Teks Nor Affizar Ibrahim
Apa kata kalau ayah kahwin?
BAB
14
Selepas sembahyang
Isyak berjemaah semua berpakat untuk menonton televisyen.
Waktu ini, jam sudah
pun menunjukkan 9.45 malam.
Agak menarik juga
cerita malam itu hingga menyebabkan Ilham,
Izhar dan Ikhwan begitu asyik
menonton tayangan cerita itu.
Sesekali, Ikhwan dan Izhar
melopong kerana terkejut dan mencebikkan tanda meluat apabila melihat
beberapa babak yang terdapat dalam cerita itu.
Pak Ghazali yang baru
menghabis mengaji kemudian menyertai ketiga-tiga beradik itu.
Sementara itu, Mak
Tijah leka di dapur. Ada sahaja kerja
yang ingin dibuatnya.
Tadi Ilham berkali-kali
menyatakan ingin membantunya tetapi Mak Tijah memberitahu tidak perlu
dan menyuruhnya menonton televisyen bersama adik-adiknya .
Disebabkan khidmatnya
tidak diperlukan, Ilham pun turut menyertai Izhar dan Ikhwan menonton
televisyen.
“Kusyuk nampak, seronok
ke ceritanya?” Atuk menyapa ketiga-tiga beradik itu sambil melabuhkan
punggung di sofa dan duduk di sebelah Ikhwan.
“Haah Atuk! Seronok Tuk.
Cerita ni kisah mak tiri garang. Teruk anak tirinya kena pukul. Marah tak tentu
pasal aje, kasihan budak perempuan tu.
"Kalaulah Angah, dah lama Angah keluar
dari rumah. Dan kalau dapat peluang, memang Angah gigit tangan mak tiri
itu sebab suka-suka aje nak pukul.
"Bukan
besar pun kesalahan budak
perempuan itu. Pecahkan gelas aje. Itu pun tak sengaja
terlanggar. Sudahlah macam itu, asyik hendak jerit-jerit
aje mak tirinya. Tak boleh ke cakap
elok-elok.
"Depan bapa budak perempuan itu, pandai pulak berlakon konon
sayangkan anak tiri itu.” Izhar
memberitahu sinopsis cerita drama yang ditonton mereka.
“Ya Atuk. Menyampah
tengok emak tirinya. Teruklah mak
tirinya Tuk. Mula-mula nampak baik sangat
sebelum kahwin tetapi sudah kahwin tunjuk belang.
"Anak tirinya hari-hari kena pukul apabila ayahnya
tak ada di rumah. Silap sikit pun nak rotan,” Izhar
terus mengulas.
“Ala itukan cerita
drama. Dah pengarah suruh macam tu, tentulah mak tiri tu kena garang. Sekarang ni ramai mak tiri yang baik-baik. Kadang-kadang ada mak tiri yang manjakan
lebih-lebih anak tirinya.
"Ada mak tiri tidak berkira dengan anak tirinya dan macam-macam dibelikan. Ditatang macam minyak yang penuh. Tak semua emak tiri
garang sebenarnya. Tengok
drama memanglah dramatik sangat dan mestilah ada adengan garang, menangis-nangis
dan sedih. Barulah penonton suka tengok,” Pak Ghazali menangkis cakap cucunya
itu.
“Apa pun Atuk, Wan
fikir ayah tak payahlah cari Mama baharu. Wan duduk dengan Bibik pun tidak kisah.
Wan tak naklah emak baharu. ”
Ikhwan meluahkan apa yang difikirkan dan masih
tidak boleh melupakan perkara dibincangkan di meja makan tadi.
“Atuk, betul ke ayah
nak kahwin ?” Tiba-tiba Ilham yang asyik mendengar luahan hati adik-adiknya
mengajukan soalan.
Semua mata beralih
memandang Iham. Tiada siapa pun bersuara. Ini membuatkan Ilham berasa bersalah
bertanyakan soalan itu.
“Along ini
memandai-mandai aje, kata ayah hendak berkahwin. Iwan tidak sukalah, kita tak perlu
pun Mama baharu,” sangkal Ikhwan.
Mendengar kata-kata
Ikhwan itu, bertambahlah rasa kesal Ilham bertanyakan soalan itu.
Dalam hatinya berbisik.
“Patutnya aku tanya secara senyap-senyap aje pada atuk pasal hal ini.
Kenapalah gatal sangat mulut aku ini, bertanya soalan itu depan adik-adik.”
Pak Ghazali masih
mendiamkan diri. Langsung tidak memberi jawapan “ya” ataupun sebaliknya.
