Monday, December 28, 2020

Bisnes Bakeri

Teks: Nor Affizar Ibrahim

Bisnes Bakeri

 
Mengapa Bisnes Bakeri Dari Rumah?..
Ada banyak sebab mengapa bisnes bakeri adalah cara yang terbaik untuk anda menambahkan pendapatan secara sampingan dari rumah!
 
Kos Pemulaan Yang Kecil
Memandangkan kita memulakan bisnes bakeri ini hanya dari rumah, jadi, kita tidak perlu membayar sewa kedai, dan tidak perlu membeli peralatan-peralatan yang besar dan mahal seperti rak simpanan kek, mesin juruwang, peti ais besar dan sebagainya.
 
Kita juga tidak perlu membayar kos pekerja yang hanya bertugas untuk menjaga kaunter sepanjang masa.
 
Kita boleh bermula hanya dari rumah dan menggunakan peralatan-peralatan yang sudah sedia ada di rumah!
 
Tidak Perlu Terlalu Menjual.
Untuk menjual produk bakeri , kita tidak perlu bersusah-payah menerangkan tentang produk kita sehingga berbuih-buih mulut sepertimana yang sering dilakukan oleh penjual produk-produk MLM! Cukup sekadar kita menunjukkan gambar dan harga! Jika pelanggan suka, mereka akan order!
 
Hanya Buat Berdasarkan Tempahan!
Ini adalah kelebihan besar bisnes bakeri dari rumah! Kita hanya perlu membuat kuih / kek / roti hanya selepas kita mendapat tempahan sahaja! Jadi, tiada risiko kuih/kek/roti kita tidak habis dijual sepertimana yang sering berlaku di kedai-kedai bakeri yang terpaksa membuang kuih serta roti-roti mereka yang tidak habis dijual.
 
Urusan Rumahtangga Masih Terjaga!
Ya! Memandangkan kita hanya membuat kuih
di dalam rumah, maka, kita masih lagi boleh memantau dan menguruskan anak-anak kita. Urusan kerja dalam rumah juga masih boleh diteruskan seperti biasa. Perkara ini sudah pastinya akan melegakan perasaan suami yang mungkin risau andainya kita terabaikan urusan anak-anak apabila sibuk berniaga!
 
Semua jawapan persoalan ini boleh anda dapatkan dalam ebuku Bisnes Bakeri.
Jadi, bagi anda yan
g ingin memulakan perniagaan bakeri, ebuku ini sangat berguna untuk dijadikan panduan.  
 

 
 <a href="https://www.klikjer.com/members/idevaffiliate.php?id=18707_60">BisnesBakeri.com</a>

Saturday, December 26, 2020

Kuih Sagu Gula Melaka

Teks Nor Affizar Ibrahim

Kuih Sagu Gula Melaka

 

Pemanis mulut, Kuih Sagu Gula Melaka antara pemanis yang sangat disukai dan sedap dimakan ketika berbuka puasa atau pada bulan Ramadan.

Bagi yang inginkan resepi mudah, patut cuba buat pemanis ini. Ia bukan sahaja mudah disediakan, bahan yang diperlukan untuk membuat hidangan juga  tidak banyak dan mudah diperolehi. 
 
Namun,  ada beberap tip yang saya ingin kongsikan untuk membuat kuih ini. Pertama, bagi memastikan sagu berbutir, tidak melekat dan tidak hancur, sagu tidak perlu dibasuh. Ia supaya sagu tidak hancur semasa direbus.

Sagu juga perlu direbus dengan air yang banyak dan selepas sagu masak, lalukan sagu di bawah air paip yang mengalir untuk menghilangkan kanjinya. Dengan cara ini sagu tidak akan melekat dan akan jadi berbutir serta nampak lebih cantik  serta menyelerakan.

Untuk menjadi hidangan ini lebih segar dan menarik, pilihlah padanan warna sesuai, cantik serta memikat.

