Monday, December 24, 2018

Manfaat penulisan

Teks Nor Affizar Ibrahim

Manfaat penulisan



Bagi  kebanyakan pencinta ilmu, menulis sudah menjadi rutin harian. Malah, sejak zaman berzaman lagi, orang yang berilmu selalu menulis agar warisan ilmu mereka berkekalan hingga ke generasi yang berikutnya.

Oleh sebab itu ada bijak pandai menyatakan, “Ketika sebuah karya selesai ditulis, maka pengarang tak mati. Ia sebaliknya, baharu saja ,memanjangkan umurnya.”

Contoh ilmuan yang aktif menulis ialah Ibnu Sina, Ibnu Rusyd. Sumbangan  beliau dalam bidang ilmu cukup besar hingga kini  kerana melalui penulisan yang ditulis, ia  masih dapat 
menjadi tatapan generasi sekarang.

Berikut beberapa faedah yang dapat kita perolehi daripada menulis;

1. Kongsi dan sebarkan ilmu
Paling nyata ialah menulis dapat menyampaikan ilmu kepada masyarakat. Apabila seseorang itu menulis, ilmu yang ada pada dirinya akan dapat direkodkan melalui penulisan yang ditulisnya.

Apabila seseorang itu dapat menulis, ini bermakna ilmunya tidak akan hilang ditelan zaman. Lebih-lebih lagi, ilmunya itu sentiasa berkembang dengan hasil penulisannya.

Sebagai contoh, Ibnu Sina dalam bidang ilmu perubabatan. Hasil daripada penulisannya, kemajuan bidang perubatan dunia kian bertambah pesat kerana pakar perubatan dunia menjadikan hasil penulisannya sebagai rujukan utama perubatan dunia.

Jika beliau tidak menulis, ilmu ini mungkin tidak akan dapat ditatapi dan diambil oleh generasi dizaman globalisasi ini.

Ini seiring dengan kata-kata hikmah, “Ikatlah ilmu dengan menuliskannya. Ini kerana ilmu yang ditulis akan tetap tersimpan di atas keterbatasan daya ingat manusia.


2. Medium dakwah

Selain bertemu bersemuka atau memberikan ceramah dan syarahan dalam seseuatu majlis kepada orang ramai, anda boleh menjadikan penulisan sebagai medium untuk berdakwah.

Kadang-kadang, bukan mudah untuk bertemu atau mengumpulkan orang ramai untuk mendengar ilmu atau kebaikan yang anda hendak sampaikan.

Mungkin juga pelbagai alasan diberikan untuk seseorang itu menghadiri majlis atau acara ilmu seumpama itu.

Melalui penulisan, ia boleh dijadikan salah satu alternatif medium untuk berdakwah. Tidak perlu bersemuka atau berjumpa, hasilkan sahaja satu penulisan.

Walaupun dengan hanya penulisan, daya sebarnya pada hari ini sangat luas, tambahan dengan adanya kecanggihan  teknologi seperti sekarang.

Anda boleh menulis apa sahaja ilmu bermanfaat dan sesaat itu pula tulisan anda boleh dibaca dan memberikan faedah kepada  mereka yang tinggal jauh di benua lain. Begitulah kecanggihan teknologi pada masa kini.

Menulis ini akan melengkapi usaha dakwah anda kepada masyarakat kerana hasil menulis atau ilmu yang dibukukan boleh dimanfaatkan orang ramai di rumah masing-masing, dibaca dan ditelaah.

3. Otak terus berfikir
Menulis berkaitan rapat dengan kerja otak atau berfikir. Ia sebagaimana tubuh yang memerlukan kecergasan fizikal dengan melakukan senaman manakala hati memerlukan amalan ibadat untuk meningkatkan keimanan.

Begitu jugalah otak yang memerlukan sesuatu untuk  melatihnya terus berfikir positif.

Jadi, dengan membiasakan menulis dan  meluahkan apa yang terfikirkan dalam penulisan, secara tidak langsung otak anda terus bekerja.

