Friday, August 16, 2019

Kek batik



Teks Nor Affizar Ibrahim

Kek Batik





Bahan-bahan:

1 paket biskut Marrie 350 gm
1 buku mentega 250gm
1 ¾ cawan gula
10 biji telur
15 sudu besar Milo
4 sudu besar serbuk koko
1 sudu kecil vanilla
4 sudu besar oren Sunquick





Cara-cara membuatnya:

1. Pukul mentega dan gula sehingga kembang.
2. Masuk telur satu persatu.
3. Masukkan Milo dan serbuk koko.
4. Masukan oren Sunquick dan vanilla.
5. Panaskan bancuhan di atas api sederhana dan kacau sehingga masak (lebih kurang 20-25 minit).
6. Masukkan biskut Marrie yang sudah dipatah-patahkan dalam bancuhan dan gaul sehingga rata.
7. Apabila sudah rata cepat-cepat masukkan dalam bekas yang sudah disalut mentega dan tepekkan menjadi rata.
8. Biarkan sejuk dan siap.






Thursday, August 15, 2019

Rehatlah Nora Anne


Oleh Nor Affizar Ibrahim

Rehatlah Nora Anne


Pencarian 10 hari remaja warga Ireland, Nora Anne Quoirin yang , dilaporkan hilang ketika menginap di resort The Dusun, Pantai, di Seremban, Negeri Sembilan  bersama keluarganya membawa khabar duka apabila mayatnya ditemui kira-kira dua kilometer dari resort berkenaan.
Berita sedih itu pastinya bukan sahaja dirasakan oleh keluarganya tetapi ramai pihak, khususnya yang mengikuti perkembangan kes kehilangan remaja itu  sejak hari pertama kejadian.
Sebaik sahaja berita kehilangan remaja yang mengalami masalah  holoprosencephaly atau lembam  itu tersebar, ramai  berdoa dan berharap, dia dapat cepat ditemui semula dan selamat kembali ke pangkuan keluarganya.
Sepanjang pencarian Nora Anne, doa dan sokongan orang ramai sentiasa mengiringi keluarga malang itu.
Malah, kes kehilangan Nora Anne bukan sahaja diikuti masyarakat tempatan, tetapi juga seluruh dunia.
Benarlah kata  keluarga itu,  Nora Anne berjaya menyatukan semua pihak terutama Perancis, Ireland, Britain dan Malaysia dalam misi mencarinya secara bersama.
Kenyataan itu yang dikeluarkan di Facebook Lucie Blackman Trust, sebuah perbadanan amal yang menguruskan hal ehwal berkaitan media untuk keluarga mangsa menyatakan, Nora Anne menyentuh hati bukan saja rakyat Malaysia tetapi juga seluruh dunia.
Selain itu, ahli keluarga turut menyifatkan Nora sebagai gadis yang istimewa dan seorang yang menyeronokkan, lucu serta sangat penyayang.

Kata keluarganya, remaja berusia 15 tahun itu tidak seperti remaja lain dan tidak akan ke mana-mana bersendirian.

Nora Anne menghidap ‘Holoprosencephaly’ sejak lahir iaitu mengalami masalah mempunyai saiz otak yang lebih kecil berbanding individu lain.

Lebih kasihan, sepanjang hayatnya, Nora Anne banyak meluangkan masa di hospital. Ketika lahir, dia memerlukan pembedahan untuk membantunya bernafas.

Beberapa pakar kesihatan memantau tumbesarannya, kebolehan fizikal, kekuatan terutama keupayaan mentalnya.

Nora memerlukan pemantauan pakar pendidikan yang khusus dan ditempatkan di sekolah untuk kanak-kanak dan remaja yang mempunyai masalah berkomunikasi serta pembelajaran.

Kenyataan itu turut menyebut, Nora Anne turut berbangga kerana dapat bertutur dalam Bahasa Perancis dan Inggeris. Namun, kebolehannya untuk berkomunikasi secara lisan adalah terhad.

Nora Anne membaca seperti kanak-kanak dan dia boleh menulis dengan banyak. Dia mempunyai daya ingatan yang baik tetapi tidak memahami apa-apa secara konseptual.

Dia juga tidak memahami matematik dan tidak pandai menggunakan wang, selain membuat atau menjawab panggilan telefon.

