Thursday, June 20, 2019

8 Tips Tingkatkan Kemahiran Menulis


Teks Nor Affizar Ibrahim 

11 tips tingkatkan kemahiran menulis 


Menulis artikel, cerita atau rencana adalah sesuatu yang seni. 
Ia bukan seperti anda minum secawan kopi, basahkan tekak dan dapat  merasai nikmatnya.

Kemudian, esoknya anda bancuh lagi untuk mengecapi rasa keenakan air kopi itu sekali lagi. Nikmat secawan air kopi itu hanya kita sahaja yang dapat mengecapinya.
Ia tidak seperti menulis artikel. Menulis artikel, sebenarnya lebih daripada itu.

Kita menulis bukan untuk kepuasan diri sendiri sendiri sahaja tetapi juga untuk orang lain.
Pendek kata, ‘nikmat’ menulis itu untuk dapat dirasai atau dijiwai oleh semua walaupun artikel itu hasil penulisan kita.

Manfaatnya pula bukan diperolehi untuk seorang dua dapat tetapi jika boleh biarlah berantaian dari satu ke satu orang dan dikongsi seramai mungkin.

Oleh sebab itulah apabila menulis artikel, kita jangan sesekali mengabaikan kualiti.

Artikel biasa-biasa, syok sendiri atau sekadar ala kadar dan melepaskan batuk di tangga, tidak boleh membawa anda ke peringkat seterusnya..

Untuk itu, kita mesti terus belajar mengenai teknik menulis dan sesekali dapatkan tips menulis.

Kali ini, saya ingin berkongsi beberapa tips untuk meningkatkan kemahiran penulisan artikel.


1. Tidak kisahlah panjang atau pendek

Jangan risau mengenai panjang atau pendek artikel anda. Saya tahu, ada yang risau apabila atikel ditulis amat pendek. Bimbang apa yang ditulis tidak kesampaian untuk pembaca.

Harus ingat, bahawa menulis artikel ini adalah untuk mengembangkan kemahiran anda menulis.

Oleh itu, tulislah apa yang terdaya atau apa yang terlintas dalam fikiran anda ketika itu. Idea akan datang dari semasa ke semasa.

Bermula daripada penulisan artikel yang pendeklah ia akan berkembang menjadi artikel yang panjang.

Namun, anda harus ingat, pengisian adalah lebih penting. Apa guna hasil penulisan artikel yang panjang sedangkan isinya kosong!

Paling menyedihkan, anda yang sendiri menulis pun tidak faham apa yang ditulis. Jadi, bagaimanakah dengan orang lain?

2. Tulis awal pagi

Ini adalah sesuatu yang menarik. Banyak penulis yang serius dan profesional  lebih suka menulis kandungan mereka pada waktu pagi.

Kebanyakan berpendapat, waktu pagi membolehkan mereka menulis artikel segar.Suasana pagi seolah-olah agak tenang dan bertenaga dapat membantu mereka memperbaiki kemahiran menulis artikel mereka.

Mungkin anda boleh mencubanya dan tukarlah waktu menulis anda.

3. Menjadi pembaca baik

Membaca adalah perkara wajib bagi seorang penulis yang ingin membina dan meningkatnya gaya penulisannya

Oleh itu jadilah pembaca yang baik. Melalui pembacaan, idea dan fikiran anda akan membolehkan anda berfikir dan membiarkan diri anda tersedia untuk menulis pada topik tertentu.

Hasilnya, penulisan anda, mempunyai isi kandungan yang baik dan bermaklumat.

4. Mudah difahami

Cara menulis anda perlulah mudah difahami.  Jangan belit-belit dan terlalu banyak bermain bahasa yang orang lain tidak faham.

Dalam penulisaan, nyatakanlah pandangan anda dengan cara yang mudah dan sesuai. Ini akan membantu pembaca menghargai apa yang anda tulis.

5. Tulis di lokasi bebas

Untuk menulis, anda perlukan suasana tenang, damai dan rehat, sekali gus mudah anda menumpukan sepenuh perhatian dan jiwa anda kepada penulisan itu.

Oleh itu pilihlah lokasi bebas yang dapat memberikan anda suasana seperti it. Ini penting untuk  mengalihkan fikiran ada dan terus leka dalam berkarya,

Elakkan juga aktiviti rangkaian sosial dan telefon bimbit anda yang boleh menghilangkan konsentrasi anda. Jika anda sibuk mahu ‘melayannya’ maka tidak mustahil kerja dilakukan akan tergendala dan tidak menghasilkan apa yang anda harapkan.

6. Lakukan penyelidikan sebelum menulis
Sebelum anda memulakan kerja penulisan, lakukanlah penyelidikan yang teliti mengenai topik tertentu yang akan anda tulis.
Ia akan meningkatkan pengetahuan anda mengenai topik itu dan anda akan dapat menulis secara bebas dan bermaklumat.
Mempunyai pengetahuan yang lebih mendalam akan menjadikan anda unik dalam bidang ini.

