Showing posts with label KOLEKSI KEMBARA. Show all posts
Showing posts with label KOLEKSI KEMBARA. Show all posts

Tuesday, April 23, 2019

Menggigil Di Puncak Gulmarg

Oleh Nor Affizar Ibrahim

Menggigil di puncak Gulmarg



"Nak main salji sangat...rasakan!" Kata-kata itu kemudian disambut deraian ketawa sambil masing-masing menggigil dan menahan kesejukan melampau apabila salji semakin lebat.


Malah, ada di antara kami berterusan menggetap bibir kerana tidak tahan berdepan dengan cuaca seperti itu.


Bagaimanapun, pengalaman bermain salji dan meredah perubahan cuaca berbeza yang dikecapi di pergunungan Gulmarg, di Kashmir, India memang menyeronokkan walaupun tubuh sepanjang masa terpaksa menahan rasa menggigil dan dingin beku di kawasan itu. 


Baju sejuk tebal dua lapis dan ditambah dua lapis lagi kemeja-T yang saya pakai, masih tidak mampu menahan kesejukan di bawah paras beku ketika itu.

 Angin kuat dan salji yang semakin lebat turun menambah lagi kesejukan.

Alang-alang sudah sampai di puncak, rugi kalau dilepaskan peluang melakukan aktiviti di situ, termasuk luncur papan, bermain ski dan juga merakam gambar kenangan di situ.

Salji tebal
 
Bertahan sahajalah walaupun diselubungi kesejukan dan menggigil, asalkan cita-cita bermain salji tercapai! 


Leka bermain salji menyebabkan debaran dan perasaan berbolak-balik seminggu sebelum bertolak ke Kashmir, larut tenggelam dalam cuaca dingin beku itu.

Sebelum menjejak ke bumi itu, ada pelbagai khabar berita tidak menyenangkan berlaku. 

Antaranya ialah insiden tembak-menembak dan juga cuaca buruk di situ.

Disebabkan persiapan sudah dibuat dan teringin sangat menjejakkan kaki ke Kashmir, saya bulatkan fikiran untuk meneruskan juga perancangan.

Untuk ke Kashmir, saya dan rakan tinggal semalaman di New Delhi, kemudian seawal Subuh kami terus menaiki penerbangan ke Srinagar.

Kali pertama berada di lapangan terbang yang dikawal rapi oleh ramai anggota tentera bersenjata, timbul perasaan cuak dan ingin segera beredar dari situ.

Mujur, walaupun berlaku sedikit salah faham dan perlu bersoal jawab, perancangan tetap berjalan lancar dan kami terus menaiki kenderaan untuk ke tempat penginapan. 

Tiba harinya, kami memulakan perjalanan untuk ke Gulmarg. Untuk ke pergunungan itu, saya dan rakan bertolak jam 8 pagi.

Dalam keadaan cuaca sejuk, kami perlahan-lahan meninggalkan Srinagar.

Gulmarg bererti 'padang bunga' adalah primadona Kashmir pada musim sejuk. Letaknya, sekitar 60 kilometer (km) dari Srinagar atau dua jam perjalanan.

Ketika melintasi Srinagar, saya lihat terpampang papan iklan yang menyamakan bermain ski di Gulmarg seakan sama di Switzerland.

Lalu, sepanjang jalan saya terus membayangkan keindahan Gulmarg.

Gulmarg terletak di bahagian Jammu dan Kashmir adalah wilayah paling hampir dengan sempadan Pakistan. Ia antara wilayah di India yang sering dilanda konflik.

Melewati kawasan desa, saya disajikan dengan pemandangan serba putih pada rumah, pokok pain dan kawasan ladang yang diselaputi salji.

Selepas melewati jalan perkampungan, sampailah saya di wilayah Gulmarg dan terus ke tempat penyewaan jaket dan but.

Kemudian, terus menaiki jip yang sudah ditempah dari awal untuk meneruskan perjalanan ke puncak.

Menyusuri banjaran gunung

Perjalanan menggunakan jip diteruskan dan ia melewati medan yang makin melampau keadaannya. Kali ini, jalan semakin sukar dan berkelok-kelok menyusuri banjaran gunung.
 

Angin kuat, salji yang berterusan turun dan jalan tidak berapa elok turut menyebabkan kenderaan bergerak lebih perlahan. Malah, beberapa kali juga jip terpaksa berhenti untuk membetulkan rantai besi tayar bagi memastikan ia dapat mencengkam permukaan licin salji.

Panorama di kanan dan kiri adalah hutan pain yang dasarnya tertutup hamparan salji putih.

