Teks Nor Affizar Ibrahim
BAB 6 Seronok tumpang kereta cikgu baharu
BAB 6 Seronok tumpang kereta cikgu baharu
“Cikgu Norazah! Cikgu Norazah! Tunggu! Tunggu! Biar saya tolong bawakan buku itu,” kata Ikhwan sambil berlari mengejar
cikgu Norazah apabila melihat guru baru itu terkial-kial membawa banyak
buku.
Tak sanggup Ikhwan melihat keadaan cikgu Norazah yang
tampak bersusah-payah mengangkat buku-buku berkenaan. Lalu,
terus tergerak hatinya untuk membantu.
“Oh…Ikhwan. cikgu ingat siapa panggil tadi. Betul ke nak tolong ni,”
“Ya cikgu. Tentu
berat cikgu bawa buku-buku itu. Marilah sini, saya tolong bawakan. ”
Ikhwan
cuba meyakinkan cikgu Norazah bahawa dia ikhlas ingin membantu.
“Terima kasihlah Ikhwan. Nah! Ikhwan
bawa separuh, cikgu bawa separuh. Jadi tidaklah berat sangat,” ujar cikgu Norazah sambil tersenyum.
Ikhwan menyambut buku-buku yang dihulurkan cikgu Norazah
kepadanya. Memang terasa agak berat
tetapi dia bangga dapat membantu cikgu Norazah.
Malah, kalau disuruh bawa lebih daripada itu pun dia sanggup, asalkan dia dapat membantu cikgu Norazah yang kini antara guru kesayangannya.
Sebenarnya,
Ikhwan pun tidak menyangka akan
terserempak dengan guru Matematik itu di keretanya tadi.
Sebelum bertembung dengan Cikgu
Norazah, dia dan rakan karibnya, Shafiqa dan Khairy baru saja selesai makan di
kantin. Namun, Ikhwan menyuruh Shafiqa dan Khairi masuk dulu ke kelas kerana dia
ingin ke tandas.
Sebaik keluar dari tandas, Ikhwan terlihat Cikgu Norazah
terkial-kial menyusun buku yang terletak di belakang keretanya.
Melihat
keadaan itulah Ikhwan berlari pantas menuju ke kereta Cikgu itu. Seperti
biasa, Cikgu Norazah memberikannya senyuman sebaik melihat Ikhwan tercegat di
depannya.
“Okeylah Ikhwan, kita dah sampai. Ikhwan bolehlah letak
buku-buku itu di atas almari tu.”
Cikgu Norazah mengarahkan Ikhwan sebaik saja
mereka masuk ke bilik guru.
Selepas saja meletakkan buku berkenaan, Ikhwan meminta
diri daripada Cikgu Norazah untuk masuk ke kelas.
“Terima kasih banyak-banyak Ikhwan. Nasib baik Ikhwan tolong kalau tidak ‘semput’ juga cikgu
angkat semua buku tu tadi,” ujar CIkgu Norazah.
“Tak ada apalah cikgu. Tolong yang ringan-ringan saja.
Lain kali, cikgu minta tolong lagi pun
saya tidak kisah,” Ikhwan membalas sambil matanya terus menatap wajah Cikgu
Norazah.
“Wow! Cikgu seronok. Tidak sangka cikgu baru aje kat
sekolah ni tapi dapat anak murid semuanya baik dan rajin pulak. Cikgu memang
bersyukur sangat dapat berpindah ke sekolah ini,” kata Cikgu Norazah sambil
memandang tepat pada wajah Ikhwan.
Melihat Cikgu Norazah memandangnya,, Ikhwan mula
tersipu-sipu tetapi jika boleh dia mahu memandang lama-lama wajah lembut dan
tenang cikgunya itu.
Walaupun bersolek nipis, Cikgu Norazah kelihatan ayu
apatah lagi kulit wajahnya putih, bersih dan licin tanpa sebarang jerawat atau
tanda-tanda bekas hitam.
Lagipun, Ikhwan
memang belum puas lagi menatap wajah guru muda di depannya itu.
