Teks Nor Affizar Ibrahim
Adik Masitah mangsa rasukan syaitan
Tiga hari
lalu, sendu dan tangisan mengiringi pengkebumian jenazah adik Siti Masitah
Ibrahim, 11, yang ditemui mati dalam keadaan tragis di ladang kelapa sawit di
Kampung Tanjung Medang Hilir pada 9 Februari lalu.
Selepas
10 hari mayatnya dibedah siasat di Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan
(HTAA), akhirnya jenazah adik Masitah dibenarkan dituntut keluarga dan selamat
dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tanjung Medang Kemahang.
Sebelum
itu, jenazah dimandi dan dikapankan di Masjid Tengku Ampuan Afzan di Indra
Mahkota Kuantan selepas dituntut ibunya, Solihah Abdullah, 35.
Malang
sungguh adik Masitah, pemergiannya cukup menyiksakan akibat perbuatan kejam
manusia yang dirasuk syaitan dan berjiwa binatang.
Mayat
Masitah sebelum ini ditemui dalam keadaan tragis dengan kepala terpisah serta
beberapa organ dalaman hilang di ladang kelapa sawit.
Polis
mengesahkan, mangsa dibunuh dengan kejam pada hari yang sama dilaporkan hilang
pada 30 Januari lalu oleh seorang lelaki juga kenalan rapat keluarganya kerana
motif dendam dan marah.
Tergamak
sungguh pelaku, akibat dendam berbuku di hati dan amarah, kanak-kanak tidak
berdosa dijadikan mangsa.
Lebih
dahsyat, diperlakukan dengan zalim dan cukup memilukan. Kegilaan apakah ini?
Berikutan
itu suspek yang berusia, 23 tahun ditahan reman sehingga 24 Februari depan bagi
membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Ternyata pelaku tidak berperikemanusaan dan tergamak bertindak sekejam
itu kepada adik
Masitah yang pastinya tidak terdaya melawan serta menangkis
tindak tanduk pembunuh itu terhadapnya.
Tidak terbayang, bagaimana agaknya kanak-kanak malang itu merintih
kesakitan dan merayu simpati agar dilepaskan.
Syaitan apakah yang merasuk pelaku itu sehingga tergamak berbuat
demikian?
Apakah pula perasaan pelaku itu ketika melakukan perbuatan kejam itu?
Sesungguhnya, memang tidak mampu akal fikiran waras ini menelah
atau mentafsirkan perilaku pelaku itu.
Pembunuhan kejam dan kematian adik Masitah bukan sahaja diratapi ahli
keluarganya tetapi juga rakyat di negara ini.
Lantas, ramai menggesa dan berharap pelaku dihukum dengan setimpalnya.
Sedihnya, tahun 2019 baharu sahaja menjengah Februari tetapi kita sudah
dikhabarkan dengar berita tragis seumpama ini.
Makin terhakiskah rasa perikemanusiaan dalam masyarakat kita?
Tidak selamatkah lagi dunia ini untuk insan bergelar kanak-kanak?
Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul dan menanggungnya.
Mungkin inilah yang dialami dan dirasakan keluarga adik Masitah yang
kehilangan puteri kesayangan mereka selama-selamanya.
Moga keluarga ini bersabar dan tabah berdepan dengan ujian hebat ini.
Didookan juga agar adik Masitah damai di sana!
Al-Fatihah
No comments:
Post a Comment