Wednesday, September 25, 2019

Alamak! Ramainya enam orang sekali


Oleh Nor Affizar Ibrahim

Alamak! Ramainya enam orang sekali


“Enam orang serentak?  Aduh!  Ramainya nak interview. Background mereka itu bukan calang-calang.”  

Itu antara reaksi saya apabila ditugaskan untuk menemubual enam pegawai kanan polis serentak pada tarikh, masa dan lokasi  yang sama dalam satu temujanji. 

Sudah terbayang, cerita mereka pasti menarik kalau dapat temubual one to one. Tetapi arahannya, semua cerita pegawai polis terbabit perlu dimuatkan untuk dua muka surat sahaja.

Dalam hati terus berkata-kata –“ Macam mana nak buat artikel ini?” Takkan nak cerita ringkas aje. Macam tak best!

Apatah lagi, keenam-enam pegawai polis wanita berkenaan pernah mencipta sejarah tersendiri dalam kerjaya dan dalam dunia kepolisan apabila masing-masing menjadi antara wanita pertama di negara ini yang memegang beberapa jawatan penting dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Sebenarnya, apabila berpeluang bertemu dan menemubual dengan  individu hebat, seumpama itu, saya tahu ada banyak sudut cerita yang boleh dikarang.

Malah, saya sendiri memang seronok untuk mencungkil kisah serta pengalaman mereka. Namun, dengan ruang surat khabar terbatas, tidak mungkin boleh menulis artikel mengikut apa yang saya mahukan.

Jadi, mahu tidak mahu saya ikut sahaja arahan. Walaupun dalam hati saya sedikit ralat apabila ditugaskan menemubual serentak enam pegawai polis wanita hebat di negara ini.

Temubual itu dibuat di ibu pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM)  di Bukit Aman.
Enam pegawai yang saya temubual pada hari itu ialah;

i. Timbalan Pengarah, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, DCP Datuk Nooryah Md Anvar
- Wanita pertama di negara ini yang memegang jawatan sebagai Ketua Trafik Pasukan, Timbalan Pengarah 1, Jabatan Logistik

ii.  DCP Datuk Zubaidah Md Ismail 
- Wanita pertama memegang jawatan sebagai Timbalan Pengarah Jabatan Logistik dalam PDRM

iii. Timbalan Pengarah Pengurusan (Pentadbiran), SAC 1, Datuk Zaleha Abd Rahman
Wanita pertama yang memegang jawatan sebagai Timbalan Ketua Polis Negeri, Kontinjen Melaka.

iv. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, IPK Selangor, ACP Chong Mun Phing
- Wanita pertama yang diberi kepercayaan memegang jawatan berkenaan.

vi. Ketua Penolong Pengarah (D11) Jabatan Siasatan Jenayah, ACP Suguram Bibi Munshi Deen 
- Wanita pertama menjawat jawatan Ketua Penolong Pengarah (D11) Siasatan Seksual/Kanak-Kanak Jabatan Siasatan Jenayah

vii Penolong Pengarah Perundangan/Pendakwaan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, ACP S Sasikala Devi
- Wanita pertama yang memegang jawatan yang disandangnya ketika itu.

Sebelum pergi, saya membayangkan hendak masuk ke ibu pejabat itu tentunya akan mengambil masa untuk pemeriksaan keselamatan.

Di samping itu, di sana tentu saya akan bertembung ramai dengan pegawai polis berpangkat dan anggota polis lain yang segak serta kemas berpakaian seragam.

Yang pastinya, segala-galanya  akan formal dan ia sesuatu yang mungkin tidak selesa bagi saya sebagai orang awam.  

Namun, hendak buat macam mana. Temubual itu sudahpun diaturkan oleh sebuah agensi perhubungan awam.

Tugas saya ialah menemubual kesemua pegawai polis wanita itu, tidak kiralah apa sekali jawatan yang mereka sandang.

Bagaimanapun, itu bukanlah kali pertama saya menjejakkan kaki ke ibu pejabat PDRM di Bukit Aman. Cuma senario kali ini agak berbeza.

Memang! Saya berdebar dengan tugasan ini.

Pertama, saya akan berdepan dengan pegawai kanan polis wanita yang pastinya banyak cerita, pengetahuan dan pengalaman yang masing-masing ada.

Jadi, saya perlu bersedia atau ‘berpura-pura’ bijak dan tahu dengan apa sahaja topik yang diperkatakan.

Kedua, saya tidak boleh membayangkan bagaimana hendak ‘mengawal’ sesi temubual itu kerana pastinya enam pasang mata akan menumpukan sepenuh perhatian kepada saya apabila mengemukakan soalan nanti.

Apabila enam pasang mata memandang kepada saya, sedikit sebanyak tentu berasa tidak selesa. Oleh itu, saya perlu pandai ‘berlakon’ berbuat seperti biasa dengan situasi dihadapi.

Ketiga, oleh kerana diberitahu waktu yang singkat mengenai temubual itu, saya sememangnya tidak ada banyak masa untuk menyelidik latar belakang mereka satu persatu.