Walaupun begitu, Nora Anne mampu mandi dan memakai pakaiannya sendiri. Cuma dia menghadapi kesukaran untuk memasang butang dan membasuh rambutnya.

Sebelum ini, dia pernah ke Asia serta Eropah dan tidak pernah terpisah dengan keluarga atau tersesat.
Nora Anne juga sangat sensitif, malah pemalu dan akan resah terhadap orang luar.
Setiap malam, dia akan meluangkan masa bersama ibunya sebelum tidur.

Nora Anne dikatakan, sangat teruja untuk bercuti di Malaysia bersama keluarganya.

Itu antara perwatakan dan ciri-ciri yang dimikili Nora Anne yang dikongsikan oleh keluarganya.
Betapa, dia begitu disayangi dan diberikan perhatian sepenuhnya oleh keluarga. Justeru, kehilangannya pasti sesuatu yang merisaukan dan membuatkan keluarga menjadi tidak keruan.
Namun, akhirnya jawapan kehilangan Nora Anne ditemui dan  takdir Tuhan mengatasi segala-galanya apabila mayat remaja itu ditemui pada hari ke-10 pencariannya.
Mayatnya dijumpai jam 1.57 tengahari dan disahkan oleh polis, selepas keluarganya membuat pengecaman.
Mayat remaja itu ditemui oleh pendaki yang menyertai pasukan mencari dan menyelamat (SAR) yang dimulakan,selepas menerima laporan kehilangannya pada 4 Ogos lalu.
Dengan penemuan mayat itu secara tidak langsung, kes kehilangan sudah pun menemui titik noktah.

Mesikpun, mayat Nora Anne ditemui dalam keadaan sempurna dan baik, terdapat beberapa persoalan yang menyelubungi benak fikiran semua pihak.

Sehinggakan pelbagai spekulasi timbul dan meresahkan orang ramai.

Bagaimanapun, semua jawapan terlerai apabila hasil bedah siasat yang dijalankan terhadap mayat Nora Anne, mendapati punca kematian disebabkan kebocoran usus akibat tidak makan dalam tempoh panjang dan stres berpanjangan.
Hasil bedah siasat oleh pakar patologi yang memakan masa 10 jam turut mendapati remaja warga Ireland itu mati dalam masa dua ke tiga hari sebelum ditemui.
Tiada luka lain atau kesan jenayah pada mayat Nora Anne selain calar kecil pada kaki serta tiada kesan dirogol.
Dengan semua kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa itu, maka terlerailah segala persoalan.
Hanya simpati yang dapat diucapkan kepada keluarga Nora Anne kerana pemergian insan disayangi untuk selama-lamanya.

Pastinya, tragedi yang menimpa mereka sekeluarga sesuatu yang tidak mudah dilupakan begitu sahaja.

Namun, diharapkan keluarga Nora Anne dapat menerima takdir ini.

Moga kejadian ini tidak berulang atau berlaku kepada sesiapa. 

Damailah Nora Anne di sana.

Rest now dear Nora Anne...



\INFO:
Rentetan Kehilanagn Nora Anne Quoirin
3 Ogos 2019 – Nora Anne Quoirin, 15, remaja Ireland tiba di Resort The Dusun Pantai Hill, Seremban, Negeri Sembilan bersama keluarganya untuk bercuti.

4 Ogos 2019 – Remaja perempuan yang mempunyai masalah pembelajaran itu disedari hilang oleh ahli keluarganya apabila tiada di bilik penginapannya jam 8 pagi.
Polis menerima maklumat kehilangan mangsa daripada pemilik resort selepas dimaklumkan oleh seorang ahli keluarga remaja itu. Polis melakukan misi pencarian membabitkan bomba dan anggota polis dari Unit Anjing Pengesan (K9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan.

5 Ogos 2019 – Pihak berkuasa termasuk polis dan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) mengawal ketat kawasan Resort The Dusun Pantai Hill, lokasi Nora Anne dilapor hilang.


