Wednesday, March 27, 2019

Bab 12 Balik kampung

Balik kampung

Teks Nor Affizar Ibrahim

Bab 12

Lebih kurang jam 5.45 petang, Radzi dan ketiga-tiga anaknya sampai ke kampung.

Perjalanan lebih kurang dua setengah jam menuju ke arah selatan, berjalan lancar.

Jika diikutkan, perjalanan itu sepatutnya hanya mengambil masa lebih kurang satu
setengah jam.

Namun, di pertengahan jalan ada berlaku kemalangan  yang  membabitkan empat
kenderaan  hingga menyebabkan berlaku kesesakan sepanjang  500 kilometer
(km).  Mujur, tidak ada berlaku kemalangan jiwa.

“Kalau tak ada kemalangan tadi, dah lama kita sampai. Lenguh jugak duduk dalam
kereta lama-lama.”  Izhar bersungut sebaik saja membuka pintu kereta.

Kelihatan Mak Tijah dan Pak Ghazali, datuk serta nenek mereka  duduk  di atas
tangga, menunggu kepulangan Radzi anak beranak.

“Hahh…dah sampai pun. Naik! Naik semua! Mesti penat. Panas pulak tu, lagilah
letihkan?  Bawalah beg-beg itu sekali naik dan terus letak dalam bilik. Kalau
korang haus, nenek dah sediakan air minum atas meja tu. Minumlah, basahkan
tekak tu.

Lepas dah rehat, bolehlah mandi dan terus solat Asar. Ni pun dah pukul 6.15 ni.
Elok terus cepat-cepat solat.” Mak Tijah memberi arahan satu persatu kepada anak
dan ketiga-tiga cucunya.

“Baiklah nenek. Jap lagi Along terus masuk bilik air, mandi dan solat. Badan pun
terasa panas dan berlikat ni. Dapat basahkan badan ni memang segar.” Balas
Ilham.

“Okey! Kalau Along dah siap, lepas tu Ikhwan punya turn pulak ya!” Ikhwan pula
menyahut sambil sibuk mengangkat begnya masuk ke bilik.

“Emmm mandilah. Tapi jangan berjam-jam pulak,  nanti jenuh pulak Angah
tunggu.  Kalau Angah kena tunggu lama, memang Angah gegar pintu bilik air itu
nanti.”  Izhar seolah-olah memberi amaran kepada adik bongsunya itu.

Radzi tak cakap apa-apa, letih memandu masih terasa.  Sebaik sampai dan naik ke
rumah tadi,  Radzi terus  melabuhkan punggung ke sofa.

Mak Tijah pula sudah pun ke dapur semula. Katanya, hendak masak nasi dan
hendak sediakan makan malam.

Pak Ghazali menyambung kerjanya membersihkan halaman rumah dan membakar
sampah-sampah yang sudah dikumpulnya.  Membiarkan sampah-sampah itu
dimakan api,  Pak Ghazali naik ke rumah dan terus duduk di sebelah Radzi  yang
bersandar sambil melegakan urat-urat lenguh.

“Eh lupa pulak ayah nak tanya kamu Radzi. Mana Bibik tak bawa sekali ke?  Tak
kan kau biarkan dia sorang-sorang duduk di rumah tu. Tak takut ke Bibik tu lari
nanti?

“Bibik tak ikut kami ayah. Dia pun tak ada kat rumah kami.  Ada kawan opis saya
kebetulan, tak ada pembantu rumah sebab baru minggu lepas melarikan diri.  Jadi,
saya ‘pinjamkan’ Bibik dua minggu untuk keluarga kawan saya itu.  Bibik pun
setuju bila kawan saya kata, nak bayar upah jika dia setuju bekerja kat
rumahnya dalam dua minggu ini.

“Memanglah Bibik nak, boleh dapat duit tambahan. Kalau ikutkan hati, memang
saya tak nak Bibik bekerja di rumah kawan saya itu.  Tetapi kasihan pulak  tengok
kawan saya itu. Isterinya pulak  sedang pantang. 

