Friday, November 1, 2019

Ebuku Suri Rumah Zero Hutang


Teks Nor Affizar Ibrahim
Ebuku Suri Rumah Zero Hutang




Jujurnya, saya kurang gemar membaca topik buku yang berkisar cara pengurusan kewangan dan hutang.

Ini berikutan, pada pandangan saya kebanyakan buku yang membincangkan topik itu acapkali memberikan panduan dan nasihat ‘retorik,  sukar untuk direalitikan dalam kehidupan.

Selain itu, beberapa buku mengenai pengurusan kewangan yang pernah saya baca sebelum ini, isi kandungan atau pengisiannya tidak banyak beza antara satu sama lain.

Namun, meneliti tajuk ebuku, Suri Rumah Zero Hutang ia bagaikan ada tarikan untuk saya membacanya.

Apatah lagi, saya mengenali serba sedikit latar belakang penulisnya iaitu Masayu Ahmad yang sebelum ini, difahamkan tekad berhenti kerja untuk menjadi surirumah, dan kemudiannya bekerja dari rumah sepenuh masa.

Pada fikiran saya, tentu ada perkara dan pengalaman bermanfaat yang ingin dikongsikan oleh pengasas Akademi Bekerja di Rumah ini dengan khalayak mengenai pengurusan kewangan dan hutang.

Sebagai wanita pernah mempunyai kerjaya tetap dan menerima gaji setiap bulan serta ‘memegang duit sendiri’, sedikit sebanyak tentu berasa keperitannya apabila tiada lagi punca pendapatan tetap.

Malah, pengalaman Masayu yang pernah bekerja di Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) sebagai Pegawai Penerbitan ‘menggerakkan’ lagi hati saya untuk membaca dan mengkhatam ebuku Suri Rumah Zero Hutang.

AIM adalah agensi yang berusaha mengurangkan kadar kemiskinan di Malaysia, khususnya masyarakat luar bandar melalui pembiayaan kredit mikro; dan digunakan untuk membiayai kegiatan ekonomi bagi menjana pendapatan.

Justeru, saya yakin menerusi pengalaman di AIM, memberikan lagi sumber inspirasi dan idea kepada Masayu untuk menulis topik berkenaan pengurusan kewangan serta hutang.

Faktor inilah juga antara yang mendorong saya untuk membaca dan hadam, tulisan Masayu yang turut dikenali, sebagai Tenaga Pengajar Ebuku dalam kalangan penulis ebuku.

Sebelum membaca sepenuhnya, saya terlebih dulu meneliti dan membaca satu persatu isi kandungan ebuku yang terbahagi kepada lima bab ini.

Ada beberapa isi kandungan dan bahagian bab yang menarik perhatian saya.
Antaranya,  di dalam Bab 1 Gaya Hidup, saya tertarik dengan topik yang memperkatakan, 
Enam Perkara Sebelum Berani Berhutang.

Enam pekara yang dinyatakan penulis ebuku, Suri Rumah Zero Hutang ini memang ada kebenarannya.

Kebanyakan daripada kita, membuat hutang tanpa berfikir panjang. Lebih-lebih lagi, bagi yang ada pendapatan tetap.

Pada masa sama, ada pula yang terikut-ikut dengan gaya hidup masa kini dan sering menganggap berhutang itu satu keperluan jika inginkan sesuatu atau memiliki apa yang diidamkan.

Sehinggakan, ada yang berani berkata, “jika tidak berani berhutang, sampai bila pun kita tidak akan merasakan apa yang kita hendak.” 

Penulis turut mempersoalkan, adakah kita ada tabiat kemampuan membeli hanya perkara perlu sahaja?

Nasihatnya, jika di luar kemampuan belajar untuk naikkan ego ‘malu berhutang’ dengan meletakkan syarat belum tentu mampu membayar.

Penulis berpesan, untuk menaikkan ego ‘malu berhutang’ belajar tidak membandingkan diri dengan ‘trend kehidupan’ orang lain.

Belajar untuk ‘down grade’ kehidupan, maksudnya walaupun mampu memiliki dua kereta, rumah besar. Kekalkan gaya hidup tanpa perlu membuat perbandingan dengan kehebatan harta orang lain.

Seiring dengan trend hari ini, penulis juga meningatkan, jangan mudah tertipu dengan gambaran bahagia di media sosial. Ukur diri dan rai komitmen yang ada. Belajar untuk bersederhana dan kekalkan ia.

Penulis menasihatkan, belajar untuk mengikat perut sebelum berani berhutang. Ini berikutan, bahaya hutang bukan sekadar tidak boleh tidur lena malah ia adalah halangan kepada rezeki.

Seterusnya, penulis bertanya adakah pilihan berhutang untuk kelangsungan hidup.

Jelasnya,  berhutang untuk membeli keperluan asas. Oleh sebab itu, penulis menyarankan, berhenti berhutang dan mulai susun semula daripada perkara asas. dan mulai belajar menggunakan sumber yang ada.

Enam nasihat dan saranan dikongsikan itu, ada kebenarannya serta wajar diambilkira untuk sesiapa ingin berhutang, khususnya yang tiada kemampuan.

Satu lagi topik yang menarik dalam bab 1 ini ialah Tabung Persediaan Berhenti Kerja.

Bagi yang sudah begitu lama dan penat bekerja, tidak mustahil ada terdetik untuk berhenti kerja dan ingin berehat.

Memang seronok berehat-rehat di rumah tanpa perlu memburu waktu dan tidak dibebani pelbagai tekanan di tempat kerja.

Selain itu, mungkin juga ada yang dalam ‘keterpaksaan’ perlu membuat keputusan untuk berhenti kerja.

Hakikatnya, bersara atau berhenti kerja memang mudah, hantar sahaja notis atau surat letak jawatan.

Namun,  di dalam ebuku Suri Rumah Zero Hutang, penulisnya mengingatkan, adakah kita mempunyai tabung persediaan berhenti kerja?

Membaca ebuku ini, kita tidak dapat menafikan ada beberapa perkara perlu dipertimbangkan sebelum tindakan atau keputusan muktamad dibuat  untuk berhenti kerja.

Apa pilihan kita? Berhenti kerja dengan bebanan hutang yang masih banyak untuk diselesaikan atau dengan situasi tidak ada hutang.

Mungkin juga berhenti kerja dan menjalankan kerja sampingan untuk menyelesaikan hutang.

Penulis merumuskan, apa yang pasti perjalanan akhir yang kita mahu capai adalah surirumah zero hutang. Matlamat ini kita mahu capai sesegera yang boleh dan menikmati hidup dengan tenang.

Sementara itu, Bab 2 ICU Kewangan  dalam ebuku ini membincangkan, situasi kewangan berada dalam keadaan kronik, bahaya dan tidak selamat. Justeru, ia perlu dianalisa dan distruktur semula.

