Saturday, July 18, 2020

Bab 18 Kejutan Untuk Ikhwan


 BAB 18 Kejutan untuk Ikhwan


Hati Ikhwan berasa tidak senang sekali. Ada perasaan berdebar dan ada gemuruh. Sesekali Ikhwan tidak tahu apa yang dirasakan kini.

Hari ini, Radzi akan menemukan dan memperkenalkan Ikhwan dengan bakal ibu tirinya. Pertemuan itu diatur seperti mana permintaan yang dibuat Ikhwan sendiri.

Radzi fikir sememangnya lebih baik anaknya itu bertemu dan berkenalan dengan ibu tirinya.
Mula-mula, Radzi ingin membawa ketiga-tiga anaknya tetapi kerana Ilham dan Izhar tidak boleh keluar asrama kerana ada aktiviti kolej, hasrat itu dibatalkan. 

Fikirnya, lebih baik dia memperkenalkan kepada Ikhwan dulu. Lagipun, selepas ini Ikhwan yang akan lebih banyak menghabiskan masa di rumah bersama bakal ibu tirinya.

“Ayah betul ke sudah berjanji pukul 12.00  hendak jumpa. Sekarang ini , 12.15 kenapa tidak sampai lagi.” Ikhwan bertanya sambil melihat jam di tangannya.

“Sabarlah Ikwan,  sekejap lagi sampailah itu. Tapi ingat pesan ayah, Ikhwan mesti berperangai sopan dan tidak buat hal. Walau tidak suka sekalipun, jangan tunjukkan tetapi mesti hormati. Jangan sesekali nak malukan ayah dengan orang  lain.

Ikhwan mencuka mendengar kata-kata ayahnya.  Dalam hati Ikhwan berkata, ayahnya tidak patut cakap begitu . Sejak dulu Ikhwan sentiasa hormati orang tua, malah itulah juga selalu yang arwah Mama Ikhwan selalu ingatkan.

“Eh…eh itu macam cikgu Norazah aje,  ayah. Cikgu berjalan seorang diri dan macam berjalan ke arah sini pula.”

Ikhwan tiba-tiba melihat cikgu Norazah turut berada di dalam restoran itu.
Radzi menoleh ke arah cikgu Norazah, Radzi tidak menjawab , sebaliknya tersenyum melihat Ikhwan yang teruja terserempak dengan cikgu Norazah di restoran itu.

“Assalammualaikum! Lama tunggu? Maaf ye, terlewat sikit sebab cari parking tadi.” Cikgu Norazah menyapa Radzi.

“Eh…eh ayah, tak kan ayah ajak cikgu Norazah sekali. Wan tahulah ini idea cikgu tapi takkan nak babitkan cikgu dalam hal keluarga kita.” Ikhwan berasa tidak selesa apabila cikgu Norazah turut berada di situ.

Fikirnya, tentu Radzi mengajak sama cikgu Norazah kerana sebelum ini Ikhwan ada menceritakan  mengenai cadangan dan nasihat gurunya itu.

Nasihat cikgu Norazah jugalah yang menyebabkan Ikhwan hampir  setiap hari mendesak Radzi supaya memperkenalkan bakal ibu tiri kepadanya.

Radzi masih tidak menjawab, sebaliknya terus melemparkan senyuman menyambut kedatangan cikgu Norazah.

“Wah! Ikhwan sudah pesan makanan ya. Tidak tunggu cikgu pun.” Cikgu Norazah yang duduk mengadapnya terus menyapa lembut.

Ikhwan tidak tercakap apa. Lidahnya benar-benar kelu. Melihat wajah ayahnya yang ceria sambil berbalas senyuman dengan cikgu Noraza membuatkan hatinya bertambah tidak sedap.

“Ikhwan ..ini  ayah nak perkenalkan, cikgu Norazah nilah yang kita tunggu-tunggu tadi. Dan kalau Ikhwan nak tahu, cikgu Norazah jugalah bakal ibu tiri Ikhwan.” Selamba saja Radzi memperkenalkan bakal ibu tiri Ikhwan

Bulat mata Ikhwan. Memandang wajah cikgu Norazah membuatkan mulutnya sedikit ternganga. Kali ini, lidahnya benar-benar bagaikan digam dengan kuat.

Reaksi Ikhwan itu disambut dengan senyum mesra cikgu Norazah.

“Eh…Ikhwan tak kan diam dan pandang cikgu saja. Cikgu rasa ini bukan kali pertama kita berjumpakan?”