Pelengkap pemanis mulut ini ialah santan atau susu cair. Namun ia juga boleh juga dimakan bersama susu segar untuk lebih sihat, terpulanglah  mengikut selera dan citarasa masing-masing

 

 

Bahan-bahan

1 cawan sagu

6 Cawan air

 

Cara masak sagu

1. Renehkan air dalam periuk atau kuali.

2. Apabila sudah mendidih, masukkan sagu. Masak sehingga jernih.

3. Tapis dan lalukan bawah air untuk toskan.

4. Bahagi kepada beberapa bekas ikut pada warna yang anda hendak buat.

5. Warnakan sagu dengan perwarna yang anda inginkan. Biarkan dalam 20 minit.

6. Lalukan sekali lagi di bawah air. Dan boleh simpan dalam peti sejuk.

 

Bahan untuk air gula

 2 ketul gula melaka

 4 sudu gula merah

 2½ cawan air

 2 helai daun pandan

 

Cara masak kuah gula melaka

Masukkan air, daun pandan dan 2 ketul hula melaka dalam periuk

Pasang api untuk renehkan

Biarkan sehingga hancur gula melaka.

Masukkan gula merah atau gula perang

Masak sehingga likat sikit, tutup api.

 

 

 

Susu cair atau santan yang sudah dimasakkan,gaulkan dengan sedikit garam.

 


Saturday, August 1, 2020

Kuih lapis


Teks Nor Affizar Ibrahim

KUIH LAPIS






Saya tidak pasti, benar atau tidak, fakta yang menyatakan kuih lapis adalah makanan yang berasal dari Indonesia.

Apa yang saya ketahui, kuih lapis sejak dulu memang digemari ramai dan dikatakan kuih tradisional masyarakat di negara ini.

Kuih lapis ini biasanya dibuat berlapis- lapis dalam warna yang berbeza. Namun, warna merah dan putih antara warna yang kerap ditampilkan.

Kuih ini sesuai dihidangkan untuk minum pagi atau petang. Kebiasaannya ia juga menjadi pilihan untuk disajikan pada majlis kenduri.

Jom kita cuba buat kuih lapis ini!



Bahan-bahan:

2 cawan tepung beras
1/2 cawan tepung gandum
1/2 cawan tepung jagung
1 cawan gula pasir
4 cawan santan (1 cawan santan pekat campurkan bersama 3 cawan air)
1/4 sudu teh garam
sedikit pewarna merah dan perisa ros

Cara membuatnya:

1. Panaskan pengukus dan sediakan loyang berukuran 8 inci. Masukkan santan ke dalam periuk. Panaskan sebentar biar jadi suam-suam kuku. Tutup api.

2. Masukkan tepung beras, tepung gandum, tepung 
jagung, gula dan garam ke dalam mangkuk. Masukkan santan. Gaul rata hingga tidak berbintil.

3. Bahagikan adunan kepada 2 bahagian. (adunan ini menghasilkan lebih kurang 1200ml bater) bahagi kepada 600 ml +/- setiap satu. Warnakan satu bahagian dengan warna merah dan letakkan perisa ros.


Saturday, July 18, 2020

Bab 18 Kejutan Untuk Ikhwan


 BAB 18 Kejutan untuk Ikhwan


Hati Ikhwan berasa tidak senang sekali. Ada perasaan berdebar dan ada gemuruh. Sesekali Ikhwan tidak tahu apa yang dirasakan kini.

Hari ini, Radzi akan menemukan dan memperkenalkan Ikhwan dengan bakal ibu tirinya. Pertemuan itu diatur seperti mana permintaan yang dibuat Ikhwan sendiri.

Radzi fikir sememangnya lebih baik anaknya itu bertemu dan berkenalan dengan ibu tirinya.
Mula-mula, Radzi ingin membawa ketiga-tiga anaknya tetapi kerana Ilham dan Izhar tidak boleh keluar asrama kerana ada aktiviti kolej, hasrat itu dibatalkan. 