Lebih-lebih lagi, jika anda menulis penulisan ilmiah, otak akan lebih bekerja lagi dalam mengumpulkan beragam rujukan untuk menjadi sebuah tulisan.
  
Dengan kaedah ini juga,  anda tidak menjadi pelupa di saat usia semakin lanjut kerana ibarat sebilah pisau, semakin sering diasah dan digunakan, maka semakin baik dan tajam,begitu pula dengan otak manusia.

4. Medium perakam sejarah
Apabila menulis, anda secara tidak langsung akan mengumpulkan dan merakam banyak kejadian peristiwa, fakta serta data penting.

Semua bahan penulisan  inilah yang akan menjadi instrumen perakam jejak sejarah pada kemudian hari.

Tidak kiralah apa yang anda tulis sama ada mengenai salasilah keturunan keluarga, asal usul sesuatu negeri, kehidupan peribadi dan sebagainya.

Inilah cara klasik yang takkan pernah mampu digantikan oleh apa pun. Menulis dan penulisan akan selalu ada dan akan tetap ada.

5. Menulis medan belajar
Belajar bukanlah hanya mendengar dan membaca. Tidak lengkap rasanya belajar tanpa menulis.

Malah, kurang lengkap rasanya ilmu yang digali atau diperolehi tidak dicatatkan. Lihatlah kisah hidup ulama, pemimpin di dunia dan bijak pandai seperti ahli korporat serta ahli perniagaan dan sebagainya.

Walaupun sibuk dalam bidang masing-masing, mereka tak lepas dari menulis.
Menulis adalah medan belajar, dengan menulis akan mendorong dan menuntut kita menyerap, menggali dan mengumpulkan informasi sebanyak-banyaknya .

Saat mencari dan mengumpulkan informasi inilah kita sebenarnya sedang tenggelam dalam dunia belajar, mengasah dan mempertajamkan otak serta fikiran.

Malah, sedang mengembangkan diri  bagi meningkatkan ilmu dan kemahiran.


6. Membuat hidup produktif
Banyak orang beranggapan, menulis membosankan dan hanya milik mereka yang suka menyendiri.

Anggapan ini tidak benar sama sekali. Dengan menulis, sebaliknya membuat hidup anda lebih produktif dan usia lebih bermanfaat, tidak terbuang sia-sia.

Dengan menulis, wawasan terus bertambah, malah ia turut  bermanfaat bagi diri sendiri dan orang lain.

Hidup menjadi produktif apabila anda menulis kerana anda perlu menyibukkan diri setiap masa.

Anda tidak akan membiarkan masa berlalu begitu sahaja tetapi akan memburu masa untuk memastikan penulisan anda dapat menepati tempoh waktu yang ditetapkan.

Menulis juga membuatkan anda perlu membuat banyak perkara seperti berfikir mencari idea, membuat pemerhatian bagi mencari sumber inspirasi, melakukan kajian untuk memastikan fakta yang tepat dan sebagainya.

7. Menghasilkan idea baharu
Dengan menulis anda akan berfikir dan terus berusaha mengembangkan pemahamannya dan kemampuan diri.

Ini menyuntik motivasi kepada anda mengemukakan idea baharu kerana sebaik sahaja anda terjun dalam dunia penulisan, anda pastinya bercita-cita untuk memberikan iea segar dan tidak pernah dilontarkan oleh sesiapa sebelum ini,

Idea baharu hanya terhasil daripada mereka yang aktif berfikir, terus belajar dan bekerja keras mengembangkan kemampuan berfikirnya.

Dengan  menulis inilah idea baharu itu akan muncul dan dapat disebarkan.

Sebenarnya, banyak lagi faedah atau kebaikan menulis.  Oleh kerana itu berusahalah menulis apa yang anda terfikirkan, apa terlihat, apa terdengar dan apa dirasakan.




No comments:

Post a Comment