Sapaan Cikgu Norazah  membuatkan Ikhwan dan tersedar dan mula tersipu-sipu. Ikhwan cuba kembali ke alam realiti.

“Jadi, cikgu Norazahlah yang akan jadi ibu tiri Ikhwan?”
Ikhwan menyoal kembali seperti tidak percaya apa yang diketahuinya itu. Radzi mengangguk-angguk kepalanya sambil tersenyum dan menggosok-gosok kepala anak bongsunya itu.

Cikgu Norazah ketawa kecil melihat Ikhwan yang serba tidak kena itu.

“Hah… apa lagi tunggu. Ikhwan salam dan ciumlah tangan bakal ibu tiri Ikhwan.
Dalam keadaan masih tersipu-sipu, Ikhwan bingkas bangun dan melakukan apa yang disuruh  Radzi.

“Nampaknya, Ikhwan dah setujulah cikgu Norazah jadi ibu itu.” Radzi cuba menduga hati anaknya itu.

“Ayah, kalau cikgu Norazah lebih seribu kali Ikhwan setuju. Lagi cepat lagi bagus.” Jawabnya dengan nada riang sekali.

Radzi dan cikgu Norazah serentak ketawa mendengar jawapan Ikhwan.

Tiba-tiba, Cikgu Norazah mengeluarkan satu album warna merah jambu dalam satu beg kertas yang dibawanya.

Melihat album itu, mengingatkan Ikhwan bahawa dia pernah melihatnya ketika membantu cikgu Norazah mengemaskan rumah.

“Cikgu, nikan album yang cikgu tidak bagi Ikhwan , Fiqa dan Khairy tengok dulu?”

“Ya, Ikhwan. Tapi hari ini cikgu nak berkongsi dengan Ikhwan gambar di dalam album ini. Jom, tengok di sini.’

Ikhwan menatap gambar-gambar di dalam album itu. Beberapa wajah gambar di dalam  album itu ada yang dikenalinya.

“Ayah, inikan gambar ayah. Dan ini pula macam gambar arwah Mama aje.”

Radzi tidak terus menjawab soalan Ikhwan, sebaliknya cikgu Norazah pula yang bersuara.

“Ikhwan…betullah tu. Yang itu gambar ayah Ikhwan dan yang ini pula arwah Mama Ikhwan. Kalau Ikhwan nak tahu, cikgu yang berdiri di sebelah arwah Mama.

“Ayah dan arwah Mama Ikhwan serta cikgu memang sudah lama kenal. Kalau Ikhwan hendak tahu cikgu sebenarnya adik angkat kepada arwah Mama Ikhwan, Sebab itulah kami bertiga rapat.

Tapi kami sudah lama tidak berjumpa selepas cikgu berpindah ke Sarawak beberapa tahun, hubungan kami terputus.”

Panjang lebar cikgu Norazah menerangkan kepada Ikhwan.

“Benar tu Ikhwan. Selepas ayah dan Mama berkahwin,kami jarang berhubung dengan cikgu Norazah. Tapi sebelum Mama meninggal, arwah sering berpesan ayah cari adik angkatnya.

“Ayah pun berusahalah mencari cikgu Norazah untuk tunaikan permintaan Mama. Tapi sayang, Mama tidak sempat hendak jumpa  walaupun ketika itu ayah sudah pun dapat menjejak alamat cikgu Norazah.”

Giliran Radzi pula menerangkan kepada Ikhwan.

“Cikgu memang sangat terkilan tidak dapat jumpa arwah Mama Ikhwan. Arwah memang baik orangnya. Dulu masa cikgu susah atau kesempitan wang, arwah yang banyak hulur bantuan dan tidak pernah berkira  setiap kali membantu. Cikgu sayang dengan arwah Mama Ikhwan macam kakak kandung sendiri.

“Apabila cikgu dapat tahu akan mengajar di sekolah tempat anak kakak angkat cikgu belajar, cikgu sangat gembira dan tidak sabar-sabar untuk memulakan tugas.”
Cikgu Norazah mendedahkan rahsia yang disimpan selama ini.

“Kalau Ikhwan masih ingat, sebelum Angah masuk asrama ayah pernah beritahu hendak jumpa kawan lama.  Cikgu Norazah lah orangnya.  Bermula dari situlah hubungan kami  semakin rapat.

“Ayah juga senang hati apabila mendapat tahu Ikhwan rapat dan sayangkan cikgu Norazah. Sebab itulah juga ayah tidak kisah apabila Ikhwan selalu ingin menghabiskan masa bersama dengan cikgu Norazah, termasuklah membantu mengemas rumah ketika baru berpindah dulu.

