Wednesday, January 9, 2019

Nak ke Tun jawab soalan remeh?

Teks Nor Affizar Ibrahim

Nak ke Tun jawab soalan remeh?



Apabila menjadi  wartawan antara kelebihannya ialah dapat bertemu dan bertentang mata dengan ramai tokoh serta individu terkenal seperti pemimpin, selebriti, ahli sukan dan sebagainya.

Begitulah juga saya yang berpeluang bertemu dengan individu tersohor dari dalam mahupun luar negara.

Pengalaman menemubual one to one dengan pemimpin utama negara dan terkenal, Tun Dr Mahathir Mohamad antara yang pastinya menjadi kenangan tidak dilupakan.

Saya menemubual Tun Mahathir pada Julai 2014. Turut sama ketika temubual itu ialah isterinya, Tun Dr Siti Hasmah.

Topik temubual adalah berkisar mengenai pengalaman dan sambutan Hari Raya kedua-dua tokoh itu.

Ini berikutan, temubual itu dibuat pada bulan Ramadan.

Tugasan menemubual Tun Mahathir dan isterinya, sebenarnya adalah tugasan rakan sekerja, Nor Afzan Mohamad Yusof.

Bagaimanapun, Nor Afzan mengajak saya menemaninya. Bagaikan orang mengantuk disorongkan bantal, tentunya saya tidak menolak dan bersetuju menemaninya.

Lagipun, siapa yang tidak gementar apabila ditugaskan seorang diri menemubual tokoh pemimpin hebat? 

Saya dan rakan juga sedar serta faham, bukan mudah untuk menanyakan soalan remeh temeh kepada pemimpin besar seperti itu.

Namun, untuk artikel bakal ditulis, mahu atau tidak kami perlu bertanya sebab artikel itu adalah mengenai pengalaman dan sambutan Hari Raya Tun Mahathir dan isteri.

Jadi, kami berdua berbincang soalan-soalan yang akan ditanya. Setiap kali soalan dibuat kami saling bertanya, “Hendak ke Tun jawab ni? Orang selalu tanya pasal politik dan isu serta topik besar-besar, kita tanya soalan remeh macam ini. Okey ke?”

Memang, kami risau hal ini.  Kami juga meminta jasa baik pihak yang mengatur temubual itu supaya memberitahu Tun Mahathir dan  isterinya berpakaian baju Melayu dan baju kurung untuk sesi bergambar.

Kami benar-benar berharap, Tun Mahathir akan mengenakan baju Melayu supaya sesi temubual dan bergambar berjalan lancar, bersesuaian dengan topik dan artikel yang ingin kami tulis.

Apa pun, saya akui, bukan mudah mengatur dan mendapatkan  tarikh serta masa untuk menemubual pemimpin itu.

Beberapa kali juga tarikh diberikan terpaksa ditunda dan kami diberikan tarikh baharu untuk menemubual beliau.

Malah, hinggalah pada hari ditemubual pada hari itu. Tiba-tiba sahaja, masa temubual pada hari itu dipercepatkan kerana Tun Mahathir dan isteri mempunyai acara lain.

Kami diberi masa 45 minit sahaja untuk menemubual dan diminta datang tepat pada masanya. 

Kami faham, masa adalah emas untuk mereka!

Petang dijanjikan itu, kami menuju ke Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya.

Oleh kerana kali pertama ke situ, melilau juga mencari lokasi.

Melihat  jam yang semakin menghampiri waktu temujanji ditetapkan, membuatkan kami berdua begitu risau.

Malu rasanya, kalau terlewat. Alhamdulillah, kami tepat pada masanya walaupun sebelum itu kami merancang untuk datang  awal supaya lebih bersedia dan tidak kalut.

Tun Mahathir dan isteri juga sudah ada di pejabat itu.

Sebaik saja sampai, kami diberitahu Tun Mahathir tidak dapat mengenakan baju Melayu hari itu.

“Tak apalah…”  Itu jawapan yang diberi walaupun sebenarnya berasa sedikit hampa.

