Friday, November 1, 2019

Ebuku Suri Rumah Zero Hutang


Teks Nor Affizar Ibrahim
Ebuku Suri Rumah Zero Hutang




Jujurnya, saya kurang gemar membaca topik buku yang berkisar cara pengurusan kewangan dan hutang.

Ini berikutan, pada pandangan saya kebanyakan buku yang membincangkan topik itu acapkali memberikan panduan dan nasihat ‘retorik,  sukar untuk direalitikan dalam kehidupan.

Selain itu, beberapa buku mengenai pengurusan kewangan yang pernah saya baca sebelum ini, isi kandungan atau pengisiannya tidak banyak beza antara satu sama lain.

Namun, meneliti tajuk ebuku, Suri Rumah Zero Hutang ia bagaikan ada tarikan untuk saya membacanya.

Apatah lagi, saya mengenali serba sedikit latar belakang penulisnya iaitu Masayu Ahmad yang sebelum ini, difahamkan tekad berhenti kerja untuk menjadi surirumah, dan kemudiannya bekerja dari rumah sepenuh masa.

Pada fikiran saya, tentu ada perkara dan pengalaman bermanfaat yang ingin dikongsikan oleh pengasas Akademi Bekerja di Rumah ini dengan khalayak mengenai pengurusan kewangan dan hutang.

Sebagai wanita pernah mempunyai kerjaya tetap dan menerima gaji setiap bulan serta ‘memegang duit sendiri’, sedikit sebanyak tentu berasa keperitannya apabila tiada lagi punca pendapatan tetap.

Malah, pengalaman Masayu yang pernah bekerja di Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) sebagai Pegawai Penerbitan ‘menggerakkan’ lagi hati saya untuk membaca dan mengkhatam ebuku Suri Rumah Zero Hutang.

AIM adalah agensi yang berusaha mengurangkan kadar kemiskinan di Malaysia, khususnya masyarakat luar bandar melalui pembiayaan kredit mikro; dan digunakan untuk membiayai kegiatan ekonomi bagi menjana pendapatan.

Justeru, saya yakin menerusi pengalaman di AIM, memberikan lagi sumber inspirasi dan idea kepada Masayu untuk menulis topik berkenaan pengurusan kewangan serta hutang.

Faktor inilah juga antara yang mendorong saya untuk membaca dan hadam, tulisan Masayu yang turut dikenali, sebagai Tenaga Pengajar Ebuku dalam kalangan penulis ebuku.

Sebelum membaca sepenuhnya, saya terlebih dulu meneliti dan membaca satu persatu isi kandungan ebuku yang terbahagi kepada lima bab ini.

Ada beberapa isi kandungan dan bahagian bab yang menarik perhatian saya.
Antaranya,  di dalam Bab 1 Gaya Hidup, saya tertarik dengan topik yang memperkatakan, 
Enam Perkara Sebelum Berani Berhutang.

Enam pekara yang dinyatakan penulis ebuku, Suri Rumah Zero Hutang ini memang ada kebenarannya.

Kebanyakan daripada kita, membuat hutang tanpa berfikir panjang. Lebih-lebih lagi, bagi yang ada pendapatan tetap.

Pada masa sama, ada pula yang terikut-ikut dengan gaya hidup masa kini dan sering menganggap berhutang itu satu keperluan jika inginkan sesuatu atau memiliki apa yang diidamkan.

Sehinggakan, ada yang berani berkata, “jika tidak berani berhutang, sampai bila pun kita tidak akan merasakan apa yang kita hendak.” 

Penulis turut mempersoalkan, adakah kita ada tabiat kemampuan membeli hanya perkara perlu sahaja?

Nasihatnya, jika di luar kemampuan belajar untuk naikkan ego ‘malu berhutang’ dengan meletakkan syarat belum tentu mampu membayar.

Penulis berpesan, untuk menaikkan ego ‘malu berhutang’ belajar tidak membandingkan diri dengan ‘trend kehidupan’ orang lain.

Belajar untuk ‘down grade’ kehidupan, maksudnya walaupun mampu memiliki dua kereta, rumah besar. Kekalkan gaya hidup tanpa perlu membuat perbandingan dengan kehebatan harta orang lain.

Seiring dengan trend hari ini, penulis juga meningatkan, jangan mudah tertipu dengan gambaran bahagia di media sosial. Ukur diri dan rai komitmen yang ada. Belajar untuk bersederhana dan kekalkan ia.

