Thursday, October 18, 2018

Beauty & the beast

Beauty & the beast

Apabila saya bercerita, pernah berjumpa dan menembual pelakon jelita Bollywood dan pernah dijulang sebagai Ratu Cantik Dunia 1994/1995, Aishwarya Rai, ramai yang teruja.

“WOW!” Itu antara reaksi diberikan.
“Cantik tak dia?”  Itu antara soalan yang banyak ditanya.

Sudah pun nama Ratu Cantik Dunia – jawapannya tentulah cantik dan jelita!


Jemputan jenama terkenal
Saya bertemu dengan pelakon jelita itu pada  awal Ogos 1999 di Singapura, sempena pelancaran kempen terbahaaru jenama jam tangan mewah,  Longines, Elegance is an Attitud .  
Saya dijemput oleh Swatch Group untuk membuat liputan mengenai pelancaran jenama, lawatan ke butik jam tangan Longines dan diberikan peluang menemubual one to one dengan Aishwarya sebagai duta jenama itu.
Saya difahamkan, pemilihannya sebagai duta Longines berdasarkan personaliti dan imej ditonjolkan, seiring dengan falsafah jenama itu.


Pujaan ramai
Tidak silap saya, ketika itu pelakon itu sedang hangat digosipkan bercinta  dengan pelakon kacak Bollywood, Salman Khan.
Nama Aiswhwarya ketika itu juga sedang melonjak naik kerana kebanyakan filem lakonannya mendapat sambutan hebat.

Kalau tanya, apa perasaan saya apabila mendapat tugasan itu. Bagi saya, biasa sahaja sebab ketika itu saya memang tidak mengikuti langsung kisah atau cerita artis Bollywood itu.  Apabila diberikan tugasan, baharulah saya ‘menyelongkar’ cerita dan latar belakangnya. Ia untuk persiapan sesi temubual antara saya dengan artis itu yang sudahpun
diatur oleh penganjur.

Sebenarnya, sebelum ini tugasan yang membabitkan artis Bollywood memberikan sedikit keresahan dalam kalangan wartawan hiburan tempatan. Melalui cerita rakan wartawan hiburan, saya mendapat tahu artis Bollywood  ini ‘terkenal’ kurang disiplin dari segi masa.

Kelewatan mereka menghadiri sesuatu majlis atau undangan kadang-kadang agak melampau. Sehinggakan, majlis itu terpaksa ditunda berjam-jam lewatnya semata-mata untuk menanti kehadiran mereka.
Pernah terjadi, seorang menteri terpaksa menunggu lama berjam-jam menanti kedatangan artis Bollywood  bagi menjayakan satu acara.   

Apabila mendapat tugasan ini, saya berharapkan perkara kelewatan ini tidak akan timbul. Namun, jangkaan saya silap!


Terkena juga
Acara pada malam hari untuk pelancaran kempen, kelibat Aishwarya langsung tidak muncul.  Penganjur memberitahu, artis itu mungkin kepenatan kerana terpaksa melalui penerbangan jauh. Sudahnya, malam itu hanya berlangsung pelancaran tanpa duta jenama itu.

Mengikut jadual, saya akan menemubual dengan Aishawarya pada keesokan paginya. Lalu, sekali lagi saya berharap kemunculan artis itu tepat pada waktunya.

Alhamdulillah! Lega rasanya kerana pada keesokan harinya Aishawarya menepati masa. Tepat pada waktu sememangnya penting kerana setiap wakil media hanya diberi 20 minit untuk menemubual. Jadi, jika dia terlewat  sudah tentu masa temubual semakin singkat diperuntukkan untuk setiap  wakil media. Kalau dah sekejap sahaja, berapa banyaklah
soalan yang boleh ditanya?

Terpukau kecantikan


Namun, saya akui agak gementar juga untuk berdepan dengan Aishawarya , apatah lagi dia adalah antara artis  Bollywood yang bijak.

Saya akui, terpegun seketika dengan kecantikan artis yang dilahirkan di Mangalore, India itu sebaik saja masuk ke dalam bilik temubual dan bertentang mata dengannya.
Walaupun dia mengenakan penampilkan sederhana dan memilih rona serba hitam, kejelitaannya sungguh terserlah.

Saya paling suka memandang mata bundar dan biji matanya yang kehijauan, malah sepanjang tembual itu beberapa kali saya mencuri-curi menatapnya.  Dalam hati saya berkata, kalau saya seorang wanita mengagumi kecantikan dimilikinya, apatah lagi orang lelaki!

Seperti dijangka, Aishawarya memang bijak berkata-kata. Setiap soalan diaju dijawab dengan tenang dan lancar. Satu semangat yang saya kagumi mengenai dirinya ialah kebanggaan dan semangat patriotik pada tanah tumpah kelahirannya.

Paling saya ingat, dia memberitahu tidak akan lupa asal usulnya sekalipun hidupnya dilimpahi dengan glamor dan populariti.

Untuk soalan terakhir pada sesi temubual itu, saya menanyakan apakah kebaikan yang ingin dilakukannya sebelum menutup mata dan meninggalkan dunia yang fana ini. Tanpa teragak-agak dia terus menjawab;

“Saya ingin mendermakan biji mata saya. Bagi saya, apa yang saya miliki bukan hak sepenuhnya  dan saya gembira dapat menggembirakan orang  lain,” jawabnya.

Terus saya berkata dalam hati, siapalah agaknya yang bertuah mendapat biji matanya itu!

Berjalan lancar


Temubual yang diberikan masa 20 minit, tidak sangka berlanjutan 
menjadi 35 minit. Puas hati saya kerana dapat bertanyakan banyak soalan walaupun berkali-kali penganjur memberikan isyarat supaya saya berhenti mengajukan soalan.

Sesi seterusnya adalah lawatan ke butik jam tangan.  Memang saya tidak duga sama sekali, beratus-ratus peminat Aishwarya di Singapura sudah tidak sabar menanti dan menyambut kedatangannya di butik yang dilawati. 

Mereka berebut-rebut dan bertolakan antara satu sama lain, semata-mata untuk melihat lebih dekat  dengan bintang pujaan mereka. Justeru, terpaksalah kawalan ketat diberikan kepada artis jelita itu.

Pada ketika itulah, saya berasa bangga dan bertuah berada bersama serta boleh
mendekati Aishwarya sedangkan orang lain terpaksa berasak-asak untuk melihat dan mengambil gambarnya.

Apabila penganjur mengajak saya bergambar dengan Aishwarya , teragak-agak juga hendak berkata ‘ya’. Sebabnya, saya sudah terbayangkan kecantikan Aishwarya  itu pasti akan ‘menenggelamkan’ saya.  

Tetapi apabila memikirkan saya mungkin tidak akan dapat lagi   berjumpa dan  bertentang mata dengan artis jelita itu, saya pun bersetuju bergambar bersama.

Ternyata, betul! Selepas dua minggu, gambar yang diambil itu  dikirimkan kepada saya. Melihat gambar itu, saya boleh rumuskan, seperti Beauty and the Beast!  

Gambar itu sehingga kini masih ada lagi dalam simpanan.  Setiap kali rakan lain meminta menunjukkan gambar itu sebagai bukti bahawa saya pernah berjumpa dan menemubual Aishwarya Rai, sehingga kini memang saya tak kan tunjukkan! 

Namun, khusus untuk pembaca blog ini, saya kongsikan buat kali pertama gambar saya bersama bintang popular dan jelita itu. 





No comments:

Post a Comment