Sunday, June 16, 2019

Bab 15 Kisah Arif dan Mak Tiri


Teks Nor Affizar Ibrahim


Kisah Arif dan Mak Tiri
Bab 15

“Ikhwan! Oh Ikhwan!  Cepatlah turun! Kata hari ini nak terbangkan layang-layang. Jomlah cepat! Cuaca okey ni. Cepatlah Ikhwan!” 

Bertalu-talu suara itu memanggil nama Ikhwan, namun kelibatnya masih tidak nampak.
Ilham yang mendengar suara dari luar rumah itu keluar menjenguk untuk mengetahui siapakah  yang dari tadi asyik memanggi-manggil nama adik bongsunya itu.

“Ohhh Arif!.  Abang ingat siapa tadi.  Nak jumpa Wan ke? Dia sedang minum petang tu, nenek ada goreng pisang. Marilah masuk dulu,” pelawa Ilham kepada Arif.

“Oh kalau macam tu tak pelah Bang. Arif  tunggu kat luar ni aje lah. Tapi abang tolong  bagi  tahu Wan cepat sikit. Nanti cuaca berubah pulak,”  jawab Arif.

“Korang berdua nak pergi mana ni? Sudah rancang nak buat apa,” soal Ilham inginkan kepastian.

“Hari ini, kami tidak merayau mana-mana bang. Cuma nak main layang-layang di padang.
Cuaca cerah dan berangin, mesti naik layang-layang kami nanti. Kawan-kawan lain sudah pun tunggu kat sana,” pantas Alif menjawab. 

Lega Ilham mendengarnya dan tidak perlulah dia risau kerana hari ini, Ikhwan  tidak  merayap sana sini.
Ilham juga risau jika adik bongsunya itu melakukan perkara yang bukan-bukan. Sudah dua hari, Ikhwan menunjukkan perubahan sikap yang bukan sahaja merunsingkan Ilham tetapi juga Pak Ghazali dan Mak Tijah serta Izhar.  

Sejak Pak Ghazali beritahu hajat ayah mereka yang ingin berkahwin, Ikhwan tampak murung sedikit dan banyak mendiamkan diri. 

Sepanjang dua hari itu, puas jugalah Mak Tijah dan Pak Ghazali memberikan kata nasihat dan memujuk Ikhwan. Nasib baik, ‘termakan’ juga dia nasihat datuk dan neneknya. 

Pagi tadi, Pak Ghazali melayan Ikhwan membuatkannya layang-layang sebab itulah dia semakin ceria kembali.

Pada masa sama, bimbang juga Ilham melepaskan adik bongsunya itu bermain jauh dari rumah nenek mereka.  Lagipun, Ilham sudah berjanji dengan ayahnya akan menjaga 
kedua-dua adiknya. 

Oleh itu, dia mesti tahu ke mana saja mereka pergi dan apa mereka buat. Senanglah untuk Ilham memantaunya.

Bukan tidak percayakan Ikhwan mahupun Arif tetapi Ilham selalu ingat pesanan arwah Mamanya, tanggungjawab  sebagai abang perlu dipikul dengan sebaik-baiknya.

Kata arwah Mamanya lagi, sebagai abang sulung, Ilham perlu tunjuk contoh yang terbaik. Ilham juga tidak mahu janjinya dengan ayah dipandang mudah.

Ilham memang kenal sangat dengan Arif,  anak Pak Ngah Din yang  duduk tidak jauh dari rumah atuk dan nenek mereka.  

Jauh rumah Arif  hanya 10 minit berjalan kaki ke rumah atuk dan nenek mereka. Arif sebaya dengan Ikhwan, cuma badannya lebih besar dan tinggi daripada Ikhwan. 

Setiap kali balik kampung, biasanya Arif akan ajak Ikhwan untuk ikut sertanya bersama rakan-rakan lain di kampung itu untuk  bermain  bersama. 

Arif, anak kampung jati di kampung itu. Jadi, selok belok kampung itu memang dia tahu sangatlah. Kadang-kadang, sehari suntuk Arif dan kawan-kawannya membawa Ikhwan merayap satu kampung. 

Kalau tidak pun, mereka bermain guli atau pun layang-layang bersama dan macam-macam lagi aktiviti lain.  

Namun, yang paling Ilham tidak berapa gemar apabila  mereka pergi mandi sungai di hujung kampung,  lebih-lebih lagi jika tidak ada orang dewasa yang turut serta. 
Ilham selalu berpesan kepada Ikhwan jika hendak mandi sungai, ajak sekali Izhar. Ada ketikanya, jika ada mood atau ‘terpaksa’  Ilham akan turut serta bersama Ikhwan dan kawan-kawannya mandi sungai.

