Monday, May 27, 2019

Damailah di sana

Damailah di sana

Teks Nor Affizar Ibrahim


Berbaki lebih kurang 10 hari lagi Ramadan.

Seperti tahun-tahun sebelumnya, beberapa kisah tragedi dan pilu kematian berlaku pada bulan Ramadan. Begitu jugalah yang berlaku pada tahun ini.

Antara tragedi pilu Ramadan tahun ini ialah kematian usahawan kosmetik Faziani Rohban Ahmad, 40, yang juga pengasas produk kecantikan jenama Dnars Skincare.

Allahyarham maut manakala suaminya cedera selepas kereta jenis Toyota Estima yang dinaiki terlibat dalam kemalangan jalan raya di Pattani, Thailand pada awal Ramadan lalu

Dalam kejadian pada pukul 10.30 pagi itu, suaminya, Ahmad Shah Rizal Ibrahim, 42, mengalami kecederaan.

Kemalangan berlaku semasa Faziani dalam perjalanan ke rumah anak-anak tahfiz bagi memberikan sumbangan. Beliau meninggal dunia di tempat kejadian.

Dalam satu laporan di akhbar, anaknya, Ainul Atiya Ahmad Shah Rizal, 18, menceritakan,  mereka sekeluarga sempat bersahur bersama ibu dan ayahnya sebelum mereka bertolak ke pondok di Pattani yang menjadi rutin bulanan menyampaikan wang zakat di sana. 

Namun, pemergian kali ini bertukar tragedi.

Memang sungguh memilukan pemergian, Allahyarham. Perginya untuk selama-selamanya meninggalkan dunia fana ini ketika dalam melakukan amal jariah dan dalam niat suci.

Justeru, ramai yang ‘mencemburui’ pemergian arwah. Kebaikan arwah di sebut- sebut. Ramai berpendapat, ia salah satu tanda kematian husnul khotimah.

Meninggalnya pulak pada fasa kedua ramadan iaitu fasa pengampunan dan dalam perjalanan menginfakkan hartanya ke jalan Allah serta baru kembali dari menunaikan umrah.

Malah, selepas jasadnya Allahyarham disemadikan, satu persatu kebaikan yang dilakukannya diceritakan ramai pihak.

Allahyarham disifaitkan seorang yang tidak kedekut dan suka memberikan hadiah kepada ramai orang.

Pemergian arwah bukan sahaja dirasakan oleh suami, anak-anak, ahli keluarganya dan rakan-rakan tetapi juga memberi kesan terhadap 55 pekerjanya.

Ini kerana usahawan itu disifatkan sebagai majikan yang sering menjaga kebajikan pekerjanya.

Laporan dalam Sinar Harian, berkongsi cerita dengan beberapa pekerjanya mengenai kebaikan Allahyarham sebagai majikan.

Antaranya, pekerjanya, Mohd Mahzam Ismail,23,  berkata, walaupun Allahyarham tegas dalam urusan kerja tetapi dia seorang majikan yang sangat baik dan pemurah.

"Setiap hari bermula satu Ramadan, Allahyarham sediakan lauk-pauk seperti ayam percik dan kuih-muih untuk dibawa balik berbuka puasa dengan keluarga.

"Kami juga diminta datang solat tarawih beramai-ramai di rumahnya sepanjang Ramadan ini dan sebelum puasa kami diberi beras dan barang keperluan dapur," katanya.

Moga roh arwah ditempatkan dalam  kalangan orang yang beriman dan beramal soleh.

Salam takziah buat keluarga. Mungkin juga lebaran tahunan ini tidak akan sama lagi tahun-tahun sebelumnya.

Bagaimanapun, diharapkan semoga keluarga arwah terus tabah berdepan dengan kehilangan orang disayangi.

Saya juga mengharapkan moga pengakhiran hidup kita semua dalam keadaan Husnul.Khotimah.

AL-Fatihah!




No comments:

Post a Comment