8 Ogos 2019 -Operasi SAR masuk hari kelima, diteruskan dengan kekuatan 247 anggota dari pelbagai agensi keselamatan dan diketuai oleh Unit Senoi Praaq Polis Diraja Malaysia (PDRM).Khidmat helikopter Pasukan Gerakan Am PDRM turut digunakan dengan tambahan teknologi yang lebih canggih bagi mengesan gadis tersebut.Inisiatif lain yang diambil adalah dengan memainkan rakaman suara ibu Nora Anne memanggil remaja itu dengan panggilan manja menerusi pembesar suara sepanjang SAR.
12 Ogos 2019- Operasi SAR masuk hari kesembilan, diteruskan dengan kekuatan 348 anggota dari pelbagai agensi keselamatan.  Ganjaran sebanyak RM50,000 ditawarkan oleh keluarga Nora Anne kepada mana-mana pihak yang dapat memberi maklumat untuk menjejaki Nora Anne.Pasukan polis Ireland, England dan Perancis turut membantu PDRM menyiasat kes kehilangan Nora Anne.
13 Ogos 2019 - Operasi SAR masuk hari ke-10, mayat seorang wanita berkulit putih ditemui oleh sekumpulan pendaki di Gunung Berembun kira-kira 2.5 kilometer dari resort The Dusun Pantai Hilll/ Mayat telah dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban menggunakan helikopter. Pihak polis sahkan bahawa mayat yang ditemui adalah Nora Annesetelah ahli keluarga remaja itu membuat pengecaman.


Tuesday, July 2, 2019

Ilmu diajar seiring adab


Teks Nor Affizar Ibrahim


Ilmu diajar seiring adab


Lega rasanya apabila media melaporkan, isu pelajar perempuan yang dirotan guru lelaki kerana mengejek cikgu pondan, berakhir dengan baik dan mencapai kata sepakat oleh semua pihak terbabit.

Malah, ibu bapa pelajar berkenaan juga sudah pun menarik balik laporan polis yang dibuatnya, sebelum ini.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Khalil Kader Mohd.
Khabarnya, , satu pertemuan antara mereka telah diatur bersama-sama dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan esok

Jalan penyelesaian terbaik akan dicari buat kedua-dua pihak, bagi mendapatkan situasi menang-menang, tanpa perlu membabitkan undang-undang.

Apa pun, isu cikgu merotan murid dan mengakibatkan kesan atau lebam pada tubuh serta campur tangan ibu bapa, sebenarnya bukanlah isu baharu.

Malah, terdapat juga kes guru yang dikenakan hukuman penjara dan dibuang kerja akibat didapati bersalah merotan anak murid hingga menyebabkan kecederaan.

Malang sungguh, jika ini berlaku dan terus berlaku dalam masyarakat kita hari ini.

Lazimnya, apabila timbul isu ini mulalah berlaku tuduh menuduh antara pihak terbabit, sekali gus menimbulkan pelbagai emosi dan sentimen.

Lebih menyedihkan, apabila isu seumpama ini menjadi viral dan berlakulah pula ‘campur tangan’ orang luar atau netizen yang boleh menambahkan lagi buruk keadaan.

Apabila hal seperti ini timbul, sepatutnya ia dijernihkan secepat mungkin tetapi apa yang sering berlaku, menjadi berpanjangan.

Hinggakan, orang luar yang tidak tahu hujung pangkal menokok tambah cerita yang tidak sepatutnya.

Akhirnya, bertambahlah lagi kemelut dan konflik antara pihak terbabit.

Dalam kes berlaku baru-baru, pujian harus diberikan kepada beberapa pihak terbabit yang berjaya menangani segera isu ini dengan sebaik mungkin dan dengan cara yang penuh berhemah.

Tidak dinafikan keadilan sangat penting bukan saja kepada pihak murid, tetapi juga kepada pihak guru berkenaan.                                                                                                  

Namun, yang perlu perlu pelajari sesuatu daripada kes yang berlaku ini ialah cara untuk menanganinya secara menyeluruh kerana ia membabitkan adab seorang pelajar terhadap gurunya dan reaksi guru terhadap situasi luar jangka..

Bagi ibu bapa pula, selalulah berpesan kepada anak anda hormatilah guru mereka setiap masa.

Ini kerana ilmu itu diajar seiring dengan adab. Oleh sebab itulah orang berilmu adalah orang yang beradab. Orang yang beradab akan hormat pada sumber ilmu iaitu gurunya.

