Monday, December 24, 2018

Manfaat penulisan

Teks Nor Affizar Ibrahim

Manfaat penulisan



Bagi  kebanyakan pencinta ilmu, menulis sudah menjadi rutin harian. Malah, sejak zaman berzaman lagi, orang yang berilmu selalu menulis agar warisan ilmu mereka berkekalan hingga ke generasi yang berikutnya.

Oleh sebab itu ada bijak pandai menyatakan, “Ketika sebuah karya selesai ditulis, maka pengarang tak mati. Ia sebaliknya, baharu saja ,memanjangkan umurnya.”

Contoh ilmuan yang aktif menulis ialah Ibnu Sina, Ibnu Rusyd. Sumbangan  beliau dalam bidang ilmu cukup besar hingga kini  kerana melalui penulisan yang ditulis, ia  masih dapat 
menjadi tatapan generasi sekarang.

Berikut beberapa faedah yang dapat kita perolehi daripada menulis;

1. Kongsi dan sebarkan ilmu
Paling nyata ialah menulis dapat menyampaikan ilmu kepada masyarakat. Apabila seseorang itu menulis, ilmu yang ada pada dirinya akan dapat direkodkan melalui penulisan yang ditulisnya.

Apabila seseorang itu dapat menulis, ini bermakna ilmunya tidak akan hilang ditelan zaman. Lebih-lebih lagi, ilmunya itu sentiasa berkembang dengan hasil penulisannya.

Sebagai contoh, Ibnu Sina dalam bidang ilmu perubabatan. Hasil daripada penulisannya, kemajuan bidang perubatan dunia kian bertambah pesat kerana pakar perubatan dunia menjadikan hasil penulisannya sebagai rujukan utama perubatan dunia.

Jika beliau tidak menulis, ilmu ini mungkin tidak akan dapat ditatapi dan diambil oleh generasi dizaman globalisasi ini.

Ini seiring dengan kata-kata hikmah, “Ikatlah ilmu dengan menuliskannya. Ini kerana ilmu yang ditulis akan tetap tersimpan di atas keterbatasan daya ingat manusia.


2. Medium dakwah

Selain bertemu bersemuka atau memberikan ceramah dan syarahan dalam seseuatu majlis kepada orang ramai, anda boleh menjadikan penulisan sebagai medium untuk berdakwah.

Kadang-kadang, bukan mudah untuk bertemu atau mengumpulkan orang ramai untuk mendengar ilmu atau kebaikan yang anda hendak sampaikan.

Mungkin juga pelbagai alasan diberikan untuk seseorang itu menghadiri majlis atau acara ilmu seumpama itu.

Melalui penulisan, ia boleh dijadikan salah satu alternatif medium untuk berdakwah. Tidak perlu bersemuka atau berjumpa, hasilkan sahaja satu penulisan.

Walaupun dengan hanya penulisan, daya sebarnya pada hari ini sangat luas, tambahan dengan adanya kecanggihan  teknologi seperti sekarang.

Anda boleh menulis apa sahaja ilmu bermanfaat dan sesaat itu pula tulisan anda boleh dibaca dan memberikan faedah kepada  mereka yang tinggal jauh di benua lain. Begitulah kecanggihan teknologi pada masa kini.

Menulis ini akan melengkapi usaha dakwah anda kepada masyarakat kerana hasil menulis atau ilmu yang dibukukan boleh dimanfaatkan orang ramai di rumah masing-masing, dibaca dan ditelaah.

3. Otak terus berfikir
Menulis berkaitan rapat dengan kerja otak atau berfikir. Ia sebagaimana tubuh yang memerlukan kecergasan fizikal dengan melakukan senaman manakala hati memerlukan amalan ibadat untuk meningkatkan keimanan.

Begitu jugalah otak yang memerlukan sesuatu untuk  melatihnya terus berfikir positif.

Jadi, dengan membiasakan menulis dan  meluahkan apa yang terfikirkan dalam penulisan, secara tidak langsung otak anda terus bekerja.

Lebih-lebih lagi, jika anda menulis penulisan ilmiah, otak akan lebih bekerja lagi dalam mengumpulkan beragam rujukan untuk menjadi sebuah tulisan.
  
Dengan kaedah ini juga,  anda tidak menjadi pelupa di saat usia semakin lanjut kerana ibarat sebilah pisau, semakin sering diasah dan digunakan, maka semakin baik dan tajam,begitu pula dengan otak manusia.