7. Berikan diri anda masa tertentu
Walaupun anda sudah mempunyai pengetahuan dan memiliki semua bahan yang disudah diteliti dengan rapi, anda juga perlu menjadi diri sendiri.
Rutin anda setiap hari pastinya sibuk.  Justeru, anda perlu memisahkan beberapa masa dan memberikan masa tertentu untuk kemahiran menulis anda.
Anda mesti mempunyai masa yang tepat untuk memahami pengetahuan lebih mendalam, untuk menulis artikel diinginkan.
Menulis bukan hanya satu hari pekerjaan. Oleh kerana itulah anda perlu memulakan aktiviti ini secepat mungkin (A.S.A.P) setiap hari dan berikan diri anda masa tertentu untuk menyiapkannya.

8. Tulis secara teratur
Jika ingin menjadi seorang penulis yang baik, anda mesti membuat kebiasaan menulis secara teratur.
Untuk itu, anda perlu mengikuti langkah-langkah disarankan di atas. Saya pasti petua ini akan berguna untuk andapada masa akan datang. Oleh itu, bersabarlah dan buat sendiri untuk menulis secara teratur.
­

Sunday, June 16, 2019

Bab 15 Kisah Arif dan Mak Tiri


Teks Nor Affizar Ibrahim


Kisah Arif dan Mak Tiri
Bab 15

“Ikhwan! Oh Ikhwan!  Cepatlah turun! Kata hari ini nak terbangkan layang-layang. Jomlah cepat! Cuaca okey ni. Cepatlah Ikhwan!” 

Bertalu-talu suara itu memanggil nama Ikhwan, namun kelibatnya masih tidak nampak.
Ilham yang mendengar suara dari luar rumah itu keluar menjenguk untuk mengetahui siapakah  yang dari tadi asyik memanggi-manggil nama adik bongsunya itu.

“Ohhh Arif!.  Abang ingat siapa tadi.  Nak jumpa Wan ke? Dia sedang minum petang tu, nenek ada goreng pisang. Marilah masuk dulu,” pelawa Ilham kepada Arif.

“Oh kalau macam tu tak pelah Bang. Arif  tunggu kat luar ni aje lah. Tapi abang tolong  bagi  tahu Wan cepat sikit. Nanti cuaca berubah pulak,”  jawab Arif.

“Korang berdua nak pergi mana ni? Sudah rancang nak buat apa,” soal Ilham inginkan kepastian.

“Hari ini, kami tidak merayau mana-mana bang. Cuma nak main layang-layang di padang.
Cuaca cerah dan berangin, mesti naik layang-layang kami nanti. Kawan-kawan lain sudah pun tunggu kat sana,” pantas Alif menjawab. 

Lega Ilham mendengarnya dan tidak perlulah dia risau kerana hari ini, Ikhwan  tidak  merayap sana sini.
Ilham juga risau jika adik bongsunya itu melakukan perkara yang bukan-bukan. Sudah dua hari, Ikhwan menunjukkan perubahan sikap yang bukan sahaja merunsingkan Ilham tetapi juga Pak Ghazali dan Mak Tijah serta Izhar.  

Sejak Pak Ghazali beritahu hajat ayah mereka yang ingin berkahwin, Ikhwan tampak murung sedikit dan banyak mendiamkan diri. 

Sepanjang dua hari itu, puas jugalah Mak Tijah dan Pak Ghazali memberikan kata nasihat dan memujuk Ikhwan. Nasib baik, ‘termakan’ juga dia nasihat datuk dan neneknya. 

Pagi tadi, Pak Ghazali melayan Ikhwan membuatkannya layang-layang sebab itulah dia semakin ceria kembali.

Pada masa sama, bimbang juga Ilham melepaskan adik bongsunya itu bermain jauh dari rumah nenek mereka.  Lagipun, Ilham sudah berjanji dengan ayahnya akan menjaga 
kedua-dua adiknya. 

Oleh itu, dia mesti tahu ke mana saja mereka pergi dan apa mereka buat. Senanglah untuk Ilham memantaunya.

Bukan tidak percayakan Ikhwan mahupun Arif tetapi Ilham selalu ingat pesanan arwah Mamanya, tanggungjawab  sebagai abang perlu dipikul dengan sebaik-baiknya.

Kata arwah Mamanya lagi, sebagai abang sulung, Ilham perlu tunjuk contoh yang terbaik. Ilham juga tidak mahu janjinya dengan ayah dipandang mudah.

Ilham memang kenal sangat dengan Arif,  anak Pak Ngah Din yang  duduk tidak jauh dari rumah atuk dan nenek mereka.  

Jauh rumah Arif  hanya 10 minit berjalan kaki ke rumah atuk dan nenek mereka. Arif sebaya dengan Ikhwan, cuma badannya lebih besar dan tinggi daripada Ikhwan. 

Setiap kali balik kampung, biasanya Arif akan ajak Ikhwan untuk ikut sertanya bersama rakan-rakan lain di kampung itu untuk  bermain  bersama. 

Arif, anak kampung jati di kampung itu. Jadi, selok belok kampung itu memang dia tahu sangatlah. Kadang-kadang, sehari suntuk Arif dan kawan-kawannya membawa Ikhwan merayap satu kampung. 

Kalau tidak pun, mereka bermain guli atau pun layang-layang bersama dan macam-macam lagi aktiviti lain.  