Pak Ghazali dan  Mak Tijah pun senang hati kalau Ilham atau Izhar menemani Ikhwan dan rakan-rakannya mandi di sungai.

“Aku dah siap!  Aku juga ada bawa untuk kau goreng pisang. Nanti bolehlah kita makan sama.  Jomlah kita gerak. Tapi sebelum tu, kau  patut tengok ni!
Pagi tadi Atuk aku buatkan layang-layang  baru untuk aku.  Kau tengoklah ni Alif. Okey  tak?”  

Ikhwan keluar dan menuruni  tangga rumah itu sambil di tangannya memegang 
layang-layang .   

“Wah! Cantik layang-layang kau. Warna warni lagi. Untunglah…Atuk kau tolong buatkan. Aku punya layang-layang buat sendiri, minggu lepas. Aku dan kawan-kawan yang lain buat sama-sama. Bila dapat tahu kau akan bercuti kat kampung ni, kami pun terus rancang nak ajak main layang-layang sama-sama. Sebab itulah kami cuba siapkan cepat. 

“Kami punya layang-layang, memang tak boleh challenge kau punyalah. Atuk kau buat, mesti hebat punya.  Apa lagi, jomlah kita pergi. Yang lain dah lama tunggu kita ni,” kata Arif.

Sebelum berjalan beriring ke padang, tempat yang dijanjikan dengan kawan-kawan 
lain Ikhwan meminta izin Mak Tijah untuk keluar rumah. Pak Ghazali memang  tidak ada di rumah. 

Selepas Zohor tadi, Pak Ghazali katanya, nak ke kebun dan diajaknya Izhar supaya temankan.

Katanya, mana tahu ada setandan dua pisang yang boleh dibawa pulang. Jadi, bolehlah Izhar tolong bawakan.  

Mak Tijah yang sudah lama mengenali Alif dan keluarganya, tidak kisah cucunya berkawan dengan Alif.   Sekurang-kurangnya dia tahu, dengan siapa Ikhwan berkawan.

“Boleh aje kalau nak pergi keluar bermain dengan kawan-kawan. Tapi kenalah pandai-pandai jaga diri. Berkawan itu biar elok-elok, jangan bergaduh. Kalau main tu jangan pulak lupa diri.  Dah habis main, cepat pulang. Wan mesti balik sebelum masuk waktu Maghrib. Faham tak?” Mak Tijah mengizinkan tetapi tetap berpesan dan memberi syarat kepada Ikhwan.

Ikhwan tak jawab dan tersengih saja sambil mengangguk-anggukkan kepala. Begitu juga Arif turut tersengih-sengih mendengar pesanan Mak Tijah.

Empat kawan mereka yang sudah berada di padang  kelihatan  sibuk menaikkan layang-layang masing-masing.

Mereka begitu asyik dan bersungguh-sungguh untuk memastikan layang-layang masing-masing dapat terbang tinggi.  

Apabila angin bertiup, tali cepat-cepat ditarik melawan arus angin dengan cara menghulur dan menarik talinya.  Dengan cara itu,layang-layang akan dapat terbang tinggi di udara. 
Tanpa membuang masa, Alif terus membantu Ikhwan  untuk menaikkan layang-layang yang dibawanya. 

Ikhwan memegang gulungan tali manakala Alif menganjung  layang-layang. Arif memastikan jaraknya antara Ikhwan kira-kira satu rantai.  Apabila  Ikhwan memberi isyarat, 
Arif  pun terus menganjungkan layang-layang berkenaan. 

Layang-layang  itu kemudiannya mula terbang ke udara, Ikhwan menyentak sambil menghulur benang dalam lilitan sehingga layang-layang itu terus terbang tinggi. 
Sedikit demi sedikit, Ikhwan menghabiskan kesemua sekali benang yang ada di dalam lilitannya. 

Layang-layang itu kini sudah pun berada tinggi di angkasa dan  terus  melenggang-lenggok mengikut daya angin.

“Ikhwan hati-hati! Jangan sampai tersangkut kat pokok tepi itu.”  Arif  memberi amaran apabila melihat layang-layang Ikhwan semakin menghampiri salah satu pokok yang ada di situ.

“Yalah aku cuba elakkan ni. Tapi angin kuat sangatlah, susah aku nak kawal ni,” 
ujar  Ikhwan.