4. Medium perakam sejarah
Apabila menulis, anda secara tidak langsung akan mengumpulkan dan merakam banyak kejadian peristiwa, fakta serta data penting.

Semua bahan penulisan  inilah yang akan menjadi instrumen perakam jejak sejarah pada kemudian hari.

Tidak kiralah apa yang anda tulis sama ada mengenai salasilah keturunan keluarga, asal usul sesuatu negeri, kehidupan peribadi dan sebagainya.

Inilah cara klasik yang takkan pernah mampu digantikan oleh apa pun. Menulis dan penulisan akan selalu ada dan akan tetap ada.

5. Menulis medan belajar
Belajar bukanlah hanya mendengar dan membaca. Tidak lengkap rasanya belajar tanpa menulis.

Malah, kurang lengkap rasanya ilmu yang digali atau diperolehi tidak dicatatkan. Lihatlah kisah hidup ulama, pemimpin di dunia dan bijak pandai seperti ahli korporat serta ahli perniagaan dan sebagainya.

Walaupun sibuk dalam bidang masing-masing, mereka tak lepas dari menulis.
Menulis adalah medan belajar, dengan menulis akan mendorong dan menuntut kita menyerap, menggali dan mengumpulkan informasi sebanyak-banyaknya .

Saat mencari dan mengumpulkan informasi inilah kita sebenarnya sedang tenggelam dalam dunia belajar, mengasah dan mempertajamkan otak serta fikiran.

Malah, sedang mengembangkan diri  bagi meningkatkan ilmu dan kemahiran.


6. Membuat hidup produktif
Banyak orang beranggapan, menulis membosankan dan hanya milik mereka yang suka menyendiri.

Anggapan ini tidak benar sama sekali. Dengan menulis, sebaliknya membuat hidup anda lebih produktif dan usia lebih bermanfaat, tidak terbuang sia-sia.

Dengan menulis, wawasan terus bertambah, malah ia turut  bermanfaat bagi diri sendiri dan orang lain.

Hidup menjadi produktif apabila anda menulis kerana anda perlu menyibukkan diri setiap masa.

Anda tidak akan membiarkan masa berlalu begitu sahaja tetapi akan memburu masa untuk memastikan penulisan anda dapat menepati tempoh waktu yang ditetapkan.

Menulis juga membuatkan anda perlu membuat banyak perkara seperti berfikir mencari idea, membuat pemerhatian bagi mencari sumber inspirasi, melakukan kajian untuk memastikan fakta yang tepat dan sebagainya.

7. Menghasilkan idea baharu
Dengan menulis anda akan berfikir dan terus berusaha mengembangkan pemahamannya dan kemampuan diri.

Ini menyuntik motivasi kepada anda mengemukakan idea baharu kerana sebaik sahaja anda terjun dalam dunia penulisan, anda pastinya bercita-cita untuk memberikan iea segar dan tidak pernah dilontarkan oleh sesiapa sebelum ini,

Idea baharu hanya terhasil daripada mereka yang aktif berfikir, terus belajar dan bekerja keras mengembangkan kemampuan berfikirnya.

Dengan  menulis inilah idea baharu itu akan muncul dan dapat disebarkan.

Sebenarnya, banyak lagi faedah atau kebaikan menulis.  Oleh kerana itu berusahalah menulis apa yang anda terfikirkan, apa terlihat, apa terdengar dan apa dirasakan.




Thursday, December 20, 2018

Khidmat terjemahan

Teks Nor Affizar Ibrahim

Khidmat terjemahan


Keperluan menterjemah daripada satu bahasa ke bahasa yang lain memberikan beberapa kelebihan dan sebab itulah khidmat kerja penterjemahan semakin diperlukan.

Apatah lagi, setiap bangsa memiliki kepakaran masing-masing sama ada dari segi ilmu pengetahuan, kemahiran atau hal lain.

Dengan adanya perbezaan ini, masyarakat di Malaysia  dapat berkongsi apa yang mereka miliki antara satu sama lain.

Justeru, amalan penterjemahan menjadi alat untuk masyarakat bertukar-tukar pendapat dan idea dalam meneroka ilmu pengetahuan yang luas.

Kerja penterjemahan juga satu aktiviti yang menghubungkan dua bangsa atau lebih dalam memahami antara satu sama lain.

