Monday, March 25, 2019

Tabik hormat wira bangsa


Tabik hormat wira bangsa

Teks Nor Affizar Ibrahim


Drama bersiri Leftenan Zana yang disiarkan di TV3 sudahpun habis bersiaran.

Drama bersiri ini dikatakan, meraih sambutan luar biasa apabila mencatat 10 juta tontonan sepanjang 16 episod bersiaran di TV3.

Drama bersiri Leftenan Zana arahan Jinggo itu, menampilkan Janna Nick sebagai pelakon utama.

Selain Janna, drama bersiri itu turut membariskan Sheila Rusly, Tunku Hanis, Hairie Othman, Zarul Husin, Ameerul Asyraf dan Redza Rosli.
Ceritanya mengisahkan mengenai impian Zana yang bercita-cita mahu menjadi anggota tentera tetapi cita-citanya itu tidak direstui bapanya. Zana adalah anak perempuan bongsu Mejar (B) Rahmat.
Sejak kecil, Zana sangat rapat dan manja dengan bapanya sehinggakan dia ingin menjadi seorang askar seperti Rahmat.
Malangnya, Rahmat tidak suka dan tidak akan membenarkan Zana untuk menyertai bidang ketenteraan.
Rahmat lebih mengharapkan Zaidi, anak lelaki sulungnya untuk menyambung legasinya tetapi Zaidi tidak berminat.
Walaupun dihalang, Zana tekad untuk meneruskan cita-citanya dan dalam diam telah membuat permohonan secara online untuk menjadi anggota tentera Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Zana telah terpilih untuk menjalani ujian saringan dan akhirnya berjaya diterima sebagai pelatih ATM dan perlu menjalani latihan di Melaka.
Pada mulanya, Zana berbohong mengatakan bahawa dia diterima bekerja di sebuah syarikat swasta. Namun, di saat akhir Zana berterus terang kepada Rahmat dan ibunya.
Walaupun marah, Rahmat tetap menghantar Zana ke kem untuk latihan. Rahmat pasti Zana tidak akan bertahan lama di sana.
Ujian Zana bermula dan ternyata apa yang dikatakan oleh bapanya mengenai kepayahan di kem, semuanya benar.
Selain Sarjan Qamar yang menggerunkan, Zana tertekan dengan pelbagai latihan yang memenatkan fizikal dan mental.
Di kem,  Zana turut dibuli oleh Raz yang membencinya. Sehinggalah suatu hari, Zana tekad membuat keputusan untuk melarikan diri daripada kem.
Saya sebenarnya, tertarik dengan drama bersiri Leftenan Zana kerana ia mengingatkan penyertaan dan pembabitan saya dalam Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) ketika menuntut di Institut Teknologi MARA.

Malah, sepanjang siri drama ini ke udara saya menjadi antara penonton setia menontonnya dari siri pertama hinggalah terakhir.

Babak ketika Leftenan Zana dan rakan-rakan menjalani latihan kadet antara yang menarik minat saya.
Mana tidaknya, setiap kali babak itu dipaparkan ia terus mengimbas detik-detik ketika saya menjalani tiga tahun latihan kadet PALAPES.

Saya tidak nafikan, perit, penat dan stres menjalani latihan ada ketika terlintas dalam fikiran untuk saya keluar dari PALAPES.

Jujurnya, saya menyertai PALAPES ketika itu kerana inginkan elaun yang saya harapkan boleh membantu pembiayaan pengajian saya.

Rakan sebilik sayalah yang beriya-iya mengajak saya sama-sama menyertai pasukan itu kerana dia juga berdepan masalah sama.

Ketika itu, saya hanya nampak PALAPES dapat memenuhi hasrat itu.
Meskipun, was-was dengan keupayaan diri sendiri saya tekad juga menghadiri temuduga dan ujian yang disyaratkan.

Ternyata, saya berjaya ‘melepasi’ ujian fizikal dan mental sepanjang latihan hinggalah saya berjaya ditauliahkan sebagai Leftenan Muda.

Ya! Ia memang begitu membanggakan saya dan keluarga terutama arwah Ayah, apabila saya ditauliahkan sebagai Leftenan Muda.

Namun, bukan mudah untuk harungi tiga tahun latihan. Disiplin tinggi dan jadual padat adakala menyebabkan saya rasa hampir tewas.

Saya juga masih ingat, bagaimana hitam legam muka saya apabila terpaksa berjemur di tengah panas mentari terik ketika membuat latihan kawad.

Seperti Leftenan Zana, saya juga pernah pitam ketika berkawad. Mujur, saya tidak rebah sebaliknya cepat-cepat meminta keluar baris dan dibenarkan berehat.

Begitu juga comotnya saya bersalut lumpur dan debu pasir apabila membuat latihan perang. Rambut jadi ‘kejung’ kerana beberapa hari tidak mandi.

Bau badan pula usah cerita dan ditambah lagi dengan baju yang tidak bersalin beberapa hari.

Gali kubu dan tidur tersenggut-senggut di dalam kubu, sambil tangan memegang erat senjata antara pengalaman sukar dilupakan.

Berendam dan mandi dalam kawasan yang ada pacat pula adalah antara kisah ‘ngeri’ terus bersarang dalam ingatan.

Banyak lagi pengalaman dan kenangan yang saya lalui ketika berlatih untuk PALAPES.

Sehingga hari ini, saya sendiri pun tidak tahu macam mana saya boleh bertahan berada dalam dunia lasak seperti itu.

Namun, yang pasti setiap kali mengenakan pakaian baju seragam tentera, semangat kental dalam diri memang sentiasa wujud terutama apabila mengenakan baju celoreng.

Ya! Kami bekerja dalam satu pasukan. Sentiasa saling memberi semangat dan sokongan satu sama lain.

Seorang buat silap, natijahnya semua akan berdepan hukuman bersama. Itulah yang dikatakan satu hati dan setia dalam pasukan.

Yang pasti, untuk menjadi seorang tentera sememangnya memerlukan pengorbanan tinggi dan jiwa yang kental.

Di sebalik pakaian seragam segak yang disarungkan dan paku tersemat di bahu, ada tanggungjawab besar harus digalas.


Oleh itu tabik hormat dan hargailah wira bangsa kita! 

No comments:

Post a Comment