Penulis kemukakan 10 tabiat suka berhutang yang boleh terus menjadi bebanan.  Ia termasuk, berhutang secara maksimum, berterusan menambah hutang meskipun hutang sedia ada tidak terurus, miliki sesuatu di luar kemampuan dan lain-lain lagi; hingga berlaku ICU Kewangan.

Bagi berkongsi kaedah yang boleh dilakukan, penulis mencadangkan supaya menyenaraikan pendapatan, hutang dan tabungan dimiliki.

Malah, untuk memberikan lebih kefahaman,  beberapa contoh cara pengiraan turut dipaparkan dalam ebuku Suri Rumah Zero Hutang.

Tidak membiarkan pembaca tertanya-tanya cara atau penyelesaian untuk menguruskan kewangan dan hutang, di dalam  Bab 3 ebuku ini,  penulis memberikan beberapa panduan mengenai strategi urus hutang.

Pendek kata, buku ini lengkap dan teori diutarakan memberikan manfaat untuk dibaca, sekali gus membantu menyuntik kesedaran pembaca dalam amalan berhutang dan menguruskan kewangan.

Bahasa yang digunakan begitu mudah difahami dan menjadikan pembacaan lancar, malah ia sesuai dibaca untuk semua peringkat usia khususnya, golongan muda yang masih menuntut di institusi pengajian tinggi ataupun yang baru hendak melangkah ke alam kerjaya.

Ebuku ini juga sesuai dijadikan koleksi bacaan suri rumah dan wanita bekerjaya yang mungkin suatu hari nanti, berhasrat untuk berhenti kerja tetapi tidak dibelenggu dengan beban hutang. 

Bagi anda yang bercita-cita melunaskan semua hutang atau zero hutang dan ingin hidup tenang, bolehlah mendapatkan ebuku, Suri Rumah Zero Hutang.

Cuba hadam apa yang dikongsikan oleh penulisnya dan amalkan panduan dititipkan.
Insya-Allah, selepas ini bebanan hutang keliling pinggang bukan milik kita! 

Selamat membaca!



Wednesday, October 2, 2019

BAB 17 Terkedu dengar kisah hidup Cikgu Norazah

Teks Nor Affizar Ibrahim

Terkedu dengar kisah hidup Cikgu Norazah
Bab 17

“Hai Ikhwan muncung aje tak seronok ke naik sekolah semula. Dulu kau yang tidak sabar-sabar.
Melihat Ikhwan tidak ceria, Shafiqa bertanya cuba mencari jawapan.

“Bukan pasal tak suka tapi aku ada masalah besarlah. Susahlah. Kalau aku cerita pun korang tidak faham.”

Ikhwan terus menunjukkan wajah bungkam.

“Ala ceritalah. Bukan kau tidak biasa dengan kami. Mana tahu kami boleh tolong,” Khairy mendesak supaya Ikhwan menceritakan masalahnya.

Ikhwan dengan muka masih tidak ceria akhirnya membuka cerita masalah yang dirasakan berat untuk ditanggung sejak balik dari kampung.

“Ayahkulah. Aku mungkin dapat emak baharu tak lama lagi. Ayahku sudah beritahu kami tiga beradik tentang hasratnya itu,” Ikhwan menyusun kata perlahan-lahan.

“Baguslah macam itu. Kau pun dah lama tak ada emak.” Terpacul selama saja Khairy membalas kata-kata rakannya itu.

Ikhwan yang tidak senang dengan kata-kata Khairy bingkas bangun sambil mukanya terus mencuka.

Shafiqa menjegilkan matanya kepada Khairy.

Menyedari kesilapan dan keceluparannya, Khairy cepat-cepat mengejar Ikhwan yang sudah mula meninggalkan kedua-dua rakannya.

“Ikhwan! Ikhwan! Tunggulah! Aku minta maaf. Aku tak sepatutnya cakap macam itu tadi. Aku sebenarnya hendak bergurau saja tadi.” Khairy memujuk rakannya.

Ikhwan menghentikan langkahnya. Shafiqa yang  turut mengejar dari belakang, lega apabila Ikhwan tidak terus meninggalkan mereka berdua.

“Bergurau kata kau. Perkara macam ni mana boleh bergurau. Kau berdua tahu tak, sejak balik dari kampung hati aku tak tenteram tau, fikrikan hal ini. Bukan senang nak terima orang baharu dalam hidup kita ni.

“Lebih-lebih lagi, orang yang tidak pernah kita kenal. Kau pulak senang-senang cakap macam itu.” Ikhwan nyata begitu kesal bercampur marah dengan kata-kata Khairy sebentar tadi.

“Okey! Okey! Aku silap tadi. Aku janji tidak usik kau lagi. Macam nilah, aku nak bagi satu cadangan kepada kau. Itupun kalau kau nak terima.” Khairy cepat-cepat mengakui kesalahannya dan tiba-tiba nak mengusulkan satu cadangan.

Ikhwan mula berminat untuk memberi tumpuan dengan kata-kata Khairy. Dia menanti apa yang ingin diucapkan Khairy tetapi dalam hatinya berkata-kata kalau rakannya menyakitkan hatinya pasti dia tidak mahu bertegur sapa lagi.

“Macam ni Ikhwan. Kau kan baik dengan Cikgu Norazah. Aku tengok pun Cikgu Norazah memang lebih sayang dan beri perhatian kepada kau berbanding dengan murid-murid lain.” 

Khairy bercakap sambil memandang tepat muka sahabat baiknya itu.

Sebenarnya, Ikhwan tidak senang dengan kata-kata kawannya itu. Baginya Cikgu Norazah tidak pilih kasih. 

Memanglah dia diberi lebih perhatian, tetapi kebetulan Ikhwan mengambil ko kurikulum yang mana Cikgu Norazah menjadi penasihat. Secara tidak langsung, sudah tentu cikgunya itu lebih rapat dengannya.

Khairy perasan dengan perubahan wajah Ikhwan. Dia pasti Ikhwan tidak senang dengan kata-katanya  lalu, cepat-cepat meneruskannya.

“Ikhwan kau jangan salah faham dengan kata-kata aku tadi. Sebenarnya, aku rasa lebih baik kau berkongsi masalah kau dengan Cikgu Norazah. Sebagai orang lebih dewasa tentu cikgu dapat beri pandangan dan nasihat. Paling tidak pun, kau tentu berasa lega sikit selepas ini.”

Khairy memang simpati dengan rakannya. Dia rasa saranan itu adalah paling baik yang perlu dilakukan Ikhwan.

“Aku setuju cadangan Khairy tu. Mana tahu Cikgu Norazah boleh kongsi pandangannya. Sekurang-kurangnya, pandangan itu nanti boleh kau jadikan panduan. Tak pun, tentu kau akan berasa lega dapat berkongsi masalah kau yang berat itu. 

