Monday, October 15, 2018

Char Kuetiau Impiana

Char Kuetiau Impiana

HIDANGAN char kuetiau sememangnya tidak perlu diperkenalkan lagi kerana daripada orang dewasa hinggalah anak kecil, tahu dan tidak keterlaluan jika dikatakan ramai yang menyukainya.
Hidangan itu sedap dimakan sama ada untuk sarapan pagi, tengah hari dan petang mahupun waktu malam. Apatah lagi ia agak senang disediakan.     
Bagaimanapun, setiap individu tentu ada cara dan rahsia tersendiri untuk memasak char kuetiau demi memastikannya sedap dan tidak sama dengan hidangan yang dimasak oleh orang lain.

Kongsi resepi

Justeru,minggu ini saya menjemput Chef Junior Sous, Saipon Long Ahmad dari Restoran Tonka Bean Cafe, Hotel Impiana Kuala Lumpur untuk berkongsi rahsia dan resipi bagi menyediakan hidangan char kuetiau.
Antara kelainannya ialah menggunakan sos kuetiau dalam masakan dan untuk lebih sedap, penggunaan rencah hidangan laut seperti udang, sotong dan kerang dalam sajian dilebihkan.
Untuk tahu sedap atau tidak, selepas ini mungkin boleh mencubanya dan bandingkan juga cara masakan char kuetiau anda sebelum ini. Jika resipi yang diberikan jurumasak berpengalaman lebih sedap lagi, tidak salah jika anda ingin meniru.
           
Terima kasih: Chef Junior Sous, Saipon Long Ahmad dari Restoran Tonka Bean Cafe, Hotel Impiana Kuala Lumpur.
           


Bahan-bahan
2 sudu besar minyak masak
2 sudu kecil bawang putih
10 ekor udang harimau
100 gram isi ayam direbus separuh masak
100 gram sotong direbus separuh masak
250 gram kuetiau
2 sudu besar cili giling
50 gram tauge
50 gram daun kuchai
2 biji telur
20 gram kerang
Sos kuetiau
           
 Bahan-bahan untuk sos kuetiau
 20 gram kicap cair
 35 gram kicap pekat
 20 gram sos ikan
 35ml sos tiram
           
CARA membuat sos kuetiau;
Masukkan semua bahan ke dalam bekas dan gaul sehingga sebati.

Cara membuatnya
1. Masukkan sedikit minyak dalam kuali dan goreng bawang putih selama tiga minit. Kemudian masukkan telur.
2. Masukkan udang, ayam dan sotong yang sudah direbus separuh masak.
3. Masukkan kuetiau dan goreng sehingga wangi.
4. Kecilkan api dan masukkan cili giling dan gaul hingga sebati.
5. Masukkan sos kuetiau dan kacau hingga sebati.
6. Masukkan tauge dan daun kucai, jangan masak terlalu lama

No comments:

Post a Comment