Aktiviti ini tersebar hampir di setiap pelusuk dunia. Tambahan  zaman sekarang adalah dunia  tanpa sempadan yang menggunakan internet sebagai medium komunikasi. satu sama lain.

Definisi penterjemahan


Penterjemahan atau alih bahasa ialah perbuatan mentafsir makna sesuatu teks dan menerbitnya semula dalam bahasa yang lain.

Proses terjemahan membabitkan dua bahasa iaitu bahasa sumber dan bahasa sasaran dan mempunyai hubungan rapat dengan  pentafsiran dan penghuraian.

i. Menurut Kamus Dewan (Edisi Keempat) terjemahan bermaksud;
proses penterjemahan adalah perbuatan memindahkan sesuatu isi atau teks ke dalam bahasa lain atau menukarkan bahasa sesuatu teks itu

ii. Menurut New Mark (1981);
penterjemahan ialah satu kesenian yang mengandungi usaha untuk menggantikan
mesej atau pertanyaan bertulis dalam sesuatu bahasa dengan mesej atau pertanyaan yang sama dalam bahasa lain

Yang pasti, tujuan penterjemahan adalah untuk menghasilkan satu karya terjemahan (teks sasaran) yang membawa makna sama dengan sesuatu karya bahasa asing (teks sumber).

     Untuk penterjemahan yang harmoni, penterjemah tidak boleh menterjemah perkataan demi perkataan. 
     
    Kaedah itu akan merosakkan makna asal teks sasaran dan menyebabkan terjemahan itu tidak indah dibaca, sedangkan teks asalnya mungkin sangat sedap dan mudah dibaca.
·      
   Oleh, itu penterjemah hendaklah menggunakan bentuk bahasa yang biasa digunakan di dalam bahasa penerima untuk menggantikan bentuk bahasa asalnya.
·     
     Penterjemah mestilah mencipta semula kesan dan semangat keseluruhan teks asal.

Penting untuk seorang penterjemah mengetahui semangat dan tujuan pengarang asal. Kaedah yang terbaik adalah dengan menterjemah menggunakan gaya bahasa harian.
Kaedah ini amat sesuai terjemahan untuk pembacaan orang awam.

Prinsip penterjemahan
Penterjemahan adalah satu pekerjaan yang memerlukan kesungguhan.  Sikap sambil lewa dan  penterjemahan yang tidak bersungguh-sungguh akan menimbulkan kekeliruan pembaca.
Malah ia juga mungkin menimbulkan salah faham pembaca terhadap maksud pengarang teks sumber.
Oleh itu, penerjemahan seharusnya dilakukan dengan berpandu kepada prinsip yang tertentu.
·         

    1. Tidak mengubah maksud pengarang teks asal.
     Prinsip ini adalah jelas untuk penterjamah. Tetapi pada praktikalnya, penterjemah sebenarnya sukar untuk mengelakkan diri untuk mengubah maksud pengarang secara 100% kerana faktor perbezaan budaya dan bahasa.

  Bagaimanapun, ini tidak bermaksud penterjemah diizinkan mengubah maksud pengarang teks asal dengan segaja.
·      
      2. Menghasilkan terjemahan yang mudah difahami pembaca.
Penterjemahan adalah sebahagian daripada komunikasi. Oleh itu, sesuatu terjemahan sebaik-baiknya mudah difahami supaya tujuan komunikasi antara pembaca dengan pengarang asal dapat dicapai.
·        
      3. Menghormati tatabahasa penerima.
Dalam proses menterjemahkan, tatabahasa bahasa penerima harus dihormati. Ini bermaksud tatabahasa asing tidak seharusnya dipaksakan ke dalam teks terjemahan.
·     
      4. Menterjemah makna Bahasa bukan menterjemah bentuk bahasa.
Dalam proses penterjemahan, makna harus diberi fokus. Penterjemah tidak seharusnya berusaha mengekalkan bentuk bahasa teks asal sehingga menghasilkan terjemahan yang berbelit-belit dan sukar difahami.


Matlamat penterjemahan

Tujuan utama penterjemahan adalah untuk menghasilkan satu karya  terjemahan yang harmoni (teks sasaran) dan membawa makna yang sama dengan sesuatu karya asing (teks sumber).

Penterjemah lazimnya, akan berusaha untuk menghasilkan pemahaman yang sempurna berpandukan prinsip penterjemahan dan beretika dalam melakukan terjemahan.

