Oleh Nor Affizar Ibrahim
Menggigil di puncak Gulmarg
"Nak main salji sangat...rasakan!" Kata-kata itu kemudian disambut deraian ketawa sambil masing-masing menggigil dan menahan kesejukan melampau apabila salji semakin lebat.
Malah, ada di antara kami berterusan menggetap bibir kerana tidak tahan berdepan dengan cuaca seperti itu.
Bagaimanapun, pengalaman bermain salji dan meredah perubahan cuaca berbeza yang dikecapi di pergunungan Gulmarg, di Kashmir, India memang menyeronokkan walaupun tubuh sepanjang masa terpaksa menahan rasa menggigil dan dingin beku di kawasan itu.
Baju sejuk tebal dua lapis dan ditambah dua lapis lagi kemeja-T yang saya pakai, masih tidak mampu menahan kesejukan di bawah paras beku ketika itu.
Angin kuat dan salji yang semakin lebat turun menambah lagi kesejukan.
Alang-alang sudah sampai di puncak, rugi kalau dilepaskan peluang melakukan aktiviti di situ, termasuk luncur papan, bermain ski dan juga merakam gambar kenangan di situ.
Salji tebal
Bertahan sahajalah walaupun diselubungi kesejukan dan menggigil, asalkan cita-cita bermain salji tercapai!
Leka bermain salji menyebabkan debaran dan perasaan berbolak-balik seminggu sebelum bertolak ke Kashmir, larut tenggelam dalam cuaca dingin beku itu.
Sebelum menjejak ke bumi itu, ada pelbagai khabar berita tidak menyenangkan berlaku.
Antaranya ialah insiden tembak-menembak dan juga cuaca buruk di situ.
Disebabkan persiapan sudah dibuat dan teringin sangat menjejakkan kaki ke Kashmir, saya bulatkan fikiran untuk meneruskan juga perancangan.
Untuk ke Kashmir, saya dan rakan tinggal semalaman di New Delhi, kemudian seawal Subuh kami terus menaiki penerbangan ke Srinagar.
Kali pertama berada di lapangan terbang yang dikawal rapi oleh ramai anggota tentera bersenjata, timbul perasaan cuak dan ingin segera beredar dari situ.
Mujur, walaupun berlaku sedikit salah faham dan perlu bersoal jawab, perancangan tetap berjalan lancar dan kami terus menaiki kenderaan untuk ke tempat penginapan.
Tiba harinya, kami memulakan perjalanan untuk ke Gulmarg. Untuk ke pergunungan itu, saya dan rakan bertolak jam 8 pagi.
Dalam keadaan cuaca sejuk, kami perlahan-lahan meninggalkan Srinagar.
Gulmarg bererti 'padang bunga' adalah primadona Kashmir pada musim sejuk. Letaknya, sekitar 60 kilometer (km) dari Srinagar atau dua jam perjalanan.
Ketika melintasi Srinagar, saya lihat terpampang papan iklan yang menyamakan bermain ski di Gulmarg seakan sama di Switzerland.
Lalu, sepanjang jalan saya terus membayangkan keindahan Gulmarg.
Gulmarg terletak di bahagian Jammu dan Kashmir adalah wilayah paling hampir dengan sempadan Pakistan. Ia antara wilayah di India yang sering dilanda konflik.
Melewati kawasan desa, saya disajikan dengan pemandangan serba putih pada rumah, pokok pain dan kawasan ladang yang diselaputi salji.
Selepas melewati jalan perkampungan, sampailah saya di wilayah Gulmarg dan terus ke tempat penyewaan jaket dan but.
Kemudian, terus menaiki jip yang sudah ditempah dari awal untuk meneruskan perjalanan ke puncak.
Menyusuri banjaran gunung
Perjalanan menggunakan jip diteruskan dan ia melewati medan yang makin melampau keadaannya. Kali ini, jalan semakin sukar dan berkelok-kelok menyusuri banjaran gunung.
Angin kuat, salji yang berterusan turun dan jalan tidak berapa elok turut menyebabkan kenderaan bergerak lebih perlahan. Malah, beberapa kali juga jip terpaksa berhenti untuk membetulkan rantai besi tayar bagi memastikan ia dapat mencengkam permukaan licin salji.
Panorama di kanan dan kiri adalah hutan pain yang dasarnya tertutup hamparan salji putih.
Tiba sahaja di puncak Gulmarg, semua berebut-rebut mencari tandas. Udara dingin tentu sahaja kerap terasa ingin ke tandas. Tetapi yang tidak tahannya, air untuk mencuci pun menjadi beku! Aktiviti diteruskan dengan menaiki papan luncur yang ditarik orang Kashmir.
Terasa gerun juga menaiki papan luncur, terutama apabila bertembung dengan beberapa kenderaan.
Bagaimanapun, mereka yang menariknya cekap sekali mengawal keadaan dan keselamatan penumpangnya.
Di kawasan puncak itu ada tempat penyewaan alat ski untuk yang berminat bermain ski.
Uniknya, ada juga peniaga menjual air kopi panas dan makanan.
Dengan hanya membawa termos dan cawan kertas, peniaga akan mendekati dan memujuk pelanggan, membeli jualannya.
Ada khidmat jurugambar dan hasil kerja mereka memang memuaskan. Bayarannya murah sahaja dan lebih canggih, gambar diambil dicetak serta-merta di kawasan bersalji itu.