Setiap
kali dapat memandangnya, Ikhwan berasa
ada perasaan gembira di hatinya. Apatah lagi kini dapat menatapnya dari dekat.
“Oh ya. Ikhwan masuk kurikulum apa ye?” Tiba-tiba Cikgu Norazah menukar topik dan
bertanyakan soalan itu.
“Catur,” jawab Ikhwan sepatah
“Catur, baguslah tu. Petang ni bolehlah kita jumpa. Sekarang ni, cikgu jadi penasihat kelab
catur.”
“Betul ke Cikgu. Bestlah
macam tu. Petang ni, kita boleh jumpa lagi. Cikgu nak tahu, saya ni sudah dua
tahun berturut-turut mewakili sekolah. Jadi juara pulak tu,” kata Ikhwan
bangga.
“Ya ke? Handal rupanya anak murid cikgu ini. Kalau macam itu, tahun ini sekolah kita
bolehlah lagi jadi juara,” usik Cikgu Norazah.
Ikhwan tiba-tiba terasa malu dengan Cikgu Norazah kerana
baru dia sedar, kata-katanya tadi ada
menunjukkan sikap riak dan menunjuk-nunjuk pula.
Mula-mulanya Ikhwan tersengih-sengih kemudian barulah dia
menjawab.
“Insya- Allah Cikgu. Tapi kalau tidak ada sokongan dan
nasihat dari guru tentu saya tidak boleh berjaya,” Ikhwan cuba kembali merendah
diri.
Cikgu Norazah perasan, Ikhwan berasa bersalah bercakap
besar tetapi gembira apabila melihat anak muridnya itu cepat sedar kesilapan
dilakukan.
Sedang rancak berbuat, tiba-tiba, loceng berbunyi
nyaring.
“Hah Ikhwan, loceng sudah berbunyi. Cepatlah pergi masuk
kelas. Petang ni mesti datang tau.”
“Baik cikgu! Saya mesti datang. ” Ikhwan berlalu dengan
riang.
Ketika melangkah keluar dari bilik guru, Cikgu Norazah
terus memerhati Ikhwan sambil tersenyum dan menggeleng-geleng kan melihat
gelagat Ikhwan yang kelihatan gelabah dan agak kelam kabut untuk menuju ke
kelasnya.
*******************************************************************************************************
Petang itu semua ahli persatuan catur sudah pun
berkumpul. Begitu juga dengan Ikhwan.
Entah mengapa petang itu Ikhwan begitu
bersemangat sekali menghadiri kurikulm.
Sejak cikgu Norazah beritahunya pagi
tadi, dia menjadi guru penasihat persatuan itu, Ikhwan tidak sabar hendak
menunggu waktu sekolah berakhir.
Selalunya Ikhwan akan datang bersama Khairy tetapi hari
itu kawannya itu kurang sihat dan mengambil keputusan tidak mahu menghadiri
kurikulum pada petang itu.
Shafiqa pula tidak minat catur. Jadi dia pun
tidaklah menjadi ahli kelab itu. Biasanya
jika Khairy tidak ada Ikhwan memang tidak ada mood. Tetapi hari itu dia sedikit pun tidak kisah.
Apa yang Ikhwan
tahu, dia cukup gembira untuk berjumpa lagi cikgu Norazah.
Akhirnya, cikgu Norazah muncul dan setiap ahli persatuan
catur sudahpun bersedia untuk memulakan aktiviti petang itu.
“Wow! Tidak sangka cikgu ramai juga yang menjadi ahli
persatuan catur di sekolah ni. Ini satu
tanda positif dan kalau ikutkan senarai yang cikga ada semuanya 46 ahli.
"Cikgu
harap, semua ahli boleh bermain catur dengan baik.” Cikgu Norazah meluahkan
rasa gembiranya apabila berjumpa buat kali pertama dengan ahli-ahli persatuan
catur sekolah itu.
Hari pertama cikagu Norazah mengendalikan ko kurikulum
persatuan catur berjalan dalam suasana santai. Selain berkenalan dengan semua
ahli, cikgu Norazah sempat juga memberikan beberapa panduan bagaimana untuk
menguasai permainan catur.