Fikirnya, lebih baik dia memperkenalkan kepada Ikhwan dulu. Lagipun, selepas ini Ikhwan yang akan lebih banyak menghabiskan masa di rumah bersama bakal ibu tirinya.

“Ayah betul ke sudah berjanji pukul 12.00  hendak jumpa. Sekarang ini , 12.15 kenapa tidak sampai lagi.” Ikhwan bertanya sambil melihat jam di tangannya.

“Sabarlah Ikwan,  sekejap lagi sampailah itu. Tapi ingat pesan ayah, Ikhwan mesti berperangai sopan dan tidak buat hal. Walau tidak suka sekalipun, jangan tunjukkan tetapi mesti hormati. Jangan sesekali nak malukan ayah dengan orang  lain.

Ikhwan mencuka mendengar kata-kata ayahnya.  Dalam hati Ikhwan berkata, ayahnya tidak patut cakap begitu . Sejak dulu Ikhwan sentiasa hormati orang tua, malah itulah juga selalu yang arwah Mama Ikhwan selalu ingatkan.

“Eh…eh itu macam cikgu Norazah aje,  ayah. Cikgu berjalan seorang diri dan macam berjalan ke arah sini pula.”

Ikhwan tiba-tiba melihat cikgu Norazah turut berada di dalam restoran itu.
Radzi menoleh ke arah cikgu Norazah, Radzi tidak menjawab , sebaliknya tersenyum melihat Ikhwan yang teruja terserempak dengan cikgu Norazah di restoran itu.

“Assalammualaikum! Lama tunggu? Maaf ye, terlewat sikit sebab cari parking tadi.” Cikgu Norazah menyapa Radzi.

“Eh…eh ayah, tak kan ayah ajak cikgu Norazah sekali. Wan tahulah ini idea cikgu tapi takkan nak babitkan cikgu dalam hal keluarga kita.” Ikhwan berasa tidak selesa apabila cikgu Norazah turut berada di situ.

Fikirnya, tentu Radzi mengajak sama cikgu Norazah kerana sebelum ini Ikhwan ada menceritakan  mengenai cadangan dan nasihat gurunya itu.

Nasihat cikgu Norazah jugalah yang menyebabkan Ikhwan hampir  setiap hari mendesak Radzi supaya memperkenalkan bakal ibu tiri kepadanya.

Radzi masih tidak menjawab, sebaliknya terus melemparkan senyuman menyambut kedatangan cikgu Norazah.

“Wah! Ikhwan sudah pesan makanan ya. Tidak tunggu cikgu pun.” Cikgu Norazah yang duduk mengadapnya terus menyapa lembut.

Ikhwan tidak tercakap apa. Lidahnya benar-benar kelu. Melihat wajah ayahnya yang ceria sambil berbalas senyuman dengan cikgu Noraza membuatkan hatinya bertambah tidak sedap.

“Ikhwan ..ini  ayah nak perkenalkan, cikgu Norazah nilah yang kita tunggu-tunggu tadi. Dan kalau Ikhwan nak tahu, cikgu Norazah jugalah bakal ibu tiri Ikhwan.” Selamba saja Radzi memperkenalkan bakal ibu tiri Ikhwan

Bulat mata Ikhwan. Memandang wajah cikgu Norazah membuatkan mulutnya sedikit ternganga. Kali ini, lidahnya benar-benar bagaikan digam dengan kuat.

Reaksi Ikhwan itu disambut dengan senyum mesra cikgu Norazah.

“Eh…Ikhwan tak kan diam dan pandang cikgu saja. Cikgu rasa ini bukan kali pertama kita berjumpakan?”

Sapaan Cikgu Norazah  membuatkan Ikhwan dan tersedar dan mula tersipu-sipu. Ikhwan cuba kembali ke alam realiti.