Hampir sejam menghabiskan masa di situ dan disebabkan salji berterusan turun dan tiupan angin semakin kuat, ramai meninggalkan segera tempat itu.
Untuk turun ke bawah, perjalanan semakin mencabar kerana litupan salji bertambah tebal dan cuaca bertambah sejuk.
Sesekali pemandu terpaksa berhenti untuk membersihkan cermin jip yang diliputi salji. Keadaan pula semakin gelap.
Lewat jam 9 malam, akhirnya kami sampai ke Srinagar. Rasa letih, kesejukan dan kelaparan silih berganti tetapi yang pasti, perjalanan seharian itu sememangnya pengalaman cukup menyeronokkan.
Info
Cara ke Gulmarg?
- Gulmarg terletak di bahagian Jammu dan Kashmir, India.
- Penerbangan dari Kuala Lumpur ke New Delhi, kemudian ke Srinagar.
- Untuk ke Gulmarg, boleh menaiki bas atau menyewa kenderaan.
- Untuk lebih mudah ke Gulmarg cari agensi pelancongan di Srinagar.
* Berita Harian Ahad 24 April 2019
Tuesday, April 23, 2019
Monday, March 25, 2019
Tabik hormat wira bangsa
Tabik hormat wira bangsa
Teks Nor Affizar Ibrahim
Drama bersiri Leftenan Zana yang disiarkan di TV3 sudahpun habis bersiaran.
Drama bersiri ini dikatakan, meraih sambutan luar biasa apabila mencatat 10 juta tontonan sepanjang 16 episod bersiaran di TV3.
Drama bersiri Leftenan Zana arahan Jinggo itu, menampilkan Janna Nick sebagai pelakon utama.
Selain Janna, drama bersiri itu turut membariskan Sheila Rusly, Tunku Hanis, Hairie Othman, Zarul Husin, Ameerul Asyraf dan Redza Rosli.
Ceritanya mengisahkan mengenai impian Zana yang bercita-cita mahu menjadi anggota tentera tetapi cita-citanya itu tidak direstui bapanya. Zana adalah anak perempuan bongsu Mejar (B) Rahmat.
Sejak kecil, Zana sangat rapat dan manja dengan bapanya sehinggakan dia ingin menjadi seorang askar seperti Rahmat.
Malangnya, Rahmat tidak suka dan tidak akan membenarkan Zana untuk menyertai bidang ketenteraan.
Rahmat lebih mengharapkan Zaidi, anak lelaki sulungnya untuk menyambung legasinya tetapi Zaidi tidak berminat.
Walaupun dihalang, Zana tekad untuk meneruskan cita-citanya dan dalam diam telah membuat permohonan secara online untuk menjadi anggota tentera Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Zana telah terpilih untuk menjalani ujian saringan dan akhirnya berjaya diterima sebagai pelatih ATM dan perlu menjalani latihan di Melaka.
Pada mulanya, Zana berbohong mengatakan bahawa dia diterima bekerja di sebuah syarikat swasta. Namun, di saat akhir Zana berterus terang kepada Rahmat dan ibunya.
Walaupun marah, Rahmat tetap menghantar Zana ke kem untuk latihan. Rahmat pasti Zana tidak akan bertahan lama di sana.
Ujian Zana bermula dan ternyata apa yang dikatakan oleh bapanya mengenai kepayahan di kem, semuanya benar.
Selain Sarjan Qamar yang menggerunkan, Zana tertekan dengan pelbagai latihan yang memenatkan fizikal dan mental.
Di kem, Zana turut dibuli oleh Raz yang membencinya. Sehinggalah suatu hari, Zana tekad membuat keputusan untuk melarikan diri daripada kem.
Saya sebenarnya, tertarik dengan drama bersiri Leftenan Zana kerana ia mengingatkan penyertaan dan pembabitan saya dalam Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) ketika menuntut di Institut Teknologi MARA.
Malah, sepanjang siri drama ini ke udara saya menjadi antara penonton setia menontonnya dari siri pertama hinggalah terakhir.
Babak ketika Leftenan Zana dan rakan-rakan menjalani latihan kadet antara yang menarik minat saya.
Mana tidaknya, setiap kali babak itu dipaparkan ia terus mengimbas detik-detik ketika saya menjalani tiga tahun latihan kadet PALAPES.
Saya tidak nafikan, perit, penat dan stres menjalani latihan ada ketika terlintas dalam fikiran untuk saya keluar dari PALAPES.
Jujurnya, saya menyertai PALAPES ketika itu kerana inginkan elaun yang saya harapkan boleh membantu pembiayaan pengajian saya.
Rakan sebilik sayalah yang beriya-iya mengajak saya sama-sama menyertai pasukan itu kerana dia juga berdepan masalah sama.
Ketika itu, saya hanya nampak PALAPES dapat memenuhi hasrat itu.
Meskipun, was-was dengan keupayaan diri sendiri saya tekad juga menghadiri temuduga dan ujian yang disyaratkan.
Ternyata, saya berjaya ‘melepasi’ ujian fizikal dan mental sepanjang latihan hinggalah saya berjaya ditauliahkan sebagai Leftenan Muda.
Ya! Ia memang begitu membanggakan saya dan keluarga terutama arwah Ayah, apabila saya ditauliahkan sebagai Leftenan Muda.
