Friday, February 22, 2019

Aura mistik Matterhorn

Teks Nor Affizar Ibrahim

Aura mistik Matterhorn

Bagaikan  menatap poskad atau helaian kalendar yang memaparkan gambar menarik. 

Terpegun seketika melihat apa yang terbentang luas di depan mata kerana pemandangannya sungguh menakjubkan dan belum pernah seumur hidup penulis menyaksikannya secara realiti.

Kunjungan ke Zermatt, Switzerland, pada tahun 2010 nyata memberi pengalaman baru dan tidak akan dilupakan.

Peluang melihat secara dekat puncak Alps, Matterhorn yang turut menjadi satu daripada 100 keajaiban di Eropah, memberi kepuasan dan sukar diungkap dengan kata-kata.

Sebaik saja memulakan perjalanan mendaki Matterhorn dengan menaiki kereta kabel gunung tertinggi di Eropah, penulis disajikan dengan pemandangan indah.
   
Tiba di puncak, perasaan kagum dan teruja semakin menghambat diri serta terpana menyaksikan semua itu hinggakan lidah kelu seketika untuk berkata- kata.
   
Puncak Matterhorn satu daripada puncak tertinggi dan terkenal di Switzerland selain Jungfrau.
   
Puncak itu sangat terkenal hinggakan gambarnya sering digunakan untuk kemasan pembungkusan beberapa jenama coklat di negara itu.
   
Rupa bentuknya jelas dan puncak yang sering diselubungi kabut memberikan Matterhorn aura mistik unik. Misteri pantulan matahari dan gabungan warna serta cahaya pesona yang terpancar pada gunung alps itu mengungkapkan lagi rahsia tersendiri.
   
Tidak hairan setiap tahun beribu-ribu pelancong dari serata dunia datang ke situ untuk menyaksikan kehebatan puncak yang berdiri tegak dan megah dengan ketinggian 4,478 meter itu.
   
Orang pertama mendaki puncak itu ialah warga England, Edward Whymper bersama kumpulannya pada Julai, 1865. Perjalanan ke situ sangat berbahaya hinggakan kumpulan pendaki itu kehilangan tiga anggotanya ketika menuruni puncak berkenaan.
   
Kini, pendakian boleh dibuat dengan menggunakan landasan kereta api moden dan kereta kabel, sekali gus membolehkan puncak itu `ditawan' dengan mudah. 

Perjalanan dari Zermatt ke syurga glasier Matterhorn dengan menggunakan kereta kabel mengambil masa lebih kurang 45 minit.
   
Untuk melihat keindahan panorama 360 darjah kawasan Alps, termasuk melihat lebih dekat puncak Matterhorn, penulis menaiki dek paling tinggi dengan altitud 3,883 meter. 

Berada di atas dek itu, dapat dirasakan glasier yang mencair, seolah-olah semakin dekat untuk disentuh.
   
Bagi meneroka lagi dunia glasier, penulis memasuki terowong ais yang membawa 15 meter ke bawah kawasan itu. 

Di dalamnya bukan saja lebih sejuk tetapi sungguh menakjubkan, terutama apabila dapat menyaksikan dunia mistik ais dan cahaya.

Sebenarnya, sebelum melihat semua keajaiban itu sepanjang perjalanan ke Zermatt, penulis bersama rombongan disogokkan pemandangan indah semula jadi dengan pergunungan dan keindahan dataran tinggi yang selalu saja dihiasi binatang ternakan dan kehijauan alam Swiss.
   
Lebih 1,000 bunga alpine ada di situ dan sesetengah spesies dilindungi. 

Kawasan pendakian membawakan perjalanan sejauh 400 km yang melalui hutan pain hingga tasik gunung dan glasier.

Kawasan itu juga dikenali sebagai syurga ski kerana dilitupi salji sepanjang tahun atau 365 hari, malah ia menyediakan keadaan sempurna untuk meluncur atau melakukan sebarang sukan salji.
   
Perjalanan ke Zermatt dari Zurich atau Geneva dengan kereta api mengambil masa lebih kurang tiga jam. 

Zermatt dulunya hanya sebuah perkampungan miskin manakala penduduknya terpaksa bekerja kuat membanting tulang setiap hari untuk mencari rezeki.

Kini, ia terkenal kerana memiliki keindahan kelas dunia dan ada banyak tarikan atau aktiviti yang tersedia hinggakan ia tidak putus-putus dikunjungi pelancong dari serata dunia.
   
Gornegrat adalah tempat terakhir yang boleh dicapai oleh kenderaan dari Zermatt. Gornegrat berada di ketinggian 3089 meter dan dari situ boleh dilihat beberapa jajaran pergunungan Alps yang sangat menakjubkan. 

Malah, pertama kali turun dari kenderaan, puncak Matterhorn boleh dilihat dengan jelas.
   
Udara di Zermatt bersih dan segar serta bebas daripada pencemaran kerana semua kenderaan di situ hanya menggunakan kenderaan elektrik dan kereta kuda.
   
Kawasan itu masih mengekalkan rekaan tradisional dan perkampungan yang asli. 

Buktinya, seni bina pada rumah, resort dan restoran serta bar masih menggunakan bahan binaan daripada kayu.
   
Zermat mempunyai lebih 6,000 penduduk dan kebanyakan bekerja dalam industri pelancongan. 

Namun yang menarik, mendaki gunung adalah aktiviti tradisional penduduk di situ manakala meluncur ski dipelajari sejak kanak- kanak lagi.
   
Kedatangan pelancong dari serata dunia ke bandar itu mencapai antara 28,000 hingga 30,000 pada musim puncak pelancongan manakala bagi bukan musim, jumlahnya ialah 8,000 hingga 9,000 pelancong.
   
Tempat penginapan tidak menjadi masalah kerana di situ lebih 100 hotel disediakan. 

Bagaimanapun, Zermatt bukan hanya destinasi untuk pelancong kaya tetapi juga popular di kalangan mereka yang mengembara secara backpack.

Sekali berkunjung ke situ, pasti ada yang menanam tekad untuk kembali lagi.

* Artikel ini pernah disiarkan di Metro Ahad Ahad, 7 Mac 2010

No comments:

Post a Comment