“Jadi, cikgu Norazahlah yang akan jadi ibu tiri Ikhwan?”
Ikhwan menyoal kembali seperti tidak percaya apa yang diketahuinya itu. Radzi mengangguk-angguk kepalanya sambil tersenyum dan menggosok-gosok kepala anak bongsunya itu.

Cikgu Norazah ketawa kecil melihat Ikhwan yang serba tidak kena itu.

“Hah… apa lagi tunggu. Ikhwan salam dan ciumlah tangan bakal ibu tiri Ikhwan.
Dalam keadaan masih tersipu-sipu, Ikhwan bingkas bangun dan melakukan apa yang disuruh  Radzi.

“Nampaknya, Ikhwan dah setujulah cikgu Norazah jadi ibu itu.” Radzi cuba menduga hati anaknya itu.

“Ayah, kalau cikgu Norazah lebih seribu kali Ikhwan setuju. Lagi cepat lagi bagus.” Jawabnya dengan nada riang sekali.

Radzi dan cikgu Norazah serentak ketawa mendengar jawapan Ikhwan.

Tiba-tiba, Cikgu Norazah mengeluarkan satu album warna merah jambu dalam satu beg kertas yang dibawanya.

Melihat album itu, mengingatkan Ikhwan bahawa dia pernah melihatnya ketika membantu cikgu Norazah mengemaskan rumah.

“Cikgu, nikan album yang cikgu tidak bagi Ikhwan , Fiqa dan Khairy tengok dulu?”

“Ya, Ikhwan. Tapi hari ini cikgu nak berkongsi dengan Ikhwan gambar di dalam album ini. Jom, tengok di sini.’

Ikhwan menatap gambar-gambar di dalam album itu. Beberapa wajah gambar di dalam  album itu ada yang dikenalinya.

“Ayah, inikan gambar ayah. Dan ini pula macam gambar arwah Mama aje.”

Radzi tidak terus menjawab soalan Ikhwan, sebaliknya cikgu Norazah pula yang bersuara.

“Ikhwan…betullah tu. Yang itu gambar ayah Ikhwan dan yang ini pula arwah Mama Ikhwan. Kalau Ikhwan nak tahu, cikgu yang berdiri di sebelah arwah Mama.

“Ayah dan arwah Mama Ikhwan serta cikgu memang sudah lama kenal. Kalau Ikhwan hendak tahu cikgu sebenarnya adik angkat kepada arwah Mama Ikhwan, Sebab itulah kami bertiga rapat.

Tapi kami sudah lama tidak berjumpa selepas cikgu berpindah ke Sarawak beberapa tahun, hubungan kami terputus.”

Panjang lebar cikgu Norazah menerangkan kepada Ikhwan.

“Benar tu Ikhwan. Selepas ayah dan Mama berkahwin,kami jarang berhubung dengan cikgu Norazah. Tapi sebelum Mama meninggal, arwah sering berpesan ayah cari adik angkatnya.

“Ayah pun berusahalah mencari cikgu Norazah untuk tunaikan permintaan Mama. Tapi sayang, Mama tidak sempat hendak jumpa  walaupun ketika itu ayah sudah pun dapat menjejak alamat cikgu Norazah.”

Giliran Radzi pula menerangkan kepada Ikhwan.

“Cikgu memang sangat terkilan tidak dapat jumpa arwah Mama Ikhwan. Arwah memang baik orangnya. Dulu masa cikgu susah atau kesempitan wang, arwah yang banyak hulur bantuan dan tidak pernah berkira  setiap kali membantu. Cikgu sayang dengan arwah Mama Ikhwan macam kakak kandung sendiri.

“Apabila cikgu dapat tahu akan mengajar di sekolah tempat anak kakak angkat cikgu belajar, cikgu sangat gembira dan tidak sabar-sabar untuk memulakan tugas.”
Cikgu Norazah mendedahkan rahsia yang disimpan selama ini.

“Kalau Ikhwan masih ingat, sebelum Angah masuk asrama ayah pernah beritahu hendak jumpa kawan lama.  Cikgu Norazah lah orangnya.  Bermula dari situlah hubungan kami  semakin rapat.