Namun, bukan mudah untuk harungi tiga tahun latihan. Disiplin tinggi dan jadual padat adakala menyebabkan saya rasa hampir tewas.
Saya juga masih ingat, bagaimana hitam legam muka saya apabila terpaksa berjemur di tengah panas mentari terik ketika membuat latihan kawad.
Seperti Leftenan Zana, saya juga pernah pitam ketika berkawad. Mujur, saya tidak rebah sebaliknya cepat-cepat meminta keluar baris dan dibenarkan berehat.
Begitu juga comotnya saya bersalut lumpur dan debu pasir apabila membuat latihan perang. Rambut jadi ‘kejung’ kerana beberapa hari tidak mandi.
Bau badan pula usah cerita dan ditambah lagi dengan baju yang tidak bersalin beberapa hari.
Gali kubu dan tidur tersenggut-senggut di dalam kubu, sambil tangan memegang erat senjata antara pengalaman sukar dilupakan.
Berendam dan mandi dalam kawasan yang ada pacat pula adalah antara kisah ‘ngeri’ terus bersarang dalam ingatan.
Banyak lagi pengalaman dan kenangan yang saya lalui ketika berlatih untuk PALAPES.
Sehingga hari ini, saya sendiri pun tidak tahu macam mana saya boleh bertahan berada dalam dunia lasak seperti itu.
Namun, yang pasti setiap kali mengenakan pakaian baju seragam tentera, semangat kental dalam diri memang sentiasa wujud terutama apabila mengenakan baju celoreng.
Ya! Kami bekerja dalam satu pasukan. Sentiasa saling memberi semangat dan sokongan satu sama lain.
Seorang buat silap, natijahnya semua akan berdepan hukuman bersama. Itulah yang dikatakan satu hati dan setia dalam pasukan.
Yang pasti, untuk menjadi seorang tentera sememangnya memerlukan pengorbanan tinggi dan jiwa yang kental.
Di sebalik pakaian seragam segak yang disarungkan dan paku tersemat di bahu, ada tanggungjawab besar harus digalas.
Oleh itu tabik hormat dan hargailah wira bangsa kita!
Friday, February 22, 2019
Aura mistik Matterhorn
Teks Nor Affizar Ibrahim
Aura mistik Matterhorn
Bagaikan menatap poskad atau helaian kalendar yang memaparkan gambar menarik.
Terpegun seketika melihat apa yang terbentang luas di depan mata kerana pemandangannya sungguh menakjubkan dan belum pernah seumur hidup penulis menyaksikannya secara realiti.
Kunjungan ke Zermatt, Switzerland, pada tahun 2010 nyata memberi pengalaman baru dan tidak akan dilupakan.
Peluang melihat secara dekat puncak Alps, Matterhorn yang turut menjadi satu daripada 100 keajaiban di Eropah, memberi kepuasan dan sukar diungkap dengan kata-kata.
Sebaik saja memulakan perjalanan mendaki Matterhorn dengan menaiki kereta kabel gunung tertinggi di Eropah, penulis disajikan dengan pemandangan indah.
Tiba di puncak, perasaan kagum dan teruja semakin menghambat diri serta terpana menyaksikan semua itu hinggakan lidah kelu seketika untuk berkata- kata.
Puncak Matterhorn satu daripada puncak tertinggi dan terkenal di Switzerland selain Jungfrau.
Puncak itu sangat terkenal hinggakan gambarnya sering digunakan untuk kemasan pembungkusan beberapa jenama coklat di negara itu.
Rupa bentuknya jelas dan puncak yang sering diselubungi kabut memberikan Matterhorn aura mistik unik. Misteri pantulan matahari dan gabungan warna serta cahaya pesona yang terpancar pada gunung alps itu mengungkapkan lagi rahsia tersendiri.
Tidak hairan setiap tahun beribu-ribu pelancong dari serata dunia datang ke situ untuk menyaksikan kehebatan puncak yang berdiri tegak dan megah dengan ketinggian 4,478 meter itu.
Orang pertama mendaki puncak itu ialah warga England, Edward Whymper bersama kumpulannya pada Julai, 1865. Perjalanan ke situ sangat berbahaya hinggakan kumpulan pendaki itu kehilangan tiga anggotanya ketika menuruni puncak berkenaan.
Kini, pendakian boleh dibuat dengan menggunakan landasan kereta api moden dan kereta kabel, sekali gus membolehkan puncak itu `ditawan' dengan mudah.
Perjalanan dari Zermatt ke syurga glasier Matterhorn dengan menggunakan kereta kabel mengambil masa lebih kurang 45 minit.
Untuk melihat keindahan panorama 360 darjah kawasan Alps, termasuk melihat lebih dekat puncak Matterhorn, penulis menaiki dek paling tinggi dengan altitud 3,883 meter.
Berada di atas dek itu, dapat dirasakan glasier yang mencair, seolah-olah semakin dekat untuk disentuh.
Bagi meneroka lagi dunia glasier, penulis memasuki terowong ais yang membawa 15 meter ke bawah kawasan itu.
Di dalamnya bukan saja lebih sejuk tetapi sungguh menakjubkan, terutama apabila dapat menyaksikan dunia mistik ais dan cahaya.
