Wednesday, May 29, 2019

Belanjalah berhemah


Teks Nor Affizar Ibrahim

Belanjalah berhemah



Hari Raya Aidilfitri semakin dekat. Ini juga bermakna, Ramadan semakin hampir kita tinggalkan.

Terasa masa cepat sangat berlalu.

Ketika ini, mungkin ada yang sudahpun membuat persiapan untuk menyambut lebaran, khususnya bagi yang mempunyai anak kecil. Malah, ada yang sudah pun membuat persiapan lebih awal lagi iaitu sebelum puasa bermula.

Maklum, jika ada anak kecil dan ramai pula tentu sahaja banyak persiapan perlu disiapkan. Justeru, ada yang mengambil langkah membuat persiapan awal untuk memastikan bajet mencukupi dan tidak tersasar.

Namun, ada juga yang suka membuat persiapan menyambut Aidilfitri di saat-saat akhir. Antara sebabnya kerana tiada masa untuk pergi membeli-belah kerana sibuk dengan urusan kerja.

Ada juga yang membuat keputusan untuk membuat persiapan di saat akhir kerana beranggapan, harga barangan ditawarkan lebih murah dari biasa.

Tidak kiralah, sama ada anda membuat persiapan awal atau pun di saat-saat akhir hingga ‘terkucil’ dibuatnya, harap semuanya berjalan lancar.

Paling penting, jangan mudah terpengaruh dengan jualan murah yang tidak logik masuk akal sehingga akhirnya terpedaya dan mengalami kerugian.

Selain itu, pastikanlah bajet untuk berbelanja membuat persiapan Aidifitri sesuai dengan sumber kewangan sendiri.

Jangan main ‘belasah’ beli apa sahaja yang dikehendaki, sebaliknya tengok-tengoklah kocek dan dompet anda.

Kita tidak mahulah lepas balik bercuti hari raya ini, ada yang terkebil-kebil dan memikirkan cara macam mana hendak cari duit yang sudahpun habis dibelanjakan dek kerana membuat persiapan hari raya.

Ingat! Jangan sudah terhantuk baru hendak terngadah.

No comments:

Post a Comment