“Ayah juga senang hati apabila mendapat tahu Ikhwan rapat dan sayangkan cikgu Norazah. Sebab itulah juga ayah tidak kisah apabila Ikhwan selalu ingin menghabiskan masa bersama dengan cikgu Norazah, termasuklah membantu mengemas rumah ketika baru berpindah dulu.

“Ayah tahu, cikgu Norazah tidak boleh menggantikan tempat arwah Mama tetapi ayah amat berharap, kasih sayang yang diberikan sekurang-kurangnya dapat mengubat rasa rindu Ikhwan pada Mama. Begitu juga dengan Angah dan Along.

“Jadi, ayah amat berharap Ikhwan, Angah dan Along dapat menerima cikgu Norazah sebagai ibu sendiri. Kita semua patut bersyukur kerana kasih sayang sentiasa ada dalam keluarga walaupun Mama sudahpun beberapa tahun meninggalkan kita.”

Dalam menjelaskan keadaan sebenar kepada Ikhwan,  ada sedikit getaran sayu pada penghujung suara Radzi.

Ikhwan tiba-tiba berasa terharu. Walau apa pun, hari itu sememangnya penuh bermakna bagi Ikhwan kerana doanya sudah dimakburkan dan hajatnya sudahpun tercapai.

Lalu, Ikhwan berbisik pada dirinya bahawa dia akan pastikan tidak akan sama sekali menganggap cikgu Norazah sebagai ibu tiri, sebaliknya seperti ibu kandung yang perlu ditaati dan Mama yang dikasihi dan dirindui.

TAMAT


Sunday, July 5, 2020

KUIH BIJAN @ KUIH BOM

Teks Nor Affizar Ibrahim

Kuih bjian@Kuih bom bijan

Bunyi namanya, barangkali sedikit menggerunkan. Tetapi percayalah, kuih ini memang sedap untuk dicuba.

Kuih bom atau juga dikenali sebagai kuih bom bijan sebenyarnya adalah sejenis kuih Melayu yang dibuat daripada tepung pulut atau gandum.
Selain itu, ada juga yang menggantikan tepung dengan ubi keledek untuk menghasilkan kuih ini.

Terpulanglah, ikut cita rasa anda!

Kuih bijan ini  berintikan  kelapa manis namun, ada juga yang menukarkan intinya kepada inti kacang hijau. Ini juga terpulang selera anda!

Untuk membuatnya, adunan tepung dibancuh menjadi doh. Kemudian, ia dibentuk bulat-bulat dan diisikan inti di dalamnya.

Selepas itu barulah disalut dengan bijan.

Kuih ini digoreng dengan minyak masak menggunakan api serdahana perlahan sehingga ia kekuningan dan di angkat, dan seterusnya sedia untuk dihidangkan.

Bahan-bahan membuah doh:
1paket tepung pulut
Air
Garam secukup rasa


Cara membuat doh:
Satukan tepung pulut, tepung dan garam. Bancuh dengan air sedikit-sedikit hingga menjadi doh yang tak melekat di tangan.
Jika terlembik, tambahkan setengah sudu tepung setiap kali memasukkannya.


 Bahan-bahan membuat inti:
1 biji kelapa muda diparut putih
1/2 cawan gula merah/gula melaka di racik halus - guna 1 kpg gula Melaka
1 cawan gula pasir
1/2 cawan kelapa parut muda
2 sudu besar tepung kanji
1 cawan air
Daun pandan

Cara membuat Inti:
Masukkan kelapa, gula melaka gula, air dan daun pandan dalam kuali.
Kacau rata dan biarkan hingga kering.

Cara membuat kuih bom:
-       Sapu sedikit minyak pada tapak tangan. Ambil adunan, leperkan dan masukkan inti.
-       Cantumkan bahagian leper tadi hujung ke hujung. Bulatkannya dengan kemas.