“Ikhwan kau teruskanlah terbang layang-layang kau. Jidan akan tolong aku untuk naikkan layang-layang.  Harap, layang-layang yang aku buat sendiri ini boleh terbang tinggi macam kau punya,” kata Arif dalam nada separuh menjerit kerana dilihatnya Ikhwan semakin leka menerbangkan layang-layang yang dibuat Atuknya.

Akhirnya, layang-layang Ikhwan dan Arif sudah pun kelihatan terbang bebas dan melenggang-lengok di angkasa. 

Pastinya, layang-layang Ikhwan terbang lebih tinggi daripada Arif. Ini semua kerana penangan sentuhan hasil kerja Pak Ghazali  yang menghasilkan layang-layang bermutu dengan teknik betul dan teliti.

Layang-layang dinaikkan Ikhwan dan Alif terus terbang tinggi. Kedua-duanya begitu seronok. Apatah lagi, cuaca petang itu memang sesuai sekali untuk bermain layang-layang.
Ikhwan dan Alif  berdiri tegak untuk mengendalikan layang-layang masing-masing. Namun, sesekali mereka terpaksa berlari apabila  angin hanya bertiup  perlahan.  Ia untuk memastikan layang-layang mereka boleh terus berada di angkasa.

Apabila layang-layang seakan bergerak menurun, mereka cuba ujungkan layang-layang mengarah ke atas, lalu cepat-cepat menarik benang.  Jika angin bertiup cukup banyak pula, benang disentak dan dilepaskan lebih panjang.  

Memang bukan mudah mengendalikan layang-layang. Tidak bijak menganggar,layang-layang akan terjunam. Tidak pandai memegang tali, layang-layang akan ‘mati’. 

Mula-mula belajar main layang-layang dulu,  Ikhwan hampir putus asa. Tetapi dengan nasihat Pak Ghazali dan tunjuk ajar Ilham dan Izhar, Ikhwan semakin pandai mengendalikan layang-layang.

Apabila semakin mahir menerbangkan layang-layang, Ikhwan semakin seronok.  Sejak itu juga, setiap kali balik kampung aktiviti bermain layang-layang antara yang tidak  akan dilupakan. 

Apatah lagi, Pak Ghazali tidak pernah menghampakan Ikhwan, setiap kali dia memintanya  tolong membuatkan layang-layang. 

Dalam keasyikan mereka bermain, tiba-tiba  entah mana silapnya tidak semena-mena tali layang-layang Ikhwan terbelit dengan layang-layang Arif.  Dalam cubaan kedua-duanya ‘bergelut’  menyelamatkan  layang-layang masing-masing, akhirnya benang layang-layang Arif terputus.

Terlopong mulut Arif melihat layang-layangnya sudah terpisah daripada gulungan benang yang dipegang.

Ikhwan juga tidak terkata apa-apa dan hanya mampu melihat layang-layang itu terus berlegar di angkasa  tanpa tali.

“Hemmm… tak sampai sejam kita main. Dah putus. Malaslah nak main lagi.  Jomlah kita duduk bawah pokok tu. Kita duduk-duduk sambil makan goreng pisang yang aku bawa tadi,” ujar Ikhwan yang sudah hilang mood untuk terus bermain walaupun layang-layangnya masih gah berlegar di angkasa.

Ikhwan kemudiannya terus menarik benang dengan perlahan supaya layang-layangnya terbang lebih rendah. Apabila layang-layangnya mencecah tanah, dia terus melilitkan benang pada gulungan.

Wajah Arif tampak hampa. Ikhwan menepuk-nepuk perlahan-lahan bahunya. 
“Sudahlah tu. Jangan buat muka macam tu, tak comel pun!. Esok kalau ada masa kau buatlah lagi layang-layang baru dan kita boleh main sama-sama lagi. Sekarang ni, meh duduk dan rehat-rehat bawah  pokok, best juga,”  ujar Ikhwan seakan memujuk kawannya itu.

Mereka berdua sudah pun duduk bersandar pada sebatang pokok. Ikhwan menghulurkan  goreng pisang yang dibawa kepada Arif.

“Nasib baik kau bawa goreng pisang ni Wan. Aku taklah lapar tapi sebab stres,rasa sedap sangatlah goreng pisang ni. Dah tiga keping aku makan ni. Kau jangan marah ya,” kata Arif sambil menikmati goreng pisang awak yang digoreng Mak  Tijah.

“Ala…makan jelah. Nak habiskan semua pun boleh je. Aku dah banyak makan tadi. Kalau aku teringin lagi, aku boleh minta tolong nenek aku gorengkan lagi,” jawab Ikhwan.

Arif hanya menyeringai mendengar kata-kata Ikhwan. 

