Teks Nor Affizar Ibrahim
Selamat tinggal 2018, selamat datang 2019
Kita sudah pun menjejakkan kaki ke tahun 2019.
Dua hari lepas, sambutan kedatangan tahun 2019 begitu meriah,
malah ada yang meraikannya hingga ke awal pagi.
Masing-masing tampak gembira untuk meraikan kedatangan Tahun 2019.
Sana sini, kedengaran dentuman bunyi mercun dan kelihatan
percikan bunga api serta limpahan cahaya warna warni sebagai simbolik,
mengucapkan selamat tinggal Tahun 2018 dan selamat datang Tahun 2019.
Begitulah sebuah kehidupan! Setiap saat dan detik akan
berlalu pergi dan tidak akan kembali. Yang tinggal hanyalah kenangan dan jejak
peristiwa yang pernah dilalui.
Hari yang datang pula, akan mencatatkan peristiwa baharu. Manis, kelat atau masam masih belum ada kepastian. Hanya masa yang menentukan.
Mengucapkan selamat tinggal pastinya mudah tetapi untuk
melupakan kenangan dan peristiwa yang sudah berlalu mungkin adalah sebaliknya.
Saya yakin, tahun 2018 yang ditinggalkan, pastinya membawa
cerita tersendiri kepada setiap individu.
Ada kisah duka dan sedih, ada pengalaman mengujakan, ada
cerita yang menyimpulkan kenangan selama-lamanya dan sebagainya.
Tahun dukacita
Bagi saya, Tahun 2018 adalah tahun dukacita. Pemergian Ayahanda menyahut panggilan Illahi
pada Khamis, 19 April 2018 membuatkan
saya terkesan sehingga ke hari ini.
Allah lebih menyayangi Ayahanda Ibrahim b Kechut, jadi saya
harus reda dan menerima takdir yang
ditentukan-Nya.
Arwah pergi pada usia 82 tahun, satu perjalanan panjang
kehidupan yang dilaluinya. Kematian arwah disahkan akibat sakit tua.
Sebenarnya, ayah tidaklah sakit tenat cuma tiga hari sebelum
pemergiannya, arwah tidak mahu bangkit dari katilnya. Alasannya, dia tidak
larat.
Saya masih tidak lupa saat-saat akhir hayat ayah kerana
kebanyakan masa saya yang banyak menguruskan rutin hariannya, dari memberi
makan ubat hinggalah memandikannya, menyuapkan makanan dan menyikat rambut
serta menyapukan bedak pada pipi.
Setiap kali selepas menyiapkan ayah saya akan mencium
pipinya dan berkata,”Nak tahu busuk ke wangi. Wah! Dah wangi. Handsome pun.”
Sejak dulu ayah memang suka mengenakan bedak selepas
mandi, sehinggakan adakala memutih
mukanya disapukan bedak.
Dua jenama bedak yang ayah paling suka iaitu Baby Johnson’s
dan Cuticura.
Kadang-kadang setiap kali berbedak, satu bilik wangi baunya
sebab setiap kali guna memang banyak dituangnya.
Selalu juga saya cakap, “Ayah
ni mandi bedak, bukannya pakai bedak.”
Oleh sebab itulah apabila ayah tidak mampu menguruskan diri
sendiri, saya akan pastikan wajahnya akan disapu bedak selepas mandi.
Bercerita pasal ayah memang tidak akan habis. Memang banyak kenangan ayah dengan saya. Ayah pergi dengan
tenang dan semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya.
Tahun 2018 juga saya kehilangan rakan dan orang yang
dikenali termasuklah rakan setugas, Allahyarham Bennie dan anak jiran yang
pernah menjadi teman sepermainan ketika kecil, Allahyarham Muhammad Nizam Abd
Ghani serta rakan sepasukan PALAPES,
Allahyarham Mahathir.
Banyak lagi peristiwa yang berlaku sepanjang tahun 2018, namun biarlah semua itu menjadi lipatan kenangan dalam diri saya.
Doa saya, semoga kehadiran 2019 membawa lebih banyak kemanisan dalam
hidup.
No comments:
Post a Comment