Saturday, October 27, 2018

Peria Goreng Rangup

 
Rasa peria memang pahit menyebabkan tidak ramai yang menggemarinya. Tetapi, kata orang tua, pahit itu elok, pahit itu ubat dan sememangnya, peria banyak khasiatnya, malah boleh dijadikan hidangan enak jika kena cara memasaknya.
   
Bukan itu saja, peria atau nama saintifiknya, momordica charantia juga memberikan manfaat untuk individu menjaga kecantikan.
   
Begitulah hebatnya peria yang juga dikenali kambas, walaupun berasa pahit dan ramai yang kurang menyukai sayur itu, ternyata ia mempunyai banyak kebaikan. 

Justeru, ketepikan soal pahit dan cuba nikmati `kemanisan' yang dimiliki peria. Antara pelbagai khasiat yang terdapat dalam sayur itu ialah mengandungi protein, lemak, mineral, serat, karbohidrat, vitamin dan kalsium.
   
Khasiatnya sudah diketahui sejak zaman purba lagi. Ketika itu, peria digunakan untuk merawat beberapa penyakit seperti kencing manis, darah tinggi dan buasir. 

Begitu juga bagi wanita yang baru bersalin, disyorkan mengamalkan makan peria ketika berpantang, lebih-lebih lagi apabila sudah kehilangan banyak darah sewaktu melahirkan anak.


 Bahan:
   
 * 5 peria sederhana besar
   
 * Sedikit serbuk cili
   
 * Sedikit tepung beras
   
 * 2 sudu teh tepung jagung
   
 * 2 sudu teh kunyit
   
 * Garam secukup rasa
   
 * Minyak masak
   

Cara membuatnya:
   
 * Peria dihiris bulat dan nipis, buang tengahnya. Basuh dan toskan.
   
 * Campur semua bahan kecuali minyak dan perap selama 30 minit.
   
 * Panaskan minyak, goreng peria hingga berwarna perang dengan api yang sederhana.
   
 * Angkat dan toskan.
   
 * Siap untuk dimakan.
   

   
INFO
   
 Kebaikan peria:
   
 * Penjagaan kulit - Peria boleh menghalang jerawat tumbuh berleluasa pada kulit muka kerana mengandungi ciri penulenan darah. Kulit muka juga akan nampak lebih berseri-seri.
   
 * Perangsang imun - Minum segelas jus peria setiap pagi dapat membantu menguatkan sistem imun dalam badan. Sistem imun ibarat `pengawal keselamatan' yang menghalang penyakit menyerang.
   
 * Penjagaan mata - Peria juga seperti lobak, mengandungi karoten yang tinggi. Karoten dapat mengurangkan masalah mata.
   
 * Menurunkan berat badan - Peria dapat merangsang hati untuk rembesan jus hempedu yang sangat penting untuk meningkatkan metabolisme badan.
   
 * Baik untuk perut - Peria sememangnya ejen pencernaan yang bagus dan boleh menghalang sembelit kerana ia mengandungi selulosa yang juga sumber serat terbaik.

No comments:

Post a Comment