Melangkah ke dalam bilik, Tun Mahathir sudah bersedia menanti kami dan duduk di meja tulis manakala Tun Hasmah duduk di sisi.

Suasana awal memang kelu lidah kami, apatah lagi melihat Tun Mahathir berwajah selamba manakala Tun Hasmah memandang tepat pada kami.

Kami redakan perasaan gementar dengan memulakan bertanya khabar.  Selepas itu, terus sahaja Tun Mahathir  terus bertanya kami ‘straight to the point’.

“Nak cerita apa?” Tanyanya.

Sebaik sahaja soalan itu diaju, kami pun terus sahaja menerangkan keinginan kami. 

Lagipun, kami tidak mempunyai banyak masa untuk melencong jauh. Jadi, lebih baik penuhi misi sebenar temubual itu.

Memang kami tidak menyangka sama sekali, Tun Mahathir menjawab semua soalan diajukan, dari yang remeh-temeh hinggalah hal yang agak serius.

Sepanjang temubual itu, tidak banyak ekspresi dan riak wajah berbeza-beza ditonjolkan Tun Mahathir, sebaliknya lebih banyak berwajah selamba sahaja.

Mencungkil memori silam mereka tidak sukar kerana  ternyata Tun Mahathir dan isteri tidak lokek berkongsi cerita.

Namun, paling saya suka tengok cara dan reaksi manja Tun Hasmah apabila bercerita. 
Lebih-lebih lagi, apabila ia berkaitan kisah manis antara mereka berdua.

Antara kata-katanya yang saya tidak lupa;

“Emmm Tun tak suka pakai baju sedondon.  Katanya, nak buat apa pakai sama. Yang kita ini memamglah teringin tapi Tun tak suka, kita ikutkanlah.”  Kata Tun Hasmah ketika diajukan soalan perihal pakai sedondon apabila menyambut Hari Raya.

Tergelak juga saya apabila Tun Hasmah berkata, “ Tun tak suka sama warna tema atau sedondon. Dia kata nanti nampak macam pengantin.”

Bercerita sambutan Hari Raya, saya seronok mendengar zaman kanak-kanak kedua-dua suami isteri itu.

Bagi mereka, zaman dulu sambutan hari raya begitu bermakna. Ketika itu baharulah dapat pakaian baharu.

“Macam saya dulu, kena tunggu setahun sekali, boleh dapat baju baharu. Itu pun hanya sehelai. Begitu juga kopiah, kadang-kadang sudah sampai hilang baldu, masih terus pakai.”

Dalam loghat utara, selamba dan mendatar sahaja Tun Mahathir berkongsi cerita.

Namun, sesekali, Tun Mahathir ada juga mengusik Tun Hasmah, terutama apabila ditanya mengenai membuat persiapan hidangan hari raya.

“Tak tahulah dia pandai masak ke tidak.” Kata Tun Mahathir pada isterinya.

“Kita pandailah, ada belajar masak juga.” Balas Tun Hasmah menangkis kata-kata suaminya.

Memang seronok dapat menemubual kedua-dua pasangan suami isteri ini.

Walaupun pada mulanya kami agak gementar dan kekok untuk bertanya soalan yang 
dianggap remeh-temeh, akhirnya banyak soalan tanpa dirancang keluar satu persatu.

Tun Mahathir dan Tun Hasmah pula ‘layan’ dan menjawab sahaja soalan yang kami ajukan.

Bagaimanapun, kerap kali juga kami menjeling  jam di tangan untuk memastikan masa diberikan tidak terlajak jauh.

Akhirnya, sedang rancak berbual pintu diketuk untuk memberitahu kami, sudah tiba masanya Tun Mahathir dan isteri untuk bersiap ke acara lain.

Lega, rasanya kerana banyak soalan yang terjawab. Malah, ada cerita-cerita sampingan atau di luar skop artikel yang ingin kami tulis dikongsikan Tun Mahathir dan Tun Hasmah.



Yang pasti, saya  seronok dapat menembual Tun Mahathir dan Tun Hasmah pada hari itu.

No comments:

Post a Comment