“Saya tahu, kamu semua yang menyertai kelab ini adalah pemain
catur yang bagus. Tetapi cikgu nak ingatjan jugalah, jika kamu
semua ingin menjadi seorang juara catur,
kamu harus terlebih dahulu
banyak belajar dan membuat latihan.
Selain itu, perlu bermain dengan serius
dan selalu cuba menilai permainan sendiri. Bukan itu saja, kamu juga harus boleh menganalisis permainan sendiri.
Latihan untuk membuat taktik penting kerana inti permainan catur
adalah 80 peratus berasakan taktik. Kamu juga harus belajar terbuka ketika dikritik perihal permainan kamu,” ujar cikgu Norazah.
Cikgu Norazah juga sempat berkongsi pengalamannya bermain
catur. Menurutnya, dia mula belajar bermain catur ketika di universiti dan
belajar memahirkan diri melalui tunjuk ajar kawan karibnya.
Berkat tunjuk ajar itulah juga, Cikgu Norazah pernah
memenangi beberapa kejuaraan catur mewakili universiti.
Bagaimanapun, selepas meninggalkan universiti Cikgu
Norazah semakin kurang bermain catur.
Hanya dua tahun kebelakangan ini, Cikgu
Norazah memupuk semula minatnya itu dan gembira apabila mendapat tahu kelab
catur di sekolah tempatnya mengajar kini sangat aktif dan sudah banyak
memenangi kejuaraan.
“Main catur ini sebenarnya mudah. Tetapi yang penting,
pemain jangan gopoh, sebaliknya ambil masa seketika untuk berfikir dan jangan
pandang rendah pada lawan. Selain itu harus ingat, semua buah catur itu penting
dan ada peranan sendiri.
"Apabila faham semua itu, barulah boleh buat strategi
untuk perangkap lawan dan seterusnya kalahkannya.
“Satu lagi cikgu nak pesan, dalam catur sebelum memulai
permainan kita sudah menentukan
cara bermain iaitu bertahan atau menyerang. Namun, kadang-kadang di tengah
jalan permainan adakalanya kita ubah
cara bermain kerana adanya perubahan situasi dan posisi permainan.
Tetapi tujuan tidak pernah berubah yaitu tetap
mempertahankan Raja, agar
tidak mati atau dikepung,” panjang lebar Cikgu Norazah
memberi panduan.
Semua murid tekun mendengar, termasuklah Ikhwan.
Peliknya, petang itu dia sedikit pun tidak berasa mengantuk berbanding
hari-hari sebelumnya.
Biasanya, selepas separuh hari belajar di kelas waktu
pagi, memang terasa penat sedikit dan mengantuk untuk meneruskan aktiviti
petang.
Namun, petang itu bagaikan ada
yang memberi inspirasi dan semangat kepada Ikhwan sehingga langsung tidak
berasa penat mahpun mengantuk.
Petang itu, hati Ikhwan memang berbunga dan terasa masa
begitu pantas berlalu. Melihat jam di tangannya yang menunjukkan jam 4.00
petang, Ikhwan mula berasa resah kerana dia tahu waktu kurikulum akan habis
bila-bila masa saja.
Ikhwan ternyata tidak mampu menahan masa berputar. Masa
kurikulum akhirnya tamat.
Sebelum bersurai Cikgu Norazah memberitahu,
pertandingan catur zon tengah akan diadakan beberapa minggu lagi. Jika tida ada
aral melintang pemilihan peserta akan dibuat dalam masa dua minggu lagi.
Cikgu
Norazah menasihatkan semua ahli persatuan supaya cuba tingkatkan prestasi masing-masing.
Mendengar nasihat itu, semangat Ikhwan berkobar-kobar dan
bertekad tidak akan menghampakan guru penasihat yang dikasihinya itu.
Dalam
diam-diam, Ikhwan berjanji tidak akan menghampakan cikgu Norazah dan ingin
membuatkan dia berasa bangga.
*****************************************************************************************************
Ikhwan melangkah perlahan-lahan menuju ke perhentian bas.
Tiba-tiba saja dia berasa tidak seronok tanpa Khairy.