Dalam keadaan tertentu, penterjemah akan melakukan penyesuaian semula dengan terperinci supaya pembaca faham akan idea yang terkandung di dalamnya.

Penterjemahan membabitkan tiga proses asas iaitu penafsiran, analisis teks bahasa sumber yang diikuti oleh prosedur  terjemahan dan juga penulisan semula teks dalam hubungannya dengan tujuan penulis,

Antara syarat utama untuk menjadi penterjemah yang baik ialah mengetahui bahasa sumber.

Bahasa sumber ialah bahasa asal yang akan diterjemah ke dalam bahasa kedua. Pengetahuan dalam bahasa sumber mestilah mendalam.

Seseorang itu harus mengetahui selok bahasa, keistimewaan dan keganjilan bahasa itu supaya dia memahami makna terkandung dalam teks asal. Dengan itu, terjemahan dapat dibuat dengan tepat.

Kedua, mengetahui bahasa penerima.Bahasa penerima ialah bahasa yang akan
diterjemahkan daripada teks asal. Dengan kata lain, bahasa penerima ialah bahasa
kedua.

Ketiga, pengetahuan dalam bidang atau topik yang diterjemah. Untuk memastikan agar makna  atau maklumat dalam teks asal dapat diterjemahkan dengan tepat ke dalam bahasa  penerima, penterjemah wajar mengetahui bidang yang hendak diterjemah itu dengan mendalam.

Penguasaan bahasa yang baik tidak mencukupi untuk menjadi  penterjemah yang baik, terutama dalam bidang profesional atau teknikal seperti undang-undang, sains, teknologi, falsafah dan karya kesusasteraan.

Keempat, mengetahui teori dan amalan terjemahan. Bidang penterjemahan telah
melahirkan teori dan kaedah ilmiahnya sendiri.

Oleh itu, penterjemah perlu melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan dalam teori dan amalan sebelum memulakan kerja penterjemahan.

Dengan pengalaman dimiliki dan pernah mengikuti kursus dan mempunyai sijll penterjemahan Dewan Bahasa dan Pustaka, saya menawarkan khidmat terjemahan dari Bahasa Inggeris ke Bahasa Melayu.

Khidmat terjemahan ditawarkan antaranya:
·      terjemahan artikel
·      terjemahan skrip
·      terjemahan iklan
·      terjemahan ucapan
·      terjemahan kertas kerja


Bagi yang berminat untuk mendapatkan khidmat penterjemahan saya bolehlah hubungi affizar@gmail.com

Friday, December 14, 2018

Khidmat penyuntingan & penyelarasan

Teks Nor Affizar Ibrahim

Khidmat penyuntinagan & penyelarasan


Selain memberikan khidmat sebagai penulis upahan, saya juga membantu anda untuk;

         1. Kerja penyuntingan (editing) 
         2. Kerja penyelarasan (proofreading) 
       
Khidmat ini ditawarkan untuk apa saja artikel sama ada periklanan, kenyataan akhbar, risalah, buletin dan sebagainya.

Penyuntingan dan pelarasan bertujuan untuk memastikan hasrat atau idea penulis  dapat disampaikan setepat, sepadat dan sejelas yang mungkin.

Dalam erti kata lain, kerja penyuntingan dan pelarasan artikel adalah kegiatan menyemak semula sesuatu hasil tulisan atau naskah sebelum ia diterbitkan.

Ingatlah, apa saja bentuk penulisan yang dihasilkan dan ingin disebarkan serta dijadikan tatapan khalayak, sewajarnya tiada kesalahan.

Ini termasuklah dari segi;
-       ejaan
-       tatabahasa
-       pemilihan perkataan atau ayat
-       susunan perenggan
-       tanda Bahasa
-       kesalahan diksi atau pilihan kata
-       kesalahan struktur Bahasa
-       kesalahan konjungsi atau kata penghubung

Bagi usahawan misalnya, kesilapan boleh mencerminkan diri dan perniagaan anda.

Jika ada banyak kesilapan, mana mungkin anda akan mendapat kepercayaan pelanggan! Pastinya, anda tidak mahukan ini terjadi.
 
Jalan terbaik, anda perlu mendapatkan khidmat penulis upahan untuk kerja penyuntingan dan penyelarasan bagi tugasan terakhir itu.

Kedua-dua tugasan ini memerlukan tumpuan, komitmen dan keterperincian
Justeru, untuk hasil yang terbaik, saya sarankan dapatkan sahaja khidmat mereka yang berpengalaman dalam kerja penyuntingan dan pelarasan.

