Wah! Sedapnya Masakan Nenek
Teks Nor Affizar Ibrahim
Bab 13
“Ilham!
Ikhwan! Izhar! Jangan pergi jauh-jauh. Hari dah tengahari ni. Kejap
lagi kita nak balik,” jerit Pak Ghazali kepada ketiga-tiga cucunya.
Hari itu,
masuk kali kedua Pak Ghazali membawa ketiga-tiga cucunya pergi menjala.
Semalam, mereka berempat pergi juga menjala malangnya tidak banyak hasil
tangkapan.
Oleh sebab
itulah Izhar dan Ikhwan memujuk datuknya dan beriya-iya mengajak untuk menjala lagi.
Akhirnya, terpaksalah Pak Ghazali bersetuju tetapi dengan
syarat, hari itu adalah yang terakhir tida kira sama ada hasil
tangkapan banyak ataupun sebaliknya.
Pak
Ghazali bukan tidak suka hendak melayan kerenah cucu-cucunya tetapi badannya
tidak kuat sangat sejak-sejak akhir ini. Badannya cepat sangat
berasa letih.
Semalam,
sebelum masuk tidur seluruh badannya berasa sengal-sengal. Nasib baik Mak Tijah
hendak tolong picit-picitkan badannya. Lega sikitlah badannya tetapi yang Pak
Ghazali tidak sanggup ialah mendengar leteran Mak Tijah.
“Tulah,
kan Jah dah cakap jangan turutkan sangat kehendak budak-budak. Ayah Aji degil.
Dah sakit-sakit macam ni, tahu pulak cari kita ni. Ingatlah, Ayah
Aji tu bukan muda macam 10 tahun dulu. Sekarang ni, bukan boleh sangat buat
kerja-kerja berat dan lasak. Tulang dah banyak reput-reput,” leter Mak Tijah
malam tadi tanpa henti-henti.
“Aduh!
Aduh! Sakit lah. Perlahan-lahanlah sikit. Kalau marah sekalipun, janganlah
picit kuat-kuat sangat. Abang ni tinggal tulang je, daging dah tak de sangat
pun,” rayu Pak Ghazali meminta Mak Tijah memperlahankan tekanan picitan pada
tubuhnya yang sakit-sakit itu.
“Tahanlah
sikit. Bukan kuat pun Jah picit ni. Kalau tak picit macam ni, mana boleh elok,”
jawab Mak Tijah.
Hampir
sejam jugalah Mak Tijah mengurut dan menyapukan minyak angin pada tubuh Pak
Ghazali. Sambil mengurut, Mak Tijah terus-terusan membebel.
Ilham,
Izhar dan Ikhwan sesekali ada menjenguk ke bilik datuk dan nenek mereka,
terutama apabila Pak Ghazali mengerang kuat menahan kesakitan apabila diurut
Mak Tijah.
“Atuk
ok ke! Alahai kasihan pulak Atuk. Nenek, biar Angah gantikan dan tolong urut
Atuk.” Izhar menawarkan diri menggantikan neneknya ketika menjengah
ke bilik. Kasihan pula Izhar apabila melihat berkerut-kerut muka Pak Ghazali
menahan sakit.
Pada masa
sama, Izhar turut simpati dengan Mak Tijah yang kudratnya tidak seberapa itu
setia mengurut tubuh Pak Ghazali. Sesekali nampak tercungap-cungap dan turun
naik nafas Mak Tijah ketika mengurut.
“Tak
apalah Angah. Biar nenek kamu aje yang mengurut. Lagipun, sudah lama Atuk tak
bermanja dengan nenek kau ini. Walaupun tangan nenek kau sudah kedut-kedut dan
tenaganya tak kuat lagi, badan Atuk tetap berasa lega dan segar sikit apabila
kena urut. Atuk rasa, sebab nenek kau ni urut dengan penuh kasih
sayang. Itu yang atuk rasa segar. Seronok dapat manja-manja macam ini.” Selamba
dan menyeringai aje Atuk menjawab.
Mak Tijah
mencebik muka dan pada masa sama, sempat juga dia mencubit paha Pak Ghazali.
“Adui!
Sampai hati kita dicubitnya.” Pak Ghazali yang tidak sempat mengelak dicubit
mengaduh kesakitan.
“Ah!
Rasakanlah. Nak mengada-ngada pulak. Sudah tua-tua gini, malulah sikit dengan
cucu-cucu itu.” Mak Tijah menjawab dengan rasa geram.
Izhar yang
masih tercegat di depan pintu bilik itu berderai ketawa melihat gelagat datuk
dan neneknya.
Kemudian,
muncul pula Ilham dan Ikhwan apabila mendengar suara bising-bising itu.
“Kenapa
atuk, nenek?” Terus sahaja Ilham bertanya.
“Emm…tak
ada pe. Atuk dan nenek ini, pasangan romantik dan manja-manja lagi. Jomlah kita
ke depan tengok TV, biarkan atuk dan dengan nenek berdua. Jangan kacau daun!”
Izhar menjawab sambil tergelak.
Malam itu,
Pak Ghazali tidur dengan lena hingga ke subuh. Penangan urutan
tangan kedut Mak Tijah, ternyata buatkan badannya rasa segar kembali dan tidur
malamnya menjadi tenang.
Oleh sebab
itulah, pagi itu Pak Ghazali tidak menolak permintaan cucu-cucunya untuk pergi
menjala sekali lagi.
“Atuk!