"Ala...kau tak kan rugi apa-apa pun, jika mendapatkan pandangan Cikgu Norazah pasal ha ini. Ikhwan kalau kau nak, aku dan Khairy boleh temankan kau jumpa Cikgu Norazah.”  Shafiqa sependapat dan menyokong cadangan Khairy.

Dalam hati Ikhwan berkata, ada betul juga kata kedua-dua kawan baiknya itu.

Malah, Ikhwan berasa cadangan Khairy memang baik. Jika keputusan ayahnya tidak boleh diubah lagi sekurang-kurangnya dia akan lega dapat berkongsi perasaannya dengan orang yang semakin disayangi.

Ikhwan memandang wajah Khairy dan kemudian beralih kepada Shafiqa.  Sambil cuba memaksa dirinya senyum, Ikhwan turut mengangguk kepalanya perlahan-lahan.

Sememangnya, hati Ikhwan tidak tenteram sejak balik bercuti dari kampung dan mendapat tahu ayahnya ingin berkahwin.

Macam-macam yang difikirkannya.

********************************************************************************************************


“Ikhwan tentu ada hal penting nak bincang dengan cikgu hari ini. Kalau tidak tak kan bersungguh-sungguh minta cikgu luangkan masa petang ni.” Cikgu Norazah cuba meneka setelah mereka berdua melabuhkan punggung di kerusi di dalam restoran MC Donald.

Cikgu Norazah yang mencadangkan mereka berdua bertemu dan berbincang di situ, malah sudah meminta izin daripada ayah Ikhwan untuk membawanya keluar bersama.  

Alasannya, untuk menemaninya ke bandar.

Radzi mengizinkan dan tiada halangan membenarkan kerana menyedari Ikhwan memang baik dengan cikgu Norazah.

“Ini mesti sesuatu yang rahsia kalau tidak takkan Ikhwan hendak jumpa berdua saja dengan cikgu. Tapi cikgu cadangkan,  lebih baik kita makan sambil bercerita. Ikhwan nak makan apa?”

Ikhwan senang sekali dengan cadangan Cikgu Norazah. Dalam hati, dia sudah berkira-kira ingin berkongsi dan meluahkan apa saja yang dirasakan. Walaupun Ikhwan sendiri tidak pasti adakah cikgu Norazah berada di pihaknya nanti.

Tiba-tiba dalam hati Ikhwan berkata – “Alangkah baik kalau ayah kahwin dengan cikgu, taklah aku nak membantah.”

“Hei apa menung ni. Ceritalah atau Ikhwan nak habiskan dulu makanan tu.” Kata-kata Cikgu Norazah melenyapkan khayalan Ikhwan sebentar tadi.

“Cikgu…cikgu tahukan Mama saya sudah meninggal dunia beberapa tahun lalu?”

Cikgu Norazah tidak menjawab tetapi hanya mengangguk-anggukkan kepala.

“Cuti sekolah baru-baru ini, Atuk ada kata ayah nak kahwin lain. Tapi..saya tak suka hasrat ayah itu. Saya tak nak ibu tiri. Tempat Mama memang tidak sesiapa boleh ganti.”

Ikhwan akhirnya dapat meluahkan apa yang ingin dikongsikan dengan Cikgu Norazah.

“Boleh cikgu tahu, mengapa Ikhwan tidak mahu ibu tiri selain dia tidak mungkin menggantikan tempat arwah Mama.”

Cikgu Norazah ingin mencungkil apa yang terpendam dalam jiwa anak muridnya itu.

Ikhwan mendiamkan diri. Sebenarnya terlalu banyak lagi alasan ingin diberikan. Ikhwan takut kasih sayang dan perhatian Radzi padanya akan berkurangan.

Ikhwan amat bimbang ibu tirinya garang dan tidak boleh menerimanya sebagai anak. 

Ikhwan juga risau, dia sendiri tidak dapat menyesuaikan diri dengan ibu barunya.

Pernah juga Ikhwan membayangkan bagaimana suatu hari nanti, dia mendapat adik baharu. 

Sudah tentu bapa, ibu tiri, abang-abang serta datuk dan neneknya mengalihkan perhatian kepada adik baru. Ketika itu Ikhwan sudah tentu tidak dipedulikan lagi.

Banyak lagi alasan yang Ikhwan ingin berikan kepada Cikgu Norazah. Entah mengapa tidak satu pun semua alasan yang berlingkar di fikirannya dapat dinyatakan.

Jika hendak katakan rasa segan, tidak mungkin kerana sebelum membuat temujanji dengan Cikgu Norazah, Ikhwan sudah bulat fikiran untuk tidak menyembunyikan satu pun apa yang dirasakan.

Cikgu Norazah masih setia menunggu jawapan daripada Ikhwan. Melihat Ikhwan terus mendiamkan diri, dia pun bersuara.

“Macam nilah Ikhwan. Cikgu berpendapat, lebih baik Ikhwan jumpa dan berkenalan dulu dengan bakal mak tiri. Tak baik tau terlalu buruk sangka dengan orang. Ikhwan tidak pernah berkenalan dan tidak pernah jumpa tapi sudah buat kesimpulan.

“Memanglah tiada sesiapa pun boleh ganti Mama Ikhwan tapi apa salahnya beri peluang kepada bakal ibu tiri Ikhwan. Kenal hati budinya dulu. Kata orang, tak kenal, tak cinta.”
Cikgu Norazah menasihat dengan lembut. 

Ikhwan terus membatu. Ikhwan  akui dia memang tidak tahu langsung mengenai bakal ibu tirinya.

Sejak datuk memberitahu ayahnya hendak berkahwin, Ikhwan terus membantah malah tidak pernah langsung bertanya apa-apa mengenai bakal ibu tirinya.

Selepas mendiamkan diri beberapa ketika, Ikhwan akhirnya bersuara.

"Entahlah Cikgu. Macam-macam yang saya fikirkan. Hari itu, masa saya bercuti di kampung, kawan saya Arif ada bercerita pasal ibu tirinya.

"Kesian Arif, Cikgu. Mula-mula emak tirinya baik sahaja layannya. Tapi selepas dapat adik, Arif macam tersisih dalam keluarganya sendiri. Ayahnya pula selalu menangkan emak tirinya.

"Lebih kasihan, Arif seperti tidak ada sesiapa untuk bercerita atau berkongsi apa yang dirasakannya. Memanglah dia nampak gembira sahaja, tapi saya percaya dalam hatinya ada pelbagai perasaan seperti sedih, kecewa dan macam-macam lagilah.

"Itu yang saya bimbangkan jika ia juga berlaku kepada saya apabila ayah berkahwin baharu," terluah juga akhirnya isi hati Ikhwan kepada Cikgu  Norazah.