“Saya tengok mereka kelam kabut. Dahlah tu, ada dua lagi anak kecil umur tiga
tahun dan enam tahun.  Memang tidak teruruslah kawan saya itu. Harap Bibik
pandai-pandailah bawa diri.

“Sejak  Bibik duduk dengan saya, semua okey je. Kerja pun bagus. Cuma masak tu
tidaklah sedap sangat tapi masih boleh haraplah. Tapi tak kisahlah. Saya ambil
Bibik pun sebab nak  dia tolong tengok-tengok dan temankan Ikhwan, masa saya
pergi kerja.”  Jelas Radzi  kepada bapanya.  

“Oooo macam tu. Kalau macam tu tak apalah. Rezeki untuk Bibiklah. Yang
penting, Bibik tu jujur.  Hah kau ni, kalau dah rehat cepatlah pergi mandi. Asar
pun dah nak habis.  Nanti maghrib, bolehlah kita solat berjemaah. Sudah
ramai ini, seronok jugak.

“Lepas itu, kita makan malam sama-sama. Entah apalah emak kau tu masak. Dari
semalam sibuk tak tentu arah aje. Macam-macam barang emak kau suruh ayah
beli. Hah! Pagi tadi dah mula kalut buat macam-macam kerja. Macam nak buat
kenduri galaknya. Padahal, kau anak beranak je nak makan, ” rungut Pak Ghazali
menceritakan karenah Mak Tijah.

Tergelak Radzi mendengar rungutan Pak Ghazali. Radzi tahu sangat perangai
ibunya itu, memang akan selalu kalut nak masak macam-macam apabila dapat tahu
anak cucunya nak balik.

“Budak-budak bertiga tu apa kurangnya ayah. Masuk je dalam kereta sudah sibuk
bercerita pasal masakan nenek mereka. Masing-masing berangan dan berharap, nak
makan makanan kegemaran mereka,” kata Radzi sambil melunjurkan kakinya untuk merehatkan seketika lenguh memandu tadi.



*********************************************************************************************


Pagi itu cuaca cerah sahaja dan tidak terlalu panas. Deretan pokok-pokok yang ada
di sekitar rumah itu meredupkan kawasan sekitar.

Radzi sudah bersiap-siap hendak bertolak manakala ketiga-tiga anaknya
mengekorinya dari belakang. Ringkas sahaja Radzi bepakaian  tetapi
tetap tampak segak.

Dalam usianya yang sudah mencapai 46 tahun, Radzi masih dapat mengekalkan
gaya penampilan dan ketampanannya.

Apatah lagi, dia  sememangnya sentiasa memilih bergaya kemas terutama apabila melangkah keluar rumah. 

Untuk perjalanan dua minggu itu, Radzi  hanya bawa dua beg. Satu beg beroda
besar dan satu beg kecil.

“Radzi, dua minggu kat sana janganlah tidak telefon. Mak ni risau jugak walaupun
kau tu dah jadi bapak budak. Manalah tahu…tempat orang, jauh pulak tu. Macam-
macam boleh jadi.”

Mak Tijah berpesan kepada Radzi sebelum berangkat pergi.

Semuanya sudah siap. Sekejap lagi, Radzi akan bertolak ke Dubai dan kawan
sepejabatnya akan menghantarkanya ke lapangan terbang KLIA.

Radzi sengaja tidak mahu ibu bapa dan ketiga-tiga anaknya menghantarnya ke
lapangan terbang di KLIA kerana memikirkan tentu sukar mereka hendak berpatah
balik ke kampung pula.

Lagipun, Pak Ghazali tidak boleh lagi  memandu jauh.

Anak sulungnya, Ilham walaupun boleh memandu tapi belum dan sememangnya  
tidak  layak lagi memiliki lesen memandu. Oleh sebab itulah dia meminta ihsan
kawan sepejabat menghantarnya.

