Tuesday, November 13, 2018

Bengkel para kaunselor




Teks: Nor Affizar Ibrahim

Bengkel para kaunselor





Berkampung hampir dua minggu di Instittut Sosial Malaysia (ISM), baru-baru ini, satu pengalaman baharu kepada saya.

Apatah lagi, sudah terlalu lama saya meninggalkan ‘dunia hostel’ dan pergi ke kelas untuk belajar.

Rutin sepanjang dua minggu yang bermula pada 29 Oktober hingga 9 November lalu, sedikit sebanyak mengimbau kenangan ketika menuntut di Institut Teknologi Mara, lebih 20 tahun lalu.

Bezanya, sepanjang dua minggu itu saya sentiasa bersemangat dan seronok untuk menghadiri kelas.

Malah, sepanjang tempoh itu saya juga boleh dikatakan cukup berdisiplin. Bangun awal, kemudian bersaparan di dewan makan bersama rakan-rakan sekuliah dan tepat jam 8.30 pagi saya sudah pun berada di kelas,

Sedikit pun tidak berasa jemu, sebaliknya perasaan teruja sentiasa di hati untuk menuntut ilmu baharu.

Jemputan menghadiri Bengkel Para Kaunselor Tahap 1 dan 2 anjuran ISM, saya anggap rezeki yang begitu bermakna.

Sebenarnya, saya sudahpun menolak tawaran itu apabila memikirkan terlalu banyak cuti yang perlu dipohon untuk mengikuti itu.

Tetapi keesokan harinya, saya nekad mengubah keputusan itu. Memang, saya berasa begitu rugi jika menolak tawaran itu. Syukur, ketua jabatan membenarkan saya bercuti panjang walaupun permohonan dibuat saat akhir.

Menerusi bengkel itu saya belajar dan didedahkan ilmu asas kaunseling, bukan saja teori tetapi juga amali.

Pendedahan dan kemahiran berkenaan kaunseling asas yang dikongsikan oleh beberapa tenaga pengajar Kaunselor Berdaftar, membolehkan saya memahami prinsip dan etika kaunseling.

Seramai 18 peserta yang mengikuti bengkel berkenaan dan masing-masing datang dari pelbagai latar belakang seperti usahawan, perbankan, sumber manusia, pesara dan sebagainya.


Ilmu yang ditimba cukup bermanfaat dan pada akhir kursus kami diberikan sijil, sekali gus layak diiktiraf sebagai Para Kaunselor.

Dengan ilmu dan kemahiran baharu, saya berharap selepas ini  akan dapat lebih banyak  meluangkan masa dalam kerja sukarelawan.


No comments:

Post a Comment