Malah, Ikhwan turut berkongsi dengan Cikgu Norazah igauan dan mimpi ngeri yang dialaminya sejak beberapa malam sebelum ini.

"Cikgu hendak tahu...sejak balik dari kampung, saya susah nak tidur. Macam-macam mimpi buruk saya alami. Saya kena dera dan maki dengan emak tirilah, ayah pula marah dan menyalahkan saya manakala kedua-dua abang saja semakin tidak endah serta menjauhkan diri daripada saya.

"Saya benar-benar takut Cikgu jika semua ini berlaku pada diri saya," Ikhwan terus berkongsi apa yang dirasakan ketika ini.
  
Untuk seketika Cikgu Norazah tidak berkata apa-apa, sebaliknya merenung wajah Ikhwan dengan penuh kasih sayang.  

“Ikhwan nak tahu? Cikgu pun sebenarnya ada ibu tiri, malah ibu tiri cikgulah yang jaga cikgu sejak kecil. Hubungan kami baik saja.

“Tetapi cikgu juga dulu macam Ikhwan, tidak suka ayah cikgu kahwin lagi. Apabila  mula mengenali bakal ibu tiri, cikgu pulak yang sibuk-sibuk suruh ayah cikgu cepat kahwin. Masa itu cikgu betul-betul rindukan kasih sayang seorang ibu.

“Alhamdulillah, walaupun cikgu sudah dewasa ibu tiri masih ambil berat mengenai diri cikgu. Apabila lama tidak jumpa, memang terasa rindu.”

Melopong Ikhwan mendengar cerita Cikgu Norazah. Dia tidak sangka sama sekali cikgu Norazah mendapat kasih sayang dan dibesarkan oleh ibu tiri.

"Betul ke Cikgu dibesarkan ibu tiri," tanya Ikhwan seperti inginkan kepastian.

Mendengar pertanyaan Ikhwan itu, Cikgu Norazah tergelak kecil.

"Hai Ikhwan...tak percaya ke cakap cikgu tadi. Takkan pula Cikgu nak reka-reka cerita." jawab Cikgu Norazah.

Ikhwan tertunduk malu mendengar kata-kata Cikgu Norazah. Timbul pula rasa kesal pada dirinya kerana meragui kata-kata Cikgu kesayangannya itu.

"Ikhwan...sebenarnya ayah dan ibu cikgu bercerai masa Cikgu berusia lima tahun. Mula-mula tu, cikgu tinggal bersama ibu. Tetapi apabila ibu kandung cikgu berkahwin baharu setahun selepas bercerai, cikgu pun tinggal dengan ayah. 

"Tapi masa cikgu umur lapan tahun, ayah cikgu pula kahwin baharu. Sejak itu, cikgu pun dipelihara dan dijaga ibu tiri. Macam Ikhwan jugalah,mulanya Cikgu memang tak suka ibu tiri cikgu itu. Tapi ibu tiri cikgu ini penyabar dan penyayang serta pandai ambil hati cikgu.

"Lama-lama, cikgu pun mulalah sayang dengannya. Hinggalah sekarang, ibu tiri cikgu sentiasa ambil berat pasal cikgu. Walaupun Cikgu ada lagi tiga adik beradik lain hasil perkahwinan ayah cikgu dengan ibu tiri. Kasih sayang ibu tiri cikgu tidak pernah berbelah bahagi." Cikgu Norazah berkongsi cerita mengenal kisah keluarganya.  

"Tapi bohonglah kalau Cikgu kata, ibu tiri cikgu tidak pernah marah atau pukul Cikgu. Memang ada tetapi Cikgu mengakui semua itu pasal kesalahan yang cikgu lakukan. 

"Malah sebab pernah kena pukul dan marah dengan ibu tiri jugalah, Cikgu akhirnya berjaya menjejak kaki ke menara gading. Memang besar jasa ibu tiri Cikgu. Rasa-rasanya memang tidak terbalas cikgu budinya. 

"Emak kandung Cikgu pula lepas kahwin baharu, memang semakin renggang hubungannya dengan cikgu. Kadang-kadang itu, rasa terkilan dan sedih juga sebab emak kandung cikgu buat macam itu. Tetapi disebabkan limpahan kasih sayang ibu tiri, cikgu reda dengan apa yang berlaku antara cikgu dan ibu kandung cikgu." Cerita Cikgu Norazah lagi  

Terdiam Ikhwan mendengar perjalanan hidup Cikgu Norazah.

Memang Ikhwan terkesan dengan cerita Cikgu Norazah. Menarik nafas panjang-panjang, akhirnya dia pun bersuara. 

“Cikgu...apa yang cikgu kata itu mungkin betul. Lebih baik saya berjumpa dan berkenalan dengan bakal ibu tiri saya, Mana tahu, bakal ibu tiri saya itu baik macam cikgu juga.” Ikhwan sudah muda dapat menerima nasihat dan pandangan Cikgu Norazah.

“Haah! Macam tulah baru boleh jadi anak cikgu." Bersahaja aje Cikgu Norazah mengeluarkan kata-kata itu sambil terus menyedut air minuman di depannya.

"Apa cikgu? Jadi anak Cikgu!" Buntar mata Ikhwan mendengar kata-kata Cikgu Norazah itu tadi.  

"Eh…kita ni asyik berbual saja. Jom kita makan dulu. Nanti sejuk tak sedap lagi.” Cikgu Norazah jawab tersenyum dan menukar topik perbualan.

“Lepas ni, apabila Ikhwan dah jumpa dan berkenalan dengan bakal ibu tiri bolehlah cerita lagi perkembangan terkini. Ke…lepas jumpa dengan bakal ibu tiri Ikhwan dah tak sudi jumpa cikgu lagi.” Cikgu Norazah mengusik Ikhwan membuatkannya tersipu-sipu malu.   

Ikhwan diam tidak berkata-kata. Masih terngiang-ngiang lagi kata-kata gurauan Cikgu Norazah sebentar tadi.

Dalam diam, Ikhwan berkata dalam hatinya;  "Alangkah bagus kalau Cikgu Norazah benar-benar jadi ibu baharuku."

Wednesday, September 25, 2019

Alamak! Ramainya enam orang sekali


Oleh Nor Affizar Ibrahim

Alamak! Ramainya enam orang sekali


“Enam orang serentak?  Aduh!  Ramainya nak interview. Background mereka itu bukan calang-calang.”  

Itu antara reaksi saya apabila ditugaskan untuk menemubual enam pegawai kanan polis serentak pada tarikh, masa dan lokasi  yang sama dalam satu temujanji. 

Sudah terbayang, cerita mereka pasti menarik kalau dapat temubual one to one. Tetapi arahannya, semua cerita pegawai polis terbabit perlu dimuatkan untuk dua muka surat sahaja.

