Saturday, November 17, 2018

Cinta yang pudar


Teks Nor Affizar Ibrahim

Cinta yang pudar

Tiga hari lepas, saya mendapat khabar berita yang tidak enak didengar. Pelbagai perasaan dalam diri timbul apabila mendengarnya; terkejut, terkedu, terkilan dan sedih.

Tetapi suka atau tidak, perkara itu benar-benar berlaku. Istana sepasang suami isteri yang kedua-duanya saya kenali, dibina hampir 30 tahun kini sudah pun roboh!

Pasangan itu, dulunya saya kenali memang tampak bahagia. Saling tolak ansur. Apabila bercakap, masing-masing lembut je tutur katanya. Ke mana-mana pergi pula selalu sahaja bersama.

Mereka membina kebahagian hidup bersama dari bawah. Dengan gaji yang tidak begitu tinggi, mereka  dilihat hidup cara sederhana tetapi tampak bahagia.

Namun, sedikit demi sedikit saya melihat perubahan hidup mereka yang semakin selesa hingga berjaya membeli rumah dan tanah hasil sepakat hidup bersama.

Semua itu kini, bagaikan hilang sekelip mata. Selepas berpisah, bekas suami keluar dari rumah yang pernah memberi warna-warni kehidupan gembira bersama bekas isteri dan anak-anaknya.

Tinggallah si isteri sendirian. Mujur, anak-anak sentiasa di sisinya memberikan semangat agar terus kental dalam melalui episod baharu dalam hidup.   

Sebenarnya, masih ramai rakan yang tidak tahu mengenai perpisahan mereka berdua. Menurut rakan yang memberi khabar berita ini, sudah hampir dua tahun mereka berpisah.

Maknanya, lama juga dia memendam rasa dan rahsia. Di luar nampak gembira tetapi dalam senyap ada kepedihan di hati yang ditanggungnya.

Saya difahamkan, bekas si suami ada orang baharu dalam hidupnya. Kehadiran orang ketiga itulah punca keretakan rumah tangga mereka.

Kata orang, lelaki memang suka pucuk muda! Apabila si isteri sudah berusia, mulalah si suami nampak banyak kekurangan pada pasangannya.

Saya tidak pernah melalui fasa hidup berumah tangga. Jadi, tidak adil rasanya untuk saya mengulas lanjut punca ataupun kewujudan kehadiran orang ketiga itu.

Cuma, apa yang terus terfikir dan tertanya-tanya dalam kepala saya, bagaimanakah si isteri itu harus melalui hari-harinya tanpa teman hidup di sisi, apabila usia semakin terus meningkat.

Tentunya sepi! Jika dulu, apa sahaja yang dilakukan selalu bersama. Tetapi kini sendirian dan terpaksa kembali melakukan semuanya sendiri.

Bukan mudah untuk lalui semua itu, apatah lagi sudah terlalu lama mereka hidup bersama.

Mungkin lebih lama, dia hidup bersama dengan bekas suaminya berbanding dengan kedua-dua orang tua yang melahir dan menjaganya semasa bujang dulu.

Alangkah indahnya, dalam usia semakin meningkat cinta yang dipupuk sejak dari usia remaja dapat terus dipertahankan.

Realitinya, cinta pasangan berusia bukanlah cinta yang luar biasa seperti halnya anak muda yang bergelora bercinta sehingga terkadang melupakan aturan yang ada.

Cinta dalam usia senja mungkin sederhana tetapi indah penuh makna. Itulah sejatinya cinta.

Oleh sebab itulah cinta dalam usia yang semakin meningkat itu sewajarnya terus  teguh dan dipertahankan.

Sedihnya, tidak semua pasangan mampu berbuat demikian. Badai dan ombak melanda tidak mampu ditepis, maka terungkailah kasih sayang.

Berdepan dengan situasi ini sememangnya perit. Malah, luka itu tidak mungkin sembuh sampai bila-bila.

Doa saya, semoga si isteri terus tabah dan kuat dalam melalui hari-hari tuanya.





No comments:

Post a Comment