“Arif…aku nak tanya kau soalan boleh?”  Tiba-tiba Ikhwan menukar topik. 

“Eh! Tanyalah. Kenapa tak boleh pulak,” pantas sahaja Arif membalas. 

“Aku nak tahulah, macam mana kau dengan mak tiri kau. Okey tak dia?” Ikhwan 
mula mengajukan soalan pertama kepada kawannya itu.

“Emmm…oklah. Tapi lebih ok masa mula-mula ayah aku baharu kahwin dengan Makcik aku tu. Dia memang manjakan aku dan macam-macam barang dia belikan untuk aku. Baju baharu, permainan dan banyak lagi. Kadang-kadang, Makcik bawa aku jalan-jalan.  Masa itu, aku benar-benar gembira dapat emak baharu.

“Padahal, sebelum ayah aku kahwin baharu, pelbagai perasaan timbul.  Takut, sedih, benci dan macam-macam lagi.  Hinggakan, hampir tidak jadi ayah aku nak kahwin lagi. Nasib baik, Makcik pujuk aku dan lama-lama aku pun suka dan sayang padanya.  Kami juga semakin rapat. 

“Tapi dua tahun  selepas mereka kahwin, aku pun dapat adik baharu.  Masa itu Makcik aku dah mula berubah dan tak macam mula-mula dulu.  Apa aku buat, semua tak  kena. Ada saja silap di matanya.  

“Selepas itu, aku dapat lagi adik baharu. Kalau yang pertama, perempuan, kedua dapat pula adik lelaki. Bertambah-tambahlah lagi Makcik aku macam tak sayang pada aku.  Memang rasa sedih. 

“Sekarang ni lagilah… asyik nak marah aku je. Bila ayah aku tak ada rumah, bukan setakat  marah aje, kadang-kadang dia pukul aku. Makcik lebih sayangkan kedua-dua adik baharu.

“Aku ada juga mengadu kat ayah pasal perangai Makcik aku  tetapi selalunya, ayah akan marah dan salahkan aku.  Sebab itu aku tidak suka duduk rumah. Asyik kena marah aje. Memanglah rasa sedih tetapi tak tahu hendak mengadu kat siapa. 

“Akhirnya, aku pun buatlah hal sendiri. Di sekolah, aku masuk macam-macam aktiviti. Jadi aku selalulah sibuk dan memang jaranglah ada kat rumah.  Cara ini sahaja aku dapat elakkkan kena marah dan  dipukul oleh Makcik,” cerita Arif.

“Ohh macam itu ke? Kau boleh tahan pulak semua itu,”  Ikhwan bertanya lagi.
“Entahlah Wan. Kata-kata arwah ibu aku selalu jadi kekuatan pada diri aku, terutama  apabila aku bersedih. Arwah ibu aku kata, hidup ini macam layang-layang juga. 

“Kadangkala ia terbang tinggi dan boleh gembirakan kita. Tapi ada ketika layang-layang itu  terlepas atau tersangkut. Inilah ujian untuk kita, sama ada kita  sabar atau tidak untuk menghadapinya. 

“Ibu aku juga kata, seringkali merelakan adalah pilihan terbaik. Kita tidak perlu bersedih terlalu lama kerana ada kemungkinan yang lebih baik. Makcik aku itu sekarang ini mungkin tak suka, marah-marah dan garang dengan aku tetapi mana tahu dia akan berubah sikap suatu hari nanti seperti  dulu. 

“Lagipun, aku bercita-cita nak masuk sekolah asrama apabila masuk Tingkatan 1 
nanti. Bebaslah sikit, ” telus sahaja Arif  bercerita.

Ikhwan tidak berkata apa-apa, dia hanya mendengar sahaja. Selama ini, Arif tidak pernah bercerita pasal ibu tirinya dan  dia tidak sangka pula keadaan seperti itu berlaku. Ikhwan rasa simpati dengan apa yang Arif lalui.

“Ehh! Yang kau tiba-tiba tanya aku pasal ini kenapa?” Arif menyoal Ikhwan kembali.
“Emmm…tak ada apa-apalah. Eh! Goreng pisang dah habis ke? Dah habis jomlah kita balik.  Dah pukul 6, tak ada apa lagi hendak buat. Baik kita balik rumah aje.” Ikhwan mengajak Arif pulang ke rumah. 

Mendengar cerita Arif pasal dia dengan ibu tirinya, menambahkan lagi pelbagai  persoalan dalam benak fikiran Ikhwan. Semakin berserabut dibuatnya!

No comments:

Post a Comment