Wednesday, September 18, 2019

Bab 16 Makcik Ummi

Teks Nor Affizar Ibrahim
Makcik Ummi
Bab 16

Cuaca terlalu panas hari ini.  Ikhwan yang baru dari sekolah terasa amat letih manakala baju sekolah dipakai, lenjun dengan peluh.

Sampai saja di rumah, Ikhwan terus buka kasut sekolah dan menyimpan beg di dalam biliknya.  Kemudian, dia terus meluru ke dapur untuk mencari makanan kerana dari tadi perutnya  ‘berkeroncong’ kelaparan.

Waktu rehat tadi Ikhwan tidak sempat makan kerana sibuk membantu Cikgu Norazah mengemaskan stor menyimpan peralatan sukan.

Walaupun berkali-kali Cikgu Norazah menyuruhnya berhenti dan pergi makan di kantin, Ikhwan tetap menyatakan, tidak lapar dan tidak kisah untuk menolong Cikgu Norazah sehingga selesai. 

Akhirnya, Cikgu Norazah mengalah dan membiarkan Ikhwan membantunya mengemaskan stor berkenaan. Cikgu Norazah tahu, walaupun dia bertegas, Ikhwan tetap dengan keputusannya itu. Sebab itulah Cikgu Norazah tidak mahu memaksa Ikhwan.

“Okeylah kalau Ikhwan dah cakap macam itu, terpulanglah. Tapi kalau lapar, Cikgu tak kisah pun kalau Ikhwan nak berhenti bantu cikgu,” kata Cikgu Norazah.

Sebenarnya, Cikgu Norazah  sudah lama perasaan perubahan pada Ikhwan sejak kebelakangan ini. Anak muridnya itu tidak ceria seperti mula-mula dia kenal. Malah, seringkali Ikhwan datang ke sekolah dengan berpakaian tidak kemas dan adakala baju sekolah dipakai berkedut tidak bergosok. 

Begitu juga kasut sekolah, nampak kotor seperti tidak dibasuh berminggu-minggu.  Berbanding dulu,  penampilannya sentiasa kemas dan selalu saja menjadi contoh kepada pelajar lain.

Tingkah laku dan karektor Ikhwan juga sudah banyak berubah.  Ikhwan kini tidak  banyak bercakap. Di dalam kelas, dia lebih suka buat hal sendiri dan lebih banyak mendiamkan diri.

Jika dulu, di dalam kelas semasa Cikgu Norazah mengajar, Ikhwan adalah antara yang paling banyak suka bertanya. Ada sahaja perkara yang diajukan kepada Cikgu Norazah.  

Tetapi kini, Cikgu Norazah yang kerap bertanya soalan kepada Ikhwan. Sebab dia bimbang, apa yang diajar tidak difahami anak muridnya itu.

Bagaimanpun, ada satu perkara yang tidak berubah mengenai Ikhwan iaitu dia sentiasa menawarkan diri untuk membantu Cikgu Norazah. 

Walaupun tidak seceria seperti dulu, dia sentiasa ringan tulang untuk membantu cikgu kesayangannnya itu.  Malah, walaupun ada ketikanya, Ikhwan kelihatan letih serta tidak bertenaga, dia tetap bersungguh-sungguh untuk  membantu  Cikgu Norazah. 
  
Memang Cikgu Norazah pelik dengan perubahan Ikhwan tetapi mulutnya seakan terkunci untuk bertanya dan mencungkil masalah dihadapinya.   

Selain itu, Ikhwan juga sudah  jarang kelihaan bersama-sama dengan dua rakan baiknya, Khairy dan Shafiqa. Dulu, mana-mana pergi selalu nampak mereka bertiga bersama. Nampak macam belangkas.  

Kini, tidak seperti dulu. Khairy dan Shafiqa pernah mengadu kepada Cikgu Norazah mengenai perubahan Ikhwan. Mereka risau dan sedih dengan perubahan yang berlaku pada Ikhwan.

Lebih mengecewakan  Khairy dan Shafiqa, hubungan persahabatan mereka dengan Ikhwan semakin renggang.

“Aku rasa Ikhwan ni ada masalah dengan ibu barunya,  Makcik Ummi. Tapi apa masalahnya ya? Fiqa kau ingat tak, dulu Ikhwan ada cakap, bakal mak barunya baik dengannya. Dia pun sukakannya. 