-       Terus digolek golek ke dalam bekas bijan hingga seluruh kuih diselaputi bijan. Akhir sekali layangkan antara 2 tapak tangan agar bijan yang tidak melekat akan jatuh dengan sendiri.

-       Goreng kuih bom dalam minyak terendam dengan api sederhana pada 5 minit permulaan. Kemudian baru besarkan api sambil kacau digolek golek dalam kuali sehingga agak kekuningan. Jangan lama, nanti meletup.


Tips:
-      -  Jangan terus goreng kuih bom yang telah siap dimasukkan inti. Jika anda terus goreng, kuih bom anda akan mengelembung dan pecah atau meletup.

-       -Jika buat malam, biarkan dalam dulang dan tutup dengan kain bersih. Goreng pagi esoknya. Jika nak makan petang.buat pagi dan goreng petang




Thursday, June 18, 2020

COVID-19: Coret seribu satu kisah

Teks; Nor Affizar Ibrahim


 COVID-19: Coret seribu satu kisah


Selepas lama tidak menjengah blog ini, saya kembali untuk membuat sedikit catatan.
Sebenarnya, tahun 2020 memberi  seribu satu ragam cerita yang ingin dikongsi. 

Tetapi entah mengapa, berat sekali saya untuk mencatatkannya semua itu dalam blog ini.

Namun, dengan ujian besar COVID-19 yang melanda seluruh dunia pada ketika ini, saya  ingin dan tergerak hati berkongsi  penulisan.

Apatah lagi, COVID-19 telah mencatat sejarah yang tersendiri untuk semua orang. Saya pasti ada seribu satu cerita yang boleh dikongsikan.

Namun, saya percaya bagi yang terbabit secara langsung lebih banyak yang pilu daripada yang menggembirakan.

Apa pun, kita semua perlu tabah dengan dugaan dan musibah yang melanda pada masa kini. Kuatkan semangat dan reda dengan ketentuan ALLAH sbt.

Saya tahu, akibat COVID-19 ramai yang terkesan, dari  hal pendapatan terjejas hinggalah ujian dibuang kerja dan juga kematian, hilang orang yang dikasihi buat selama-lamanya.

Allahhu Akhbar! Bukan ujian yang kecil tapi sememangnya berat untuk digalas.

Ada juga yang dilanda kehampaan  seperti  tidak dapat berjumpa dengan ayahanda dan bonda pada Hari Raya Aidilfitri, terpaksa menangguhkan majlis perkahwinan, tidak dapat menjadi tetamu Allah tahun ini dan sebagainya.

Namun percayalah, setiap yang berlaku ada hikmah di sebaliknya. Marilah kita sama-sama istiqamah dan mensyukuri Rahmat-Nya.

Saya tahu, ramai juga yang sudah simpan banyak koleksi gambar berkaitan dengan COVID-19. 

Kumpul dan simpanlah kerana semua itu bukan sahaja jadi kenangan tetapi sejarah dalam hidup kita!