“Ayah tahu, cikgu Norazah tidak boleh menggantikan tempat arwah Mama tetapi ayah amat berharap, kasih sayang yang diberikan sekurang-kurangnya dapat mengubat rasa rindu Ikhwan pada Mama. Begitu juga dengan Angah dan Along.

“Jadi, ayah amat berharap Ikhwan, Angah dan Along dapat menerima cikgu Norazah sebagai ibu sendiri. Kita semua patut bersyukur kerana kasih sayang sentiasa ada dalam keluarga walaupun Mama sudahpun beberapa tahun meninggalkan kita.”

Dalam menjelaskan keadaan sebenar kepada Ikhwan,  ada sedikit getaran sayu pada penghujung suara Radzi.

Ikhwan tiba-tiba berasa terharu. Walau apa pun, hari itu sememangnya penuh bermakna bagi Ikhwan kerana doanya sudah dimakburkan dan hajatnya sudahpun tercapai.

Lalu, Ikhwan berbisik pada dirinya bahawa dia akan pastikan tidak akan sama sekali menganggap cikgu Norazah sebagai ibu tiri, sebaliknya seperti ibu kandung yang perlu ditaati dan Mama yang dikasihi dan dirindui.

TAMAT


Sunday, July 5, 2020

KUIH BIJAN @ KUIH BOM

Teks Nor Affizar Ibrahim

Kuih bjian@Kuih bom bijan

Bunyi namanya, barangkali sedikit menggerunkan. Tetapi percayalah, kuih ini memang sedap untuk dicuba.

Kuih bom atau juga dikenali sebagai kuih bom bijan sebenyarnya adalah sejenis kuih Melayu yang dibuat daripada tepung pulut atau gandum.
Selain itu, ada juga yang menggantikan tepung dengan ubi keledek untuk menghasilkan kuih ini.

Terpulanglah, ikut cita rasa anda!

Kuih bijan ini  berintikan  kelapa manis namun, ada juga yang menukarkan intinya kepada inti kacang hijau. Ini juga terpulang selera anda!

Untuk membuatnya, adunan tepung dibancuh menjadi doh. Kemudian, ia dibentuk bulat-bulat dan diisikan inti di dalamnya.

Selepas itu barulah disalut dengan bijan.

Kuih ini digoreng dengan minyak masak menggunakan api serdahana perlahan sehingga ia kekuningan dan di angkat, dan seterusnya sedia untuk dihidangkan.

Bahan-bahan membuah doh:
1paket tepung pulut
Air
Garam secukup rasa


Cara membuat doh:
Satukan tepung pulut, tepung dan garam. Bancuh dengan air sedikit-sedikit hingga menjadi doh yang tak melekat di tangan.
Jika terlembik, tambahkan setengah sudu tepung setiap kali memasukkannya.


 Bahan-bahan membuat inti:
1 biji kelapa muda diparut putih
1/2 cawan gula merah/gula melaka di racik halus - guna 1 kpg gula Melaka
1 cawan gula pasir
1/2 cawan kelapa parut muda
2 sudu besar tepung kanji
1 cawan air
Daun pandan

Cara membuat Inti:
Masukkan kelapa, gula melaka gula, air dan daun pandan dalam kuali.
Kacau rata dan biarkan hingga kering.

Cara membuat kuih bom:
-       Sapu sedikit minyak pada tapak tangan. Ambil adunan, leperkan dan masukkan inti.
-       Cantumkan bahagian leper tadi hujung ke hujung. Bulatkannya dengan kemas.

-       Terus digolek golek ke dalam bekas bijan hingga seluruh kuih diselaputi bijan. Akhir sekali layangkan antara 2 tapak tangan agar bijan yang tidak melekat akan jatuh dengan sendiri.

-       Goreng kuih bom dalam minyak terendam dengan api sederhana pada 5 minit permulaan. Kemudian baru besarkan api sambil kacau digolek golek dalam kuali sehingga agak kekuningan. Jangan lama, nanti meletup.


Tips:
-      -  Jangan terus goreng kuih bom yang telah siap dimasukkan inti. Jika anda terus goreng, kuih bom anda akan mengelembung dan pecah atau meletup.

-       -Jika buat malam, biarkan dalam dulang dan tutup dengan kain bersih. Goreng pagi esoknya. Jika nak makan petang.buat pagi dan goreng petang