"Jadi, tak mungkin Ikhwan ada masalah dengan Makcik Ummi. Emmm, risau betul aku tengok perubahannya. Dahlah tu, sekarang ni asyik cuba menjauhkan diri dan semakin sukar hendak bercakap dengan kita.” Khairy cuba mencari jawapan mengenai perubahan Ikhwan.   

Paling Khairy geram adalah sikap Ikhwan yang langsung tidak mahu berkongsi cerita atau masalah dihadapinya.  

Setiap kali ditanya, Ikhwan akan mengubah topik perbualan ataupun angkat kaki meninggalkan kedua-dua rakannya itu hingga membuatkan mereka terpingga-pingga dan tertanya-tanya, apakah kesilapan yang sudah dilakukan.
  
“Kamu berdua sabar jelah. Kalau boleh janganlah marah atau benci pada Ikhwan. Dia mungkin ada masalah tetapi tidak bersedia lagi untuk berkongsi dengan kamu berdua. 

"Kita doakan semoga Ikhwan berubah semula seperti dulu. Janganlah putus asa dan menjauhkan diri dengannya. Bagilah dia masa,” nasihat Cikgu Norazah kepada Khairy dan Shafiqa.

Cikgu  Norazah juga susah hati dengan perubahan Ikhwan. Bukan saja di dalam kelas, untuk aktiviti luar kelas juga Ikhwan menunjukkan tidak berminat untuk memberikan tumpuan.

Persatuan Catur yang disertai Ikhwan semakin kerap tidak dihadirinya. Padahal, Ikhwan peminat tegar permainan catur dan selalu teruja setiap kali ada latihan serta perjumpaan antara ahli.     

Ikhwan sering memberikan pelbagai alasan, setiap kali ditanya kenapa dia tidak menghadirkan diri.  Cikgu Norazah memang kecewa dengan perubahan Ikhwan
tetapi buat ketika ini, dia tidak mahu memberi tekanan kepada anak muridnya.

“Cikgu! Saya rasa semuanya dah siap. Loceng masuk kelas pun dah berbunyi. Saya masuk kelas dululah ya.”

Semua tugasan sudah disiapkan.  Ikhwan menolong Cikgu Norazah sehingga habis waktu rehat dan satu makanan pun tidak dijamahnya.

Cikgu Norazah terhutang budi dengan bantuan Ikhwan dan berhasrat untuk belanjanya makan selepas habis waktu sekolah.  Namun hasrat itu tidak kesampaian kerana  sebaik saja loceng tamat  sekolah  berbunyi, Ikhwan tergesa- gesa keluar dari kelas untuk terus pulang ke rumah.

“Ikhwan ! Ikhwan! Tunggulah dulu. Jom cikgu bawa pergi makan  tengahari ini sebab tadi  Ikhwan tak sempat nak makan apa-apa pun.” Cikgu Norazah memanggil Ikhwan sebaik saja melihat kelibatnya  keluar dari bilik darjah.

Namun, Ikhwan cepat-cepat menolak ajakan itu dan mengucapkan  terima kasih kepada cikgu Norazah kerana ingin membelanjanya. 

Katanya, tidak dapat berbuat demikian kerana sudah berjanji untuk balik rumah cepat.

===================================================================

Tiba di rumah, Ikhwan membuka tudung saji di atas meja. Dia berasa hampa di bawah  tudung saji tidak ada lauk. Yang ada Cuma sepinggan nasi sejuk yang tidak habis dimakan semalam.

Ikhwan mengalih pandangannya di atas dapur dan dilihatnya ada sebuah periuk. Teringin sekali dia melihat apa isi di dalamnya.  Tanpa membuang masa, dia membukanya dan berasa gembira  kerana  sebaik tudung periuk itu dibuka, bau kari ayam menusuk hidung.

Belum pun sempat hendak mengambil pinggan di atas rak, satu suara kuat mengherdik dari belakang. Terkejut Ikhwan apabila disapa sebegitu.

"Hah! Nak buat apa tu! Tahu nak makan aje! Ingat rumah ini ada orang gaji nak sediakan makan minum kamu?”  Lantang sekali suara itu. Berderau rasa hati Ikhwan dan terus dia menoleh ke belakang.

“Aaaa…Makcik Ummi, Wan  minta maaf.  Wan lapar nak makan. Di sekolah tadi tak makan. Wan tengok ada nasi sejuk dan lauk dalam periuk….Wan nak ambillah. Izinkan Makcik Ummi, Wan memang lapar sangat. Bolehkan Makcik, Wan makan?” Terketar-ketar Ikhwan menjawab sambil mohon simpati.