Dalam hati terus berkata-kata –“ Macam mana nak buat artikel ini?” Takkan nak cerita ringkas aje. Macam tak best!

Apatah lagi, keenam-enam pegawai polis wanita berkenaan pernah mencipta sejarah tersendiri dalam kerjaya dan dalam dunia kepolisan apabila masing-masing menjadi antara wanita pertama di negara ini yang memegang beberapa jawatan penting dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Sebenarnya, apabila berpeluang bertemu dan menemubual dengan  individu hebat, seumpama itu, saya tahu ada banyak sudut cerita yang boleh dikarang.

Malah, saya sendiri memang seronok untuk mencungkil kisah serta pengalaman mereka. Namun, dengan ruang surat khabar terbatas, tidak mungkin boleh menulis artikel mengikut apa yang saya mahukan.

Jadi, mahu tidak mahu saya ikut sahaja arahan. Walaupun dalam hati saya sedikit ralat apabila ditugaskan menemubual serentak enam pegawai polis wanita hebat di negara ini.

Temubual itu dibuat di ibu pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM)  di Bukit Aman.
Enam pegawai yang saya temubual pada hari itu ialah;

i. Timbalan Pengarah, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, DCP Datuk Nooryah Md Anvar
- Wanita pertama di negara ini yang memegang jawatan sebagai Ketua Trafik Pasukan, Timbalan Pengarah 1, Jabatan Logistik

ii.  DCP Datuk Zubaidah Md Ismail 
- Wanita pertama memegang jawatan sebagai Timbalan Pengarah Jabatan Logistik dalam PDRM

iii. Timbalan Pengarah Pengurusan (Pentadbiran), SAC 1, Datuk Zaleha Abd Rahman
Wanita pertama yang memegang jawatan sebagai Timbalan Ketua Polis Negeri, Kontinjen Melaka.

iv. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, IPK Selangor, ACP Chong Mun Phing
- Wanita pertama yang diberi kepercayaan memegang jawatan berkenaan.

vi. Ketua Penolong Pengarah (D11) Jabatan Siasatan Jenayah, ACP Suguram Bibi Munshi Deen 
- Wanita pertama menjawat jawatan Ketua Penolong Pengarah (D11) Siasatan Seksual/Kanak-Kanak Jabatan Siasatan Jenayah

vii Penolong Pengarah Perundangan/Pendakwaan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, ACP S Sasikala Devi
- Wanita pertama yang memegang jawatan yang disandangnya ketika itu.

Sebelum pergi, saya membayangkan hendak masuk ke ibu pejabat itu tentunya akan mengambil masa untuk pemeriksaan keselamatan.

Di samping itu, di sana tentu saya akan bertembung ramai dengan pegawai polis berpangkat dan anggota polis lain yang segak serta kemas berpakaian seragam.

Yang pastinya, segala-galanya  akan formal dan ia sesuatu yang mungkin tidak selesa bagi saya sebagai orang awam.  

Namun, hendak buat macam mana. Temubual itu sudahpun diaturkan oleh sebuah agensi perhubungan awam.

Tugas saya ialah menemubual kesemua pegawai polis wanita itu, tidak kiralah apa sekali jawatan yang mereka sandang.

Bagaimanapun, itu bukanlah kali pertama saya menjejakkan kaki ke ibu pejabat PDRM di Bukit Aman. Cuma senario kali ini agak berbeza.

Memang! Saya berdebar dengan tugasan ini.

Pertama, saya akan berdepan dengan pegawai kanan polis wanita yang pastinya banyak cerita, pengetahuan dan pengalaman yang masing-masing ada.

Jadi, saya perlu bersedia atau ‘berpura-pura’ bijak dan tahu dengan apa sahaja topik yang diperkatakan.

Kedua, saya tidak boleh membayangkan bagaimana hendak ‘mengawal’ sesi temubual itu kerana pastinya enam pasang mata akan menumpukan sepenuh perhatian kepada saya apabila mengemukakan soalan nanti.

Apabila enam pasang mata memandang kepada saya, sedikit sebanyak tentu berasa tidak selesa. Oleh itu, saya perlu pandai ‘berlakon’ berbuat seperti biasa dengan situasi dihadapi.

Ketiga, oleh kerana diberitahu waktu yang singkat mengenai temubual itu, saya sememangnya tidak ada banyak masa untuk menyelidik latar belakang mereka satu persatu.

Saya bimbang, dengan tiada persiapan itu boleh membuatkan saya hilang fokus untuk menemubual mereka. Dalam apa keadaan, saya perlu tampak ‘bijak’ barulah individu yang ditemuduga seronok berkongsi cerita.

Dalam saya berkira-kira dengan pelbagai persoalan, saya akhirnya berada di dalam bilik yang disediakan untuk sesi temubual keenam-enam pegawai polis wanita berkenaan.

Kami saling berjabat tangan apabila sesi perkenalan diri menjadi pembuka acara pada tengahari itu.

Pada awal bicara, memang kurang rancak kami berbual dan saya sendiri berasa kekok untuk menemubual mereka.

Maklum, enam orang yang perlu ditemubual tentu tersasul-sasul menyebut nama mereka. Gelaran pula berbeza-beza sebab itulah perlu berhati-hati, bimbang tersilap menyebutnya.

Malah, situasi temubual pada awalanya juga begitu formal.

Bagaimanapun, selepas  hampir 20 minit bersama, temubual berlangsung antara kami semakin rancak.

Masing-masing ingin bercerita dan berkongsi pandangan serta pendapat.  Seperti yang saya jangka, memang menarik cerita masing-masing.

Tetapi sayang, tidak banyak yang dikongsikan dalam artikel saya.

Paling saya kagum, keenam-enam mereka begitu dedikasi dalam tugas mereka sebagai anggota polis.

Perwatakan mereka memang nampak tegas, ditambah lagi dengan pakaian seragam polis yang disarungkan tentu sahaja terserlah kredibiliti masing-masing.

Yang pasti, keenam-enam mereka mempunyai cerita tersendiri.

Antara soalan yang saya tanya dan tidak dilupakan  ialah mengenai  syarat utama untuk menjadi anggota polis wanita, perlukah  mempunyai fizikal ciri ala kelelakian yang mengikiskan sifat kewanitaan sedia ada.

Keenam-enam mereka ketawa menyambut soalan yang saya ajukan.

Antara jawapan dilontarkan, DCP Datuk Nooryah Anvar, katanya mana mungkin ciri-ciri kewanitaan dan feminin itu dibiarkan hilang sama sekali.

Katanya, untuk menjadi anggota polis berwibawa, sifat memikat perlu ada dan ia boleh dianggap satu `aset' yang dapat membantu ketika menjalankan tugas atau amanah diberikan.