Jika waktu ko-kurikulum
tadi dia tidak kisah kini baru mula berasa bosan tanpa teman untuk jalan
beriring balik ke rumah.
Langkah Ikhwan bagaikan orang malas dan tidak teratur.
Sekejap ke kanan dan sekejap ke kiri.
Tiba-tiba, dia mendengar ada kereta
membunyi hon dari arah belakang. Ikhwan buat-buat tidak kisah tetapi tetap
memastikan dirinya tidak menghalang kereta di belakangnya.
Namun, kereta MYvi biru di belakangnya menyembunyikan hon
sekali lagi. Kemudian, berhenti kira-kira 10 meter di depannnya.
“Ikhwan! Ni
cikgulah. Ikhwan seorang aje. Nak balik, jomlah cikgu hantar.” Ikhwan sedikit terkejut tetapi tersenyum lebar apabila
melihat pemandu kereta MYvi itu ialah cikgu Norazah rupa-rupanya.
“Oh cikgu! Ya saya
nak balik. Tunggu bas. Mungkin kejap lagi sampailah.” Ikhwan mendekati kereta Cikgu Norazah.
“Kalau gitu jomlah. Biar cikgu hantar. Nanti lambat
sampai rumah tentu keluarga Ikhwan risau,” pelawa Cikgu Norazah.
“Tak apalah cikgu. Buat susah-susah saja. Sekejap lagi
bas sampailah” Ikhwan masih berasa
malu-malu sebab itulah pelawaan itu ditolak.
Sebenarnya, Ikhwan memang teringin sekali mendekatkan
dirinya dengan cikgu Norazah. Namun, baginya tidak elok pula dia menyusah dan
mengambil kesempatan di atas kebaikan gurunya itu.
“Ala tak apalah. Cikgu pun tidaklah terburu-buru sangat
nak balik rumah. Lagipun, kalau ada teman tidaklah rasa bosan memandu,” Cikgu
Norazah terus mempelawa.
Ikhwan tidak dapat hendak menolak lagi pelawaan itu.
Lagipun, hatinya memang melonjak-lonjak hendak berbual-bual lebih lama lagi
dengan guru muda itu.
Banyak perkara yang ingin diketahuinya mengenai diri cikgu
Norazah. Rugi juga kalau menolak
pelawaan itu.
Peluang menaiki kereta dan duduk depan bersama cikgu Norazah sudah
pasti tidak akan dipersia-siakan. Lalu, Ikhwan pun memasuki perut kereta Myvi
biru berkenaan sambil disambut dengan senyuman Cikgu Norazah.
“Ikhwan tidak payah risau tumpang cikgu kerana ia sedikit
pun tidak menyusahkan. Malah, cikgu gembira apabila Ikhwan sudi temankan
cikgu.” Cikgu Norazah seolah-olah mendengar kata-kata hati dan tahu apa yang
berlegar dalam fikiran Ikhwan.
“Macam mana aktiviti ko kurikulum hari ini. Okey tak,” tanya Cikgu Norazah.
“Okey cikgu. Hari
ini, entah mengapa saya seronok sangat, tambahan cikgu pula ada.” Ikhwan
berteus terang tanpa berselindung.
“Ikhwan ni memang suka main catur ya? Mula-mula dulu
siapa yang ajar main?” Soal cikgu Norazah.
“Ya cikgu.!. Saya belajar main catur sejak umur lima
tahun lagi. Keluarga saya memang semua boleh main catur.
"Saya belajar main
catur pun, arwah Mama yang ajar. Ayah saya pun pandai juga main tetapi tak ada
masa nak ajar. Jadi, arwah Mama yang banyak ajar.” Ikhwan membuka cerita.
“Oh ya ke! Jadi, ibu Ikhwan dah meninggallah,” tanya
cikga Norazah inginkan kepastian.
Ikhwan hanya mengangguk-angguk tanpa mengeluarkan
sebarang kata-kata. Cikgu Norazah perasan akan perubahan Ikhwan.
“Cikgu minta maaflah Ikhwan sebab tanya fasal ibu
Ikhwan.”