Namun, yang paling Ilham tidak berapa gemar apabila  mereka pergi mandi sungai di hujung kampung,  lebih-lebih lagi jika tidak ada orang dewasa yang turut serta. 
Ilham selalu berpesan kepada Ikhwan jika hendak mandi sungai, ajak sekali Izhar. Ada ketikanya, jika ada mood atau ‘terpaksa’  Ilham akan turut serta bersama Ikhwan dan kawan-kawannya mandi sungai.

Pak Ghazali dan  Mak Tijah pun senang hati kalau Ilham atau Izhar menemani Ikhwan dan rakan-rakannya mandi di sungai.

“Aku dah siap!  Aku juga ada bawa untuk kau goreng pisang. Nanti bolehlah kita makan sama.  Jomlah kita gerak. Tapi sebelum tu, kau  patut tengok ni!
Pagi tadi Atuk aku buatkan layang-layang  baru untuk aku.  Kau tengoklah ni Alif. Okey  tak?”  

Ikhwan keluar dan menuruni  tangga rumah itu sambil di tangannya memegang 
layang-layang .   

“Wah! Cantik layang-layang kau. Warna warni lagi. Untunglah…Atuk kau tolong buatkan. Aku punya layang-layang buat sendiri, minggu lepas. Aku dan kawan-kawan yang lain buat sama-sama. Bila dapat tahu kau akan bercuti kat kampung ni, kami pun terus rancang nak ajak main layang-layang sama-sama. Sebab itulah kami cuba siapkan cepat. 

“Kami punya layang-layang, memang tak boleh challenge kau punyalah. Atuk kau buat, mesti hebat punya.  Apa lagi, jomlah kita pergi. Yang lain dah lama tunggu kita ni,” kata Arif.

Sebelum berjalan beriring ke padang, tempat yang dijanjikan dengan kawan-kawan 
lain Ikhwan meminta izin Mak Tijah untuk keluar rumah. Pak Ghazali memang  tidak ada di rumah. 

Selepas Zohor tadi, Pak Ghazali katanya, nak ke kebun dan diajaknya Izhar supaya temankan.

Katanya, mana tahu ada setandan dua pisang yang boleh dibawa pulang. Jadi, bolehlah Izhar tolong bawakan.  

Mak Tijah yang sudah lama mengenali Alif dan keluarganya, tidak kisah cucunya berkawan dengan Alif.   Sekurang-kurangnya dia tahu, dengan siapa Ikhwan berkawan.

“Boleh aje kalau nak pergi keluar bermain dengan kawan-kawan. Tapi kenalah pandai-pandai jaga diri. Berkawan itu biar elok-elok, jangan bergaduh. Kalau main tu jangan pulak lupa diri.  Dah habis main, cepat pulang. Wan mesti balik sebelum masuk waktu Maghrib. Faham tak?” Mak Tijah mengizinkan tetapi tetap berpesan dan memberi syarat kepada Ikhwan.

Ikhwan tak jawab dan tersengih saja sambil mengangguk-anggukkan kepala. Begitu juga Arif turut tersengih-sengih mendengar pesanan Mak Tijah.

Empat kawan mereka yang sudah berada di padang  kelihatan  sibuk menaikkan layang-layang masing-masing.

Mereka begitu asyik dan bersungguh-sungguh untuk memastikan layang-layang masing-masing dapat terbang tinggi.  

Apabila angin bertiup, tali cepat-cepat ditarik melawan arus angin dengan cara menghulur dan menarik talinya.  Dengan cara itu,layang-layang akan dapat terbang tinggi di udara. 
Tanpa membuang masa, Alif terus membantu Ikhwan  untuk menaikkan layang-layang yang dibawanya. 

Ikhwan memegang gulungan tali manakala Alif menganjung  layang-layang. Arif memastikan jaraknya antara Ikhwan kira-kira satu rantai.  Apabila  Ikhwan memberi isyarat, 
Arif  pun terus menganjungkan layang-layang berkenaan. 

Layang-layang  itu kemudiannya mula terbang ke udara, Ikhwan menyentak sambil menghulur benang dalam lilitan sehingga layang-layang itu terus terbang tinggi. 
Sedikit demi sedikit, Ikhwan menghabiskan kesemua sekali benang yang ada di dalam lilitannya. 

Layang-layang itu kini sudah pun berada tinggi di angkasa dan  terus  melenggang-lenggok mengikut daya angin.

“Ikhwan hati-hati! Jangan sampai tersangkut kat pokok tepi itu.”  Arif  memberi amaran apabila melihat layang-layang Ikhwan semakin menghampiri salah satu pokok yang ada di situ.

“Yalah aku cuba elakkan ni. Tapi angin kuat sangatlah, susah aku nak kawal ni,” 
ujar  Ikhwan.

“Ikhwan kau teruskanlah terbang layang-layang kau. Jidan akan tolong aku untuk naikkan layang-layang.  Harap, layang-layang yang aku buat sendiri ini boleh terbang tinggi macam kau punya,” kata Arif dalam nada separuh menjerit kerana dilihatnya Ikhwan semakin leka menerbangkan layang-layang yang dibuat Atuknya.

Akhirnya, layang-layang Ikhwan dan Arif sudah pun kelihatan terbang bebas dan melenggang-lengok di angkasa. 

Pastinya, layang-layang Ikhwan terbang lebih tinggi daripada Arif. Ini semua kerana penangan sentuhan hasil kerja Pak Ghazali  yang menghasilkan layang-layang bermutu dengan teknik betul dan teliti.