Perutnya pula semakin ‘meronta-ronta’ hendakkan nasi. Dalam  ketakutan berdepan dengan Makcik Umminya, Ikhwan menjawab sambil menggosok-gosok perutnya, seolah-olah memujuk perutnya supaya bersabar untuk disi.

Dalam keadaan itu, Ikhwan sememang mengharapkan belas kasihan Makcik Umminya. Tambah lagi, dia hanya dapat menjamah sekeping roti ketika sarapan pagi tadi.

Namun, belas kasihan yang diraih Ikhsan langsung tidak membawa makna apa-apa pada Makcik Ummi.  Sebaliknya, sebaik sahaja Ikhwan habis menjawab soalan itu, Makcik Ummi terus menerpa dan memukul tubuh Ikhwan dengan tangannya berkali-kali.

“Banyak cantik muka kau. Kerja kat rumah ni kau malas nak buat. Tahu nak makan aje. Aku nak, sekarang juga kau pergi kat depan dan kemaskan barang-barang yang berterabur itu. Lepas tu, siram pokok-pokok bunga itu.

"Kat belakang tu juga banyak kerja lagi nak buat. Pergi sapu dulu sampah kat laman rumah tu. Lepas tu kemaskan bilik atas. Hah! Habis kerja itu, kau basuh kereta aku. Dari semalam aku suruh kau buat, macam-macam alasan kau bagi.”

Makcik Ummi terus mengherdik Ikhwan sambil tangannya terus-terusan menonyoh kepala anak tirinya itu.

“Jangan tahu nak isi perut aje!” Ikhwan terus ditempelak.   

Ketika ini, air mata Ikhwan berjuraian membasahi pipinya. Lidahnya semakin kelu untuk berkata-kata.

Tapi dalam menahan kesakitan dipukul, Ikhwan cuba menggagahkan dirinya untuk terus memohon belas simpati.

“Tapi Makcik Ummi, Wan lapar sangat. Boleh tak Wan makan dulu. Lepas tu Wan janji akan buat semua kerja tu.” Ikhwan merayu.
  
“Ohhhh! Kau tahu lapar kau aje. Jangan nak buat muka kesian! Cepat pergi kat belakang, siapkan kerja-kerja tu dulu!” Tanpa rasa belas kasihan, Makcik Ummi langsung tidak mahu mendengar rayuan Ikhwan.

Ikhwan tidak mampu lagi meluahkan sebarang kata-kata. Bagaikan tersiat rasa di hati, perlahan-lahan dia menuju ke rak pinggan mangkuk untuk meletakkan semula pinggan yang diambilnya tadi.

Namun, entah macam mana pinggan dipegangnya terlepas dan jatuh pecah berderai. 

Makcik yang dari tadi memandang tingkah laku Ikhwan terus meluru kepada Ikhwan dan menarik telinga kirinya sekuat-kuat hati. Apa lagi, menjeritlah Ikhwan menahan kesakitan.

“Aduh Makcik Ummi! Sakit! Sakit!” Jerit Ikhwan.

“Ohhh…kau melawan aku, sebab tulah kau pecahkan pinggan tu. Kau ingat aku tak tahu ya!” Tanpa belas kasihan, Makcik Ummi terus menarik telinga Ikhwan.

Dengan jegil mata yang merah menyala dan suara tinggi, dia terus memarahi Ikhwan sambil memulas kuat telinganya.

“Maaf Makcik Ummi, Maaf! Ikhwan tak sengaja. Pinggan tu terlepas tadi.”Ikhwan terus merintih dan merayu.

Namun, rintihan dan rayuan Ikhwan langsung tidak memberi kesan pada Makcik Ummi. Malah, seolah-olah seperti seekor sang harimau yang semakin mengganas mengerjakan mangsanya.

Tidak puas menarik dan memulas telinga, Makcik Ummi kemudian mengambil batang penyapu, lalu membantai tubuh Ikhwan sekuat-kuat hatinya. 

Apa lagi, maka semakin kuatlah Ikhwan menjerit sambil cuba menangkis pukulan yang hinggap pada tubuhnya.

“Aduh sakit! Aduh ! Tolong Makcik Ummi! Tolong Makcik Ummi…jangan pukul lagi. Aduh sakit! Ikhwan minta maaf Makcik Ummi! Sakit!”

Dalam Ikhwan teresak-esak dan merintih sambil menangkis pukulan, tiba-tiba sayup-sayup dia terdengar  satu suara memanggil-manggil namanya. Ikhwan juga dapat merasakan ada tangan yang menggoncag-goncang tubuhnya ketika itu.

