Susunan Nor Affizar Ibrahim
Kota warna-warni
Kota warna-warni
Meneroka bandar yang dilatari dengan bangunan berwarna-warni, pastinya memberikan tarikan tersendiri. Selain menampilkan keunikan, kreativiti dan karakter yang punyai daya tarikan tinggi, ia turut memberikan aura menceriakan.
Ini bukanlah mustahil kerana warna adalah salah satu unsur seni rupa yang membuatkan suatu ciptaan hidup dan lebih menarik perhatian.
Warna juga mempengaruhi perasaan dan fikiran, malah berupaya menyentuh kepekaan penglihatan sehingga merangsang perasaan, perhatian serta minat seseorang.
Segar dan cantik
Justeru, apabila berpeluang menjejakkan kaki ke bandar yang penuh dengan dengan warna terang dan ceria, pastinya tidak dapat menyangkal bahawa kota itu tampak segar dan cantik. Sehingga boleh melekakan dan tidak berasa jemu apabila berada di tempat seumpama itu.
Berikut antara beberapa bandar berwarna-warni di seluruh dunia yang memberikan pesona tarikan dan menggugat perasaan pengunjung. Tarikan warna-warni itu juga boleh memberi inspirasi kepada jurugambar untuk mengembara dan merakam foto di sana.
Bo-Kaap, Afrika Selatan
Bo-Kaap terletak di kawasan lereng Signal Hill, berhampiran Cape Town, Afrika Selatan, sering dirujuk sebagai penempatan suku kaum Melayu. Di situ, kebanyakan rumah asal dibina pada 1760 hingga 1850 manakala jalan berbatu adalah tinggalan abad ke-18.
Kawasan ini dipenuhi bangunan berwarna dalam kelompok tersendiri. Rumah dicat dalam warna terang, dari rona ungu dan biru hinggalah hijau dan kuning. Dikatakan, ia simbol kegembiraan menandakan dasar apartheid berakhir pada tahun 90-an.
Wroclaw, Poland
Bandar Wroclaw, keempat terbesar dan salah satu bandar yang paling indah di Poland. Bandar ini mempunyai hubungan kuat dengan Katolik Rom, sama seperti sebahagian besar negara di Eropah, justeru terdapat banyak gereja yang berwarna-warni menghiasi bandar ini.
Wroclaw dikenali European Capital of Culture tahun 2016 dan terkenal dengan budaya santai, jambatan serta pulau indah.
Kehidupan malam di bandar dipenuhi dengan pelbagai aktiviti. Tengah-tengah bandar adalah Market Square, bandar lama, yang menampilkan deretan bangunan berwarna-warni dan memberikan banyak peluang untuk fotografi.
Guanajuato, Mexico
Ditemui pada tahun 1554, Guanajuota adalah bandar kecil tetapi kaya dengan arkitektur kolonial Sepanyol. Guanajuota membawa maksud bukit katak kerana haiwan itu simbol kebijaksanaan manakala bangunan berwarna hijau mempunyai banyak maksud tersurat dan tersirat bagi penduduk tempatan.
Struktur warna seperti pelangi di bandar ini terletak berdekatan lombong perak di mana keduaduanya adalah Tapak Warisan Dunia UNESCO. Guanjuota, dianggap penduduk tempatan dan pelancong, tempat paling indah di Mexico.
Ladang yang berwarna-warni dan bangunan kolonial di semua arah ke bukit, dengan rangkaian terowong bawah tanah yang berfungsi sebagai jalan utama, menjadikan ia bandar menarik untuk diteroka.
Riomaggiore, Itali
Bandar Riomaggiore kaya dengan warna. Kebanyakan bangunan yang terdiri daripada batu pasir ini dicat dengan pelbagai warna sehingga menjadi lokasi pelancong untuk bergambar tanpa perlu mencari latar-belakang yang menarik.
Warna kuning sinar matahari, oren terang dan merah jambu tembikai di sekelilingnya, membatasi biru cerah di langit serta menimbulkan perasaan perayaan.
La Boca, Buenos Aires, Argentina
La Boca terletak di Buenos Aires. Ia destinasi popular bagi pelancong yang melawat Argentina dan salah satu tarikan di Buenos Aires.
Ini berikutan, rumah dibina berwarna-warni. Dalam kalangan peminat sukan, Boca terkenal sebagai tempat kelab bola sepak terkenal dunia Boca Juniors
No comments:
Post a Comment