Jika murid tidak menghormati guru dan menunjuk lagak masing-masing, tidak mendengar kata, melawan kata-kata guru dan sebagainya maka jelas sekali itu memang tiada adab.

Kalau tiada adab maknanya, tiadalah ilmu yang akan masuk ke jiwa dan minda.


Thursday, June 20, 2019

8 Tips Tingkatkan Kemahiran Menulis


Teks Nor Affizar Ibrahim 

11 tips tingkatkan kemahiran menulis 


Menulis artikel, cerita atau rencana adalah sesuatu yang seni. 
Ia bukan seperti anda minum secawan kopi, basahkan tekak dan dapat  merasai nikmatnya.

Kemudian, esoknya anda bancuh lagi untuk mengecapi rasa keenakan air kopi itu sekali lagi. Nikmat secawan air kopi itu hanya kita sahaja yang dapat mengecapinya.
Ia tidak seperti menulis artikel. Menulis artikel, sebenarnya lebih daripada itu.

Kita menulis bukan untuk kepuasan diri sendiri sendiri sahaja tetapi juga untuk orang lain.
Pendek kata, ‘nikmat’ menulis itu untuk dapat dirasai atau dijiwai oleh semua walaupun artikel itu hasil penulisan kita.

Manfaatnya pula bukan diperolehi untuk seorang dua dapat tetapi jika boleh biarlah berantaian dari satu ke satu orang dan dikongsi seramai mungkin.

Oleh sebab itulah apabila menulis artikel, kita jangan sesekali mengabaikan kualiti.

Artikel biasa-biasa, syok sendiri atau sekadar ala kadar dan melepaskan batuk di tangga, tidak boleh membawa anda ke peringkat seterusnya..

Untuk itu, kita mesti terus belajar mengenai teknik menulis dan sesekali dapatkan tips menulis.

Kali ini, saya ingin berkongsi beberapa tips untuk meningkatkan kemahiran penulisan artikel.


1. Tidak kisahlah panjang atau pendek

Jangan risau mengenai panjang atau pendek artikel anda. Saya tahu, ada yang risau apabila atikel ditulis amat pendek. Bimbang apa yang ditulis tidak kesampaian untuk pembaca.

Harus ingat, bahawa menulis artikel ini adalah untuk mengembangkan kemahiran anda menulis.

Oleh itu, tulislah apa yang terdaya atau apa yang terlintas dalam fikiran anda ketika itu. Idea akan datang dari semasa ke semasa.

Bermula daripada penulisan artikel yang pendeklah ia akan berkembang menjadi artikel yang panjang.

Namun, anda harus ingat, pengisian adalah lebih penting. Apa guna hasil penulisan artikel yang panjang sedangkan isinya kosong!

Paling menyedihkan, anda yang sendiri menulis pun tidak faham apa yang ditulis. Jadi, bagaimanakah dengan orang lain?

2. Tulis awal pagi

Ini adalah sesuatu yang menarik. Banyak penulis yang serius dan profesional  lebih suka menulis kandungan mereka pada waktu pagi.

Kebanyakan berpendapat, waktu pagi membolehkan mereka menulis artikel segar.Suasana pagi seolah-olah agak tenang dan bertenaga dapat membantu mereka memperbaiki kemahiran menulis artikel mereka.

Mungkin anda boleh mencubanya dan tukarlah waktu menulis anda.

3. Menjadi pembaca baik

Membaca adalah perkara wajib bagi seorang penulis yang ingin membina dan meningkatnya gaya penulisannya

Oleh itu jadilah pembaca yang baik. Melalui pembacaan, idea dan fikiran anda akan membolehkan anda berfikir dan membiarkan diri anda tersedia untuk menulis pada topik tertentu.

Hasilnya, penulisan anda, mempunyai isi kandungan yang baik dan bermaklumat.

4. Mudah difahami

Cara menulis anda perlulah mudah difahami.  Jangan belit-belit dan terlalu banyak bermain bahasa yang orang lain tidak faham.

Dalam penulisaan, nyatakanlah pandangan anda dengan cara yang mudah dan sesuai. Ini akan membantu pembaca menghargai apa yang anda tulis.