Tiba sahaja di puncak Gulmarg, semua berebut-rebut mencari tandas. Udara dingin tentu sahaja kerap terasa ingin ke tandas. Tetapi yang tidak tahannya, air untuk mencuci pun menjadi beku! Aktiviti diteruskan dengan menaiki papan luncur yang ditarik orang Kashmir. 

Terasa gerun juga menaiki papan luncur, terutama apabila bertembung dengan beberapa kenderaan.
 

Bagaimanapun, mereka yang menariknya cekap sekali mengawal keadaan dan keselamatan penumpangnya.

Di kawasan puncak itu ada tempat penyewaan alat ski untuk yang berminat bermain ski. 

Uniknya, ada juga peniaga menjual air kopi panas dan makanan.

Dengan hanya membawa termos dan cawan kertas, peniaga akan mendekati dan memujuk pelanggan, membeli jualannya.
Ada khidmat jurugambar dan hasil kerja mereka memang memuaskan. Bayarannya murah sahaja dan lebih canggih, gambar diambil dicetak serta-merta di kawasan bersalji itu.

Hampir sejam menghabiskan masa di situ dan disebabkan salji berterusan turun dan tiupan angin semakin kuat, ramai meninggalkan segera tempat itu.
 

Untuk turun ke bawah, perjalanan semakin mencabar kerana litupan salji bertambah tebal dan cuaca bertambah sejuk.

Sesekali pemandu terpaksa berhenti untuk membersihkan cermin jip yang diliputi salji. Keadaan pula semakin gelap.

Lewat jam 9 malam, akhirnya kami sampai ke Srinagar. Rasa letih, kesejukan dan kelaparan silih berganti tetapi yang pasti, perjalanan seharian itu sememangnya pengalaman cukup menyeronokkan.


Info

Cara ke Gulmarg?
 
  - Gulmarg terletak di bahagian Jammu dan Kashmir, India.
 
  - Penerbangan dari Kuala Lumpur ke New Delhi, kemudian ke Srinagar.
 
  - Untuk ke Gulmarg, boleh menaiki bas atau menyewa kenderaan.
 
  - Untuk lebih mudah ke Gulmarg cari agensi pelancongan di Srinagar.


* Berita Harian Ahad 24 April 2019


Friday, February 22, 2019

Aura mistik Matterhorn

Teks Nor Affizar Ibrahim

Aura mistik Matterhorn

Bagaikan  menatap poskad atau helaian kalendar yang memaparkan gambar menarik. 

Terpegun seketika melihat apa yang terbentang luas di depan mata kerana pemandangannya sungguh menakjubkan dan belum pernah seumur hidup penulis menyaksikannya secara realiti.

Kunjungan ke Zermatt, Switzerland, pada tahun 2010 nyata memberi pengalaman baru dan tidak akan dilupakan.

Peluang melihat secara dekat puncak Alps, Matterhorn yang turut menjadi satu daripada 100 keajaiban di Eropah, memberi kepuasan dan sukar diungkap dengan kata-kata.

Sebaik saja memulakan perjalanan mendaki Matterhorn dengan menaiki kereta kabel gunung tertinggi di Eropah, penulis disajikan dengan pemandangan indah.
   
Tiba di puncak, perasaan kagum dan teruja semakin menghambat diri serta terpana menyaksikan semua itu hinggakan lidah kelu seketika untuk berkata- kata.
   
Puncak Matterhorn satu daripada puncak tertinggi dan terkenal di Switzerland selain Jungfrau.
   
Puncak itu sangat terkenal hinggakan gambarnya sering digunakan untuk kemasan pembungkusan beberapa jenama coklat di negara itu.
   
Rupa bentuknya jelas dan puncak yang sering diselubungi kabut memberikan Matterhorn aura mistik unik. Misteri pantulan matahari dan gabungan warna serta cahaya pesona yang terpancar pada gunung alps itu mengungkapkan lagi rahsia tersendiri.
   
Tidak hairan setiap tahun beribu-ribu pelancong dari serata dunia datang ke situ untuk menyaksikan kehebatan puncak yang berdiri tegak dan megah dengan ketinggian 4,478 meter itu.
   
Orang pertama mendaki puncak itu ialah warga England, Edward Whymper bersama kumpulannya pada Julai, 1865. Perjalanan ke situ sangat berbahaya hinggakan kumpulan pendaki itu kehilangan tiga anggotanya ketika menuruni puncak berkenaan.
   
Kini, pendakian boleh dibuat dengan menggunakan landasan kereta api moden dan kereta kabel, sekali gus membolehkan puncak itu `ditawan' dengan mudah. 

