Monday, February 18, 2019

Getar jiwa temubual Tengku Puan

Teks Nor Affizar Ibrahim

Getar jiwa temubual Tengku Puan


Berpeluang bertemu dan menembual one to one dengan kerabat di raja adalah antara pengalaman mahal yang mungkin saya tidak lupakan.

Ini berlaku pada tahun 2005.  Saya ditugaskan untuk menemubual Tunku Puan Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar yang kini sudahpun ditabalkan sebagai  Raja Permaisuri Agong ke -16 dan bergelar Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar Tunku.

Temubual itu adalah berkenaan buku Air Tangan Tengku Puan Pahang - Buku Masakan Tradisional Pahang yang diterbit bertujuan untuk menelusuri kembali pusaka nenek moyang dulu dan berkaitan dengan makanan serta pemakanan.

Saya difahamkan, hasil jualan buku itu akan disumbangkan kepada Yayasan Fertiliti Tunku Azizah Pahang (Tunku AzizahF ertility Foundation, TAFF) yang akan turut dilancarkan pada majlis yang sama.

Penubuhan yayasan itu diilhamkan sendiri oleh Tengku Puan yang juga Presiden Seumur Hidup TAF.

Pertemuan diaturkan di Istana Pahang, istana hinggap di Kuala Lumpur.

Bagaimanakah perasaan saya? Sudah tentu saya berdebar-debar dan jiwa bergetar untuk bertemu Tunku.

"Macam manalah agaknya temubual itu nanti." Hati saya terus tertanya-tanya pada diri sendiri.

Jika sekadar menghadiri majlis yang dihadiri Tunku, bukan masalah besar tetapi ini perlu bersemuka dan menemubual.

Risau juga dibuatnya. Lebih-lebih lagi, saya tidaklah tahu sangat mengenai protokol istana.

Oleh sebab itulah beberapa hari sebelum itu saya membuat rujukan dan bertanya sana sini.

Pertama sekali, tentunya mengenai bahasa panggilan untuk Tunku dan juga diri saya.

Saya juga ingin tahu, bagaimanakah perwatakan peribadi Tunku supaya saya lebih bersedia untuk menemui beliau.

Tiba harinya, saya pun bolehlah dikatakan sudah bersedia untuk membuat tugasan itu.

Kehadiran saya disambut ramah sekali oleh Tunku. Ketika itu terlerai semua debaran.

"Mulusnya..kulitnya." Saya memuji dalam hati. 

Kali pertama melihat dan bersemuka dengan Tunku, memang saya kagumi kecantikannya.

Saya senang sekali bertemu dan menemubual Tunku kerana beliau bersikap sederhana dari penampilan hinggalah tutur bicaranya.

Malah, pertemuan pada petang itu begitu santai sekali walaupun saya berdepan dengan kerabat di raja.

Temubual itu bermula dengan topik yang ingin dibincangkan.

Saya seronok mendengar Tungku bercerita mengenai kebolehan dan minatnya dalam bidang masakan.

"Saya bukannya pandai sangat memasak tetapi tahu dan boleh memasak.” Itu pengakuan yang dibuatnya.

Beliau juga memberitahu, walaupun sebelum berkahwin jarang ke dapur, semua ramuan yang digunakan dalam sesuatu masakan diketahui.

Dalam hati saya berkata, “Ohhh rupanya puteri diraja pun rajin ke dapur juga.”

“Sejak zaman kanak-kanak lagi saya rajin ke dapur dan suka memerhati cara tukang masak memasak.Tetapi  tukang masak sering larang saya masuk ke dapur. Lazimnya, kalau saya masuk, tukang masak akan mengusir.

“Mungkin mereka takut terkena percikan minyak atau luka terkena pisau. Jika saya kata hendak tolong juga, tukang masak akan suruh kupas bawang.”

Bersahaja Tunku cerita dan kadangkala diselangi deraian ketawanya apabila mengimbas zaman kanak-kanak.   

Kata Tunku, seingatnya untuk belajar memasak beliau mula nya cuba belajar membuat biskut raya tetapi yang tidak dilupakan ialah lauk pertama, hasil daripada air tangannya iaitu ikan masak kicap.   

"Saya masak lauk itu kerana `terdesak'. Ketika itu semua tiada di istana termasuk tukang masak kerana ada sesuatu yang berlaku di luar. Oleh kerana berasa lapar, saya dan kakak pun mula memasak. Tidak sangka, masakan itu menjadi dan sedap pula."

Rancak bercerita perihal memasak, Tunku beralih pula cerita mengenai yayasan yang diterajuinya.

Katanya, yayasan itu ditubuhkan kerana mengenangkan nasib wanita yang berkeinginan sangat menjadi ibu tetapi berdepan dengan pelbagai masalah khususnya, kesuburan untuk mendapatkan zuriat.

Kata Tunku, idea menubuhkan yayasan itu tercetus berdasarkan pengalaman yang dihadapinya sendiri dalam usaha mendapat dan menantikan kelahiran zuriat untuk menyinari kebahagiaan rumah tangga dibina.         

Katanya, pengalaman lebih sepuluh tahun menanti untuk mendapatkan zuriat adalah antara pengalaman paling perit dilalui.

Namun, beliau bersyukur selepas berusaha dan pernah beberapa kali mengalami keguguran, akhirnya empat daripada enam cahaya mata, berjaya diperoleh melalui kaedah persenyawaan di luar rahim (IVF).

"Allah tak bagi, lama saya tunggu. Nah! Lepas tu satu persatu saya dapat. Syukur sangat! "
Itu antara kata-katanya yang saya tak lupakan.

Bukan dirinya sahaja difikirkan, malah Tunku turut menyatakan rasa sedihnya kepada wanita yang mengalami ujian sama tetapi sukar untuk berusaha kerana kekangan kewangan.

Katanya  – “Saya tahu apa yang mereka rasakan.”

Begitulah sifat Tunku bukan sahaja bersikap sederhana tetapi penuh kasih sayang, peka dan mengambil berat masalah rakyatnya.


Daulat Tuanku!  

No comments:

Post a Comment