5. Tulis di lokasi bebas

Untuk menulis, anda perlukan suasana tenang, damai dan rehat, sekali gus mudah anda menumpukan sepenuh perhatian dan jiwa anda kepada penulisan itu.

Oleh itu pilihlah lokasi bebas yang dapat memberikan anda suasana seperti it. Ini penting untuk  mengalihkan fikiran ada dan terus leka dalam berkarya,

Elakkan juga aktiviti rangkaian sosial dan telefon bimbit anda yang boleh menghilangkan konsentrasi anda. Jika anda sibuk mahu ‘melayannya’ maka tidak mustahil kerja dilakukan akan tergendala dan tidak menghasilkan apa yang anda harapkan.

6. Lakukan penyelidikan sebelum menulis
Sebelum anda memulakan kerja penulisan, lakukanlah penyelidikan yang teliti mengenai topik tertentu yang akan anda tulis.
Ia akan meningkatkan pengetahuan anda mengenai topik itu dan anda akan dapat menulis secara bebas dan bermaklumat.
Mempunyai pengetahuan yang lebih mendalam akan menjadikan anda unik dalam bidang ini.

7. Berikan diri anda masa tertentu
Walaupun anda sudah mempunyai pengetahuan dan memiliki semua bahan yang disudah diteliti dengan rapi, anda juga perlu menjadi diri sendiri.
Rutin anda setiap hari pastinya sibuk.  Justeru, anda perlu memisahkan beberapa masa dan memberikan masa tertentu untuk kemahiran menulis anda.
Anda mesti mempunyai masa yang tepat untuk memahami pengetahuan lebih mendalam, untuk menulis artikel diinginkan.
Menulis bukan hanya satu hari pekerjaan. Oleh kerana itulah anda perlu memulakan aktiviti ini secepat mungkin (A.S.A.P) setiap hari dan berikan diri anda masa tertentu untuk menyiapkannya.

8. Tulis secara teratur
Jika ingin menjadi seorang penulis yang baik, anda mesti membuat kebiasaan menulis secara teratur.
Untuk itu, anda perlu mengikuti langkah-langkah disarankan di atas. Saya pasti petua ini akan berguna untuk andapada masa akan datang. Oleh itu, bersabarlah dan buat sendiri untuk menulis secara teratur.
­

Wednesday, June 12, 2019

Raikan Syawal Dengan Penuh Keikhlasan



Raikan Syawal dengan penuh keikhlasan

Teks Nor Affizar Ibrahim



Hari ini sudah masuk hari ke-8 kita meraikan Hari Raya Aidilfitri.

Bagi kebanyakan warga kota yang beraya di kampung halaman, sudah pun pulang semula ke ibu kota dan memulakan tugasan seperti biasa.

Bermakna, ibu kota yang selama seminggu ini lengang kembali ‘bernyawa’ dengan kesesakan kenderaan dan manusia yang sentiasa sibuk terkejar-kejar ke sana sini.

Hampir seminggu pulang ke kampung halaman dan melepaskan rindu serta mengeratkan lagi silaturrahim dengan keluarga dan sanak saudara di kampung, tentunya memberikan satu kepuasan.

Syukur juga diucapkan kerana tahun ini, kita masih dapat melalui Ramadan dan meraikan Syawal.

Tidak kiralah sama ada sambutan itu dibuat secara bermewah-mewahan, bersederhana atau ala kadar yang pasti, kita masih dapat bersama dan menjalinkan ukhwah dengan penuh kasih sayang.

Tahun ini, hijau zamrud dikatakan, antara warna pilihan untuk pakaian raya.  Jadi, tidak hairanlah ramai yang mengenakan pilihan baju warna itu.

Tetapi tanpa tema warna sedondon pun, kita masih boleh menyambut hari raya dalam suasana riang, meriah dan penuh kesyukuran.

Ini kerana semuanya bermula daripada hati yang ikhlas dan keupayaan kita menghayati serta memahami erti kesyukuran yang sebenar.

Jadi, teruskanlah menyambut meraikan hari raya dengan kasih sayang, saling bermaafan dan jiwa yang bersih.  

Yang pasti, seperti tahun-tahun sebelum ini, ada sahaja pelbagai cerita mengenai sambutan hari raya. Ada yang mencuit hati, melucukan, sedih dan menyayatkan hati serta pelbagainya.

