasil tanaman tersebut dijual kepada orang perseorangan dan di gerai-gerai kecil bahkan ada dihantar ke pasar sekitar Kampung Kerinchi.

* Ia kemudian menjadi profesion bagi kebanyakan peneroka Kerinchi malah warga tempatan turut mempelajari selok-belok bercucuk tanam bagi memperoleh mata pencarian harian.