Sebenarnya, sebelum melihat semua keajaiban itu sepanjang perjalanan ke Zermatt, penulis bersama rombongan disogokkan pemandangan indah semula jadi dengan pergunungan dan keindahan dataran tinggi yang selalu saja dihiasi binatang ternakan dan kehijauan alam Swiss.
Lebih 1,000 bunga alpine ada di situ dan sesetengah spesies dilindungi.
Kawasan pendakian membawakan perjalanan sejauh 400 km yang melalui hutan pain hingga tasik gunung dan glasier.
Kawasan itu juga dikenali sebagai syurga ski kerana dilitupi salji sepanjang tahun atau 365 hari, malah ia menyediakan keadaan sempurna untuk meluncur atau melakukan sebarang sukan salji.
Perjalanan ke Zermatt dari Zurich atau Geneva dengan kereta api mengambil masa lebih kurang tiga jam.
Zermatt dulunya hanya sebuah perkampungan miskin manakala penduduknya terpaksa bekerja kuat membanting tulang setiap hari untuk mencari rezeki.
Kini, ia terkenal kerana memiliki keindahan kelas dunia dan ada banyak tarikan atau aktiviti yang tersedia hinggakan ia tidak putus-putus dikunjungi pelancong dari serata dunia.
Gornegrat adalah tempat terakhir yang boleh dicapai oleh kenderaan dari Zermatt. Gornegrat berada di ketinggian 3089 meter dan dari situ boleh dilihat beberapa jajaran pergunungan Alps yang sangat menakjubkan.
Malah, pertama kali turun dari kenderaan, puncak Matterhorn boleh dilihat dengan jelas.
Udara di Zermatt bersih dan segar serta bebas daripada pencemaran kerana semua kenderaan di situ hanya menggunakan kenderaan elektrik dan kereta kuda.
Kawasan itu masih mengekalkan rekaan tradisional dan perkampungan yang asli.
Buktinya, seni bina pada rumah, resort dan restoran serta bar masih menggunakan bahan binaan daripada kayu.
Zermat mempunyai lebih 6,000 penduduk dan kebanyakan bekerja dalam industri pelancongan.
Namun yang menarik, mendaki gunung adalah aktiviti tradisional penduduk di situ manakala meluncur ski dipelajari sejak kanak- kanak lagi.
Kedatangan pelancong dari serata dunia ke bandar itu mencapai antara 28,000 hingga 30,000 pada musim puncak pelancongan manakala bagi bukan musim, jumlahnya ialah 8,000 hingga 9,000 pelancong.
Tempat penginapan tidak menjadi masalah kerana di situ lebih 100 hotel disediakan.
Bagaimanapun, Zermatt bukan hanya destinasi untuk pelancong kaya tetapi juga popular di kalangan mereka yang mengembara secara backpack.
Sekali berkunjung ke situ, pasti ada yang menanam tekad untuk kembali lagi.
* Artikel ini pernah disiarkan di Metro Ahad Ahad, 7 Mac 2010
Aura mistik Matterhorn
Bagaikan menatap poskad atau helaian kalendar yang memaparkan gambar menarik.
Terpegun seketika melihat apa yang terbentang luas di depan mata kerana pemandangannya sungguh menakjubkan dan belum pernah seumur hidup penulis menyaksikannya secara realiti.
Kunjungan ke Zermatt, Switzerland, pada tahun 2010 nyata memberi pengalaman baru dan tidak akan dilupakan.
Peluang melihat secara dekat puncak Alps, Matterhorn yang turut menjadi satu daripada 100 keajaiban di Eropah, memberi kepuasan dan sukar diungkap dengan kata-kata.
Sebaik saja memulakan perjalanan mendaki Matterhorn dengan menaiki kereta kabel gunung tertinggi di Eropah, penulis disajikan dengan pemandangan indah.
Tiba di puncak, perasaan kagum dan teruja semakin menghambat diri serta terpana menyaksikan semua itu hinggakan lidah kelu seketika untuk berkata- kata.
Puncak Matterhorn satu daripada puncak tertinggi dan terkenal di Switzerland selain Jungfrau.
Puncak itu sangat terkenal hinggakan gambarnya sering digunakan untuk kemasan pembungkusan beberapa jenama coklat di negara itu.
Rupa bentuknya jelas dan puncak yang sering diselubungi kabut memberikan Matterhorn aura mistik unik. Misteri pantulan matahari dan gabungan warna serta cahaya pesona yang terpancar pada gunung alps itu mengungkapkan lagi rahsia tersendiri.
Tidak hairan setiap tahun beribu-ribu pelancong dari serata dunia datang ke situ untuk menyaksikan kehebatan puncak yang berdiri tegak dan megah dengan ketinggian 4,478 meter itu.
Orang pertama mendaki puncak itu ialah warga England, Edward Whymper bersama kumpulannya pada Julai, 1865. Perjalanan ke situ sangat berbahaya hinggakan kumpulan pendaki itu kehilangan tiga anggotanya ketika menuruni puncak berkenaan.
Kini, pendakian boleh dibuat dengan menggunakan landasan kereta api moden dan kereta kabel, sekali gus membolehkan puncak itu `ditawan' dengan mudah.
Perjalanan dari Zermatt ke syurga glasier Matterhorn dengan menggunakan kereta kabel mengambil masa lebih kurang 45 minit.
Untuk melihat keindahan panorama 360 darjah kawasan Alps, termasuk melihat lebih dekat puncak Matterhorn, penulis menaiki dek paling tinggi dengan altitud 3,883 meter.