Layang-layang dinaikkan Ikhwan dan Alif terus terbang tinggi. Kedua-duanya begitu seronok. Apatah lagi, cuaca petang itu memang sesuai sekali untuk bermain layang-layang.
Ikhwan dan Alif  berdiri tegak untuk mengendalikan layang-layang masing-masing. Namun, sesekali mereka terpaksa berlari apabila  angin hanya bertiup  perlahan.  Ia untuk memastikan layang-layang mereka boleh terus berada di angkasa.

Apabila layang-layang seakan bergerak menurun, mereka cuba ujungkan layang-layang mengarah ke atas, lalu cepat-cepat menarik benang.  Jika angin bertiup cukup banyak pula, benang disentak dan dilepaskan lebih panjang.  

Memang bukan mudah mengendalikan layang-layang. Tidak bijak menganggar,layang-layang akan terjunam. Tidak pandai memegang tali, layang-layang akan ‘mati’. 

Mula-mula belajar main layang-layang dulu,  Ikhwan hampir putus asa. Tetapi dengan nasihat Pak Ghazali dan tunjuk ajar Ilham dan Izhar, Ikhwan semakin pandai mengendalikan layang-layang.

Apabila semakin mahir menerbangkan layang-layang, Ikhwan semakin seronok.  Sejak itu juga, setiap kali balik kampung aktiviti bermain layang-layang antara yang tidak  akan dilupakan. 

Apatah lagi, Pak Ghazali tidak pernah menghampakan Ikhwan, setiap kali dia memintanya  tolong membuatkan layang-layang. 

Dalam keasyikan mereka bermain, tiba-tiba  entah mana silapnya tidak semena-mena tali layang-layang Ikhwan terbelit dengan layang-layang Arif.  Dalam cubaan kedua-duanya ‘bergelut’  menyelamatkan  layang-layang masing-masing, akhirnya benang layang-layang Arif terputus.

Terlopong mulut Arif melihat layang-layangnya sudah terpisah daripada gulungan benang yang dipegang.

Ikhwan juga tidak terkata apa-apa dan hanya mampu melihat layang-layang itu terus berlegar di angkasa  tanpa tali.

“Hemmm… tak sampai sejam kita main. Dah putus. Malaslah nak main lagi.  Jomlah kita duduk bawah pokok tu. Kita duduk-duduk sambil makan goreng pisang yang aku bawa tadi,” ujar Ikhwan yang sudah hilang mood untuk terus bermain walaupun layang-layangnya masih gah berlegar di angkasa.

Ikhwan kemudiannya terus menarik benang dengan perlahan supaya layang-layangnya terbang lebih rendah. Apabila layang-layangnya mencecah tanah, dia terus melilitkan benang pada gulungan.

Wajah Arif tampak hampa. Ikhwan menepuk-nepuk perlahan-lahan bahunya. 
“Sudahlah tu. Jangan buat muka macam tu, tak comel pun!. Esok kalau ada masa kau buatlah lagi layang-layang baru dan kita boleh main sama-sama lagi. Sekarang ni, meh duduk dan rehat-rehat bawah  pokok, best juga,”  ujar Ikhwan seakan memujuk kawannya itu.

Mereka berdua sudah pun duduk bersandar pada sebatang pokok. Ikhwan menghulurkan  goreng pisang yang dibawa kepada Arif.

“Nasib baik kau bawa goreng pisang ni Wan. Aku taklah lapar tapi sebab stres,rasa sedap sangatlah goreng pisang ni. Dah tiga keping aku makan ni. Kau jangan marah ya,” kata Arif sambil menikmati goreng pisang awak yang digoreng Mak  Tijah.

“Ala…makan jelah. Nak habiskan semua pun boleh je. Aku dah banyak makan tadi. Kalau aku teringin lagi, aku boleh minta tolong nenek aku gorengkan lagi,” jawab Ikhwan.

Arif hanya menyeringai mendengar kata-kata Ikhwan. 

“Arif…aku nak tanya kau soalan boleh?”  Tiba-tiba Ikhwan menukar topik. 

“Eh! Tanyalah. Kenapa tak boleh pulak,” pantas sahaja Arif membalas. 

“Aku nak tahulah, macam mana kau dengan mak tiri kau. Okey tak dia?” Ikhwan 
mula mengajukan soalan pertama kepada kawannya itu.

“Emmm…oklah. Tapi lebih ok masa mula-mula ayah aku baharu kahwin dengan Makcik aku tu. Dia memang manjakan aku dan macam-macam barang dia belikan untuk aku. Baju baharu, permainan dan banyak lagi. Kadang-kadang, Makcik bawa aku jalan-jalan.  Masa itu, aku benar-benar gembira dapat emak baharu.

“Padahal, sebelum ayah aku kahwin baharu, pelbagai perasaan timbul.  Takut, sedih, benci dan macam-macam lagi.  Hinggakan, hampir tidak jadi ayah aku nak kahwin lagi. Nasib baik, Makcik pujuk aku dan lama-lama aku pun suka dan sayang padanya.  Kami juga semakin rapat. 

“Tapi dua tahun  selepas mereka kahwin, aku pun dapat adik baharu.  Masa itu Makcik aku dah mula berubah dan tak macam mula-mula dulu.  Apa aku buat, semua tak  kena. Ada saja silap di matanya.  