“Ala…awak ni Mak Tijah sudahlah tu. Bukankah malam tadi awak sudah pesan
macam-macam. Pagi ni, Radzi sudah hendak bertolak pun bagi ceramah lagi.
Agak-agaknyalah kalau saya yang  pergi tentu awak tidak tidur semalaman
memberikan nasihat,” Pak Ghazali mengusik isterinya yang tidak habis-habis
memberikan macam-macam nasihat kepada anaknya

Ilham, Izhar dan Ikhwan hanya tersenyum melihat telatah datuk dan nenek mereka.

Ketiga-tiganya tahu benar, begitulah perangai datuk dan nenek mereka.

Kadang-kadang, apabila tidak sependapat mulalah bertekak tetapi selalunya tidak
lama, sekejap saja.

Kemudian berbaik-baik semula, malah Pak Ghazali dan Mak Tijah, sentiasa menunjukkan sikap perasaan kasih sayang antara satu sama lain meskipun selalu tidak sependapat.

Pak Ghazali dan Mak Tijah juga sentiasa mengambil berat ketiga-tiga cucunya. Justeru, tidak hairanlah apabila isteri Radzi meninggal dunia,  Pak Ghazali dan Mak  Tijah sentiasa mengambil tahu perkembangan Ilham, Izhar dan Ikhwan meskipun  dari jauh.

Tetapi sesekali jika ada kelapangan dan memerlukan kehadiran mereka, Mak Tijah dan Pak Ghazali  tidak teragak-agak turun ke Bangi.  Lagipun, Razdi adalah satu-satu anak mereka. 

Mereka sebenarnya dikurniakan dua anak lelaki tetapi  abang Radzi, meninggal dunia ketika usianya lima tahun aikbat demam panas.

Sejak itu, tinggallah  Radzi menjadi anak tunggal Mak Tijah dan Pak Ghazali.  

“Okey anak-anak Ayah, dah sampai  masanya ayah nak berangkat.  Dengar ni, ayah nak kamu semua dengar nasihat Atuk dan Nenek. Kamu semua kena tolong  Atuk dan Nenek apa yang patut tau. Jangan biarkan semua kerja Atuk dan Nenek je yang buat. Janji tau!  Ilham tolong tengok-tengokkan adik.

“Mak, ayah, Radzi nak pergi ni. Oh ya, ayah jangan lupa ya nanti, apa yang saya minta tolong hari tu. Saya serahkan semua hal itu pada mak dan ayah. Saya yakin, emak dan ayah boleh bantu saya dalam hal ini.”

“Ohhhh…tentang hal itu, kau tak perlulah risau Radzi. Pandailah kami nak terangkan dan bagi mereka semua faham. Kau tu jaga diri elok-elok kat tempat orang.” Pantas saja Pak Ghazali membalas kata-kata Radzi.

“Hal apa ayah. Ada benda tak selesai lagi ke,” tanya Izhar tiba-tiba.

“Eissh Angah ni, orang tua bercakap janganlah menyampuk,” Ilham menegur  adiknya.

“Ahalah Angah ni. Janganlah menyampuk.” Ikhwan turut bersetuju dengan Ilham.

Izhar tidak membalas, sebaliknya hanya mencebikkan bibir.

“Dah sudah tu. Tak ada apa-apa yang perlu dibising-bisingkan. Ayah tu kan nak berjalan jauh. Elok kita sama-sama doakan, ayah kamu selamat pergi dan baik serta dipermudahkan segala urusan.”

Pak Ghazali memberi nasihat sambil cuba meredakan suasana tegang antara ketiga-tiga beradik itu.

Sementara itu, rakan sepejabat Radzi sudahpun bersedia membawanya ke KLIA.

Rakannya itu kemudian membantu Radzi memasukkan beg ke dalam bonet kereta,
Selepas bersalaman dengan ibu, ayah dan ketiga-tiga anaknya, Radzi dan rakannya
masuk ke dalam kereta.

Kereta yang dipandu rakan Radzi itu kemudian perlahan-lahan meninggalkan halaman rumah itu sambil masing-masing berbalas lambaian. 


No comments:

Post a Comment