Cerita sedih seperti berita kematian dan kemalangan atau mala petaka, tentu sahaja kita tidak suka menerima khabar seumpama itu, lebih-lebih lagi dalam suasana gembira kita menyambut Aidilfitri.

Namun, siapa kita untuk menolak qada dan qadar. Ujian seumpama itu jika berlaku kepada kita, seharusnya diterima dengan reda dan dihadapi dengan tabah serta sabar. Anggaplah semua yang berlaku ada hikmah di sebaliknya.

Selain itu, ada juga beberapa cerita viral yang mewarnai sambutan Aidilfitri tahun ini. Antaranya, kisah anak dan ibu yang tertinggal di R&R sehinggakan ramai netizen yang memberikan pelbagai komen negatif dan tanggapan buruk kepada keluarga terbabit.
Bagaimanapun, pesan saya janganlah cepat menghukum kerana perkara seumpama itu boleh sahaja berlaku kepada sesiapa.
Mungkin, hari ini hari mereka dan tidak tahu pula bila pula hari kita. Jadi, janganlah lemparkan kata-kata yang tidak enak didengar kepada keluarga terbabit.
Selain itu, terdapat juga kisah anak kucing kena dera. Cerita seperti ini memang sepatutnya tidak dibiarkan berlaku kerana ia satu penganiayaan kepada haiwan yang tidak berdosa.
Manusia yang dikurniakan Allah dengan akal fikiran waras tidak sewajarnya bertindak di luar batas kemanusiaan.
Bagaimanapun, dalam banyak cerita viral tahun ini, kisah pemberian  duit raya RM5 daripada seorang anak saudara kepada ibu saudaranya antara yang menarik perhatian.

Rasa-rasanya, tidak perlulah merungut atau berkecil hati apabila menerima duit raya yang jumlahnya tidak seperti diharapkan.

Terimalah setiap pemberian itu dengan rasa syukur dan ucapan terima kasih.

Sepatutnya, kita perlu berasa gembira menerima kunjungan tetamu kerana ia juga sebagai tanda ingatan dan kasih sayang daripada mengharapkan wang ringgit atau hadiah yang diberikan.

Dengan berbaki 22 lagi sambutan hari raya, saya berharap kunjung-mengunjungi dapat diteruskan dan semoga semuanya berjalan dengan baik serta mengeratkan lagi kasih sayang antara tua dan muda.

Selamat hari raya!



Wednesday, May 29, 2019

Belanjalah berhemah


Teks Nor Affizar Ibrahim

Belanjalah berhemah



Hari Raya Aidilfitri semakin dekat. Ini juga bermakna, Ramadan semakin hampir kita tinggalkan.

Terasa masa cepat sangat berlalu.

Ketika ini, mungkin ada yang sudahpun membuat persiapan untuk menyambut lebaran, khususnya bagi yang mempunyai anak kecil. Malah, ada yang sudah pun membuat persiapan lebih awal lagi iaitu sebelum puasa bermula.

Maklum, jika ada anak kecil dan ramai pula tentu sahaja banyak persiapan perlu disiapkan. Justeru, ada yang mengambil langkah membuat persiapan awal untuk memastikan bajet mencukupi dan tidak tersasar.

Namun, ada juga yang suka membuat persiapan menyambut Aidilfitri di saat-saat akhir. Antara sebabnya kerana tiada masa untuk pergi membeli-belah kerana sibuk dengan urusan kerja.

Ada juga yang membuat keputusan untuk membuat persiapan di saat akhir kerana beranggapan, harga barangan ditawarkan lebih murah dari biasa.

Tidak kiralah, sama ada anda membuat persiapan awal atau pun di saat-saat akhir hingga ‘terkucil’ dibuatnya, harap semuanya berjalan lancar.

Paling penting, jangan mudah terpengaruh dengan jualan murah yang tidak logik masuk akal sehingga akhirnya terpedaya dan mengalami kerugian.

Selain itu, pastikanlah bajet untuk berbelanja membuat persiapan Aidifitri sesuai dengan sumber kewangan sendiri.

Jangan main ‘belasah’ beli apa sahaja yang dikehendaki, sebaliknya tengok-tengoklah kocek dan dompet anda.