“Selepas itu, aku dapat lagi adik baharu. Kalau yang pertama, perempuan, kedua dapat pula adik lelaki. Bertambah-tambahlah lagi Makcik aku macam tak sayang pada aku.  Memang rasa sedih. 

“Sekarang ni lagilah… asyik nak marah aku je. Bila ayah aku tak ada rumah, bukan setakat  marah aje, kadang-kadang dia pukul aku. Makcik lebih sayangkan kedua-dua adik baharu.

“Aku ada juga mengadu kat ayah pasal perangai Makcik aku  tetapi selalunya, ayah akan marah dan salahkan aku.  Sebab itu aku tidak suka duduk rumah. Asyik kena marah aje. Memanglah rasa sedih tetapi tak tahu hendak mengadu kat siapa. 

“Akhirnya, aku pun buatlah hal sendiri. Di sekolah, aku masuk macam-macam aktiviti. Jadi aku selalulah sibuk dan memang jaranglah ada kat rumah.  Cara ini sahaja aku dapat elakkkan kena marah dan  dipukul oleh Makcik,” cerita Arif.

“Ohh macam itu ke? Kau boleh tahan pulak semua itu,”  Ikhwan bertanya lagi.
“Entahlah Wan. Kata-kata arwah ibu aku selalu jadi kekuatan pada diri aku, terutama  apabila aku bersedih. Arwah ibu aku kata, hidup ini macam layang-layang juga. 

“Kadangkala ia terbang tinggi dan boleh gembirakan kita. Tapi ada ketika layang-layang itu  terlepas atau tersangkut. Inilah ujian untuk kita, sama ada kita  sabar atau tidak untuk menghadapinya. 

“Ibu aku juga kata, seringkali merelakan adalah pilihan terbaik. Kita tidak perlu bersedih terlalu lama kerana ada kemungkinan yang lebih baik. Makcik aku itu sekarang ini mungkin tak suka, marah-marah dan garang dengan aku tetapi mana tahu dia akan berubah sikap suatu hari nanti seperti  dulu. 

“Lagipun, aku bercita-cita nak masuk sekolah asrama apabila masuk Tingkatan 1 
nanti. Bebaslah sikit, ” telus sahaja Arif  bercerita.

Ikhwan tidak berkata apa-apa, dia hanya mendengar sahaja. Selama ini, Arif tidak pernah bercerita pasal ibu tirinya dan  dia tidak sangka pula keadaan seperti itu berlaku. Ikhwan rasa simpati dengan apa yang Arif lalui.

“Ehh! Yang kau tiba-tiba tanya aku pasal ini kenapa?” Arif menyoal Ikhwan kembali.
“Emmm…tak ada apa-apalah. Eh! Goreng pisang dah habis ke? Dah habis jomlah kita balik.  Dah pukul 6, tak ada apa lagi hendak buat. Baik kita balik rumah aje.” Ikhwan mengajak Arif pulang ke rumah. 

Mendengar cerita Arif pasal dia dengan ibu tirinya, menambahkan lagi pelbagai  persoalan dalam benak fikiran Ikhwan. Semakin berserabut dibuatnya!

Thursday, June 13, 2019

Bab 14 Apa Kata Kalau Ayah Kahwin


Teks Nor Affizar Ibrahim

Apa kata kalau ayah kahwin?

BAB 14

Selepas sembahyang Isyak berjemaah semua berpakat untuk menonton  televisyen.
Waktu ini, jam sudah pun menunjukkan  9.45 malam.  

Agak menarik juga cerita malam itu  hingga menyebabkan Ilham, Izhar dan Ikhwan begitu asyik menonton tayangan cerita itu.  

Sesekali, Ikhwan dan Izhar melopong kerana terkejut dan mencebikkan tanda meluat  apabila melihat beberapa babak yang terdapat dalam cerita itu.

Pak Ghazali yang baru menghabis mengaji kemudian menyertai ketiga-tiga beradik itu.

Sementara itu, Mak Tijah leka di dapur.  Ada sahaja kerja yang ingin dibuatnya.

Tadi Ilham berkali-kali menyatakan ingin membantunya tetapi Mak Tijah memberitahu tidak perlu dan menyuruhnya menonton televisyen bersama adik-adiknya .  

Disebabkan khidmatnya tidak diperlukan, Ilham pun turut menyertai Izhar dan Ikhwan menonton televisyen.  

“Kusyuk nampak, seronok ke ceritanya?” Atuk menyapa ketiga-tiga beradik  itu sambil melabuhkan punggung di sofa dan duduk di sebelah Ikhwan.

“Haah Atuk! Seronok Tuk. Cerita ni kisah mak tiri garang. Teruk anak tirinya kena pukul. Marah tak tentu pasal aje, kasihan budak perempuan tu. 

"Kalaulah Angah, dah lama Angah keluar dari rumah. Dan kalau dapat peluang, memang Angah gigit tangan mak tiri itu sebab suka-suka aje nak pukul.  

"Bukan besar pun kesalahan budak perempuan itu. Pecahkan gelas aje. Itu pun tak sengaja
terlanggar.  Sudahlah macam itu, asyik hendak jerit-jerit aje mak tirinya. Tak boleh ke cakap elok-elok. 