Mendengar jawapan itu, dalam hati saya berkata-kata, benar juga kata beliau.

Cerita dan pengalaman SAC I Datuk Zaleha Abd Rahman mengendalikan mayat reput turut menyebabkan terus terngiang-ngiang mendengarnya sehingga keesokan harinya,

Katanya, beliau pernah mengendalikan kes mayat yang dijumpai di sungai. Apabila diangkat saja mayat itu anggota tubuhnya tanggal satu persatu. 

"Hendak ikutkan memanglah ngeri, tetapi apabila tugas selesai, semuanya berjalan seperti biasa," ceritanya dengan wajah selamba.

Saya tidak tahu, adakah saya sekental beliau apabila berdepan dengan situasi seperti itu. Rasa-rasanya, berhari-hari juga tidak tidur lena!

Pada masa sama, saya akui, keenam-enam wanita berjiwa kental itu mempunyai ‘kecantikan’  tersendiri.

Saya juga kagum, walaupun ada di antara mereka sudah melewati usia lima abad, tenaga fizikal mereka cukup mantap.

Tanpa saya sedari masa berlalu dengan pantas. Selesai temubual, sesi bergambar pun bermula.

Semua cukup sporting untuk memberikan pose yang terbaik, sekali gus memudahkan jurugambar untuk merakamkan gambar.

Maklum, saya dan jurugambar juga kurang selesa memberi ‘arahan’ kepada individu berjawatan tinggi.

Melihat jam rupa-rupanya sudah melewati jam 5 petang. Selesai tugasan, saya mohon berangkat pulang.

Tanpa disangka, DCP Datuk Zubaidah menawarkan saya menumpang keretanya. Katanya,” Jauh awak nak jalan kaki ke bawah tu. Tak pe, awak naik kereta bersama saya.”

Bagai pucuk dicita ulam mendatang, saya terima tawaran itu sebabnya memang berpeluh sakan kalau berjalan ke bawah.

Jadi, itulah kali pertama dalam seumur hidup saya menarik kereta polis dan menaiki bersama dengan pegawai kanan anggota polis.

Yang buat saya berasa bangga, ketika kereta itu melewati pintu pagar, beberapa anggota polis berkawal di situ memberikan tabik hormat. Meskipun, tabik hormat itu bukan untuk saya tetapi tempiasnya tetap dirasakan.

Dalam hati saya berkata, “Memang hebatlah wanita ini. Lelaki pun bagi tabik hormat dan respek.”

  


Wednesday, September 18, 2019

Bab 16 Makcik Ummi

Teks Nor Affizar Ibrahim
Makcik Ummi
Bab 16

Cuaca terlalu panas hari ini.  Ikhwan yang baru dari sekolah terasa amat letih manakala baju sekolah dipakai, lenjun dengan peluh.

Sampai saja di rumah, Ikhwan terus buka kasut sekolah dan menyimpan beg di dalam biliknya.  Kemudian, dia terus meluru ke dapur untuk mencari makanan kerana dari tadi perutnya  ‘berkeroncong’ kelaparan.

Waktu rehat tadi Ikhwan tidak sempat makan kerana sibuk membantu Cikgu Norazah mengemaskan stor menyimpan peralatan sukan.

Walaupun berkali-kali Cikgu Norazah menyuruhnya berhenti dan pergi makan di kantin, Ikhwan tetap menyatakan, tidak lapar dan tidak kisah untuk menolong Cikgu Norazah sehingga selesai. 

Akhirnya, Cikgu Norazah mengalah dan membiarkan Ikhwan membantunya mengemaskan stor berkenaan. Cikgu Norazah tahu, walaupun dia bertegas, Ikhwan tetap dengan keputusannya itu. Sebab itulah Cikgu Norazah tidak mahu memaksa Ikhwan.

“Okeylah kalau Ikhwan dah cakap macam itu, terpulanglah. Tapi kalau lapar, Cikgu tak kisah pun kalau Ikhwan nak berhenti bantu cikgu,” kata Cikgu Norazah.

Sebenarnya, Cikgu Norazah  sudah lama perasaan perubahan pada Ikhwan sejak kebelakangan ini. Anak muridnya itu tidak ceria seperti mula-mula dia kenal. Malah, seringkali Ikhwan datang ke sekolah dengan berpakaian tidak kemas dan adakala baju sekolah dipakai berkedut tidak bergosok. 

Begitu juga kasut sekolah, nampak kotor seperti tidak dibasuh berminggu-minggu.  Berbanding dulu,  penampilannya sentiasa kemas dan selalu saja menjadi contoh kepada pelajar lain.

Tingkah laku dan karektor Ikhwan juga sudah banyak berubah.  Ikhwan kini tidak  banyak bercakap. Di dalam kelas, dia lebih suka buat hal sendiri dan lebih banyak mendiamkan diri.

Jika dulu, di dalam kelas semasa Cikgu Norazah mengajar, Ikhwan adalah antara yang paling banyak suka bertanya. Ada sahaja perkara yang diajukan kepada Cikgu Norazah.  

Tetapi kini, Cikgu Norazah yang kerap bertanya soalan kepada Ikhwan. Sebab dia bimbang, apa yang diajar tidak difahami anak muridnya itu.

Bagaimanpun, ada satu perkara yang tidak berubah mengenai Ikhwan iaitu dia sentiasa menawarkan diri untuk membantu Cikgu Norazah. 

Walaupun tidak seceria seperti dulu, dia sentiasa ringan tulang untuk membantu cikgu kesayangannnya itu.  Malah, walaupun ada ketikanya, Ikhwan kelihatan letih serta tidak bertenaga, dia tetap bersungguh-sungguh untuk  membantu  Cikgu Norazah. 
  
Memang Cikgu Norazah pelik dengan perubahan Ikhwan tetapi mulutnya seakan terkunci untuk bertanya dan mencungkil masalah dihadapinya.   

Selain itu, Ikhwan juga sudah  jarang kelihaan bersama-sama dengan dua rakan baiknya, Khairy dan Shafiqa. Dulu, mana-mana pergi selalu nampak mereka bertiga bersama. Nampak macam belangkas.  

Kini, tidak seperti dulu. Khairy dan Shafiqa pernah mengadu kepada Cikgu Norazah mengenai perubahan Ikhwan. Mereka risau dan sedih dengan perubahan yang berlaku pada Ikhwan.

Lebih mengecewakan  Khairy dan Shafiqa, hubungan persahabatan mereka dengan Ikhwan semakin renggang.

“Aku rasa Ikhwan ni ada masalah dengan ibu barunya,  Makcik Ummi. Tapi apa masalahnya ya? Fiqa kau ingat tak, dulu Ikhwan ada cakap, bakal mak barunya baik dengannya. Dia pun sukakannya. 