2020
PKP Akan Menjadi Sejarah Negara Yang Terpahat Dalam Kenangan
FASA 1: 18 MAC - 31 MAC 2020
FASA 2: 01 APR - 14 APR 2020
FASA 3: 15 APR - 28 APR 2020
FASA 4: 29 APR - 12 MEI 2020
FASA 5: 13 MEI - 09 JUN 2020 (PKPB)
FASA 6: 10 JUN - 31 OGOS 2020 (PKPP)
*(PKPB) - Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat
*(PKPD) - Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan
*(PKPP) - Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan
Perintah Kawalan Pergerakan seluruh 🇲🇾
📌Tiada solat Jumaat sepanjang tempoh PKP
📌PKP dalam bulan puasa. Tiada bazar Ramadan, tiada terawih di masjid.
📌Tiada buffet Ramadan di hotel-hotel seperti tahun-tahun sebelumnya.
📌Tiada sambutan Hari Raya Aidilfitri, tidak boleh balik kampung, tiada kunjung mengunjung.
📌Tiada bunyi mercun, tiada yg cedera akibat mercun.
📍 Harga minyak jatuh sehingga RM1.25/liter
📍Semua pejabat di seluruh Malaysia diarah tutup sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kerja - kerja dilaksanakan sepenuhnya dari rumah.
📍Semua sekolah ditutup dan pendidikan dilaksanakan di atas talian. Kerja sekolah untuk murid dihantar dlm group what'sapp.
📍Penjarakkan sosial sentiasa diutamakan. Bersalam tangan ditukar dgn meletak tgn di dada.
📍Pita pelekat dilekatkan di atas lantai - lantai kedai untuk menentukan jarak selamat 1 meter di antara pelanggan. Beratur hingga berpuluh meter ke luar kedai.
📍 Restoran dan kedai-kedai makan ditutup, hanya dibenarkan bungkus dan dibawa pulang sahaja. Food rider ibarat cendawan tumbuh lepas hujan. Ada yg kantoi jual rokok seludup dan ketum.
📍Hanya beberapa orang sahaja dibenarkan berada di dalam kedai.
📍Kedai bukan keperluan asas dan perniagaan tidak berkaitan pembekalan makanan diarah tutup.
📍Keseluruhan acara dan musim sukan di seluruh dunia dibatalkan serta merta. Aktiviti riadah dan bersenam dalam rumah.
📍 Konsert, perlancongan, festival, acara hiburan dibatalkan. Kawasan tumpuan di bukit bintang sunyi sepi yg sblm ini sesak dan padat 24 jam. Ibarat tiada waktu tidur.
📍Majlis perkahwinan dan pelbagai sambutan majlis bersama keluarga dibatalkan. Tp diganti dgn nikah online.
📍Tiada lagi jemaah di masjid dan rumah-rumah ibadat ditutup.
📍Tidak dibenarkan perkumpulan 50 orang atau lebih, kemudian diubah kepada 20 org atau lebih, hanya dibenarkan 10 orang atau kurang dari itu juga tidak dibenarkan.
📍Taman permainan kanak-kanak ditutup.
📍Kekurangan stok penutup muka, gaun,
dan sarung tangan untuk kegunaan pekerja barisan hadapan.
📍Kekurangan alat bantuan pernafasan bagi pesakit kritikal.
📍Berlakunya pembelian panik sehingga kekurangan alat pembasmian, tiada sabun cuci tangan, tiada cecair pembersih tangan
📍Rak-rak di kedai menjadi kosong.
📍Kilang-kilang pembuatan, kilang penyulingan dan perniagaan lain telah menukar perkhidmatan mereka dengan membantu menyediakan visors, penutup muka, cecair pencuci tangan dan PPE.
📍Kerajaan telah melaksanakan sekatan jalan di setiap kawasan dan tertutup kepada pergerakan yang tidak penting.
📍Tiket kapal terbang murah, namun kita tidak boleh keluar melancong.
📍Sidang media dari Kementerian Kesihatan di keudarakan setiap hari.
📍Kemaskini kes baru, yang telah sembuh dan pesakit yang meninggal dunia dilakukan setiap hari jam 5 ptg.
📍 Jalan raya menjadi kosong sunyi sepi tanpa kelibat manusia dan kenderaan selepas jam 8 mlm.
📍Ramai orang memakai penutup muka dan sarung tangan apabila keluar.
📍 Pekerja perkhidmatan penting menjadi takut untuk keluar rumah.
📍Pekerja kesihatan pula, menjadi takut untuk pulang ke rumah dan berjumpa keluarga.
📍 "Mendatarkan lengkung graf" itulah yang sering dikatakan, bersama dengan kata-kata " Kita lakukan ini bersama" dan "Kita harus menang"
Ini adalah Novel Coronavirus ( Covid-19) suatu penyakit pandemik, yang diwartakan pada 18 mac 2020 
Nikmat mana lagi yang kita dustai?