Friday, January 4, 2019

Jadikan kata hikmah penulis tersohor azimat

Teks Nor Affizar Ibrahim

Jadikan kata hikmah penulis tersohor azimat

“Kalau kamu bukan anak raja dan engkau bukan anak ulama besar, maka jadilah penulis”.
-Imam Al-Ghazali

Saya suka dengan kata-kata, ulama tersohor ini. Kata-kata ini, sememangnya memberikan inspirasi dan menyuntik semangat.

Sebagai penulis, adakala anda memerlukan idola seperti ulama terkenal seperti ini, untuk dijadikan contoh atau inspirasi supaya ia boleh menjadi pendorong dan kekuatan untuk terus menulis.

Bukannya apa, ada ketika sebagai penulis anda mungkin diselubungi hal negatif seperti malas, tidak berdisiplin, suka melayani angan-angan tanpa berbuat apa-apa dan mungkin juga ketandusan idea untuk menulis.

Semua inilah yang sering kali menjadi penghalang serta cabaran untuk berkarya. Andai dibiarkan berlanjutan, tidak mustahil mata pena anda terhenti dan suatu hari akan meletakkan noktah untuk berkarya.  

Jika itu terjadi padamu, cubalah ambil beberapa waktu sejenak bagi mengembalikan mood dan semangat menulis.

Macam manakah caranya?  

Untuk memotivasikan diri anda kembali, renungkan dan fahamilah kata-kata azimat oleh tokoh penulis terkenal dan sudah kukuh berada dalam dunia penulisan.

Mereka ini ramai, dari dalam mahu luar negara. Malah, mereka datang dalam kalangan pelbagai profesion penulis, termasuk dari zaman Rasulullah seperti sahabat Nabi, Ali bin Abi Thalib dan ulama besar, Imam Al-Ghazali hinggalah penulis pada abad ke-20.

Mereka bukan sahaja berjaya menjadi penulis hebat dan terkenal tetapi banyak berkongsi ilmu serta menyumbang memberikan kebaikan, khususnya kepada masysarakat.

Oleh itu kehebatan mereka ini wajar dijadikan contoh dan inspirasi. Karya Imam Al-Ghazali misalnya, hingga saat ini bukunya tetap relevan menjadi rujukan dalam keilmuan masa kini.

Begitu jugalah Ali bin Abi Thalib, kata-katanya, “Ikatlah ilmu dengan menulis” penuh dengan hikmah.  Jika anda dapat memahami secara mendalam maksudnya itu, pasti pena anda tidak akan berhenti menulis.

Kata hikmah dilontarkan mereka, lahir dari ketekunan mereka dalam menuliskan gagasan dan pemikiran selama hidupnya.

Rugi, kiranya anda mengabaikan dan tidak mengambil kebaikan daripada kata-kata azimat itu sebagai panduan untuk menjadi penulis berjaya dan berwawasan.

Novelis terkenal Indonesia, Pramoedya Ananta Toer contohnya, pernah berkata;

“Orang boleh pandai setinggi langit, tetapi selama ia tidak menulis, ia akan hilang di dalam masyarakat dan dari sejarah. Menulis adalah bekerja untuk keabadian.”

Kalimat nasihat yang diluahkan novelis ini membawa maksud tersirat dan sewajarnya ia memberikan  motivasi untuk memberikan semangat menulis kepada anda.

Di sini, saya kongsikan kata hikmah beberapa penulis terkenal yang saya minati atau karyanya pernah saya baca;

1. Semua orang akan mati kecuali karyanya, maka tulislah sesuatu yang akan membahagiakan dirimu di akhirat kelak. - Ali bin Abi Thalib

2. Jika ingin menjadi seorang penulis, pertama sekali kena membaca, kedua kena membaca, ketiga, membaca, keempat membaca dan kelima baru menulis.
A. Samad Said

3. Untuk menjadi penulis, yang diperlukan hanyalah kemahuan keras untuk menulis dan kemudian mempraktikkannya. Orang yang hanya mempunyai kemahuan untuk menulis, namun tidak pernah melakukannya maka ia sama saja dengan bermimpi untuk memiliki kereta, tanpa ada usaha dan kerja keras untuk memilikinya. - Stephen King

4. Jika engkau ingin mengenal dunia, maka membacalah. Namun, jika engkau ingin dikenal oleh dunia, maka menulislah. - Pramoedya Ananta Toer

5. Saya menulis kerana saya perlu dan mahu. Tidak pernah berlaku kepada saya bahawa saya akan menjadi terkenal. - Danielle Steel

6. Biasanya, apabila seseorang itu sampai ke akhir bab, mereka menutup buku itu dan tidur. Saya sengaja menulis buku supaya apabila pembaca sampai ke hujung bab tersebut, dia mesti mengubah ke satu lagi halaman. - Sidney Sheldon

7. Penulisan bukan profesion hebat kerana banyak yang mengaku penulis. Saya menulis kerana ini adalah sesuatu yang boleh saya lakukan. Selain itu, saya sering fikir kebanyakan penulis menulis kerana gagal melakukan perkara lain. Berapa ramai penulis tidak dapat memandu? Banyak. Mereka tidak praktikal. Mereka tidak mampu dalam kehidupan seharian.
-Ha Jin
 
8. Jika anda hanya membaca buku yang dibaca oleh orang lain, anda hanya boleh berfikir apa yang orang lain berfikir.
- Haruki Murakami, Norwegian Wood

9. Jika saya menulis dan idea tidak datang, saya hanya bergerak ke hadapan. - James Patterson

10. Perkara yang paling penting ialah membaca seberapa banyak yang anda boleh, seperti yang saya lakukan. Ia akan memberi anda pemahaman mengenai apa yang membuat tulisan yang baik dan ia akan memperkayakan perbendaharaan kata anda. J. K. Rowling

11. Mulailah menulis, jangan berfikir. Berfikir itu nanti saja. Yang penting menulis dulu. Tulis draf pertamamu itu dengan hati. Baharu nanti kau akan menulis ulang dengan kepalamu. Kunci utama menulis adalah menulis, bukannya berfikir. -James Whitfield Ellison

12. Penulis itu pembaca. -  Nisah Haron


No comments:

Post a Comment