Berada di atas dek itu, dapat dirasakan glasier yang mencair, seolah-olah semakin dekat untuk disentuh.
Bagi meneroka lagi dunia glasier, penulis memasuki terowong ais yang membawa 15 meter ke bawah kawasan itu.
Di dalamnya bukan saja lebih sejuk tetapi sungguh menakjubkan, terutama apabila dapat menyaksikan dunia mistik ais dan cahaya.
Sebenarnya, sebelum melihat semua keajaiban itu sepanjang perjalanan ke Zermatt, penulis bersama rombongan disogokkan pemandangan indah semula jadi dengan pergunungan dan keindahan dataran tinggi yang selalu saja dihiasi binatang ternakan dan kehijauan alam Swiss.
Lebih 1,000 bunga alpine ada di situ dan sesetengah spesies dilindungi.
Kawasan pendakian membawakan perjalanan sejauh 400 km yang melalui hutan pain hingga tasik gunung dan glasier.
Kawasan itu juga dikenali sebagai syurga ski kerana dilitupi salji sepanjang tahun atau 365 hari, malah ia menyediakan keadaan sempurna untuk meluncur atau melakukan sebarang sukan salji.
Perjalanan ke Zermatt dari Zurich atau Geneva dengan kereta api mengambil masa lebih kurang tiga jam.
Zermatt dulunya hanya sebuah perkampungan miskin manakala penduduknya terpaksa bekerja kuat membanting tulang setiap hari untuk mencari rezeki.
Kini, ia terkenal kerana memiliki keindahan kelas dunia dan ada banyak tarikan atau aktiviti yang tersedia hinggakan ia tidak putus-putus dikunjungi pelancong dari serata dunia.
Gornegrat adalah tempat terakhir yang boleh dicapai oleh kenderaan dari Zermatt. Gornegrat berada di ketinggian 3089 meter dan dari situ boleh dilihat beberapa jajaran pergunungan Alps yang sangat menakjubkan.
Malah, pertama kali turun dari kenderaan, puncak Matterhorn boleh dilihat dengan jelas.
Udara di Zermatt bersih dan segar serta bebas daripada pencemaran kerana semua kenderaan di situ hanya menggunakan kenderaan elektrik dan kereta kuda.
Kawasan itu masih mengekalkan rekaan tradisional dan perkampungan yang asli.
Buktinya, seni bina pada rumah, resort dan restoran serta bar masih menggunakan bahan binaan daripada kayu.
Zermat mempunyai lebih 6,000 penduduk dan kebanyakan bekerja dalam industri pelancongan.
Namun yang menarik, mendaki gunung adalah aktiviti tradisional penduduk di situ manakala meluncur ski dipelajari sejak kanak- kanak lagi.
Kedatangan pelancong dari serata dunia ke bandar itu mencapai antara 28,000 hingga 30,000 pada musim puncak pelancongan manakala bagi bukan musim, jumlahnya ialah 8,000 hingga 9,000 pelancong.
Tempat penginapan tidak menjadi masalah kerana di situ lebih 100 hotel disediakan.
Bagaimanapun, Zermatt bukan hanya destinasi untuk pelancong kaya tetapi juga popular di kalangan mereka yang mengembara secara backpack.
Sekali berkunjung ke situ, pasti ada yang menanam tekad untuk kembali lagi.
* Artikel ini pernah disiarkan di Metro Ahad Ahad, 7 Mac 2010
Wednesday, February 20, 2019
Adik Masitah mangsa rasukan syaitan
Teks Nor Affizar Ibrahim
Adik Masitah mangsa rasukan syaitan
Tiga hari
lalu, sendu dan tangisan mengiringi pengkebumian jenazah adik Siti Masitah
Ibrahim, 11, yang ditemui mati dalam keadaan tragis di ladang kelapa sawit di
Kampung Tanjung Medang Hilir pada 9 Februari lalu.
Selepas
10 hari mayatnya dibedah siasat di Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan
(HTAA), akhirnya jenazah adik Masitah dibenarkan dituntut keluarga dan selamat
dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tanjung Medang Kemahang.
Sebelum
itu, jenazah dimandi dan dikapankan di Masjid Tengku Ampuan Afzan di Indra
Mahkota Kuantan selepas dituntut ibunya, Solihah Abdullah, 35.
Malang
sungguh adik Masitah, pemergiannya cukup menyiksakan akibat perbuatan kejam
manusia yang dirasuk syaitan dan berjiwa binatang.
Mayat
Masitah sebelum ini ditemui dalam keadaan tragis dengan kepala terpisah serta
beberapa organ dalaman hilang di ladang kelapa sawit.
Polis
mengesahkan, mangsa dibunuh dengan kejam pada hari yang sama dilaporkan hilang
pada 30 Januari lalu oleh seorang lelaki juga kenalan rapat keluarganya kerana
motif dendam dan marah.
Tergamak
sungguh pelaku, akibat dendam berbuku di hati dan amarah, kanak-kanak tidak
berdosa dijadikan mangsa.
Lebih
dahsyat, diperlakukan dengan zalim dan cukup memilukan. Kegilaan apakah ini?
