Bakti guru pedalaman
Kerjaya sebagai guru tidak dapat dinafikan,
sememangnya mulia. Pengorbanan yang dilakukan oleh seorang guru untuk mendidik
anak bangsa, hakikatnya tidak dapat dibalas dengan wang ringgit.
Bercerita mengenai pengorbanan guru, ia
mengingatkan saya kisah dua guru muda yang ditugaskan di hutan belantara dan jauh
dari arus pembangunan moden.
Mereka ditugaskan mengajar di Sekolah Kebangsaan Telanok di perkampungan Orang Asli Rengles di Cameron Highlands.
Saya membuat liputan ke kawasan ini pada
tahun 2003 kerana mengikuti kerja amal anjuran sebuah hotel terkemuka yang
ingin menyampaikan sumbangan kepada penduduk asli di kampung berkenaan.
Ketika itu, perkampungan tersebut memang
tidak banyak kemudahan asas dan serba kekurangan. Malah, dari Ringlet untuk
masuk ke kampung itu mengambil masa lebih kurang satu jam.
Sakit punggung
Jalan masuk ke situ pula begitu teruk dan
hanya boleh dilalui menggunakan kenderan pacuan roda 4x4.
Letaknya pula jauh terasing di tanah tinggi
dan untuk ke situ terpaksa melalui perjalanan sukar. Yang ada dan jelas di
depan mata ialah hutan tebal mengelilingi kawasan dan sungai yang airnya
mengalir keruh menuju ke hilir.
Saya masih ingat lagi, bagaimana
terhentak-hentak dan sakit punggung saya di dalam pacuan roda 4X4 ketika
merentasi masuk ke kampung itu.
Lebih ngeri, apabila terpaksa melalui
tebing. Tangan saya sentiasa berpaut kuat pada kenderaan untuk mengelakkan
badan tercampak atau terjatuh dari tempat duduk.
Kebetulan, kawasan itu baru sahaja
disimbahi hujan lebat. Maka semakin berselut tanah merah dan menyukarkan lagi perjalanan.
Paling membimbangkan rombongan kami ialah jika berlaku, kenderaan tersangkut
akibat ditenggelami dek selut merah.
Alhamdulillah, dalam kepayahan itu, sampai
juga rombongan kami ke perkampungan itu. Saya dan rombongan bermalam sehari di kampung
itu.
Terus-terang, saya kagum dengan pengorbanan
cikgu Shaharudin Mohamad dan Faizul Shahardin dalam memastikan pendidikan anak
Orang Asli tidak tercicir daripada arus pembangunan moden.
Jika rakan-rakan seusia seronok mengecapi
kehidupan di bandar, mereka berdua sanggup ‘mengabdikan’ diri di belantara.
Selain mereka, ada dua lagi guru lain yang ditugaskan di situ.
Ketika kunjungan, hanya cikgu Shaharudin
dan cikgu Faizul yang ada manakala dua lagi mempunyai urusan di luar.
Apalah dosa saya
Cikgu Shaharudin dan cikgu Faizul ternyata begitu
gembira dengan kehadiran kami kerana memang jarang orang dari luar datang ke
tempat itu.
Malam itu, saya berbual panjang dengan
kedua-duanya sehingga tidak sedar berlanjutan hingga ke awal pagi.
"Mula-mula ditempatkan di sini memang
kecewa. Saya duduk tepi sungai dan
menung panjang sambil memikirkan, apalah dosa yang dilakukan ketika di Maktab
dulu, sehingga dicampakkan ke sini.”
Saya tertawa kecil dengan mendengar pengakuan
jujur, Cikgu Shaharudin. Kecil orangnya tetapi sentiasa berjiwa besar
mencurahkan ilmu kepada anak muridnya.
Namun, katanya tiga tahun lebih mengajar di
situ dia mulai merasai keseronokannya.
Shaharudin yang menjadi guru kerana ingin
memenuhi hasrat datuknya, berkata cabaran memang banyak mengajar di situ. Biarpun,
sekolah itu agak besar ia hanya mempunyai 64 murid dan mereka belajar dalam
Tahun Satu hingga Tahun Tiga.
“Di sini tak sama kat luar. Setiap kali
persekolahan baharu nak bermula, kami sebagai guru yang sibuk mencari anak-anak
di kampung ini untuk mendaftar masuk sekolah. Bayangkan, cikgu yang cari
murid.” Ceritanya lagi.
Katanya, kebanyakan mereka ini datang ke
sekolah kadang-kadang ikut suka hati masing-masing. Yang pening kepala, datang
lambat tetapi hendak balik cepat, manakala cuti sekolah pun, pandai-pandai
sendiri.
“Jika ada kematian pula, alamat
berhari-hari lamanya mereka tidak datang. Memang pening dibuatnya.”
Peristiwa dihambat parang dan dijentik
dengan lastik oleh masyarakat di kampung itu akibat salah faham, antara yang
melekat dalam memori Shaharudin.
“Kecut
juga pada masa itu apabila ada ibu bapa yang datang marah-marah sambil membawa
parang dan lastik. Kena jugalah tiga das lastik. Tetapi nasib baik, Tuk Batin
cepat datang menyelesaikan masalah. Kalau lambat, tidak tahulah apa hendak jadi.”
Rasa sebak
Cikgu Faizul juga kecil orangnya. Katanya,
ketika mula sampai ke kampung itu hatinya sebak melihat kedaifan di depan mata.
"Ketika baru sampai di sini, saya
tinggal di rumah papan dan guna lilin dan pelita kerana tiada bekalan elektrik.
Mandi pula kena mandi air sungai. Saya mengambil masa berbulan juga untuk
menyesuaikan diri dengan keadaan itu,” cerita cikgu Faizul.
Katanya, pada awalnya dia menghadapi masalah
untuk berkomunikasi dengan muridnya yang menggunakan Bahasa Semai sebagai bahasa
pertuturan harian mereka
“Guru bercakap Bahasa Melayu dan mereka
pula gunakan Bahasa Semai. Dalam tempoh sebulan itu, memang payah sekali hendak
berkomunikasi dengan mereka. Saya terpaksa belajar setahun bahasa mereka untuk
memahaminya, itu pun tidak sepenuhnya faham.”
Walaupun tergelak mendengar cerita itu,
saya sebenarnya turut simpati apa yang dialaminya. Ketika itu baharu saya
sedar, masih ada anak muda berjiwa kental yang sanggup berkorban dan berbakti
kepada anak bangsa.
Moga Allah sahaja yang membalas jasa guru yang banyak berjasa ini!
Moga Allah sahaja yang membalas jasa guru yang banyak berjasa ini!
No comments:
Post a Comment