Pak Ghazali
kemudiannya, mengambil suratkhabar dan seolah-olah pura-pura tekun membaca.
Gelagat Pak Ghazali yang acuh tak acuh
menambahkan rasa resah pada Ilham, Izhar
dan Ikhwan.
Cerita di televisyen,
tiba-tiba tidak lagi menarik minat ketiga-tiga mereka. Sebaliknya, mereka
bertiga terus memandang gelagat Pak Ghazali dan menantikan jawapan daripadanya.
Melihat ketiga-tiga
cucunya terus tidak melepaskan pandangan kepadanya, Pak Ghazali akhirnya
melipat surat khabar yang kononnya
dibaca itu dan meletakkannya kembali
di atas meja.
“Sudah terlanjur kamu
semua cakap dan bertanyakan hal ini Atuk
nak cakap dan berbincang dengan kamu
semua malam ni. Sebenarnya, apa yang Atuk
nak bincang ini hal penting
juga dan sekarang dengar baik-baik,”
kata Pak Ghazali.
Pak Ghazali sambil
membetulkan duduk di atas sofa, merenung satu persatu cucu-
cucunya.
“Muka Atuk serius aje
ni mesti benar-benar hal penting.”
Iham yang semakin tidak sabar untuk mengetahui perkara
sebenar, dapat merasakan ada hal penting
yang Pak Ghazali hendak sampaikan
dan kemungkinan besar ia akan
membabitkan mereka tiga
beradik.
Jika tidak, kenapa Pak Ghazali begitu sukar dan mengambil
masa agak lama hendak mengatur tutur
kata. Selalunya, lancar aje Pak Ghazali berkata-kata atau pun
bercerita.
Pak Ghazali sekali lagi
menarik nafas sebelum mengeluarkan sebarang kata-kata.
“Atuk tahu kamu semua
sayangkan arwah Mama tetapi kamu semua kena ingat yang pergi tetap
pergi. Sebenarnya, sebelum ayah kamu berangkat bekerja ke Dubai, ada hal penting
yang sudah Atuk, nenek dan ayah kamu bincangkan.”
Ketiga-tiga beradik itu
tidak berkata apa-apa dan terus mendengar dengan teliti apa yang ingin
dikatakan oleh datuk mereka.
Sesungguhnya, mereka memang tidak sabar untuk
mengetahui apa yang ingin disampaikan
Pak Ghazali.
“Macam ni…ayah kamu ada
beritahu Atuk yang dia ada berkenan dengan seseorang dan amat
berharap, kamu semua setuju jika dia ingin berkahwin lagi.
“Kamu semua kan tahu,
arwah Mama dah beberapa tahun pergi. Jadi Atuk rasa, memang sudah sampai
masanya ayah kamu berkahwin lain. Kamu pun sudah besar dan sudah boleh terima
hakikat apa yang berlaku.
"Atuk harap,
korang semua dapatlah terima
keputusan ayah kamu itu. Kasihan, ayah kamu
sudah lama hidup sorang tidak berteman.
Kamu semua tidaklah perlu risau, walaupun ayah kamu berkahwin
lain, kamu tiga beradik masih dan tetap anak-anaknya.
"Dan Atuk percaya, kasih sayang ayah kamu tidak pernah sedikit pun
berkurangan pada kamu semua. Berilah peluang kepada ayah kamu untuk bina hidup
baharu.”
Akhirnya terluah juga apa yang
ingin Pak Ghazali sampaikan
kepada ketiga-tiga cucunya.
Memang payah sekali Pak
Ghazali hendak menyampaikan hal itu. Selepas
solat Isyak tadi, di dalam
bilik lama juga Pak Ghazali berkira-kira dan berfikir-fikir, macam mana hendak
memulakan perbualan dengan ketiga-tiga cucunya untuk membangkitkan hal itu.
Pak Ghazali perlu berhati-hati menuturkan kata kerana
tidak mahu ada di antara
cucu-cucunya
yang’tersentap’ mendengar hasrat ayah mereka.
Paling dirisaukan ialah Ikhwan yang
terlalu mentah untuk memahami situasi ayahnya.
Kalau boleh, Pak
Ghazali mahu tiada seorang pun cucunya
akan terluka atau berduka dengan khabar
berita itu.
Meskipun, sebelum ini
Pak Ghazali dan Mak Tijah berasakan berita yang keluar dari mulut Radzi sendiri
itu adalah antara berita gembira yang sememangnya mereka nanti-nantikan.
Bagi Mak Tijah dan Pak
Ghazali, sudah sampai masanya Radzi mencari calon baru untuk suri hatinya.