"Depan bapa budak perempuan itu, pandai pulak berlakon konon sayangkan anak tiri itu.”  Izhar memberitahu sinopsis cerita drama yang ditonton mereka.

“Ya Atuk. Menyampah tengok  emak tirinya. Teruklah mak tirinya Tuk. Mula-mula nampak baik sangat sebelum kahwin tetapi sudah kahwin tunjuk belang.

"Anak  tirinya hari-hari kena pukul apabila ayahnya tak ada di rumah. Silap sikit pun nak rotan,” Izhar terus mengulas.

Ala itukan cerita drama. Dah pengarah suruh macam tu, tentulah mak tiri tu kena garang.  Sekarang ni ramai mak tiri yang baik-baik.  Kadang-kadang ada mak tiri yang manjakan lebih-lebih anak tirinya. 

"Ada mak tiri tidak berkira  dengan anak tirinya dan macam-macam dibelikan.  Ditatang macam minyak yang penuh. Tak semua emak tiri garang sebenarnya. Tengok drama memanglah dramatik sangat dan mestilah ada adengan garang, menangis-nangis dan sedih. Barulah penonton suka tengok,” Pak Ghazali menangkis cakap cucunya itu.

“Apa pun Atuk, Wan fikir ayah tak payahlah cari Mama baharu. Wan duduk dengan Bibik pun tidak kisah. Wan tak naklah emak baharu. ” 

Ikhwan meluahkan apa yang difikirkan dan masih tidak boleh melupakan perkara dibincangkan di meja makan tadi.

“Atuk, betul ke ayah nak kahwin ?” Tiba-tiba Ilham yang asyik mendengar luahan hati adik-adiknya mengajukan soalan.

Semua mata beralih memandang Iham. Tiada siapa pun bersuara. Ini membuatkan Ilham berasa bersalah bertanyakan soalan itu.

“Along ini memandai-mandai aje, kata ayah hendak berkahwin. Iwan tidak sukalah, kita tak perlu pun Mama baharu,” sangkal Ikhwan.

Mendengar kata-kata Ikhwan itu, bertambahlah rasa kesal Ilham bertanyakan soalan itu.

Dalam hatinya berbisik. “Patutnya aku tanya secara senyap-senyap aje pada atuk pasal hal ini. Kenapalah gatal sangat mulut aku ini, bertanya soalan itu depan adik-adik.”

Pak Ghazali masih mendiamkan diri. Langsung tidak memberi jawapan “ya” ataupun sebaliknya.

Pak Ghazali kemudiannya, mengambil suratkhabar dan seolah-olah pura-pura tekun membaca. 

Gelagat Pak Ghazali yang acuh tak acuh menambahkan rasa resah pada Ilham, Izhar dan Ikhwan.

Cerita di televisyen, tiba-tiba tidak lagi menarik minat ketiga-tiga mereka. Sebaliknya, mereka bertiga terus memandang gelagat Pak Ghazali dan menantikan jawapan daripadanya.

Melihat ketiga-tiga cucunya terus tidak melepaskan pandangan kepadanya, Pak Ghazali akhirnya melipat  surat khabar yang kononnya dibaca itu dan meletakkannya kembali di atas meja. 

“Sudah terlanjur kamu semua cakap dan bertanyakan hal ini  Atuk nak cakap dan berbincang dengan kamu semua malam ni. Sebenarnya,  apa yang Atuk nak bincang ini hal penting juga dan sekarang  dengar baik-baik,” kata Pak Ghazali.

Pak Ghazali sambil membetulkan duduk di atas sofa, merenung satu persatu cucu-
cucunya.

“Muka Atuk serius aje ni mesti benar-benar hal penting.” 

Iham yang semakin tidak sabar untuk mengetahui perkara sebenar,  dapat merasakan ada hal penting yang Pak Ghazali hendak sampaikan dan kemungkinan besar  ia akan membabitkan mereka tiga beradik.   

Jika tidak,  kenapa Pak Ghazali begitu sukar dan mengambil masa agak lama hendak mengatur tutur kata. Selalunya, lancar aje Pak Ghazali berkata-kata atau pun bercerita.  

Pak Ghazali sekali lagi menarik nafas sebelum mengeluarkan sebarang kata-kata.

“Atuk tahu kamu semua sayangkan arwah Mama tetapi kamu semua kena ingat yang pergi tetap pergi.  Sebenarnya,  sebelum ayah kamu berangkat bekerja ke Dubai, ada hal penting yang sudah Atuk, nenek dan ayah kamu bincangkan.”

Ketiga-tiga beradik itu tidak berkata apa-apa dan terus mendengar dengan teliti apa yang ingin dikatakan oleh datuk mereka.  Sesungguhnya, mereka memang tidak sabar untuk mengetahui apa  yang ingin disampaikan Pak Ghazali.

“Macam ni…ayah kamu ada beritahu Atuk yang dia ada berkenan dengan seseorang dan amat berharap, kamu semua setuju jika dia ingin berkahwin lagi.

“Kamu semua kan tahu, arwah Mama dah beberapa tahun pergi. Jadi Atuk rasa, memang sudah sampai masanya ayah kamu berkahwin lain. Kamu pun sudah besar dan sudah boleh terima hakikat apa yang berlaku.  