Perjalanan dari Zermatt ke syurga glasier Matterhorn dengan menggunakan kereta kabel mengambil masa lebih kurang 45 minit.
   
Untuk melihat keindahan panorama 360 darjah kawasan Alps, termasuk melihat lebih dekat puncak Matterhorn, penulis menaiki dek paling tinggi dengan altitud 3,883 meter. 

Berada di atas dek itu, dapat dirasakan glasier yang mencair, seolah-olah semakin dekat untuk disentuh.
   
Bagi meneroka lagi dunia glasier, penulis memasuki terowong ais yang membawa 15 meter ke bawah kawasan itu. 

Di dalamnya bukan saja lebih sejuk tetapi sungguh menakjubkan, terutama apabila dapat menyaksikan dunia mistik ais dan cahaya.

Sebenarnya, sebelum melihat semua keajaiban itu sepanjang perjalanan ke Zermatt, penulis bersama rombongan disogokkan pemandangan indah semula jadi dengan pergunungan dan keindahan dataran tinggi yang selalu saja dihiasi binatang ternakan dan kehijauan alam Swiss.
   
Lebih 1,000 bunga alpine ada di situ dan sesetengah spesies dilindungi. 

Kawasan pendakian membawakan perjalanan sejauh 400 km yang melalui hutan pain hingga tasik gunung dan glasier.

Kawasan itu juga dikenali sebagai syurga ski kerana dilitupi salji sepanjang tahun atau 365 hari, malah ia menyediakan keadaan sempurna untuk meluncur atau melakukan sebarang sukan salji.
   
Perjalanan ke Zermatt dari Zurich atau Geneva dengan kereta api mengambil masa lebih kurang tiga jam. 

Zermatt dulunya hanya sebuah perkampungan miskin manakala penduduknya terpaksa bekerja kuat membanting tulang setiap hari untuk mencari rezeki.

Kini, ia terkenal kerana memiliki keindahan kelas dunia dan ada banyak tarikan atau aktiviti yang tersedia hinggakan ia tidak putus-putus dikunjungi pelancong dari serata dunia.
   
Gornegrat adalah tempat terakhir yang boleh dicapai oleh kenderaan dari Zermatt. Gornegrat berada di ketinggian 3089 meter dan dari situ boleh dilihat beberapa jajaran pergunungan Alps yang sangat menakjubkan. 

Malah, pertama kali turun dari kenderaan, puncak Matterhorn boleh dilihat dengan jelas.
   
Udara di Zermatt bersih dan segar serta bebas daripada pencemaran kerana semua kenderaan di situ hanya menggunakan kenderaan elektrik dan kereta kuda.
   
Kawasan itu masih mengekalkan rekaan tradisional dan perkampungan yang asli. 

Buktinya, seni bina pada rumah, resort dan restoran serta bar masih menggunakan bahan binaan daripada kayu.
   
Zermat mempunyai lebih 6,000 penduduk dan kebanyakan bekerja dalam industri pelancongan. 

Namun yang menarik, mendaki gunung adalah aktiviti tradisional penduduk di situ manakala meluncur ski dipelajari sejak kanak- kanak lagi.
   
Kedatangan pelancong dari serata dunia ke bandar itu mencapai antara 28,000 hingga 30,000 pada musim puncak pelancongan manakala bagi bukan musim, jumlahnya ialah 8,000 hingga 9,000 pelancong.
   
Tempat penginapan tidak menjadi masalah kerana di situ lebih 100 hotel disediakan. 

Bagaimanapun, Zermatt bukan hanya destinasi untuk pelancong kaya tetapi juga popular di kalangan mereka yang mengembara secara backpack.

Sekali berkunjung ke situ, pasti ada yang menanam tekad untuk kembali lagi.

* Artikel ini pernah disiarkan di Metro Ahad Ahad, 7 Mac 2010

Tuesday, August 14, 2018

Kokeksi artikel - Destinasi meterai cinta

Teks Nor Affizar Ibrahim

Destinasi meterai cinta
           

Scotland terletak di utara United Kingdom, terkenal dengan keindahan semula jadi yang memukau kerana mempunyai lembah gunung yang cantik dan tasik mendamaikan.
           
Negara itu juga popular dengan istana lama yang gah dengan seni binanya menarik untuk dilawati. Antara istana yang menggamit tumpuan ramai adalah Istana di Edinburgh, Stirling dan Eilan Donean.
           
Setiap istana mempunyai sejarah tersendiri. Selain menyimpan sejuta keindahan alam dan memiliki istana indah, satu lagi yang menarik perhatian di Scotland ialah mempunyai destinasi perkahwinan paling popular di dunia iaitu Gretna Green.
                   
