Wednesday, November 21, 2018

Berbaik dengan jiran , di barzakh dapat jiran baik

Teks Nor Affizar Ibrahim

Berbaik dengan jiran, di barzakh dapat jiran baik

Selasa lalu, cuti hari umum kerana sambutan Maulidur Rasul. Lazimnya, kalau tidak ada perancangan berjalan ke mana-mana atau ada hal lain seperti jemputan kahwin, kenduri dan sebagainya, saya akan balik ke Sungai Buloh.

Hari itu, sepanjang memandu ke Sungai Buloh dalam hati berkata-kata, bolehlah rileks dan habiskan kerja menulis untuk blog servismenulis.blogspot.com.

Lagipun, saya sudah banyak ketinggalan untuk beberapa hari ini. Bahan untuk penulisan ada tetapi mood menulis yang perlahan sangat. Memang saya cuba ‘kayuh laju’ tetapi tetap juga lambat macam kura-kura.

Jadi, dalam hati berkata, alang-alang cuti dan duduk di rumah bolehlah ‘meroket’ untuk blog servismenulis.blogspot.com.

Sampai di rumah, saya lihat ada kereta menghalang pintu pagar. Rupa-rupanya, jiran sebelah yang parkir di situ.

Mujur, dia ada di depan rumahnya. Apabila nampak kereta saya, cepat-cepat dia masuk ke rumah dan mengambil kunci kereta untuk mengalihkan keretanya.

Pada masa sama, ada sebuah lagi kereta parkir di luar pagar rumah saya yang juga hampir menutup laluan masuk ke rumah saya.

Tidak pula saya tahu siapa empunya kereta berkenaan. “Ikut suka hati dorang aje nak parkir di mana.” Getus hati saya lagi.

Jiran tadi, sebaik sahaja selepas mengalihkan keretanya, dia pun turun dari kereta dan mendekati kereta saya.

Ingatkan, lama tidak berjumpa dia ingin bertanyakan khabar tetapi rupa-rupanya hendak mengadu.

“Rumah tu (rumah saya) banyak tahi kucing, busuklah.”  Jiran itu mengadu dengan mimik muka menunjukkan tidak senang dengan bau busuk itu.

Saya cuma menjawab  – “Oh ya ke.” Tetapi dalam hati saya pula berkata, “Bukan kucing aku pun yang berak.”

Sebaik pintu pagar dibuka, saya pun parkir kereta di halaman rumah.. Memang betul, banyak betul tahi kucing dan baunya memanglah tidak menyenangkan. Betullah kata jiran saya itu.

Bersungut juga dalam hati; “Kenapalah kucing ini pilih berak di halaman rumah aku.”
Setahu saya, kucing-kucing yang datang itu bertuan tetapi dibiarkan lepas merayau ke sana sini. Yang tidak sedapnya, kucing itu membuat ‘onar’ kat rumah saya.

Sebelum ini, memang sudah berlaku beberapa kali kucing berak di rumah saya. Cuma, kali ini lebih banyak dan najis memenuhi ruang depan rumah. Sungguh sakit hati melihatnya!

Saya tidak berlengah lagi, sejurus selepas semua barang dibawa masuk ke rumah saya pun memulakan tugas membersihkan najis berkenaan. 

Lebih tiga jam jugalah saya membersihkan najis itu kerana  ada yang ‘liat’  dibersihkan kerana sudah melekat di lantai terlalu lama.

Sudahnya, hajat untuk menulis blog terbantut kerana selepas sahaja siap membersihkan halaman rumah, saya betul-betul kepenatan dibuatnya.   

Moral di sebalik peristiwa ini ialah adab hidup berjiran yang perlu diamalkan dan sikap saling hormati-menghormati.

Dalam kehidupan, kita akan berjiran dalam pelbagai situasi. Oleh sebab itulah saya pasakkan pada fikiran, untuk berusaha menjadi jiran yang terbaik terlebih dahulu. 

Saya perlu bersikap lebih banyak bersabar dan mengelakkan bermasam-masam muka dengan jiran, sekali pun ada sesuatu perkara yang tidak menyenangkan. Tidak rugi pun mengalah, malah ia mungkin membawa kebaikan.

Hidup berjiran hakikatnya, memang perlu bertolak ansur tetapi janganlah sesekali mengambil kesempatan terhadap sifat pemaaf dan kebaikan orang lain,

Saya juga yakin, apabila kita berlaku baik dengan jiran di atas muka bumi ini, insya-Allah, Allah akan balas dengan rezeki untuk berjiran dengan orang yang  baik di alam barzakh nanti.

Dengan harapan juga, semoga Allah gantikan dengan jiran yang baik di hari akhirat di dalam syurga Allah.

Ingatlah, bukan sekadar hak jiran sahaja perlu ditunai dengan baik tetapi juga usah dilupa jiran yang paling hampir dengan diri kita iaitu mmalaikat yang sentiasa mendamping dan mengiringi setiap gerak kita. 


No comments:

Post a Comment