"Atuk harap, korang semua dapatlah terima keputusan ayah kamu itu. Kasihan, ayah kamu sudah lama hidup sorang  tidak berteman. Kamu semua tidaklah  perlu risau, walaupun ayah kamu berkahwin lain, kamu tiga beradik masih dan tetap anak-anaknya.
"Dan Atuk percaya, kasih sayang ayah kamu tidak pernah sedikit pun berkurangan pada kamu semua.  Berilah  peluang kepada ayah kamu untuk bina hidup baharu.”  

Akhirnya terluah juga apa yang ingin Pak Ghazali sampaikan kepada ketiga-tiga cucunya.

Memang payah sekali Pak Ghazali hendak menyampaikan hal itu.  Selepas solat Isyak tadi, di dalam bilik lama juga Pak Ghazali berkira-kira dan berfikir-fikir, macam mana hendak memulakan perbualan dengan ketiga-tiga cucunya untuk membangkitkan hal itu.

Pak Ghazali  perlu berhati-hati menuturkan kata kerana tidak mahu ada di antara  
cucu-cucunya yang’tersentap’ mendengar hasrat ayah mereka.  

Paling dirisaukan ialah Ikhwan yang terlalu mentah untuk memahami situasi ayahnya.

Kalau boleh, Pak Ghazali mahu  tiada seorang pun cucunya akan terluka atau berduka dengan khabar berita itu.

Meskipun, sebelum ini Pak Ghazali dan Mak Tijah berasakan berita yang keluar dari mulut Radzi sendiri itu adalah antara berita gembira yang sememangnya mereka nanti-nantikan.

Bagi Mak Tijah dan Pak Ghazali, sudah sampai masanya Radzi mencari calon baru untuk suri hatinya. Moga dengan adanya isteri baharu nanti, akan lebih terurus hidup Radzi dan ketiga-tiga anaknya.

Mak Tijah dan Pak Ghazali sememangnya sudah lama mengharap, Radzi akan dapat bertemu pengganti yang secocok selepas arwah isterinya suatu hari nanti.  

Selepas mendengar kata-kata Pak Ghazali, Ilham hanya mengangguk-anggukkan kepala.  Sebagai anak sulung dan sudah semakin matang, mungkin tidak sukar untuknya memahami hasrat ayahnya itu.

Cuma Ilham berharap, selepas ada pengganti nanti kasih sayang ayahnya tidak berbelah bahagi.  Ilham juga ingin melihat ayahnya hidup gembira dan bahagia dengan ibu baharu mereka, andai ada jodoh suatu hari nanti.  

Namun, Ilham sedar bukan senang kedua-dua adiknya untuk bersetuju dengan keputusan ayah mereka, terutamanya Ikhwan.

Pun begitu, Ilham tidak berkata apa-apa kerana dia teringin juga mendengar apa kata Izhar dan Ikhwan terlebih dahulu sebelum menyatakan pandangan.

Ilham tidak mahu kesilapan kedua berlaku sekali lagi seperti tadi.

Izhar pula berkerut-kerut dahinya dan sesekali menaikkan kening matanya.  Tetapi tidak pula dia bersuara, sebaliknya mendiamkan diri seribu bahasa. 

Sebenarnya, Izhar tidaklah ingin membangkang keinginan ayahnya itu. Cuma, kini berlegar-legar banyak persoalan dalam fikirannya. 

Siapakah bakal ibu tirinya?  Macam mana rupanya? Di mana ayahnya berjumpa dengan wanita itu?  Baik dan cantikkah dia? 

Reaksi Ikhwan? Seperti yang Pak Ghazali sudah duga, cucu bongsunya pasti tidak bersetuju dengan hasrat ayahnya.

Muka Ikhwan memang bertukar keruh sekali sebaik sahaja Pak Ghazali menyampaikan hasrat ayahnya.  Ikhwan menundukkan wajah dan menyilangkan tangan di dada. Sesekali dia meramas-ramas kedua-dua tangan.
Bukan itu sahaja matanya sudah merah berair seperti mahu menangis. Keadaan sunyi seketika.
Tiba-tiba, muncul Mak Tijah sambil menatang dulang berisi teko dan beberapa cawan.
“Hai! Senyap je semua ni. Tengok TV ke atau buat benda lain.  Hah! Ini nenek
bawak kopi dan goreng keropok. Moh! Minum dan makan keropok ni sambil
tengok tv dan  borak-borak.”  Pelawa  Mak Tijah sambil mula menuangkan air
kopi dalam cawan yang ditatang atas dulang tadi.
Sebenarnya, Mak Tijah bukan tidak dengar perbualan Pak Ghazali dengan cucu-
cucunya tadi. Malah, sepanjang berada di dapur, Mak Tijah curi-curi pasang
telinga mendengar perbualan mereka.
Mak Tijah jugalah yang mencadangkan kepada Pak Ghazali untuk membuka cerita
terlebih dahulu kepada cucu-cucunya. Jika perlu, baharulah  Mak Tijah akan
bersuara. 
Sengaja dia berpura-pura buat tidak tahu hal apa yang dibincangkan.  Mak Tijah
tidak mahu suasana itu menjadi tegang dan paling dirisaukannnya jika ada di antara cucunya berasa kecewa dengan tertekan dengan keputusan anak tunggalnya, Radzi.  
“Pak Aji…apa lagi minumlah kopi itu. Asyik ajak budak-budak ini berborak aje,”
ujar Mak Tijah.