Berikutan
itu suspek yang berusia, 23 tahun ditahan reman sehingga 24 Februari depan bagi
membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Ternyata pelaku tidak berperikemanusaan dan tergamak bertindak sekejam
itu kepada adik
Masitah yang pastinya tidak terdaya melawan serta menangkis
tindak tanduk pembunuh itu terhadapnya.
Tidak terbayang, bagaimana agaknya kanak-kanak malang itu merintih
kesakitan dan merayu simpati agar dilepaskan.
Syaitan apakah yang merasuk pelaku itu sehingga tergamak berbuat
demikian?
Apakah pula perasaan pelaku itu ketika melakukan perbuatan kejam itu?
Sesungguhnya, memang tidak mampu akal fikiran waras ini menelah
atau mentafsirkan perilaku pelaku itu.
Pembunuhan kejam dan kematian adik Masitah bukan sahaja diratapi ahli
keluarganya tetapi juga rakyat di negara ini.
Lantas, ramai menggesa dan berharap pelaku dihukum dengan setimpalnya.
Sedihnya, tahun 2019 baharu sahaja menjengah Februari tetapi kita sudah
dikhabarkan dengar berita tragis seumpama ini.
Makin terhakiskah rasa perikemanusiaan dalam masyarakat kita?
Tidak selamatkah lagi dunia ini untuk insan bergelar kanak-kanak?
Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul dan menanggungnya.
Mungkin inilah yang dialami dan dirasakan keluarga adik Masitah yang
kehilangan puteri kesayangan mereka selama-selamanya.
Moga keluarga ini bersabar dan tabah berdepan dengan ujian hebat ini.
Didookan juga agar adik Masitah damai di sana!
Al-Fatihah
Monday, February 18, 2019
Getar jiwa temubual Tengku Puan
Teks Nor Affizar Ibrahim
Getar jiwa temubual Tengku Puan
Berpeluang bertemu dan menembual
one to one dengan kerabat di raja
adalah antara pengalaman mahal yang mungkin saya tidak lupakan.
Ini berlaku pada tahun
2005. Saya ditugaskan untuk menemubual Tunku Puan Azizah Aminah Maimunah Iskandariah
Sultan Iskandar yang kini sudahpun ditabalkan sebagai Raja
Permaisuri Agong ke -16 dan bergelar Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah
Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar Tunku.
Temubual itu adalah berkenaan buku Air Tangan Tengku Puan
Pahang - Buku Masakan Tradisional Pahang yang diterbit bertujuan untuk
menelusuri kembali pusaka nenek moyang dulu dan berkaitan dengan makanan serta
pemakanan.
Saya difahamkan, hasil jualan buku itu akan disumbangkan
kepada Yayasan Fertiliti Tunku Azizah Pahang (Tunku AzizahF ertility
Foundation, TAFF) yang akan turut dilancarkan pada majlis yang sama.
Penubuhan yayasan itu diilhamkan sendiri oleh Tengku Puan
yang juga Presiden Seumur Hidup TAF.
Pertemuan diaturkan di Istana Pahang, istana hinggap di Kuala
Lumpur.
Bagaimanakah perasaan saya? Sudah tentu saya
berdebar-debar dan jiwa bergetar untuk bertemu Tunku.
"Macam manalah agaknya temubual itu nanti." Hati saya terus tertanya-tanya pada diri sendiri.
Jika sekadar menghadiri majlis yang dihadiri Tunku, bukan
masalah besar tetapi ini perlu bersemuka dan menemubual.
Risau juga dibuatnya. Lebih-lebih lagi, saya tidaklah tahu
sangat mengenai protokol istana.
Oleh sebab itulah beberapa hari sebelum itu saya membuat
rujukan dan bertanya sana sini.
Pertama sekali, tentunya mengenai bahasa panggilan untuk
Tunku dan juga diri saya.
Saya juga ingin tahu, bagaimanakah perwatakan peribadi Tunku
supaya saya lebih bersedia untuk menemui beliau.
Tiba harinya, saya pun bolehlah dikatakan sudah bersedia
untuk membuat tugasan itu.
Kehadiran saya disambut ramah sekali oleh Tunku. Ketika
itu terlerai semua debaran.
"Mulusnya..kulitnya." Saya memuji dalam hati.
Kali pertama melihat dan bersemuka dengan Tunku, memang saya kagumi kecantikannya.
Saya senang sekali bertemu dan menemubual Tunku kerana
beliau bersikap sederhana dari penampilan hinggalah tutur bicaranya.
Malah, pertemuan pada petang itu begitu santai sekali
walaupun saya berdepan dengan kerabat di raja.
Temubual itu bermula dengan topik yang ingin
dibincangkan.
Saya seronok
mendengar Tungku bercerita mengenai kebolehan dan minatnya dalam bidang
masakan.
"Saya bukannya
pandai sangat memasak tetapi tahu dan boleh memasak.” Itu pengakuan yang
dibuatnya.
Beliau juga
memberitahu, walaupun sebelum berkahwin jarang ke dapur, semua ramuan yang
digunakan dalam sesuatu masakan diketahui.
Dalam hati
saya berkata, “Ohhh rupanya puteri diraja pun rajin ke dapur juga.”
“Sejak zaman
kanak-kanak lagi saya rajin ke dapur dan suka memerhati cara tukang masak
memasak.Tetapi tukang masak sering
larang saya masuk ke dapur. Lazimnya, kalau saya masuk, tukang masak akan
mengusir.