Suntingan artikel atau hasil penulisan lazimnya  perlu mempertimbangkan aspek pembaca.
Ini kerana penulisan itu akan dibaca oleh pelbagai kalangan  dengan umur, taraf hidup, dan pendidikan yang  berbeza-beza sehinggakan  ketika kerja penyuntingan dilakukan, penyunting perlu bijak menyesuaikan gaya tulisan berkenaan dengan latar belakang pembaca.
Oleh sebab itulah umumnya,  kerja penyuntingan merangkumi;

* Memperbaiki kesalahan pada pandangan mata kasar.
* Memperbaiki tulisan sebelumnya.
* Memperbetul dan menyesuaikan gaya bahasa lebih sesuai
* Meringkaskan beberapa perkataan menjadi satu atau dua  ayat yang punyai kejelasan     makna serupa
* Mengelakkan gaya bahasa atau tulisan yang membosankan.
* Memastikan penulisan lancar apabila dibaca.
* Memperbaiki hasil penulisan supaya menarik.
* Menelaah kembali hasil tulisan yang sudah siap dihasilkan tetapi mungkin masih terdapat kesalahan yang terlepas pandang
Anda sudah semestinya mahukan hasil yang terbaik. Oleh itu buatlah keputusan yang tepat dan bijak!
Bagi yang berminat untuk mendapatkan khidmat kerja penyuntingan dan pelarasan, boleh hubungi saya affizar@gmail.com
  



Thursday, December 13, 2018

Tulis artikel periklanan

Teks Nor Affizar Ibrahim

Tulis artikel periklanan

Saya percaya, sebagai usahawan anda pastinya sering memikirkan bagaimana cara terbaik dan berkesan untuk memasarkan produk atau perkhidmatan ditawarkan kepada pelanggan.

Tentunya anda tidak boleh duduk diam dan berpeluk tubuh saja menunggu pelanggan. Sesuatu harus dilakukan untuk memasarkan apa yang anda jual dan tawarkan kepada orang ramai.

Hari ini, kaedah promosi jualan semata-mata tidak lagi menjadi kaedah paling berkesan, khususnya untuk platform dalam talian. Pelanggan hari ini juga semakin bijak dan tidak suka dipaksa untuk membeli sesuatu barangan.

Justeru, anda boleh fikirkan kaedah lain agar pelanggan tertarik untuk membeli barangan atau perkhidamatan ditawarkan.

Lazimnya, sebelum membeli sesuatu barangan diinginkan, ada pelanggan akan memikirkan apakah faedah atau keuntungan yang bakal mereka perolehi dari produk ditawarkan.

Antara pertimbangan yang dibuat, adakah dia membeli produk atau perkhidmatan berkualiti dan memberikan kerugian kepada mereka? Adakah peniaga atau orang yang menjual itu boleh dipercayai?

Oleh itu sebagai usahawan atau peniaga anda perlu memberikan informasi tepat, keyakinan, menunjukkan kredibiliti dan menjawab persoalan yang berlegar dalam fikiran pelanggan.

Jika anda mampu merungkaikan semua persoalan itu, ia bermakna anda sudah boleh bina persepsi pasaran. Tetapi bagaimanakah caranya anda dapat lakukan?

Sebenarnya, mudah sahaja caranya iaitu menghasilkan dan menyebar artikel yang berkaitan dengan produk atau perniagaan anda.

Khidmat penulisan ulasan produk atau servis periklanan (advertorial) mampu memberikan impak tinggi kepada pelanggan yang dahagakan informasi.  


Bantu perkenalkan produk

Gunakanlah khidmat penulis upahan bagi membantu anda menghasilkan artikel yang boleh memperkenalkan, sekali gus mempromosikan produk ditawarkan kepada pelanggan.

Dengan mengupah penulis upahan, kerja anda menjadi mudah, tidak perlu bersusah payah dan membuang masa merangka serta memikirkan bagaimana untuk menghasilkan artikel yang mampu menarik perhatian.  

Anda juga bolehlah menumpukan sepenuh masa untuk memajukan perniagaan ataupun merangka strategi lain yang dapat membantu meningkatkan pasaran.

Bagaimanapun, tidak dinafikan anda perlu mengeluarkan sedikit modal untuk membayar tugasan penulis upahan berkenaan.