Penulis menasihatkan, belajar untuk mengikat perut sebelum berani berhutang. Ini berikutan, bahaya hutang bukan sekadar tidak boleh tidur lena malah ia adalah halangan kepada rezeki.

Seterusnya, penulis bertanya adakah pilihan berhutang untuk kelangsungan hidup.

Jelasnya,  berhutang untuk membeli keperluan asas. Oleh sebab itu, penulis menyarankan, berhenti berhutang dan mulai susun semula daripada perkara asas. dan mulai belajar menggunakan sumber yang ada.

Enam nasihat dan saranan dikongsikan itu, ada kebenarannya serta wajar diambilkira untuk sesiapa ingin berhutang, khususnya yang tiada kemampuan.

Satu lagi topik yang menarik dalam bab 1 ini ialah Tabung Persediaan Berhenti Kerja.

Bagi yang sudah begitu lama dan penat bekerja, tidak mustahil ada terdetik untuk berhenti kerja dan ingin berehat.

Memang seronok berehat-rehat di rumah tanpa perlu memburu waktu dan tidak dibebani pelbagai tekanan di tempat kerja.

Selain itu, mungkin juga ada yang dalam ‘keterpaksaan’ perlu membuat keputusan untuk berhenti kerja.

Hakikatnya, bersara atau berhenti kerja memang mudah, hantar sahaja notis atau surat letak jawatan.

Namun,  di dalam ebuku Suri Rumah Zero Hutang, penulisnya mengingatkan, adakah kita mempunyai tabung persediaan berhenti kerja?

Membaca ebuku ini, kita tidak dapat menafikan ada beberapa perkara perlu dipertimbangkan sebelum tindakan atau keputusan muktamad dibuat  untuk berhenti kerja.

Apa pilihan kita? Berhenti kerja dengan bebanan hutang yang masih banyak untuk diselesaikan atau dengan situasi tidak ada hutang.

Mungkin juga berhenti kerja dan menjalankan kerja sampingan untuk menyelesaikan hutang.

Penulis merumuskan, apa yang pasti perjalanan akhir yang kita mahu capai adalah surirumah zero hutang. Matlamat ini kita mahu capai sesegera yang boleh dan menikmati hidup dengan tenang.

Sementara itu, Bab 2 ICU Kewangan  dalam ebuku ini membincangkan, situasi kewangan berada dalam keadaan kronik, bahaya dan tidak selamat. Justeru, ia perlu dianalisa dan distruktur semula.

Penulis kemukakan 10 tabiat suka berhutang yang boleh terus menjadi bebanan.  Ia termasuk, berhutang secara maksimum, berterusan menambah hutang meskipun hutang sedia ada tidak terurus, miliki sesuatu di luar kemampuan dan lain-lain lagi; hingga berlaku ICU Kewangan.

Bagi berkongsi kaedah yang boleh dilakukan, penulis mencadangkan supaya menyenaraikan pendapatan, hutang dan tabungan dimiliki.

Malah, untuk memberikan lebih kefahaman,  beberapa contoh cara pengiraan turut dipaparkan dalam ebuku Suri Rumah Zero Hutang.

Tidak membiarkan pembaca tertanya-tanya cara atau penyelesaian untuk menguruskan kewangan dan hutang, di dalam  Bab 3 ebuku ini,  penulis memberikan beberapa panduan mengenai strategi urus hutang.

Pendek kata, buku ini lengkap dan teori diutarakan memberikan manfaat untuk dibaca, sekali gus membantu menyuntik kesedaran pembaca dalam amalan berhutang dan menguruskan kewangan.

Bahasa yang digunakan begitu mudah difahami dan menjadikan pembacaan lancar, malah ia sesuai dibaca untuk semua peringkat usia khususnya, golongan muda yang masih menuntut di institusi pengajian tinggi ataupun yang baru hendak melangkah ke alam kerjaya.

Ebuku ini juga sesuai dijadikan koleksi bacaan suri rumah dan wanita bekerjaya yang mungkin suatu hari nanti, berhasrat untuk berhenti kerja tetapi tidak dibelenggu dengan beban hutang. 

Bagi anda yang bercita-cita melunaskan semua hutang atau zero hutang dan ingin hidup tenang, bolehlah mendapatkan ebuku, Suri Rumah Zero Hutang.

Cuba hadam apa yang dikongsikan oleh penulisnya dan amalkan panduan dititipkan.
Insya-Allah, selepas ini bebanan hutang keliling pinggang bukan milik kita! 

Selamat membaca!