Teks Nor Affizar Ibrahim
Wahai wanita jangan pendam perasaan
Tengahari semalam, ketika memandu dalam kesibukan di kawasan Bukit Bintang selepas balik dari menghadiri satu majlis di Hotel Mandarin, saya terlihat seorang wanita berusia lingkungan 50-an.
Usianya boleh jadi juga 40-an kerana dengan keadaan yang tidak terurus , dia mungkin tampak jauh lebih berusia daripada usia sebenarnya.
Wanita itu seakan mengalami masalah kesihatan mental. Rambutnya pendek seperti lelaki dan dia memakai baju skirt yang tampak kusam warnanya.
Tanpa memakai sebarang alas kasut, dia berjalan mundar mandir di bahu jalan. Sesekali, dia berjalan mencelah antara kereta-kereta yang terperangkap dengan kesesakan jalan raya.
Cuaca tengahari itu pula amat panas. Dalam hati saya berkata, tahannya dia berjalan tengah panas itu dengan berkaki ayam.
Saya tidak lepas mata memandangnya. Rasa kasihan timbul dalam diri saya apabila melihat keadaan wanita yang tidak terurus itu.
Nasib baiklah rambutnya dipotong sehabis pendek. Jika dia miliki rambut panjang, tentu kusut masai dan tampak lebih serabut lagi.
Lebih kasihan, kehadirannya di kawasan itu pasti tidak disenangi orang ramai yang berada di situ.
Dalam sibuk saya memerhatikannya, tiba-tiba dia menjerit kuat. Tidak pula saya dapat kesan apa yang dijeritkan wanita itu kerana pertuturannya tidak jelas.
Saya juga tidak tahu, apa yang membuatkan wanita itu tiba-tiba menjerit. Apabila dia menjerit, semakin banyak mata memandang ke arahnya.
Saya terus tertanya-tanya di hati. “Tidakkah dia mempunyai saudara-mara yang memantau pergerakannya? Sudah berapa lamakah wanita itu berkeadaan seperti itu? Apakah yang menyebabkan wanita itu mengalami masalah kesihatan mental.”
Sudah pasti, saya tidak akan mendapat jawapan bagi semua soalan itu. Jadi, saya menjadi pemerhati setia sehinggalah kereta yang saya pandu perlahan-lahan beransur-ansur meninggalkan kawasan segi tiga emas itu.
Melalui pembacaan sebelum ini, saya mengetahui bahawa wanita lebih cenderung mengalami masalah kesihatan mental. Ini disebabkan golongan ini tidak terbuka untuk bercerita mengenai kisah kehidupan mereka kepada orang lain.
Apabila berdepan dengan masalah, kebiasaannya wanita suka memendam perasaan mereka.
Berbanding golongan lelaki yang mempunyai masa bersosial dan bertemu rakan mereka dengan bercerita di kedai kopi.
Wanita dikatakan, tidak mempunyai masa seperti itu dan hanya meluangkan masa di rumah selepas pulang dari tempat kerja.
Perubahan landskap sosial hari ini, banyak menyumbang kepada wujudnya peningkatan masalah kesihatan dan gangguan psikologi seperti isu perkahwinan, keluarga, tekanan kerja, penagihan alkohol, penyalahgunaan dadah dan sebagainya.
Keadaan inilah yang boleh menyebabkan kemurungan, kebimbangan, stres dan pelbagai kecelaruan psikologi yang memberi impak terhadap kualiti dan kesejahteraan hidup secara holistik.
Kesihatan mental sememangnya berkait rapat dengan kehidupan kita. Ia merangkumi perasaan, fikiran dan tingkahlaku dalam diri sendiri, kemampuan untuk berinteraksi secara sihat dengan orang lain; kumpulan dan persekitarannya serta bagaimana seseorang itu mengendalikan tanggungjawab, cabaran dan tekanan yang timbul dalam kehidupan seharian.
Kesihatan mental sememangnya berkait rapat dengan kehidupan kita. Ia merangkumi perasaan, fikiran dan tingkahlaku dalam diri sendiri, kemampuan untuk berinteraksi secara sihat dengan orang lain; kumpulan dan persekitarannya serta bagaimana seseorang itu mengendalikan tanggungjawab, cabaran dan tekanan yang timbul dalam kehidupan seharian.
Oleh itu, nasihat saya bagi individu yang sihat mental perlulah sentiasa mengekalkan perhubungan yang harmoni dengan orang lain, mengambil bahagian dalam aktiviti kemasyarakatan dan boleh menyumbang di dalam masyarakat.
No comments:
Post a Comment