Pemanduan menuju Gretna Green, sebuah perkampungan kecil di selatan Scotland dari Driumlanrig Castle melalui kawasan pergunungan sekitar Dumfries, cukup menarik kerana disajikan dengan pemandangan begitu mempesona.
           
Laluan sejauh 65 kilometer atau sekitar satu jam itu turut membawa anda ke satu kawasan desa yang nyaman.
           
Lokasi istimewa ini suatu ketika dulu terkenal dengan majlis perkahwinan bagi pasangan yang melarikan diri dan berkahwin secara senyap-senyap. Ia terletak berhampiran Galloway dan juga berdekatan Sungai Esk.
           
Kampung ini menjadi tempat bersejarah di Scotland memandangkan kewujudannya begitu strategik dan menjadi laluan utama pengembara dari London menuju Edinburgh.
           
Tunaikan hasrat
           
Sampai di Desa Gretna Green, anda dapat merasakan inilah yang dikatakan 'syurga' bagi pasangan kahwin lari sejak 250 tahun silam. Beribu-ribu pasangan tekad melarikan diri ke desa itu, semata-mata ingin menunaikan hasrat mereka berkahwin di situ.
           
Penulis sampai sekitar jam 3.30 petang dan hari hampir gelap, namun kesuraman cuaca mengimbau kembali zaman kegemilangan tempat itu sebagai lokasi tumpuan muda muda memeterai cintai sejati mereka.
           
Berdasarkan sejarah awal Gretna Green, pada tahun 1754, kerajaan England mengeluarkan undangundang Lord Hardwicke's Marriage Act yang menyatakan, pasangan perlu mencapai umur 21 tahun sebelum boleh berkahwin dan acara perkahwinan mesti diadakan di gereja.
           
Jika pasangan hendak berkahwin masih di bawah umur 21 tahun, ibu bapa mereka berhak membuat permohonan agar pernikahan boleh dibatalkan.
           
Bagaimanapun, undang-undang itu hanya di England dan Wales tetapi tidak termaktub di Scotland. Justeru, pasangan di Wales yang ingin menghindari undang-undang berkenaan mengambil keputusan melarikan diri dan mengadakan upacara pernikahan di Gretna Green.
           
Ringkas dan mudah
           
Ini kerana ketika itu Gretna Green menjadi kampung pertama yang mudah dikunjungi berhampiran sempadan Scotland, berikutan pembinaan jalan yang melalui Graitney.
           
Undang-undang Scotland membenarkan pasangan bawah umur berkahwin tanpa tempat khusus dan acara perkahwinan berlangsung dengan pantas, mudah serta ringkas.
           
Pasangan hanya perlu mengemukakan dua saksi dan jaminan dari pasangan bahawa mereka berdua bebas untuk berkahwin.
           
Sehinggakan, Gretna Green sering dijadikan contoh idealisme bukti percintaan bagi pasangan bercinta; ironinya pernikahan berlaku dari rasa cinta dan menemukan dua insan untuk bersatu sekalipun ada halangan.
           
Tumpuan pelancong
           
Undang-undang Scotland ketika itu turut membenarkan 'perkahwinan tidak rasmi', dilakukan sesiapa saja sekali pun individu itu tidak mempunyai kuasa menjalankan upacara perkahwinan.
           
Pandai besi di Gretna, Richard Rennison, antara yang banyak melakukan upacara perkahwinan bagi pasangan kahwin lari dan ia dijalankan di dua tempat khusus iaitu The Old Blacksmith's Shop yang dibina pada tahun 1712 dan Gretna Hall Blacksmith's Shop (1710). Rennison dikatakan, menjalankan upacara perkahwinan terhadap lebih 5,000 pasangan kahwin lari dan mereka datang dengan pelbagai cerita tersendiri.
           
Kisah pasangan kahwin lari di Gretna Green menjadi cerita rakyat paling popular dan kini tempat itu adalah titik tumpuan dan tarikan kepada pelancong dari serata dunia. Malah, Gretna Green juga dijadikan simbol kasih sayang dan kini ia bukan lagi destinasi khusus perkahwinan untuk pasangan kahwin lari tetapi juga menjadi pilihan bagi pasangan yang mendapat restu keluarga tetapi ingin mengabadikan hari bahagia mereka di situ.
           
         
Info
           
 - Perjalanan Gretna Green dari Lake District mengambil masa 1 jam manakala dari Glasgow, Edinburgh dan Newcastle adalah 1 jam 30 minit.
           
 - Perjalanan Gretna Green dari Manchester atau Stranraer pula mengambil masa 2 jam 30 minit.
           