Pak Ghazali tidak menjawab dan cuma tersengih-sengih dengan pelawaan Mak
Tijah.

Mak Tijah kemudian, pura-pura batuk tetapinya matanya tidak lepas memandang
pada cucu bongsunya, Ikhwan.

“Wan…janganlah bersedih sangat. Ayah  belum pun buat keputusan muktamad lagi. Ayah baharu menyatakan hasratnya. Wan kena banyak bersabar dan jangan ikut perasaan. Walau apa keputusan ayah, pastinya Wan tetap ayah sayang.  

"Setiap perkara ada baik dan ada buruknya.  Yang baik itulah kita ambil dan sentiasa
banyak berdoa kepada Allah, agar semua dipermudahkan.”  

Lembut sekali Mak Tijah menasihat dan memujuk Ikhwan.

“Nenek, Wan takutlah dapat ibu baharu nanti semuanya berubah. Mula-mula itu okey
jelah, mana tahu lama-lama semua tak macam dulu lagi,” Ikhwan suarakan
kebimbangannya.

“Wan…Along rasa kita semua kena bagi peluang kepada ayah. Lagipun, bukannya
dalam masa terdekat ini, ayah hendak kahwin.  Banyak masa lagi.  Kita pun boleh kenal-kenal dulu dengan bakal ibu baharu itu.”  Ilham sudah berani bersuara menyatakan pandangannya, namun masih tetap berhati-hati menutur kata.

Bimbang pula adik-adiknya akan berasa hati dan menganggapnya hanya mementingkan diri sendiri pula.

“Yalah Wan. Angah rasa kita ada banyak masa lagi untuk berkenalan dan mengenali hati budi bakal emak tiri kita. Janganlah risau dan sedih sangat. 

"Kita perlu juga kasihan pada ayah. Sejak arwah Mama pergi, ayah yang uruskan semuanya untuk kita. 

"Kadang-kadang, Angah pun kasihan tengok ayah, ada masa kelam kabut dan nampak penat kerana segala-galanya dia nak buat untuk kita. Kita tidaklah  boleh pentingkan diri sendiri.

“Kalau ayah dah suka, kita kenalah beri sokongan  padanya. Apa salahnya kita tolong dan bagi peluang pada ayah kali ini. Ayah  sudah banyak berkorban untuk kita.

“Lagipun, bukan senang ayah hendak sukakan seseorang. Kalau ayah kata hendak
berkahwin itu, maknanya wanita itu mesti baik dan istimewa,”  Izhar pula
memberikan pandangan sambil  cuba memujuk Ikhwan.

Kali ini, Ikhwan hanya menundukkan kepala sahaja.

Pak Ghazali sekali lagi cuba menerangkan segala-galanya kepada ketiga-tiga
cucunya. Pak Ghazali turut menasihatkan cucu-cucunya supaya jangan sesekali
menolak takdir Allah jika sudah suratan bahawa ayah mereka akan berkahwin
sekali lagi.

Katanya, perkara sebegitu bukanlah sesuatu  mustahil akan berlaku dalam sesebuah
keluarga yang kehilangan orang yang disayangi. 

Tambahnya, mencari pengganti bukan bermakna untuk melupakan insan disayangi yang sudah tidak ada di dunia ini tetapi untuk kelangsungan dan memulakan kehidupan baru ke arah lebih baik.

Pak Ghazali tidak menafikan, memang ada baik dan buruknya jika mempunyai ibu
tiri, namun sebagai hamba Allah kita boleh terus berdoa untuk mendapatkan
kebahagiaan dan dipermudahkan segala-galanya.
  
Paling penting kata Pak Ghazali, masing-masing perlu ikhlas memberi dan menerima, Insya-Allah  semua akan berjalan dengan baik.  

Panjang lebar Pak Ghazali memberikan nasihat dan pandangannya. Baginya perkara yang diberitahu dan dibincangkan malam itu,  bukan perkara kecil malah sememangnya hal penting  yang  memerlukan pengertian daripada Iham, Izhar mahupun Ikhwan.

Jika boleh,  Pak Ghazali tidak mahu seorang pun cucu-cucunya terasa hati dan sedih ataupun  salah faham dengan kehendak serta keputusan bapa mereka.

Mak Tijah yang duduk di sebelah Pak Ghazali tidak pula menyampuk kali ini.
Sebaliknya, turut menjadi pendengar setia seperti ketiga-tiga cucunya.

Namun, sesekali Mak Tijah mencuri-curi dan bersilih ganti memandang reaksi
serta riak muka ketiga-tiga cucunya.

Seperti mana Pak Ghazali, Mak Tijah turut menyimpan harapan yang sama kepada
ketiga-tiga cucu agar mengerti  dengan keputusan bapanya.

“Baiklah. Hari pun dah lewat malam. Atuk harap kamu fikirlah baik-baik dan jika
boleh setuju sajalah apa yang ayah  kamu nak buat. Sekarang, pergilah semua
masuk tidur.

“Tutuplah televisyen itu. Kamu semua pun macam sudah tidak berminat lagi hendak menontonnya.” Ujar Pak Ghazali.