Atuk! Hari ini tangkapan kita boleh tahanlah. Lepas ni tentu nenek tidak bising
lagi.” Izhar gembira sekali melihat hasil tangkapan hari itu.
“Ye…lah
Baguslah tu. Sekarang cepat kemas, sekejap lagi nak masuk Zuhur. Kalau lambat
balik, tentu nenek bising lagi,” Pak Ghazali yang bimbang hari semakin tinggi,
menggesa cucunya berkemas.
“Hah…
betul cakap Atuk. Cepat ambil barang yang nak dibawa balik. Balik rumah nanti,
mandi dan bersihakan badan. Lepas tu kita boleh sembahyang berjemaah
bersama,” Ilham turut menggesa adik-adiknya.
Sebagai
abang dan anak sulung, Ilham memang sentiasa menunjukkan contoh yang baik
kepada kedua-dua adiknya.
******************************************************************************************************
Lauk pauk
sudah terhidang di atas meja.
“Wow…banyaknya
lauk tengahari ini,” Izhar seronok sangat melihat aneka lauk sebaik saja duduk
mengadap meja makan.
“Bukan
banyak aje tapi semuanya nampk sedap. Mana nak makan dulu ni,” ujar Ikhwan yang
turut teruja dengan pelabgai lauk pauk dihidangkan.
“Macam ni
kalau hari-hari gemuklah kita,” sampuk Ilham pula turut tersengih-sengih
melihat mewahnya rezeki depan mata.
Pak
Ghazali dan Mak Tijah berbalas senyum melihat gelagat cucu-cucunya.
Sudah lama
suasana riuh itu tidak dirasai. Kalau mereka berdua sahaja di rumah, memang
terasa sunyi sedikit, bahkan lauk yang dimasak pun ala kadar saja.
“Hah…cepatlah
duduk kita sama-sama makan. Dua lauk ni baru aje nenek masak. Makanlah
kenyang-kenyang sebab lauk itu hasil penat lelah kamu semua hari ini,” Mak
Tijah menyuruh cucu-cucunya segera mengadap rezeki yang terhidang.
Ilham,
Izhar dan Ikhwan makan dengan penuh berselera masakan Mak Tijah.
Menu
tenghari hari ini macam-macam termasuklah, ikan keli berlada yang
mana ia adalah antara hasil tangkapan menjala hari itu. Mak Tijah juga
masakkan lauk udang masak cili padi bersama belimbing serta ayam
goreng kicap.
Hidangan sayur pula kangkung yang digoreng bersama belacan. Sayur
kangkung yang tumbuh di belakang rumah itu baru aje Mak Tijah petik pagi tadi.
“Nek,
makan masakan nenek ni teringat Izhar pada arwah Mama. Mama pun pandai masak
macam nenek. Kadang-kadang, bila Izhar bawa bekal masakan Mama kawan-kawan kat
sekolah mesti puji,” tiba-tiba Izhar membuka cerita mengenai arwah ibu mereka.
“Betul nek. Arwah masakan Mama memang sedap. Kawan-kawan Wan pun ramai yang puji. Nek
nak tahu, ayah juga masak sedap. Dulu, masa Bibik tak ada ayahlah yang masak
tapi lepas Bibik ada, ayah dah kurang masak.
“Bibik
masak bukan tidak sedap cuma kadang-kadang Wan tak berapa nak makan. Tak
tahulah mengapa. Kalau ada arwah Mama tentu hari-hari Wan dapat makan sedap,”
Ikhwan pula meluahkan rasa hatinya.
“Izhar…Ikhwan,
kalau kita rindukan dengan arwah Mama, jangan asyik ingatkan masakannya saja.
Tapi lebih baik kita sedekahkan Al-Fatihah dan doakan kesejahteraan arwah
Mama,” Ilham mengingatkan kedua-dua adiknya.
Mak Tijah
tersenyum memandang cucu-cucunya.
“Macam
mana kalau ayah cari Mama baharu untuk kamu semua?” Tiba-tiba Pak Ghazali
mengajukan soalan itu.
Soalan itu
membuatkan tiga pasang mata memandang wajah Pak Ghazali.
Mak Tijah
tidak pula berkata apa-apa, sebaliknya dalam senyap memerhatikan reaksi satu
demi satu ketiga-tiga cucunya.
“Kenapa
Tok, ayah ada kata nak kahwin lagi ke? Wah! Ini cerita baru.” Ilham bertanya
dengan nada ingin tahu yang amat sangat.
“Kalau
dapat Mama yang baik okeylah juga tapi jika garang dan tak pandai masak macam
arwah Mama, tak naklah. Tapi kalau cantik, lemah lembut dan pandai masak okey
juga dapat Mama baru,” Izhar memberikan pendapatnya.
“Mana
boleh ayah kahwin lagi. Angah bolehlah cakap macam tu sebab Angah dengan Along
duduk di asrama yang ada kat rumah, Ikhwah seorang. Tak pasal-pasal Ikhwan kena
berhadapan dengan mak tiri garang.
“Ikhwan
tak mahulah ayah kahwin lagi. Kalau ayah kahwin jugak Ikhwan nak duduk kat
kampung dengan atuk dan nenek.” Ikhwan protes dan
memuncungkan bibir.
“Dah
sudah-sudah tu. Sekarang ni kita depan rezeki. Tak elok cakap banyak sambil
makan. Sekarang ni cepat makan dan habiskan nasi tu. Lepas makan, nak bincang
pasal hal ni, nenek tak kisah. “ Mak Tijah menyampuk sambil cuba meredakan
keadaan.
No comments:
Post a Comment