 - Dibuka setiap hari kecuali hari Krismas.










Koleksi Artikel - Kota Warna-warrni

Susunan Nor Affizar Ibrahim

Kota warna-warni









Meneroka bandar yang dilatari dengan bangunan berwarna-warni, pastinya memberikan tarikan tersendiri. Selain menampilkan keunikan, kreativiti dan karakter yang punyai daya tarikan tinggi, ia turut memberikan aura menceriakan.
           
Ini bukanlah mustahil kerana warna adalah salah satu unsur seni rupa yang membuatkan suatu ciptaan hidup dan lebih menarik perhatian.
           
Warna juga mempengaruhi perasaan dan fikiran, malah berupaya menyentuh kepekaan penglihatan sehingga merangsang perasaan, perhatian serta minat seseorang.
           
Segar dan cantik
           
Justeru, apabila berpeluang menjejakkan kaki ke bandar yang penuh dengan dengan warna terang dan ceria, pastinya tidak dapat menyangkal bahawa kota itu tampak segar dan cantik. Sehingga boleh melekakan dan tidak berasa jemu apabila berada di tempat seumpama itu.
           
Berikut antara beberapa bandar berwarna-warni di seluruh dunia yang memberikan pesona tarikan dan menggugat perasaan pengunjung. Tarikan warna-warni itu juga boleh memberi inspirasi kepada jurugambar untuk mengembara dan merakam foto di sana.
           
Bo-Kaap, Afrika Selatan
           
Bo-Kaap terletak di kawasan lereng Signal Hill, berhampiran Cape Town, Afrika Selatan, sering dirujuk sebagai penempatan suku kaum Melayu. Di situ, kebanyakan rumah asal dibina pada 1760 hingga 1850 manakala jalan berbatu adalah tinggalan abad ke-18.
           
Kawasan ini dipenuhi bangunan berwarna dalam kelompok tersendiri. Rumah dicat dalam warna terang, dari rona ungu dan biru hinggalah hijau dan kuning. Dikatakan, ia simbol kegembiraan menandakan dasar apartheid berakhir pada tahun 90-an.
           
Wroclaw, Poland
           
Bandar Wroclaw, keempat terbesar dan salah satu bandar yang paling indah di Poland. Bandar ini mempunyai hubungan kuat dengan Katolik Rom, sama seperti sebahagian besar negara di Eropah, justeru terdapat banyak gereja yang berwarna-warni menghiasi bandar ini.
           
Wroclaw dikenali European Capital of Culture tahun 2016 dan terkenal dengan budaya santai, jambatan serta pulau indah.
           
Kehidupan malam di bandar dipenuhi dengan pelbagai aktiviti. Tengah-tengah bandar adalah Market Square, bandar lama, yang menampilkan deretan bangunan berwarna-warni dan memberikan banyak peluang untuk fotografi.
           

Guanajuato, Mexico
           
Ditemui pada tahun 1554, Guanajuota adalah bandar kecil tetapi kaya dengan arkitektur kolonial Sepanyol. Guanajuota membawa maksud bukit katak kerana haiwan itu simbol kebijaksanaan manakala bangunan berwarna hijau mempunyai banyak maksud tersurat dan tersirat bagi penduduk tempatan.
           
Struktur warna seperti pelangi di bandar ini terletak berdekatan lombong perak di mana keduaduanya adalah Tapak Warisan Dunia UNESCO. Guanjuota, dianggap penduduk tempatan dan pelancong, tempat paling indah di Mexico.
           
Ladang yang berwarna-warni dan bangunan kolonial di semua arah ke bukit, dengan rangkaian terowong bawah tanah yang berfungsi sebagai jalan utama, menjadikan ia bandar menarik untuk diteroka.
           

 Riomaggiore, Itali
           
Bandar Riomaggiore kaya dengan warna. Kebanyakan bangunan yang terdiri daripada batu pasir ini dicat dengan pelbagai warna sehingga menjadi lokasi pelancong untuk bergambar tanpa perlu mencari latar-belakang yang menarik.
           
Warna kuning sinar matahari, oren terang dan merah jambu tembikai di sekelilingnya, membatasi biru cerah di langit serta menimbulkan perasaan perayaan.
           

 La Boca, Buenos Aires, Argentina
           
La Boca terletak di Buenos Aires. Ia destinasi popular bagi pelancong yang melawat Argentina dan salah satu tarikan di Buenos Aires.
           
Ini berikutan, rumah dibina berwarna-warni. Dalam kalangan peminat sukan, Boca terkenal sebagai tempat kelab bola sepak terkenal dunia Boca Juniors