"Jadi, tak mungkin Ikhwan ada masalah dengan Makcik Ummi. Emmm, risau betul aku tengok perubahannya. Dahlah tu, sekarang ni asyik cuba menjauhkan diri dan semakin sukar hendak bercakap dengan kita.” Khairy cuba mencari jawapan mengenai perubahan Ikhwan.   

Paling Khairy geram adalah sikap Ikhwan yang langsung tidak mahu berkongsi cerita atau masalah dihadapinya.  

Setiap kali ditanya, Ikhwan akan mengubah topik perbualan ataupun angkat kaki meninggalkan kedua-dua rakannya itu hingga membuatkan mereka terpingga-pingga dan tertanya-tanya, apakah kesilapan yang sudah dilakukan.
  
“Kamu berdua sabar jelah. Kalau boleh janganlah marah atau benci pada Ikhwan. Dia mungkin ada masalah tetapi tidak bersedia lagi untuk berkongsi dengan kamu berdua. 

"Kita doakan semoga Ikhwan berubah semula seperti dulu. Janganlah putus asa dan menjauhkan diri dengannya. Bagilah dia masa,” nasihat Cikgu Norazah kepada Khairy dan Shafiqa.

Cikgu  Norazah juga susah hati dengan perubahan Ikhwan. Bukan saja di dalam kelas, untuk aktiviti luar kelas juga Ikhwan menunjukkan tidak berminat untuk memberikan tumpuan.

Persatuan Catur yang disertai Ikhwan semakin kerap tidak dihadirinya. Padahal, Ikhwan peminat tegar permainan catur dan selalu teruja setiap kali ada latihan serta perjumpaan antara ahli.     

Ikhwan sering memberikan pelbagai alasan, setiap kali ditanya kenapa dia tidak menghadirkan diri.  Cikgu Norazah memang kecewa dengan perubahan Ikhwan
tetapi buat ketika ini, dia tidak mahu memberi tekanan kepada anak muridnya.

“Cikgu! Saya rasa semuanya dah siap. Loceng masuk kelas pun dah berbunyi. Saya masuk kelas dululah ya.”

Semua tugasan sudah disiapkan.  Ikhwan menolong Cikgu Norazah sehingga habis waktu rehat dan satu makanan pun tidak dijamahnya.

Cikgu Norazah terhutang budi dengan bantuan Ikhwan dan berhasrat untuk belanjanya makan selepas habis waktu sekolah.  Namun hasrat itu tidak kesampaian kerana  sebaik saja loceng tamat  sekolah  berbunyi, Ikhwan tergesa- gesa keluar dari kelas untuk terus pulang ke rumah.

“Ikhwan ! Ikhwan! Tunggulah dulu. Jom cikgu bawa pergi makan  tengahari ini sebab tadi  Ikhwan tak sempat nak makan apa-apa pun.” Cikgu Norazah memanggil Ikhwan sebaik saja melihat kelibatnya  keluar dari bilik darjah.

Namun, Ikhwan cepat-cepat menolak ajakan itu dan mengucapkan  terima kasih kepada cikgu Norazah kerana ingin membelanjanya. 

Katanya, tidak dapat berbuat demikian kerana sudah berjanji untuk balik rumah cepat.

===================================================================

Tiba di rumah, Ikhwan membuka tudung saji di atas meja. Dia berasa hampa di bawah  tudung saji tidak ada lauk. Yang ada Cuma sepinggan nasi sejuk yang tidak habis dimakan semalam.

Ikhwan mengalih pandangannya di atas dapur dan dilihatnya ada sebuah periuk. Teringin sekali dia melihat apa isi di dalamnya.  Tanpa membuang masa, dia membukanya dan berasa gembira  kerana  sebaik tudung periuk itu dibuka, bau kari ayam menusuk hidung.

Belum pun sempat hendak mengambil pinggan di atas rak, satu suara kuat mengherdik dari belakang. Terkejut Ikhwan apabila disapa sebegitu.

"Hah! Nak buat apa tu! Tahu nak makan aje! Ingat rumah ini ada orang gaji nak sediakan makan minum kamu?”  Lantang sekali suara itu. Berderau rasa hati Ikhwan dan terus dia menoleh ke belakang.

“Aaaa…Makcik Ummi, Wan  minta maaf.  Wan lapar nak makan. Di sekolah tadi tak makan. Wan tengok ada nasi sejuk dan lauk dalam periuk….Wan nak ambillah. Izinkan Makcik Ummi, Wan memang lapar sangat. Bolehkan Makcik, Wan makan?” Terketar-ketar Ikhwan menjawab sambil mohon simpati.

Perutnya pula semakin ‘meronta-ronta’ hendakkan nasi. Dalam  ketakutan berdepan dengan Makcik Umminya, Ikhwan menjawab sambil menggosok-gosok perutnya, seolah-olah memujuk perutnya supaya bersabar untuk disi.

Dalam keadaan itu, Ikhwan sememang mengharapkan belas kasihan Makcik Umminya. Tambah lagi, dia hanya dapat menjamah sekeping roti ketika sarapan pagi tadi.

Namun, belas kasihan yang diraih Ikhsan langsung tidak membawa makna apa-apa pada Makcik Ummi.  Sebaliknya, sebaik sahaja Ikhwan habis menjawab soalan itu, Makcik Ummi terus menerpa dan memukul tubuh Ikhwan dengan tangannya berkali-kali.

“Banyak cantik muka kau. Kerja kat rumah ni kau malas nak buat. Tahu nak makan aje. Aku nak, sekarang juga kau pergi kat depan dan kemaskan barang-barang yang berterabur itu. Lepas tu, siram pokok-pokok bunga itu.

"Kat belakang tu juga banyak kerja lagi nak buat. Pergi sapu dulu sampah kat laman rumah tu. Lepas tu kemaskan bilik atas. Hah! Habis kerja itu, kau basuh kereta aku. Dari semalam aku suruh kau buat, macam-macam alasan kau bagi.”

Makcik Ummi terus mengherdik Ikhwan sambil tangannya terus-terusan menonyoh kepala anak tirinya itu.

“Jangan tahu nak isi perut aje!” Ikhwan terus ditempelak.   

Ketika ini, air mata Ikhwan berjuraian membasahi pipinya. Lidahnya semakin kelu untuk berkata-kata.

Tapi dalam menahan kesakitan dipukul, Ikhwan cuba menggagahkan dirinya untuk terus memohon belas simpati.

“Tapi Makcik Ummi, Wan lapar sangat. Boleh tak Wan makan dulu. Lepas tu Wan janji akan buat semua kerja tu.” Ikhwan merayu.
  
