Friday, October 19, 2018

Ratapan Si Ibu

Ratapan si  ibu

Tiba-tiba, saya teringatkan kisah ketika membuat liputan mengenai seorang budak mati tersepit lif.

Kejadian ini memang tragis. Walaupun kisah ini sudah berlalu lebih 20 tahun, ia masih melekat dalam kepala.

Ketika ini, saya mentah lagi dalam dunia kewartawan, malah belum pun rasmi menjadi wartawan, sebaliknya hanya sebagai Wartawan Pelatih di TV3.

Pada hari kejadian itu, saya baharu sahaja balik dari satu tugasan lain. Waktu itu saya memang susah hati juga hendak balik ke bilik berita kerana tidak tahu cerita apa nak ketuk.

Tugasan pertama itu berkenaan sidang media oleh seorang menteri dan topik dibincangkan pula berkaitan politik. Maklum, budak mentah dalam dunia media, mana nak 
faham sangat pasal politik. Tak pernah ambil tahu pun! Itu yang macam orang ‘hilang arah’ sahaja.


Operasi menyelamat

Namun, apabila  sampai di bilik berita, saya terdengar editor bising dan kecoh-kecoh mencari wartawan untuk hantar buat liputan.

“Siapa ada ni? Cepat! Ada lif tersangkut. Bomba bagi tahu ini, ada operasi menyelamat. Dekat je dari opis. Cepat pergi!”

Saya  tak menyahut tetapi termanggu-manggu juga sambil tengok sekeliling siapa yang ada. Waktu itu lebih kurang jam 11.00 pagi. Waktu begini biasanya, hampir  semua wartawan keluar membuat liputan.

Disebabkan tiada sesiapa, sebaik saja terpandang muka saya, Editor terus menggesa saya pergi segera ke tempat kejadian.

Dalam hati berkata, “Ala...lif sangkut pun nak kecoh!”
Tanpa sebarang bantahan, saya pun segeralah pergi ke tempat itu bersama jurukamera.

Tiba di tempat kejadian, saya tengok ada ramai orang menunggu di bawah flat. Oleh kerana perkhidmatan lif sudah diberhentikan, terpaksalah menapak tangga (tidak silap saya lif tersangku di tingkat 9) untuk melihat kejadian lebih dekat.

Saya ajak jurugambar naik sama sebab sudah tentu saya memerlukan visual untuk buat cerita.

Malangnya, jurugambar saya ketika itu ada masalah kesihatan dan tidak terdaya untuk memanjat tangga tinggi sambil memikul kamera yang berat.

Sekujur tubuh

Lalu, naiklah saya seorang diri. Tiba di atas, langkah saya terhenti apabila melihat sekujur tubuh budak lelaki berusia dalam lingkungan 10 tahun terbaring di tepi lif itu.  

Saya sempat lihat, sebelah badannya terkulai lembik sebelum, jasadnya ditutup sepenuhnya dengan plastik hitam. Memang saya terkedu dan terasa longgar lutut melihat semua itu!

Suasana sedikit kecoh apabila mayat itu dibawa turun kerana orang ramai turut sama untuk melihat lebih dekat kejadian itu.

Tiba di aras bawah flat, saya dikejutkan lagi satu babak yang menyebakkan.

Rupa-rupanya, ibu si remaja meninggal itu baru balik dari hospital menemankan seorang lagi anak yang demam membuat pemeriksaan.  

Sangkanya, anak yang ditinggalkan di rumah sudah pun pergi sekolah. Dalam erti kata lain, si ibu itu memang tidak tahu langsung apa yang berlaku!

Sebaik dia sampai, penduduk di situ mengerumuninya.  Seorang wanita merapatinya dan terus memeluknya erat-erat  sambil menangis tersedu-sedu.

Ibu itu kelihatan termanggu-manggu dan akhirnya, dari jauh saya lihat tubuhnya longlai dan seolah-olah ingin rebah apabila mendengar khabar buruk mengenai kematian anaknya.


Berita utama

Sebagai wartawan, saya sepatutnya harus mendekati ibu berkenaan untuk bertanya soalan-soalan sepatutnya.

Namun, ternyata saya tidak mampu berdepan dengan situasi pilu itu. Mujur, jurukamera berjaya ke depan dan merakamkan semua ‘drama sedih’ itu termasuklah ratapan si ibu tadi.

Saya sama sekali tidak menyangka, tugasan yang pada mulanya dianggap remeh menjadi cerita besar!

Kematian remaja disebabkan tersepit lif menjadi antara berita utama untuk Buletin Utama hari itu.

Memang saya bangga, liputan berita saya diikuti dan disaksikan ramai penonton pada malam itu. Apatah lagi, ketika itu saya hanyalah Wartawan Pelatih.

Namun, sekujur  tubuh kecil yang diselimuti plastik hitam dan ratapan pilu si ibu menangisi kematian anaknya ternyata ‘menghantui’ saya hampir seminggu lamanya!


Al-Fatihah!

No comments:

Post a Comment