“Mungkin
mereka takut terkena percikan minyak atau luka terkena pisau. Jika saya kata
hendak tolong juga, tukang masak akan suruh kupas bawang.”
Bersahaja Tunku
cerita dan kadangkala diselangi deraian ketawanya apabila mengimbas zaman
kanak-kanak.
Kata Tunku,
seingatnya untuk belajar memasak beliau mula nya cuba belajar membuat biskut
raya tetapi yang tidak dilupakan ialah lauk pertama, hasil daripada air
tangannya iaitu ikan masak kicap.
"Saya
masak lauk itu kerana `terdesak'. Ketika itu semua tiada di istana termasuk
tukang masak kerana ada sesuatu yang berlaku di luar. Oleh kerana berasa lapar,
saya dan kakak pun mula memasak. Tidak sangka, masakan itu menjadi dan sedap
pula."
Rancak bercerita
perihal memasak, Tunku beralih pula cerita mengenai yayasan yang diterajuinya.
Katanya, yayasan
itu ditubuhkan kerana mengenangkan nasib wanita yang berkeinginan sangat
menjadi ibu tetapi berdepan dengan pelbagai masalah khususnya, kesuburan untuk mendapatkan
zuriat.
Kata Tunku, idea menubuhkan yayasan itu tercetus
berdasarkan pengalaman yang dihadapinya sendiri dalam usaha mendapat dan
menantikan kelahiran zuriat untuk menyinari kebahagiaan rumah tangga dibina.
Katanya, pengalaman lebih sepuluh tahun menanti untuk
mendapatkan zuriat adalah antara pengalaman paling perit dilalui.
Namun, beliau bersyukur selepas berusaha dan pernah
beberapa kali mengalami keguguran, akhirnya empat daripada enam cahaya mata,
berjaya diperoleh melalui kaedah persenyawaan di luar rahim (IVF).
"Allah tak bagi, lama
saya tunggu. Nah! Lepas tu satu persatu saya dapat. Syukur sangat! "
Itu antara kata-katanya yang saya tak lupakan.
Bukan dirinya sahaja
difikirkan, malah Tunku turut menyatakan rasa sedihnya kepada wanita yang
mengalami ujian sama tetapi sukar untuk berusaha kerana kekangan kewangan.
Katanya – “Saya tahu apa yang mereka rasakan.”
Begitulah sifat Tunku
bukan sahaja bersikap sederhana tetapi penuh kasih sayang, peka dan mengambil berat masalah
rakyatnya.
Daulat Tuanku!
Tuesday, January 29, 2019
Kampung Kerinchi VS Bangsar South
Teks Nor Affizar Ibrahim
Kampung Kerinchi VS Bangsar South
Pada Sabtu, 19 Januari lalu, Bangsar South dikenali dengan nama
asalnya iaitu Kampung Kerinchi.
Majlis pengisytiharan dirasmikan
oleh Presiden PKR yang juga Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar
Ibrahim.
Turut hadir, Ahli Parlimen Lembah
Pantai, Fahmi Fadzil dan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar.
Walaupun acara itu diadakan dalam
suasana sederhana, detik itu dianggap penuh simbolik dan bermakna.
Sebagai salah seorang penduduk
yang sudah menetap lebih 40 tahun di Kampung Kerinchi, tentu sahaja saya berasa
gembira dengan pengisyhtiharan itu.
Ia dilihat sebagai satu hari bersejarah yang boleh dianggap
penuh bermakna, khususnya bagi penduduk asal penempatan bandar itu yang mula
dibangunkan pada 1870-an.
Permasyhuran nama Kampung Kerinchi
juga begitu bermakna bagi penduduk seperti saya yang sudah bertahun-tahun
menetap di kawasan itu, dari satu generasi ke satu generasi.
Mengimbas pengenalan kepada Bangsar
South, nama itu mula digunakan pada tahun 2012, selepas Kampung Kerinchi dinaik
taraf.
Namun, kini ia dikembalikan
kepada nama asal, Kampung Kerinchi, sekali gus menyuntik nostalgia dan memori
lalu kepada saya.
Menurut laporan media, hal ini
diputuskan kerana kawasan Kampung Kerinchi adalah satu warisan sejarah setempat
yang sepatutnya dipertahankan dan dijadikan satu kebanggaan.
Ramai mengetahui, sejarah
Kampung Kerinchi sudah sekian lama wujud sebelum wujudnya Lebuhraya Persekutuan
dan kemerdekaan Malaya.
Justeru, ada berpendapat, seharusnya mengekalkan nama kawasan Kampung
Kerinchi tersebut kerana kita haruslah memartabatkan sejarah bangsa, nusa dan
negara kita yang selama ini kita perjuangkan.
Bagaimanapun, tidak semua menyambut baik pertukaran semula nama
itu. Ada yang tidak setuju dan memberikan pelbagai alasan tersendiri.
Ada segelintir yang berasa malu untuk menyatakan dirinya bekerja
atau tinggal di Kampung Kerinchi.
Berbanding sebelum ini, begitu bangga menyebut dirinya tinggal
atau bekerja di kawasan moden dan berlatarkan bangunan tinggi di Bangsar South.
Justeru, ada pula menyarankan kenapa tidak diberikan nama Ville
Kerinchi? Katanya, nampak moden dan
maju.