Tetapi fikirkanlah, dengan mengupah penulis upahan banyak manfaat anda perolehi, termasuk tidak perlu serabutkan lagi fikiran, dapat menjimatkan masa, wang dan tenaga. 

Ini kerana penulis upahan sudah mengambil alih tugasan anda dan membantu menjadikan kerja lebih mudah. Ternayata, mendapatkan khidmat penulis upahan adalah pilihan alternatif terbaik!  

Apatah lagi, rutin usahawan ini memang sentiasa sibuk.


Kongsi rezeki

Dengan berkongsikan maklumat yang menarik, berguna dan padat menerusi artikel dihasilkan penulis upahan, anda akan membina kepercayaan dalam diri pelanggan.

Ingatlah, anda bukan membina bisnes dan jenama untuk hari ini sahaja. 

Anda pastinya ada perancangan untuk menambahkan produk dan memperluaskan rangkaian.

Jika semua perkara anda hendak lakukan sendiri, tentu sahaja tidak cukup tangan.

Jadi, apalah salahnya berkongsi rezeki dengan penulis upahan yang boleh membantu mengurangkan bebanan kerja anda.

Bukankah perkongsian rezeki itu lebih indah dan mendatangkan keberkatan!


Upah penulis ideal

Tidak boleh disangkalkan, tanpa pengalaman menulis mungkin sukar untuk menulis dan saya percaya,  ada yang mengalami masalah untuk mula menulis.

Ini disebabkan kurang keyakinan diri dengan penulisan yang ditulis sendiri. Kesannya, ada usahawan gagal mempromosikan produk ditawarkan, sekali gus  tidak sampai pada kumpulan sasaran.

Oleh itu idea untuk mengupah penulis bukan sahaja bertepatan tetapi amat diperlukan.

Tanyalah pada diri anda, adakah anda terdaya menghasilkan penulisan copywriting  sendiri sedangkan setiap hari ada banyak perkara perlu difikirkan.

Justeru, untuk mengelakkan kepala anda serabut memikirkan dan menyusun perkataan atau ayat yang sesuai, punch dan WOW!, upahlah penulis upahan.

Hakikatnya, bagi menghasilkan copywriting, lebih baik serahkan tugasan itu kepada penulis upahan.

Pada dasarnya, ada beberapa sebab anda memerlukan khidmat penulis upahan. Antaranya;
         
          1. Tidak ada ilmu penulisan atau tidak tahu hendak tulis.
          2. Tiada masa hendak tulis.
          3. Perlukan hasil penulisan berkualiti daripada pakar.
          4. Memudahkan urusan anda.

Berdasarkan sebab yang dinyatakan itu dan bersandarkan kemahiran saya lebih 20 tahun dalam bidang penulisan, saya bersedia dan ingin membantu usahawan.
 
Saya boleh membantu menyediakan artikel terbaik bagi produk ataupun servis ditawarkan kepada prospeknya.

Saya boleh membantu menulis berkenaan produk dan perkhidmatan ditawarkan menerusi seperti; 
        
       1.     Penulisan artikel FB Ads
             2.     Penulisan artikel blog
             3.     Penulisan artikel Advertorial
             4.     Penulisan artikel kenyataan akhbar

Servis penulisan artikel saya merangkumi untuk;
         
       1. pengeluar produk
       2. pengasas produk 
       3. stokis 
       4. agen
       5. sesiapa sahaja yang berminat

Sebenarnya, menggunakan khidmat penulis upahan memang sudah lama diperkenalkan dalam kalangan usahawan online  dan offline untuk memasarkan produk atau perkhidmatan mereka.

Ia bukan saja mengurangkan bebanan dan melancarkan urusan usahawan tetapi juga sudah pun terbukti mampu membuat keuntungan perniagaan. 

Tambahan, ia tidaklah memerlukan kos yang tinggi kerana caj dikenakan berpatutan dan tidaklah begitu mahal.

Jadi jika anda berminat, janganlah segan silu untuk menghubungi saya affizar@gmail.com 


Friday, December 7, 2018

Mengapa ingin menulis

Teks Nor Affizar Ibrahim

Mengapa ingin menulis?


Barangklali, ada yang menganggap menulis  aktiviti agak  yang membosankan. Betul ke?

Sebenarnya, menulis dan membaca  tidak banyak bezanya. Jika membaca, anda akan dapat menambahkan pengetahuan.
Begitu jugalah menulis, anda juga akan menimba ilmu, malah anda juga boleh berkongsi ilmu.