Kita tidak mahulah lepas balik bercuti hari raya ini, ada yang terkebil-kebil dan memikirkan cara macam mana hendak cari duit yang sudahpun habis dibelanjakan dek kerana membuat persiapan hari raya.

Ingat! Jangan sudah terhantuk baru hendak terngadah.

Monday, May 27, 2019

Damailah di sana

Damailah di sana

Teks Nor Affizar Ibrahim


Berbaki lebih kurang 10 hari lagi Ramadan.

Seperti tahun-tahun sebelumnya, beberapa kisah tragedi dan pilu kematian berlaku pada bulan Ramadan. Begitu jugalah yang berlaku pada tahun ini.

Antara tragedi pilu Ramadan tahun ini ialah kematian usahawan kosmetik Faziani Rohban Ahmad, 40, yang juga pengasas produk kecantikan jenama Dnars Skincare.

Allahyarham maut manakala suaminya cedera selepas kereta jenis Toyota Estima yang dinaiki terlibat dalam kemalangan jalan raya di Pattani, Thailand pada awal Ramadan lalu

Dalam kejadian pada pukul 10.30 pagi itu, suaminya, Ahmad Shah Rizal Ibrahim, 42, mengalami kecederaan.

Kemalangan berlaku semasa Faziani dalam perjalanan ke rumah anak-anak tahfiz bagi memberikan sumbangan. Beliau meninggal dunia di tempat kejadian.

Dalam satu laporan di akhbar, anaknya, Ainul Atiya Ahmad Shah Rizal, 18, menceritakan,  mereka sekeluarga sempat bersahur bersama ibu dan ayahnya sebelum mereka bertolak ke pondok di Pattani yang menjadi rutin bulanan menyampaikan wang zakat di sana. 

Namun, pemergian kali ini bertukar tragedi.

Memang sungguh memilukan pemergian, Allahyarham. Perginya untuk selama-selamanya meninggalkan dunia fana ini ketika dalam melakukan amal jariah dan dalam niat suci.

Justeru, ramai yang ‘mencemburui’ pemergian arwah. Kebaikan arwah di sebut- sebut. Ramai berpendapat, ia salah satu tanda kematian husnul khotimah.

Meninggalnya pulak pada fasa kedua ramadan iaitu fasa pengampunan dan dalam perjalanan menginfakkan hartanya ke jalan Allah serta baru kembali dari menunaikan umrah.

Malah, selepas jasadnya Allahyarham disemadikan, satu persatu kebaikan yang dilakukannya diceritakan ramai pihak.

Allahyarham disifaitkan seorang yang tidak kedekut dan suka memberikan hadiah kepada ramai orang.

Pemergian arwah bukan sahaja dirasakan oleh suami, anak-anak, ahli keluarganya dan rakan-rakan tetapi juga memberi kesan terhadap 55 pekerjanya.

Ini kerana usahawan itu disifatkan sebagai majikan yang sering menjaga kebajikan pekerjanya.

Laporan dalam Sinar Harian, berkongsi cerita dengan beberapa pekerjanya mengenai kebaikan Allahyarham sebagai majikan.

Antaranya, pekerjanya, Mohd Mahzam Ismail,23,  berkata, walaupun Allahyarham tegas dalam urusan kerja tetapi dia seorang majikan yang sangat baik dan pemurah.

"Setiap hari bermula satu Ramadan, Allahyarham sediakan lauk-pauk seperti ayam percik dan kuih-muih untuk dibawa balik berbuka puasa dengan keluarga.

"Kami juga diminta datang solat tarawih beramai-ramai di rumahnya sepanjang Ramadan ini dan sebelum puasa kami diberi beras dan barang keperluan dapur," katanya.

Moga roh arwah ditempatkan dalam  kalangan orang yang beriman dan beramal soleh.

Salam takziah buat keluarga. Mungkin juga lebaran tahunan ini tidak akan sama lagi tahun-tahun sebelumnya.

Bagaimanapun, diharapkan semoga keluarga arwah terus tabah berdepan dengan kehilangan orang disayangi.

Saya juga mengharapkan moga pengakhiran hidup kita semua dalam keadaan Husnul.Khotimah.

AL-Fatihah!