Saya bimbang, dengan tiada persiapan itu boleh membuatkan saya hilang fokus untuk menemubual mereka. Dalam apa keadaan, saya perlu tampak ‘bijak’ barulah individu yang ditemuduga seronok berkongsi cerita.

Dalam saya berkira-kira dengan pelbagai persoalan, saya akhirnya berada di dalam bilik yang disediakan untuk sesi temubual keenam-enam pegawai polis wanita berkenaan.

Kami saling berjabat tangan apabila sesi perkenalan diri menjadi pembuka acara pada tengahari itu.

Pada awal bicara, memang kurang rancak kami berbual dan saya sendiri berasa kekok untuk menemubual mereka.

Maklum, enam orang yang perlu ditemubual tentu tersasul-sasul menyebut nama mereka. Gelaran pula berbeza-beza sebab itulah perlu berhati-hati, bimbang tersilap menyebutnya.

Malah, situasi temubual pada awalanya juga begitu formal.

Bagaimanapun, selepas  hampir 20 minit bersama, temubual berlangsung antara kami semakin rancak.

Masing-masing ingin bercerita dan berkongsi pandangan serta pendapat.  Seperti yang saya jangka, memang menarik cerita masing-masing.

Tetapi sayang, tidak banyak yang dikongsikan dalam artikel saya.

Paling saya kagum, keenam-enam mereka begitu dedikasi dalam tugas mereka sebagai anggota polis.

Perwatakan mereka memang nampak tegas, ditambah lagi dengan pakaian seragam polis yang disarungkan tentu sahaja terserlah kredibiliti masing-masing.

Yang pasti, keenam-enam mereka mempunyai cerita tersendiri.

Antara soalan yang saya tanya dan tidak dilupakan  ialah mengenai  syarat utama untuk menjadi anggota polis wanita, perlukah  mempunyai fizikal ciri ala kelelakian yang mengikiskan sifat kewanitaan sedia ada.

Keenam-enam mereka ketawa menyambut soalan yang saya ajukan.

Antara jawapan dilontarkan, DCP Datuk Nooryah Anvar, katanya mana mungkin ciri-ciri kewanitaan dan feminin itu dibiarkan hilang sama sekali.

Katanya, untuk menjadi anggota polis berwibawa, sifat memikat perlu ada dan ia boleh dianggap satu `aset' yang dapat membantu ketika menjalankan tugas atau amanah diberikan.

Mendengar jawapan itu, dalam hati saya berkata-kata, benar juga kata beliau.

Cerita dan pengalaman SAC I Datuk Zaleha Abd Rahman mengendalikan mayat reput turut menyebabkan terus terngiang-ngiang mendengarnya sehingga keesokan harinya,

Katanya, beliau pernah mengendalikan kes mayat yang dijumpai di sungai. Apabila diangkat saja mayat itu anggota tubuhnya tanggal satu persatu. 

"Hendak ikutkan memanglah ngeri, tetapi apabila tugas selesai, semuanya berjalan seperti biasa," ceritanya dengan wajah selamba.

Saya tidak tahu, adakah saya sekental beliau apabila berdepan dengan situasi seperti itu. Rasa-rasanya, berhari-hari juga tidak tidur lena!

Pada masa sama, saya akui, keenam-enam wanita berjiwa kental itu mempunyai ‘kecantikan’  tersendiri.

Saya juga kagum, walaupun ada di antara mereka sudah melewati usia lima abad, tenaga fizikal mereka cukup mantap.

Tanpa saya sedari masa berlalu dengan pantas. Selesai temubual, sesi bergambar pun bermula.

Semua cukup sporting untuk memberikan pose yang terbaik, sekali gus memudahkan jurugambar untuk merakamkan gambar.

Maklum, saya dan jurugambar juga kurang selesa memberi ‘arahan’ kepada individu berjawatan tinggi.

Melihat jam rupa-rupanya sudah melewati jam 5 petang. Selesai tugasan, saya mohon berangkat pulang.

Tanpa disangka, DCP Datuk Zubaidah menawarkan saya menumpang keretanya. Katanya,” Jauh awak nak jalan kaki ke bawah tu. Tak pe, awak naik kereta bersama saya.”

Bagai pucuk dicita ulam mendatang, saya terima tawaran itu sebabnya memang berpeluh sakan kalau berjalan ke bawah.

Jadi, itulah kali pertama dalam seumur hidup saya menarik kereta polis dan menaiki bersama dengan pegawai kanan anggota polis.

Yang buat saya berasa bangga, ketika kereta itu melewati pintu pagar, beberapa anggota polis berkawal di situ memberikan tabik hormat. Meskipun, tabik hormat itu bukan untuk saya tetapi tempiasnya tetap dirasakan.

Dalam hati saya berkata, “Memang hebatlah wanita ini. Lelaki pun bagi tabik hormat dan respek.”

  


No comments:

Post a Comment