Bahkan lebih dari itu. Dalam erti kata lain, menulis sememangnya memberi banyak manfaat.
Jadi, mulakanlah menulis! Bagaimanapun, sebelum anda mula menulis, tanyalah pada diri anda, kenapa mahu menulis.

Soalan ini penting diajukan pada diri anda sendiri. Anda perlu memberikan jawapannya.  

Mengapa? Ini kerana jawapan itulah yang akan menentukan sama ada akan terus menulis atau pun sekadar hangat-hangat  tahi ayam dengan apa yang anda sudah mulakan.

Saya yakin, apabila anda mempunyai jawapan kukuh atau ada matlamat jitu mengapa anda menulis, maka perjalanan anda sebagai penulis tidak akan terhenti.

Hari demi hari, keghairahan untuk menulis pasti akan ada dalam diri apabila anda ada jawapannya, mengapa anda menulis. 

Jawapan itulah juga yang menjadi ‘senjata’ kepada anda untuk sentiasa memperbaiki gaya penulisan anda, dari hari ke hari. Jawapan itu jugalah yang menjadi rangsangan kepada anda untuk lebih kerap dan memperbanyakkan lagi hasil penulisan. 

Tetapi jika jawapan anda tidak kukuh, rapuh dan kabur, nescayalah semangat menulis anda pastinya cepat pudar serta bertebaran.  Justeru, carilah kepastian mengapa anda menulis.

Anda juga harus ingat, tidak semua suka membaca atau menyokong penulisan anda. Jika anda tahu mengapa anda menulis dan apabila ini terjadi, anda akan menganggapnya sebagai cabaran serta asam garam sebagai penulis. 

Lalu, anda pasti akan terus menulis dan berkongsi idea serta pandangan. Anda tidak akan melatah dan menjadi seorang yang cepat berputus asa. 

Ini kerana anda faham, matlamat dan tahu hala tuju mengapa anda menulis. Oleh sebab itulah anda mahu menulis dan terus menulis.

Bagi saya mudah, ada dua sebab utama mengapa menulis.


1. Menulis untuk diri sendiri
Apabila menulis untuk diri sendiri, ia membantu saya berfikir, belajar dan memahami. Menulis untuk diri sendiri walaupun urusan peribadi, saya boleh berkongsi dengan orang lain jika itu yang saya mahukan.

Apabila menulis, ia membina rasa berharga pada diri  dan juga suatu kepuasan kepada saya. Penulisan turut membantu saya melegakan tekanan kerana saya meluahkan apa yang terpendam dalam diri. 

Penulisan membantu saya melihat bahagian kehidupan yang cantik dan menarik.  Bukan itu sahaja, penulisan membantu saya mengimbas masa lalu, sekali gus membolehkan saya mempelajari sesuatu, baik mahupun buruk. 

Saya menulis sebab saya melihat hal yang orang lain tidak lihat, dan saya tahu apa yang ditulis itu berguna bagi mereka. Ia juga membangunkan minda positif dan membantu saya menyedari bahawa hidup itu indah dan penting.

Saya menulis sebab saya mahu menimba ilmu dan semakin banyak menulis, pelbagai bidang ilmu yang boleh didapati serta digali.


2. Menulis  untuk orang lain
Apabila menulis untuk orang lain, biasanya untuk penilaian atau penerbitan bagi pembaca yang lebih luas.

Menulis untuk orang lain adalah kerana ingin membantu dan mempelajari sesuatu daripada orang lain. Saya menulis untuk orang lain bukan untuk mengajar atau memberitahu apa yang baik atau buruk semata-mata tetapi membantu dan memberi ruang orang lain membuat pilihan.

Saya menulis untuk orang lain kerana saya tahu, tidak semua orang dapat atau berkesempatan meneroka jauh dan mengetahui semua bidang serta pelbagai perkara. 

Justeru, dengan peluang dan pengalaman yang saya miliki serta apa yang saya ketahui, apalah salahnya saya berkongsi atau memberitahu semua itu.

Saya menulis bukan untuk mencari wang semata-mata tetapi saya ingin melihat lebih banyak manfaat atau kebaikan dikongsikan bersama.

Saya juga melihat dengan menulis untuk orang lain, ia dapat menyatukan semua hati dan membentuk kesejahteraan.

Bagaimana pula dengan anda? Pernahkah anda bertanya kepada diri sendiri mengapa anda menulis?