Betul ke? Begitulah
dangkalnya fikiran. Asal perkataan bahasa asing atau barat sahaja dikatakan,
moden dan maju.
Pergilah ke negara seperti Jepun, Korea, Itali dan Perancis,
adakah rakyat di sana bangga dengan bahasa asing.
Percayalah, ia tidak sebegitu malah kebanyakan tulisan di papan
tanda di negara berkenaan menggunakan
tulisan rasmi negara masing-masing.
Hinggakan, adakala menyukarkan pelancong asing untuk mendapatkan
panduan arah.
Ada pula yang memberikan pendapat, penggunaan Kampung Kerinchi
akan menjatuhkan pasaran harga hartanah di kawasan lokasi strategik itu.
Dengan riak berkata, pemaju harus diberikan hak untuk menamakan
sesuatu kawasan yang mereka bangunkan.
Tambahnya, warga asing dan ekspatriat pula sudah terbiasa dengan
gelaran Bangsar South dan sekiranya nama ditukar semula, ia akan menimbulkan
kekeliruan.
Namun, ada juga pakar hartanah menafikan perkara itu kerana mereka
yakin walaupun nama sesebuah kawasan memainkan peranan sebelum sebarang
keputusan membeli hartanah dibuat, ia tidaklah sepenting kemudahan dan bosster
yang tersedia di kawasan terbabit.
Jujurnya, saya tidak menolak pembangunan. Bawalah kemajuan dan
berikan sentuhan moden kepada Kampung Kerinchi
jika itu yang terbaik untuk kawasan itu.
Saya dan rasa-rasanya majoriti penduduk asal dan yang sudah
berkurun menetap di situ, akan menerimanya dengan terbuka.
Tetapi jauh di sudut hati, saya ingin sekali melihat pembangunan
dan kemewahan yang ada di Kampung Kerinchi itu dapat dinikmati bersama penduduk
yang sudah bertahun-tahun duduk di situ.
Tak perlulah pemaju mendabik dada bahawa mereka yang membawa
pembangunan di kawasan itu.
Jika tidak ia semata-mata memenuhi kantung poket, mahukah mereka
datang dan melabur di kawasan itu?
Tanpa mereka dulu pun, kami juga membangun dan maju, cuma tidak
dinafikan pembangunan itu agak perlahan dan lambat.
Buktinya, kawasan yang dulunya hutan rimba berjaya ditebas dan
didirikan rumah satu persatu.
Bukankah itu juga usaha ke arah perubahan dan kemajuan?
Mungkin ramai yang tidak tahu, sebelum ini tidak ramai ‘berani’
untuk ‘masuk’ ke Kampung Kerinchi.
Malah, mendengar namanya sahaja, sudah ada persepsi negatif dan
mungkin ada juga berasa takut.
Apabila penduduk mula berlembut hati, baharulah satu persatu kontraktor
besar datang dan bertapak di Kampung Kerinchi.
Sehingga akhirnya, mereka mula menguasai sebahagian kawasan itu. Bak
kata pepatah seperti “Belanda dapat tanah.”
Banyak sebenarnya yang saya mahu ceritakan perihal Kampung
Kerinchi ini.
Insya-Allah, jika ada kesempatan saya akan menyambung lagi catatan
mengenai Kampung Kerinchi ini.
INFO:
Sejarah Kampung Kerinchi
* Bermula pada penghujung abad ke-18 apabila kawasan tersebut
dikatakan menjadi lokasi migrasi sekumpulan orang-orang Kerinci dari Jambi,
Acheh dan Minangkabau, Indonesia ke Tanah Melayu.
* Penghijrahan tersebut dipercayai berlaku kerana wujudnya rasa
tidak puas terhadap pemerintahan tentera Belanda ketika itu di Indonesia yang
menindas dengan kekerasan.
* Bagi mengelak daripada berterusan menjadi mangsa kezaliman,
mereka berhijrah secara berkelompok ke Tanah Melayu.
* Melihat keadaan bentuk muka bumi di kawasan baharu tersebut yang
mempunyai banyak persamaan dengan kawasan asal iaitu kawasan tanah tinggi,
mereka terus membuka penempatan dan tinggal menetap di sini.
* Kampung Kerinchi, secara rasminya dibuka sekitar tahun 1890-an
oleh pembesar Melayu bernama Abdullah Hukum dan pengikutnya selepas mendapat
kebenaran daripada Raja Laut untuk meneroka kawasan Sungai Putih (kini Jalan
Bangsar).
* Penerokaan tersebut menemui beberapa kawasan yang berpotensi
bagi kegiatan pertanian antaranya seperti di Bukit Nenas.
* Dahulunya kawasan Bukit Nenas terkenal sebagai aktiviti
penanaman buah nanas memandangkan tanahnya subur.
* Selain nanas, Kampung Kerinchi juga terkenal dengan aktiviti
penanaman sayur dan buah-buahan seperti nangka, serai, daun mahang, padi serta
getah.
* Hasil tanaman tersebut dijual kepada orang perseorangan dan di
gerai-gerai kecil bahkan ada dihantar ke pasar sekitar Kampung Kerinchi.
* Ia kemudian menjadi profesion bagi kebanyakan peneroka Kerinchi
malah warga tempatan turut mempelajari selok-belok bercucuk tanam bagi
memperoleh mata pencarian harian.
Subscribe to:
Posts (Atom)