Moga dengan adanya isteri baharu nanti, akan lebih terurus hidup Radzi dan ketiga-tiga
anaknya.
Mak Tijah dan Pak
Ghazali sememangnya sudah lama mengharap, Radzi akan dapat bertemu pengganti
yang secocok selepas arwah isterinya suatu hari nanti.
Selepas mendengar
kata-kata Pak Ghazali, Ilham hanya mengangguk-anggukkan kepala. Sebagai anak sulung dan sudah semakin matang,
mungkin tidak sukar untuknya memahami
hasrat ayahnya itu.
Cuma Ilham berharap,
selepas ada pengganti nanti kasih sayang ayahnya tidak berbelah bahagi. Ilham juga ingin melihat ayahnya hidup
gembira dan bahagia dengan ibu baharu
mereka, andai ada jodoh suatu hari nanti.
Namun, Ilham sedar
bukan senang kedua-dua adiknya untuk bersetuju dengan keputusan ayah mereka,
terutamanya Ikhwan.
Pun begitu, Ilham tidak
berkata apa-apa kerana dia teringin juga mendengar apa kata Izhar dan Ikhwan
terlebih dahulu sebelum menyatakan pandangan.
Ilham tidak mahu
kesilapan kedua berlaku sekali lagi seperti tadi.
Izhar pula
berkerut-kerut dahinya dan sesekali menaikkan kening matanya. Tetapi tidak pula dia
bersuara, sebaliknya mendiamkan diri seribu bahasa.
Sebenarnya, Izhar
tidaklah ingin membangkang keinginan ayahnya itu. Cuma, kini
berlegar-legar banyak persoalan dalam fikirannya.
Siapakah bakal ibu tirinya? Macam mana rupanya? Di mana ayahnya berjumpa
dengan wanita itu? Baik dan cantikkah
dia?
Reaksi Ikhwan? Seperti
yang Pak Ghazali sudah duga, cucu bongsunya pasti tidak bersetuju dengan hasrat
ayahnya.
Muka Ikhwan memang bertukar
keruh sekali sebaik sahaja Pak Ghazali menyampaikan hasrat ayahnya. Ikhwan menundukkan
wajah dan menyilangkan tangan
di dada. Sesekali dia meramas-ramas kedua-dua tangan.
Bukan itu sahaja
matanya sudah merah berair seperti mahu
menangis. Keadaan sunyi
seketika.
Tiba-tiba,
muncul Mak Tijah sambil menatang dulang berisi teko dan beberapa cawan.
“Hai! Senyap je
semua ni. Tengok TV ke atau buat benda lain.
Hah! Ini nenek
bawak kopi dan
goreng keropok. Moh! Minum dan makan keropok ni sambil
tengok tv dan borak-borak.”
Pelawa Mak Tijah sambil mula
menuangkan air
kopi dalam cawan
yang ditatang atas dulang tadi.
Sebenarnya, Mak
Tijah bukan tidak dengar perbualan Pak Ghazali dengan cucu-
cucunya tadi.
Malah, sepanjang berada di dapur, Mak Tijah curi-curi pasang
telinga
mendengar perbualan mereka.
Mak Tijah
jugalah yang mencadangkan kepada Pak Ghazali untuk membuka cerita
terlebih dahulu
kepada cucu-cucunya. Jika perlu, baharulah
Mak Tijah akan
bersuara.
Sengaja dia
berpura-pura buat tidak tahu hal apa yang dibincangkan. Mak Tijah
tidak mahu
suasana itu menjadi tegang dan paling dirisaukannnya jika ada di antara
cucunya berasa kecewa dengan tertekan dengan keputusan anak tunggalnya,
Radzi.
“Pak Aji…apa lagi
minumlah kopi itu. Asyik ajak budak-budak ini berborak aje,”
ujar Mak Tijah.
Pak Ghazali tidak
menjawab dan cuma tersengih-sengih dengan pelawaan Mak
Tijah.
Mak Tijah kemudian,
pura-pura batuk tetapinya matanya tidak lepas memandang
pada cucu bongsunya,
Ikhwan.
“Wan…janganlah bersedih
sangat. Ayah belum pun buat keputusan
muktamad lagi. Ayah baharu
menyatakan hasratnya. Wan kena banyak bersabar dan jangan ikut perasaan. Walau apa
keputusan ayah, pastinya Wan tetap ayah sayang.
"Setiap perkara ada baik dan
ada buruknya. Yang baik itulah kita
ambil dan sentiasa
banyak berdoa kepada
Allah, agar semua dipermudahkan.”
