Tuesday, August 14, 2018

Kokeksi artikel - Destinasi meterai cinta

Teks Nor Affizar Ibrahim

Destinasi meterai cinta
           

Scotland terletak di utara United Kingdom, terkenal dengan keindahan semula jadi yang memukau kerana mempunyai lembah gunung yang cantik dan tasik mendamaikan.
           
Negara itu juga popular dengan istana lama yang gah dengan seni binanya menarik untuk dilawati. Antara istana yang menggamit tumpuan ramai adalah Istana di Edinburgh, Stirling dan Eilan Donean.
           
Setiap istana mempunyai sejarah tersendiri. Selain menyimpan sejuta keindahan alam dan memiliki istana indah, satu lagi yang menarik perhatian di Scotland ialah mempunyai destinasi perkahwinan paling popular di dunia iaitu Gretna Green.
                   
Pemanduan menuju Gretna Green, sebuah perkampungan kecil di selatan Scotland dari Driumlanrig Castle melalui kawasan pergunungan sekitar Dumfries, cukup menarik kerana disajikan dengan pemandangan begitu mempesona.
           
Laluan sejauh 65 kilometer atau sekitar satu jam itu turut membawa anda ke satu kawasan desa yang nyaman.
           
Lokasi istimewa ini suatu ketika dulu terkenal dengan majlis perkahwinan bagi pasangan yang melarikan diri dan berkahwin secara senyap-senyap. Ia terletak berhampiran Galloway dan juga berdekatan Sungai Esk.
           
Kampung ini menjadi tempat bersejarah di Scotland memandangkan kewujudannya begitu strategik dan menjadi laluan utama pengembara dari London menuju Edinburgh.
           
Tunaikan hasrat
           
Sampai di Desa Gretna Green, anda dapat merasakan inilah yang dikatakan 'syurga' bagi pasangan kahwin lari sejak 250 tahun silam. Beribu-ribu pasangan tekad melarikan diri ke desa itu, semata-mata ingin menunaikan hasrat mereka berkahwin di situ.
           
Penulis sampai sekitar jam 3.30 petang dan hari hampir gelap, namun kesuraman cuaca mengimbau kembali zaman kegemilangan tempat itu sebagai lokasi tumpuan muda muda memeterai cintai sejati mereka.
           
Berdasarkan sejarah awal Gretna Green, pada tahun 1754, kerajaan England mengeluarkan undangundang Lord Hardwicke's Marriage Act yang menyatakan, pasangan perlu mencapai umur 21 tahun sebelum boleh berkahwin dan acara perkahwinan mesti diadakan di gereja.
           
Jika pasangan hendak berkahwin masih di bawah umur 21 tahun, ibu bapa mereka berhak membuat permohonan agar pernikahan boleh dibatalkan.
           
Bagaimanapun, undang-undang itu hanya di England dan Wales tetapi tidak termaktub di Scotland. Justeru, pasangan di Wales yang ingin menghindari undang-undang berkenaan mengambil keputusan melarikan diri dan mengadakan upacara pernikahan di Gretna Green.
           
Ringkas dan mudah
           
Ini kerana ketika itu Gretna Green menjadi kampung pertama yang mudah dikunjungi berhampiran sempadan Scotland, berikutan pembinaan jalan yang melalui Graitney.
           
Undang-undang Scotland membenarkan pasangan bawah umur berkahwin tanpa tempat khusus dan acara perkahwinan berlangsung dengan pantas, mudah serta ringkas.
           
Pasangan hanya perlu mengemukakan dua saksi dan jaminan dari pasangan bahawa mereka berdua bebas untuk berkahwin.
           
Sehinggakan, Gretna Green sering dijadikan contoh idealisme bukti percintaan bagi pasangan bercinta; ironinya pernikahan berlaku dari rasa cinta dan menemukan dua insan untuk bersatu sekalipun ada halangan.
           
Tumpuan pelancong
           
Undang-undang Scotland ketika itu turut membenarkan 'perkahwinan tidak rasmi', dilakukan sesiapa saja sekali pun individu itu tidak mempunyai kuasa menjalankan upacara perkahwinan.
           
Pandai besi di Gretna, Richard Rennison, antara yang banyak melakukan upacara perkahwinan bagi pasangan kahwin lari dan ia dijalankan di dua tempat khusus iaitu The Old Blacksmith's Shop yang dibina pada tahun 1712 dan Gretna Hall Blacksmith's Shop (1710). Rennison dikatakan, menjalankan upacara perkahwinan terhadap lebih 5,000 pasangan kahwin lari dan mereka datang dengan pelbagai cerita tersendiri.
           
Kisah pasangan kahwin lari di Gretna Green menjadi cerita rakyat paling popular dan kini tempat itu adalah titik tumpuan dan tarikan kepada pelancong dari serata dunia. Malah, Gretna Green juga dijadikan simbol kasih sayang dan kini ia bukan lagi destinasi khusus perkahwinan untuk pasangan kahwin lari tetapi juga menjadi pilihan bagi pasangan yang mendapat restu keluarga tetapi ingin mengabadikan hari bahagia mereka di situ.
           
         
Info
           
 - Perjalanan Gretna Green dari Lake District mengambil masa 1 jam manakala dari Glasgow, Edinburgh dan Newcastle adalah 1 jam 30 minit.
           
 - Perjalanan Gretna Green dari Manchester atau Stranraer pula mengambil masa 2 jam 30 minit.
           
 - Dibuka setiap hari kecuali hari Krismas.










No comments:

Post a Comment