“Ehh.. tak apa cikgu. Saya kalau tanya fasal ibu, memang
selalu rasa sedih tapi saya tidak kisah cikgu tanya soalan itu,” Ikhwan tidak
mahu cikgu Norazah berasa bersalah melihat perubahan tiba-tiba pada air
mukanya.
“Ikhwan nak tahu, dulu masa belajar di U, cikgu ada kakak
angkat tau. Dia pun pandai main catur. Cikgu dulu sebenarnya tidak berapa minat
main catur ini tapi apabila hampir setiap hari kakak angkat ajak main, cikgu
pun terus syok hinggalah hari ini,” cerita cikgu Norazah.
“Oh ya ke begitu. Main catur ini seronokkan cikgu. Kena
cekap berfikir dan buat keputusan. Silap langkah, memang cepat kalah. Arwah
Mama kata, catur boleh mengasah otak dan menjana minda kita.
"Catur juga boleh menjadikan kita berani
menghadapi apa jua situasi meningkatkan keyakinan diri.” Ikhwan terus berkongsi
minat main caturnya dengan cikgu barunya itu.
“Betullah kata arwah Mama Ikhwan tu. Dan jangan lupa, bermain catur turut
boleh meningkatkan keupayaan mengatur strategi
dan berupaya membantu
mempertajamkan daya pemikiran,” ujar Cikgu
Noarazah pula.
Ikhwan turut memberitahu, semasa hayat arwah Mamanya ada,
mereka selalu berlawan catur.
Apabila, arwah Mama tiada lagi, ayahnya pula
mengambil alih tetapi sejak setahun kebelakangan ini mereka jarang berlawan
catur lagi.
“Abang saya yang pertama, memang susah sikit nak ajak
main sebab dia lebih suka habiskan masa membaca buku. Abang kedua pula, asyik
sibuk dengan computer game.
Kalau dah
mengadap komputer jangan harap nak ajak main apa pun.”
“Saya selalu juga lawan dengan Khairy tapi tak seronok,
dia asyik kalah saja. Kadang-kadang, baru main dah kalah.
"Khairy memang tak
minat sangat main catur dan dia masuk kelab catur pun sebab saya pujuk banyak
kali. Nasib baik, Shafiqa langsung tak tahu main, kalau tidak dia pun saya
pujuk,” Ikhwan terus bercerita.
Cikgu Norazah tergelak kecil apabila Ikhwan bercerita
mengenai Khairy dan Shafiqa.
“Hah! Ikhwan ingatkan cikgu cakap pasal pertandingan
catur yang akan diadakan tidak lama lagi.
Seingat cikgu, pagi tadi Ikhwan ada kata pernah beberapa kali jadi
juara. Jadi, cikgu nak tahun ini Ikhwan mesti masuk pertandingan dan menang
lagi. Boleh tak?” Tanya cikgu Norazah.
“Ala cikgu, itu dulu. Belum tahu tahun ini lagi. Setiap
tahun, lawan saya semuanya hebat-hebat dan persaingan selalunya sengit,” kata
Ikhwan yang berasa malu apabila mengingatkan pagi tadi dia ada cakap besar
dengan cikgu Norazah.
“Tapi…kalau Ikhwan boleh menang tahun lepas, tentu tahun
ini pun boleh juga. Yang penting, mesti berlatih dan ada strategi nak kalahkan
lawan. Cikgu yakin, Ikhwan dan kumpulan kita yang lain ada peluang untuk
pertahankan juara.” Cikgu Norazah memberi dorongan.
“Insya-Allah! Harap-harap begitulah. Tapi cikgu mestilah
beri tunjuk ajar dan sokongan.” Semangat Ikhwan seolah-olah membara apabila
mendapat dorongan cikgu Norazah.
“Oh..itu sudah tentulah. Cikgu pun tak nak sekolah kita
kalah. Nanti ada pula yang kata, cikgu ganti dan ambil alih jadi guru
penasihat, pasukan sekolah kita kalah.
Habislah cikgu!”
Cikgu Norazah bergurau sambil membulatkan mata memandang
Ikhwan.
Kedua-duanya pun berpandangan dan akhirnya, masing-masing
berderai ketawa.
No comments:
Post a Comment