“Ohhhh! Kau tahu lapar kau aje. Jangan nak buat muka kesian! Cepat pergi kat belakang, siapkan kerja-kerja tu dulu!” Tanpa rasa belas kasihan, Makcik Ummi langsung tidak mahu mendengar rayuan Ikhwan.

Ikhwan tidak mampu lagi meluahkan sebarang kata-kata. Bagaikan tersiat rasa di hati, perlahan-lahan dia menuju ke rak pinggan mangkuk untuk meletakkan semula pinggan yang diambilnya tadi.

Namun, entah macam mana pinggan dipegangnya terlepas dan jatuh pecah berderai. 

Makcik yang dari tadi memandang tingkah laku Ikhwan terus meluru kepada Ikhwan dan menarik telinga kirinya sekuat-kuat hati. Apa lagi, menjeritlah Ikhwan menahan kesakitan.

“Aduh Makcik Ummi! Sakit! Sakit!” Jerit Ikhwan.

“Ohhh…kau melawan aku, sebab tulah kau pecahkan pinggan tu. Kau ingat aku tak tahu ya!” Tanpa belas kasihan, Makcik Ummi terus menarik telinga Ikhwan.

Dengan jegil mata yang merah menyala dan suara tinggi, dia terus memarahi Ikhwan sambil memulas kuat telinganya.

“Maaf Makcik Ummi, Maaf! Ikhwan tak sengaja. Pinggan tu terlepas tadi.”Ikhwan terus merintih dan merayu.

Namun, rintihan dan rayuan Ikhwan langsung tidak memberi kesan pada Makcik Ummi. Malah, seolah-olah seperti seekor sang harimau yang semakin mengganas mengerjakan mangsanya.

Tidak puas menarik dan memulas telinga, Makcik Ummi kemudian mengambil batang penyapu, lalu membantai tubuh Ikhwan sekuat-kuat hatinya. 

Apa lagi, maka semakin kuatlah Ikhwan menjerit sambil cuba menangkis pukulan yang hinggap pada tubuhnya.

“Aduh sakit! Aduh ! Tolong Makcik Ummi! Tolong Makcik Ummi…jangan pukul lagi. Aduh sakit! Ikhwan minta maaf Makcik Ummi! Sakit!”

Dalam Ikhwan teresak-esak dan merintih sambil menangkis pukulan, tiba-tiba sayup-sayup dia terdengar  satu suara memanggil-manggil namanya. Ikhwan juga dapat merasakan ada tangan yang menggoncag-goncang tubuhnya ketika itu.

“Ikhwan! Ikhwan!  Bangun! Bangun! Kenapa dengan kau ini.” Suara itu terus memanggil-manggil nama Ikhwan sambil menggegarkan tubuhnya.

Ikhwan dapat mendengar suara itu semakin jelas menyebut namanya dan berasakan pemanggil itu begitu dekat dengannya.

Ikhwan menggosok kedua-dua belah matanya. Kemudian, perlahan-lahan dia membuka matanya sambil mencari-cari suara yang memanggil namanya tadi.

“Hah! Kau dah kenapa ni Ikhwan. Terjerit-jerit minta tolong. Mana yang sakitnya? Siapa pulak Makcik Ummi itu?” Suara tadi menyergah Ikhwan yang tampak masih dalam kebingungan. 

“Apalah Ikhwan ni. Buka mata itu. Ishhh... mengigau rupa-rupanya.” Kata suara itu lagi.
“Kita sekarang ini dalam kereta. Ini Angah. Yang Ikhwan dari tadi tidur nyenyak, tiba-tiba menjerit sudah kenapa. Ikhwan mimpi apa? 

"Petang-petang buta ini, pun boleh mengigau.” Sekali lagi Ikhwan ditempelak.

“Ohhhh Angah. Kita dalam kereta ya? Astagfirullah. Maaflah…Ikhwan mimpi buruk tadi. Kita sudah sampai mana ni?”

Tergagap-gagap Ikhwan menjawabnya. Kini dia sudah pun sedar sepenuhnya. Ikhwan rupa-rupanya terlelap tadi. Semua yang berlaku itu sebenarnya hanyalah mimpi atau ‘mainan’ tidur.

Baharu Ikhwan tersedar, sebaik sahaja kereta yang dipandu ayahnya keluar dari perkarangan rumah datuk dan neneknya tadi, tidak sampai 15 minit perjalanan dia
sudah pun terlelap.
    
“Hah! Angah nak tanya lagi ni, Makcik Ummi itu siapa?” Izhar yang masih tidak mendapat jawapan dari Ikhwan, bertanya semula soalan sama.

Ikhwan tidak menjawab, sebaliknya tersipu-sipu dan menundukkan muka. Ilham yang duduk di hadapan dan menjadi ‘co pilot’ ayahnya, memaling ke belakang untuk turut sama mendengar jawapan adik bongsunya itu.

“Yalah Ikhwan, siapa Makcik Ummi itu beritahulah. Ikhwan mimpi apa sampai menjerit dan macam menangis kena pukul sahaja. Kena serang ke?” Ilham tiba-tiba  menyampuk.

Bapa mereka, Radzi tidak pula berkata apa-apa, sebaliknya terus fokus memandu. 

Sudah hampir dua jam dia memandu dan mereka sekeluarga dijangka sampai ke
rumah lebih kurang 15 minit lagi.

“Ayah tak nak tahu ke siapa Makcik Ummi itu?” Izhar tiba-tiba bertanya kepada
Radzi.

Ikhwan terus tertunduk malu dan tersipu-sipu manakala Ilham turut melebarkan
senyuman.

“Nanti Ayah teka ya. Mungkin Makcik Ummi itu panggilan untuk ibu baharu korang nanti.” Jawab Radzi selamba.

“Hah! Panggilan emak baharu. Wow tak sangka pulak, cepat Ikhwan sudah fikir nak  panggil apa untuk ibu baharu.  Makcik Ummi eemmm…okey juga tu,” kata Izhar.

“Makcik Ummi. Along rasa memang kenalah panggilan itu,” Ilham mencelah.

“Sudahlah tak payah cakaplah hal ini, Ikhwan tak nak bercerita pasal hal ini. Along dan Angah tahu tak, Ikhwan mimpi buruk tadi. Jadi, tak mahulah cerita. Kalau cerita best lainlah,” Ikhwan  berasa tidak senang hati apabila terus-terusan menjadi usikan kedua-dua abangnya.

Pada masa sama, Ikhwan berasa malu pada diri sendiri. 

“Macam manalah aku boleh tidur sampai mengigau macam tu,” bisiknya dalam hati.

Sementara itu, Radzi meneruskan pemanduan dalam keadaan tenang sambil tersenyum-senyum sendirian.

Ilham di sebelah, sempat menjeling melihat gelagat bapanya itu. Akhirnya, Ilham pun turut tersenyum sendirian!