“Ikhwan! Ikhwan!  Bangun! Bangun! Kenapa dengan kau ini.” Suara itu terus memanggil-manggil nama Ikhwan sambil menggegarkan tubuhnya.

Ikhwan dapat mendengar suara itu semakin jelas menyebut namanya dan berasakan pemanggil itu begitu dekat dengannya.

Ikhwan menggosok kedua-dua belah matanya. Kemudian, perlahan-lahan dia membuka matanya sambil mencari-cari suara yang memanggil namanya tadi.

“Hah! Kau dah kenapa ni Ikhwan. Terjerit-jerit minta tolong. Mana yang sakitnya? Siapa pulak Makcik Ummi itu?” Suara tadi menyergah Ikhwan yang tampak masih dalam kebingungan. 

“Apalah Ikhwan ni. Buka mata itu. Ishhh... mengigau rupa-rupanya.” Kata suara itu lagi.
“Kita sekarang ini dalam kereta. Ini Angah. Yang Ikhwan dari tadi tidur nyenyak, tiba-tiba menjerit sudah kenapa. Ikhwan mimpi apa? 

"Petang-petang buta ini, pun boleh mengigau.” Sekali lagi Ikhwan ditempelak.

“Ohhhh Angah. Kita dalam kereta ya? Astagfirullah. Maaflah…Ikhwan mimpi buruk tadi. Kita sudah sampai mana ni?”

Tergagap-gagap Ikhwan menjawabnya. Kini dia sudah pun sedar sepenuhnya. Ikhwan rupa-rupanya terlelap tadi. Semua yang berlaku itu sebenarnya hanyalah mimpi atau ‘mainan’ tidur.

Baharu Ikhwan tersedar, sebaik sahaja kereta yang dipandu ayahnya keluar dari perkarangan rumah datuk dan neneknya tadi, tidak sampai 15 minit perjalanan dia
sudah pun terlelap.
    
“Hah! Angah nak tanya lagi ni, Makcik Ummi itu siapa?” Izhar yang masih tidak mendapat jawapan dari Ikhwan, bertanya semula soalan sama.

Ikhwan tidak menjawab, sebaliknya tersipu-sipu dan menundukkan muka. Ilham yang duduk di hadapan dan menjadi ‘co pilot’ ayahnya, memaling ke belakang untuk turut sama mendengar jawapan adik bongsunya itu.

“Yalah Ikhwan, siapa Makcik Ummi itu beritahulah. Ikhwan mimpi apa sampai menjerit dan macam menangis kena pukul sahaja. Kena serang ke?” Ilham tiba-tiba  menyampuk.

Bapa mereka, Radzi tidak pula berkata apa-apa, sebaliknya terus fokus memandu. 

Sudah hampir dua jam dia memandu dan mereka sekeluarga dijangka sampai ke
rumah lebih kurang 15 minit lagi.

“Ayah tak nak tahu ke siapa Makcik Ummi itu?” Izhar tiba-tiba bertanya kepada
Radzi.

Ikhwan terus tertunduk malu dan tersipu-sipu manakala Ilham turut melebarkan
senyuman.

“Nanti Ayah teka ya. Mungkin Makcik Ummi itu panggilan untuk ibu baharu korang nanti.” Jawab Radzi selamba.

“Hah! Panggilan emak baharu. Wow tak sangka pulak, cepat Ikhwan sudah fikir nak  panggil apa untuk ibu baharu.  Makcik Ummi eemmm…okey juga tu,” kata Izhar.

“Makcik Ummi. Along rasa memang kenalah panggilan itu,” Ilham mencelah.

“Sudahlah tak payah cakaplah hal ini, Ikhwan tak nak bercerita pasal hal ini. Along dan Angah tahu tak, Ikhwan mimpi buruk tadi. Jadi, tak mahulah cerita. Kalau cerita best lainlah,” Ikhwan  berasa tidak senang hati apabila terus-terusan menjadi usikan kedua-dua abangnya.

Pada masa sama, Ikhwan berasa malu pada diri sendiri. 

“Macam manalah aku boleh tidur sampai mengigau macam tu,” bisiknya dalam hati.

Sementara itu, Radzi meneruskan pemanduan dalam keadaan tenang sambil tersenyum-senyum sendirian.

Ilham di sebelah, sempat menjeling melihat gelagat bapanya itu. Akhirnya, Ilham pun turut tersenyum sendirian!




No comments:

Post a Comment