Friday, November 23, 2018

Jangan susahkan orang lain

Teks Nor Affizar Ibrahim

Jangan susahkan orang lain

Melihat plat kereta Kancil saya yang terpaksa digantung dengan tali rafia dan satu nombor ditambah dengan menggunakan liquid paper serta sedikit kemek di bahagian tepinya, memang saya berasa geram!

Sudah hampir seminggu ia  berkeadaan  begitu  dan saya masih tidak berkesempatan
untuk menggantikan  plat kereta baharu.

Hanya disebabkan kedegilan dan sikap tidak bertanggungjawab oleh individu lain, saya yang terpaksa menanggung kerosakan itu.

Semua itu gara-gara kejadian kemalangan yang berlaku pada Khamis minggu lalu. Ketika saya hendak keluar dari parkir, tiba-tiba satu motorsikal yang ditunggang melanggar arus melanggar bahagian sisi kereta berkenaan.

Boleh pulak si penunggang motorsikal itu menuduh saya bawa laju. Aduhai! Sebelum dia mengeluarkan kata-kata itu, sepatutnya  dia sedar  bahawa  dia yang  terang-terang melakukan kesalahan menunggang motorsikal menongkah arus.

Sudahlah menunggang menongkah arus, topi keledar pun tak pakai.  Sudah macam-macam kempen keselamatan dibuat untuk penunggang motorsikal tetapi masih tidak ada kesedaran.

Apabila saya mempersoalkan, mengapa menunggang menyongsang jalan, dia terus membela dirinya.

“Jalan ni kan biasa, banyak motorsikal yang lalu di sini.” 

Masih lagi hendak menegakkan benang basah!  

Hormati pengguna jalan raya

Yalah biasa, jika tidak terjadi apa-apa mungkin tidak menjadi masalah.  Apabila sudah terjadi macam itu, janganlah menuding jari kat orang lain.

Malang memang tidak berbau  tetapi boleh dielakkan dengan mematuhi peraturan undang-undang jalan raya. Jangan sesekali ambil mudah, apatah lagi ia membabitkan nyawa dan keselamatan.

Bayangkan, apa akan berlaku jika kereta besar seperti  4X4 atau van dan lori yang dilanggarnya. Tentu lebih teruk kecederaan dialaminya.

Nasib baik, penunggang motorsikal itu hanya mengalami  sedikit luka pada lututnya.  Malangnya, motorsikalnya tidak boleh dihidupkan.

Melihat keadaannya, tak sampai hati pula saya hendak memanjangkan cerita membuat laporan polis dan menuntut ruginya. Reda ajelah!

Menunggang motorsikal itu memang menyeronokkan tetapi sebagai penunggang motosikal berhemah, sepatutnya tidak boleh memupuk rasa yang diri anda sahaja yang betul.

Hormatilah pengguna jalan raya yang lain supaya anda juga dihormati.

10 perkara penunggang motosikal tidak patut lakukan;



1. Tunggang dalam keadaan beremosi
2. Bertegas mengenai hak laluan
3. Berada terlalu lama di titik buta
4. Mempercayai pengguna jalan raya yang lain secara membuta
5. Tidak mengetahui had kemampuan anda
6. Memarkir secara semberono
7. Tidak mengunci motosikal
8. Tidak menggunakan laluan motosikal
9. Menyekat lorong paling kanan
10. Mengelamun

* Sumber: Motomalaya.net


   

No comments:

Post a Comment