Lembut
sekali Mak Tijah menasihat dan
memujuk Ikhwan.
“Nenek, Wan takutlah
dapat ibu baharu nanti semuanya berubah. Mula-mula itu okey
jelah, mana tahu
lama-lama semua tak macam dulu lagi,” Ikhwan suarakan
kebimbangannya.
“Wan…Along rasa kita
semua kena bagi peluang kepada ayah. Lagipun, bukannya
dalam masa terdekat
ini, ayah hendak kahwin. Banyak masa
lagi. Kita pun boleh kenal-kenal dulu dengan
bakal ibu baharu itu.” Ilham sudah
berani bersuara menyatakan pandangannya,
namun masih tetap berhati-hati menutur kata.
Bimbang pula
adik-adiknya akan berasa hati dan menganggapnya hanya mementingkan diri
sendiri pula.
“Yalah Wan. Angah rasa
kita ada banyak masa lagi untuk berkenalan dan mengenali hati budi
bakal emak tiri kita. Janganlah risau dan sedih sangat.
"Kita perlu juga kasihan pada
ayah. Sejak arwah Mama pergi, ayah yang uruskan semuanya untuk kita.
"Kadang-kadang, Angah pun kasihan tengok ayah, ada masa kelam kabut dan
nampak penat kerana segala-galanya dia nak buat untuk kita. Kita tidaklah boleh pentingkan diri sendiri.
“Kalau ayah dah suka,
kita kenalah beri sokongan padanya. Apa
salahnya kita tolong dan bagi peluang
pada ayah kali ini. Ayah sudah banyak
berkorban untuk kita.
“Lagipun, bukan senang
ayah hendak sukakan seseorang. Kalau ayah kata hendak
berkahwin itu, maknanya
wanita itu mesti baik dan istimewa,”
Izhar pula
memberikan pandangan
sambil cuba memujuk Ikhwan.
Kali ini, Ikhwan hanya
menundukkan kepala sahaja.
Pak Ghazali sekali lagi
cuba menerangkan segala-galanya kepada ketiga-tiga
cucunya. Pak Ghazali
turut menasihatkan cucu-cucunya supaya jangan sesekali
menolak takdir Allah
jika sudah suratan bahawa ayah mereka akan berkahwin
sekali lagi.
Katanya, perkara
sebegitu bukanlah sesuatu mustahil akan
berlaku dalam sesebuah
keluarga yang
kehilangan orang yang disayangi.
Tambahnya, mencari pengganti bukan bermakna untuk
melupakan insan disayangi yang sudah tidak ada di dunia ini tetapi untuk kelangsungan
dan memulakan kehidupan baru ke arah lebih baik.
Pak Ghazali tidak
menafikan, memang ada baik dan buruknya jika mempunyai ibu
tiri, namun sebagai
hamba Allah kita boleh terus berdoa untuk mendapatkan
kebahagiaan dan
dipermudahkan segala-galanya.
Paling penting kata Pak
Ghazali, masing-masing perlu ikhlas memberi dan menerima,
Insya-Allah semua akan berjalan dengan
baik.
Panjang lebar Pak
Ghazali memberikan nasihat dan pandangannya. Baginya perkara yang diberitahu
dan dibincangkan malam itu, bukan
perkara kecil malah sememangnya hal
penting yang memerlukan pengertian daripada Iham, Izhar mahupun Ikhwan.
Jika boleh, Pak Ghazali tidak mahu seorang pun cucu-cucunya
terasa hati dan sedih ataupun salah faham dengan kehendak serta keputusan
bapa mereka.
Mak Tijah yang duduk di
sebelah Pak Ghazali tidak pula menyampuk kali ini.
Sebaliknya, turut
menjadi pendengar setia seperti ketiga-tiga cucunya.
Namun, sesekali Mak
Tijah mencuri-curi dan bersilih ganti memandang reaksi
serta riak muka
ketiga-tiga cucunya.
Seperti mana Pak
Ghazali, Mak Tijah turut menyimpan harapan yang sama kepada
ketiga-tiga cucu agar
mengerti dengan keputusan bapanya.
“Baiklah. Hari pun dah
lewat malam. Atuk harap kamu fikirlah baik-baik dan jika
boleh setuju sajalah
apa yang ayah kamu nak buat. Sekarang,
pergilah semua
masuk tidur.
“Tutuplah televisyen
itu. Kamu semua pun macam sudah tidak berminat lagi hendak menontonnya.”
Ujar Pak Ghazali.
No comments:
Post a Comment